I made this widget at MyFlashFetish.com.

Monday, 28 May 2012

PERCUTIAN YANG BERBALOI

DALAM PERJALANAN INI, MENUJU DESTINASI, BERBAGAI LEBUH RAYA DITEMUI




PERJALANAN KU TERHENTI DI LEBUH RAYA INI, TERPANDANG PUSARA DIAM MENYEPI
Begitulah antara bait-bait senikata lagu yang masih kuingat.  Kata orang tua, "Jauh berjalan luas pemandangan".  Berbagai asam garam kehidupan dapat kita lihat dan pelajari. 

Rancanglah percutian agar ia memberi manfaat kepada kita seisi keluarga.  Setelah sekian lama asyik bekerja ( bagi mereka yang bekerja ), ataupun asyik belajar (bagi yang bergelar pelajar), sesekali cuba pergi jauh meninggalkan kebiasaan kita.  Ini bukan bermakna kita ingin melarikan diri daripada situasi yang sering mencengkam kita.  Kita hanya sekadar mencari ketenangan dari kesibukan yang melanda.  Itupun hanya seketika!

Sesekali cubalah mencari kelainan dari hambatan tugas yang digalas.  Kekadang keasyikan dengan tugasan harian kita, menjadikan kita diburu tekanan (tension).  Diri kita mungkin saja keletihan dan barangkali kemurungan boleh terjadi.  Begitulah betapa hebatnya situasi hari ini.  Jadi, bijaksanalah dalam mengatur kehidupan.

Percutian yang sesekali hadir ini wajarlah kita isi dengan aktiviti yang boleh membantu menambah pengetahuan.  Selain itu jadikan ia sebagai pengukuh keintiman keluarga.  Saat-saat begitulah kita dapat bermesra bersama anak-anak, suami atau isteri kita.  Malah ada baiknya juga jika kita dapat menikmatinya bersama ayah atau ibu kita yang masih ada.  Bawalah mereka bersama menikmati percutian yang cuma sesekali sahaja.


 Menyaksikan keindahan alam menjadikan kita semakin dekat dengan Tuhan, semakin mensyukuri nikmat-Nya.  Betapa besar dan agungnya Sang Pencipta.  Maha Mengatur segala-galanya.  Menghargai alam bermakna kita turut sama menghargai apa yang Allah telah ciptakan.  Belajar menghargai bermakna juga kita belajar berterima kasih kepada Penciptanya, iaitu Allah SWT.

Dalam kehidupan seharian kekadang kita tidak dapat bersama dengan keluarga menikmati makan bersama,bertukar-tukar pandangan dan pendapat di meja makan.  Malah disebabkan kekangan waktu ada kalanya menjadikan kita renggang dengan anak-anak.  Seawal pagi kita sudah keluar rumah, pulang pula lewat petang.  Waktu malamnya pula kita keletihan.  Bagi sesetengahnya pula terpaksa pulang lewat malam di kala anak-anak lena dibuai mimpi!  

Anak-anak pula terlalu sibuk dengan urusan sekolah (kalau masih bersekolah), kelas tambahan, tuisyen, kokurikulum dan kerja rumah yang membebankan.  Sesetengahnya pula waktu petang diisi dengan kehadiran ke Sekolah Agama Rakyat.  Malamnya pula dihiasi dengan kelas mengaji.  Begitu hebatnya anak-anak zaman sekarang.  Kita patut memberi taraf lima bintang kepada mereka.  Hargailah mereka.  Raikan hari cutinya.

Ada baiknya juga anak-anak ini kita bawa berjalan, menikmati udara segar di kampung di samping mengeratkan ikatan di antara mereka dengan datuk nenek, keluarga Pak Long, Mak Lang atau Pak Uda di sana.  Pasti keriuhan melanda kiranya anak-anak ini bersua buat kesekian kalinya.  Kegembiraan pasti jelas terbayang di wajah mereka.  Pasti masing-masing sibuk bercerita dengan girangnya.

Andaikata ada peristiwa besar yang dilangsungkan oleh sesetengah pihak, apa kata kita bawa mereka bersama.  Misalnya ada pesta buku atau konsert nasyid.  Pasti mereka teruja.  Selamilah hati mereka, mereka juga mungkin berharapkan sesuatu yang boleh menjadi bekal untuk dikongsi bersama rakan-rakan apabila persekolahan baru bermula. 

Keluar bercuti bukanlah bermakna kita perlu mengeluarkan wang yang banyak, perlu berjalan beratus-ratus kilometer jaraknya.  Mulakan dengan destinasi yang terdekat, tapi diisi dengan penuh aktiviti bermanfaat.  Percayalah..... sekiranya kita menghargai mereka, insyaAllah kita akan dihargai. dikasihi malah disayangi. 
 


Saturday, 26 May 2012

ATIKAH BINTI ZAID


Atikah binti Zaid Radhiyallahu Anhu merupakan seorang wanita mukminah, fasih percakapan, penyair dan berkahwin dengan beberapa orang lelaki yang semuanya mati syahid ketika hayatnya.

Beliau terkenal di kalangan sahabat wanita sebagai seorang wanita yang fasih, berkemampuan dalam bersyair dan kekuatan akalnya.  Beliau telah mewarisi perkara tersebut daripada ayahnya, Zaid Ibnu Amru, salah seorang yang telah menghina berhala-berhala kaum Quraisy pada zaman jahiliah.

Dengan mewarisi cara berfikir ayahnya dan akhlak mulia, Atikah binti Zaid menjadi dewasa dan telah mewarisi kefasihan, kemampuan bersyair, kelembutan perasaan, ketajaman hati, kesucian jiwa untuk beriman kerana ketika awal kemunculan Islam di Mekah, dengan pantasnya Atikah mempercayainya.  Kemudian dia memeluk Islam dan berbaiat kepada Rasulullah.  Ketika perintah berhijrah datang, dia ikut keluar berhijrah.

Ibnu Katsir Rahimahullah menyebut bahawa Atikah adalah salah seorang daripada wanita-wanita yang cantik dan kuat beribadat.  Dia telah berkahwin dengan seorang sahabat ayahnya iaitu Abdullah Ibnu Abu Bakar ash-Shiddiq RA.  Abdullah ikut serta bersama Rasulullah SAW dalam perang Thaif.  Dalam peperangan tersebut dia cedera parah dan akhirnya beliau meninggal secara syahid.

Pernikahan Atikah kali kedua pula adalah dengan Umar Ibnu Khathab.  Kehidupannya bersama suaminya ini dipenuhi dengan keadilan, zuhud dan ibadah.  Sifat-sifat ini semakin membesar dalam dirinya.  Khalifah Umar Ibnu Khathab telah ditikam oleh seseorang ketika beliau sedang solat di masjid.  

Kemudiannya Zubair Ibnu Awwam pula melamar Atikah. Suami ketiga Atikah ini pula terbunuh secara zalim ketika perang Jamal (unta) di Wadi Siba.  Dia telah dibunuh oleh Amru Ibnu Jurmuz tahun 36H.  Setelah berakhir masa iddahnya, Ali Ibnu Abu Thalib pula melamarnya.  Atikah mengutus sepucuk surat yang kandungannya:
      "Ya Amirul Mukminin!  Hanya engkau yang tertinggal dan engkau pemimpin kepada kaum muslimin, sesungguhnya aku bimbang terhadapmu wahai sepupu Rasulullah.  Semua yang berkahwin denganku  akan mati terbunuh."

Atikah binti Zaid telah meratapi mereka semua melalui syair-syairnya.  Dia adalah seorang wanita paling tabah dalam menghadapi musibah.  Dia telah menjadi wanita yang terunggul dengan syair-syair ratapan.  Dia telah mencapai puncak dalam syair ratapan letika dia meratapi pemergian Rasulullah SAW melalui syairnya.

Atikah binti Zaid hidup dengan penuh beribadah dan zuhud sepanjang zaman Khalifah ar-Rasyidin dan pada tahun 40H, Atikah meninggal dunia menuju kepada Penciptanya.  Semoga Allah SWT mencurahkan keredhaan-Nya dan menerangi kuburnya serta diberi kenikmatan bersama orang-orang yang dicintainya.

(Rujukan : Buku Peranan Wanita Pada Zaman Rasulullah)
 Terjemahan oleh Ustaz Johari Yaman 
 Terbitan Nadi Minda Resources


Thursday, 24 May 2012

MEMBUNUH DIRI DALAM SENYAP

Entah mengapa manusia itu kadangkalanya amat degil untuk menerima kenyataan biarpun kenyataan itu benar dan wajar diakui.  Mereka tahu akan keburukan namun tetap memilih jalan itu biarpun memang nyata kesan buruk bakal diterima.  Mengapa ya?

Sukar untuk memahami tingkah laku sesetengah manusia.  Tahu perkara itu tidak elok, namun tetap memilih untuk melakukannya.  Tahu akan bahaya yang mendatang, namun bagaikan sengaja ingin menempahnya pula......pelik...pelik... Begitulah apa yang terjadi kepada perokok. 

Kandungan utama dalam rokok adalah tembakau yang telah dirawat dengan beberapa bahan kimia dan pengawet.  Kajian menunjukkan rokok mengandungi lebih 3 000 bahan kimia termasuk aseton (bahan kimia untuk menghapus pengilat kuku), hidrogen sianida (racun tikus), nikotin (racun lipas), hidrazin (bahan bakar dalm roket) dan formaldehid (bahan mengawet mayat).


Menurut kajian, merokok menyebabkan lebih banyak kematian berbanding kebakaran, kemalangan jalan raya, AIDS, alkohol, kokain dan pembunuhan. Jelas sekali begitu besar sumbangan rokok kepada kematian.  Namun mengapakah kedegilan manusia itu mengatasi segalanya?


Firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah ayat 195 yang bermaksud : "Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan..".  Merokok membahayakan diri kita, juga membinasakan diri kita.  Semuanya jelas.  Faham maksudnya.... tapi mengapa seolah-olah macam tidak mahu memahami.  Sudah diperingatkan berkali-kali, tapi tetap menjadikan ia sahabat sejati.  Mengapa ya?


Bukan setakat menjejaskan kesihatan malah mengakibatkan kerugian dari segi wang ringgit.  Adakah seseorang yang merokok itu kelihatan macho?  Adakah dengan merokok itu boleh menghilangkan stress?  Jawapannya sudah pasti "Tidak".  Pendek kata, perokok itu boleh diibaratkan sengaja membunuh diri di dalam senyap.  Sengaja memasukkan bahan kimia berbahaya ke dalam paru-paru, jantung, salur darah, otak dan amnya tubuh badan.  Dan akhirnya..... kemusnahan akan berlaku.  Penyakit bakal datang dan kematian menjemput.  


BELAJARLAH MENYAYANGI DIRI SENDIRI, HARGAILAH NIKMAT KESIHATAN YANG ALLAH ANUGERAHKAN.  INGAT 5 PERKARA SEBELUM TIBA 5 PERKARA,


Sunday, 20 May 2012

TERIMA KASIH, CIKGU....

Pertama kali masuk sekolah,
Kami dibimbing sedari bawah; 
Dengan penuh susah dan payah,
Bantuan diberi penuh berhemah.

A B C dan satu dua tiga,
Belajar mengenal huruf dan angka;
Dua tahun tadika di usia muda;
Di sekolah rendah enam tahun pula.

Tika melangkah ke sekolah menengah,
Cikgu ditemui kian bertambah;
Tidak jemu-jemu bakti dicurah,
Bukan mengharap balasan hadiah.

Dirimu cikgu ibarat mentari,
Menyuluh jalan cahaya diberi;
Kau bukan dian dibakar api,
Hingga terkorban diri sendiri.

Langkah murnimu beralih padaku,
Gelaran guru kini dipangku;
Membimbing mendidik galas dibahu,
Cekal dan tabah menyambung usahamu.

Kita di dunia bagai tetamu;
Sampai masa cukuplah waktu;
Mohon halalkan semua ilmu,
Moga Allah memberkati hidupmu.

.............................. ida a.z.
                                     lekir





Wednesday, 16 May 2012

PEMBERIAN ORANG

Rambut sama hitam, hati lain-lain.  Pepatah itu menggambarkan betapa berbezanya kita dengan orang lain di persekitaran kita.  Meskipun kelihatan agak sama dari segi rupa paras, minat, malahan warna kegemaran...... belum tentu yang lain-lainnya turut sama atau serupa.

Kekadang kita menyambut hari yang paling istimewa dalam hidup kita. Misalnya hari perkahwinan, ulang tahun kelahiran, hari guru, hari wanita, ataupun hari konvokesyen kita.  Ungkapan tahniah tak putus-putus kita terima.  Barangkali mungkin kita juga turut menerima hadiah daripada mereka yang turut meraikan kita.  Tapi adakah pasti bahawa pemberian orang itu memenuhi selera kita?

Sudah memang namanya "pemberian orang"..........  sudah tentu ia mengikut citarasa dan selera si pemberi untuk menghadiahkannya kepada kita.  Tidak kira sama ada bungkusannya besar ataupun kecil, berat mahupun ringan, dibungkus dengan corak yang cantik atau kurang menyerlah, ia diberi sebagai tanda ingatan kepada kita.  KHAS UNTUK KITA.  Mereka berkongsi bahagia dengan apa yang kita capai.  Turut sama merasai kehadiran kita dalam hidup mereka.  

Salah satu cara menunjukkan tanda ingatan mereka ialah dengan memberi kita hadiah.  Tidak kisahlah sama ada ia mahal atau tidak, namun mungkin membawa makna besar buat dirinya.  Jadi, kita sebagai penerima sepatutnya bersyukur kepada Allah dengan pemberian ikhlas yang dihulurkan itu.  Barangkali hanya itu sahaja yang mungkin termampu olehnya.  Kalau yang lebih, mungkin besar dan mahal pemberiannya.  Walau apapun yang diberi, terimalah dengan hati yang terbuka.  


Jangan kita cuba-cuba membuat penilaian sendiri berdasarkan pandangan mata kasar kita.  Kekadang kita mengharapkan sesuatu tapi Allah memberikan yang lain untuk kita.  Kita minat terhadap sesuatu benda tapi ia tak sampai ke tangan kita. Sebenarnya ada hikmah di sebalik semua itu.  Jangan kita buruk sangka pula terhadap aturan yang Allah telah susunkan untuk kita.  Hanya Dia sahaja yang Maha Mengetahui apa yang terkandung di sebaliknya.

Andaikata kita menerima sesuatu yang memang kita harapkan dan impikan, janganlah pula terlalu gembira.  Malah terlalu memuji pemberian itu.  Sentiasalah bersyukur dengan pemberian itu, kerana pada dasarnya ia adalah daripada Allah jua. 

Tidak siapa yang tahu isi hati kita. Selera atau citarasa si pemberi mungkin kebetulan sama seperti kita.  Kebetulan juga terdapat banyak persamaan antara kita dengan si pemberi hadiah itu.  Mungkin minat warna yang sama, makanan yang sama, hobi yang sama, rancangan televisyen yang sama ataupun bahan bacaan yang sama.  Namun perlu diingat bahawa ada sesuatu yang mungkin berbeza antara kita dan dia.  Hari ini mungkin pemberiannya okey bagi kita, tapi mana tahu suatu hari nanti langsung tersasar jauh daripada apa yang kita harapkan. 


Oleh itu buanglah rasa sedih kiranya pemberian itu tidak menepati citarasa kita.  Apapun yang dihadiahkan, terimalah dengan penuh rasa syukur.  Iringi dengan ungkapan Alhamdulillah.  Hati si pemberi tidak akan terguris dengan sikap kita. Malah mungkin berhasrat akan  memberi sesuatu yang lebih besar nilainya untuk meraikan kita pada masa akan datang.  Sentiasalah amalkan "Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan".

Sunday, 13 May 2012

Pantun Untuk Ibu

kasih ibu membawa ke syurga
tanpa ibu siapalah kita

Anak seluang terenang-renang,
Di balik batu mencari makan;
Budimu ibu tetap kukenang,
Walau jauh nun di rantauan.

Rintik berketak pinggir halaman,
Kokokan Jalak sahut-sahutan;
Wang berjuta bukan nilaian,
Pengorbanan ibu segar di ingatan,

Asam pauh rasanya masam,
Ditumbuk mesra sambal belacan;
Leteran ibu tak pernah padam,
Pelbagai nasihat buat bekalan.

Tanam melur tepi perigi,
Harum baunya memikat hati;
Sabarnya ibu tiada terperi,
Kerenah anak sanggup hadapi.

Mekar mawar kuntum mewangi,
Tampak jelas celah rimbunan,
Susah payahnya pendam di hati,
Berbagai cabaran bukan halangan.

Lebat bunganya buah rambutan,
Berselang seli pokok pulasan;
Serangkum doa daku pohonkan,

Agar hidupmu dilimpahi keberkatan.
.

Saturday, 12 May 2012

BELAJARLAH

TUNTUTLAH ILMU SAMPAI KE NEGERI CHINA.......  semua orang tahu tentang perkara ini.  Namun kesilapan besar yang sering diabaikan ialah persepsi terhadap apa tujuan kita belajar.   

Menuntut ilmu itu suatu kewajipan.  Ibu merupakan guru pertama kita, daripadanya kita belajar banyak perkara.  Seterusnya tatkala kaki melangkah ke tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah, ilmu yang ada pada kita kian bertambah.

Ini berlanjutan sekiranya kita menjejak kaki ke universiti, kolej, maktab perguruan mahupun institut latihan yang tumbuh bagai cendawan di negara kita.  Ada di antara kita beranggapan belajar hanyalah setakat itu sahaja.  Tanggapan begini meleset sekali.  Dalam meneruskan kehidupan kita, sebenarnya kita masih belajar.  Pelbagai jenis ilmu kita terokai dan aplikasikan dalam kehidupan seharian.

Ada yang belajar secara formal malah ramai lagi yang belajar secara tidak formal.  Mereka yang sedang bekerja atau memegang sesuatu jawatan pun ada kalanya masih belajar dalam usia yang kian meningkat.  Malah terdapat suatu peristiwa di luar negara bahawa seorang nenek tua pernah menjadi pelajar di salah sebuah universiti di negaranya.

Namun seringkali kita gagal dalam membuat tafsiran tentang "BELAJAR".  Belajar itu suatu yang dituntut.  Tetapi kesilapan kita ialah menterjemahkan tujuan dan sebab mengapa kita belajar.  Amat malang sekiranya menyambung belajar sekadar hanya untuk mengejar pangkat atau mendapat tangga gaji tertinggi.  Lebih malang lagi sekiranya mengejar dan menambah ilmu untuk boleh bermegah atau berbangga atau menambah riak dalam hati dengan pelbagai gelaran yang kita perolehi.

Kita digalakkan belajar untuk menambah ilmu, dan dengan ilmu yang ada itu sepatutnya kita kongsikan pula bersama orang lain.  Ilmu yang kita pelajari itu juga boleh kita manfaatkan dengan keluarga, sahabat dan taulan kita.  Kalau setakat mengejar segulung ijazah, ia tidak akan membawa makna apa-apa kepada kita.  Malah pangkat dan gelaran itu tidak akan kita bawa ke alam yang kekal abadi.

Namun begitu, teruskanlah belajar.  Ilmu yang kita pelajari itu umpama setitik air di lautan.  Orang berilmu dipandang mulia.  Namun jangan pula kita kedekut ilmu.  Ilmu yang baik dan bermanfaat itu kita sampaikan pula kepada orang lain.  Ilmu itu datangnya dari ALLAH jua.  Mudah-mudahan Allah memberkati usaha kita dalam menimba ilmu.  Belajarlah dari dalam buaian hingga ke liang lahad.

Thursday, 10 May 2012

HARGAILAH IBU

HARI-HARI HARI IBU,
HARI-HARI HARI IBU.
"SELAMAT HARI IBU"

Begitulah bunyi pantun yang kuterima dalam sms yang dikirim oleh anak keduaku setahun yang lalu.  Mesra dipanggil ANGAH.....  .

 Senyuman terukir, "Terima kasih Angah kerana meluangkan masa mengutus pantun istimewa itu buat umi" getus hati kecilku.

 Tidak ada hari-hari tertentu untuk mengingati ibu kita.  Sebenarnya ikatan antara kita dan ibu takkan terputus.  Walau sejauh manapun ibu kita berada, dia tentu tetap hadir dalam hidup kita.  Meskipun dia telah lama meninggalkan kita, namun kenangan bersamanya tetap semarak dalam cinta.

Ibu terlalu banyak membohongi kita tanpa kita sedar.  Teramat banyak menipu kita tanpa kita ambil kisah.  Kerana kita terlalu percaya akan apa yang dilafazkannya.  Kita teramat yakin dengan apa yang diungkapnya.  Tanpa segan silu kita terima bulat-bulat apa yang diceritakannya kepada kita.  Tanpa berfikir panjang kita telan dengan lahap kalimah yang meluncur keluar dari ulas bibirnya.

Antara susunan kata-kata yang sering diungkapkan, "Makanlah nak, ibu sudah makan" (sedangkan ibu menahan lapar kerana mungkin hanya itu sahaja makanan yang tinggal).  "Tidurlah nak, ibu belum mengantuk lagi" (sedangkan banyak tugas yang belum ibu selesaikan lagi).

"Pilihlah yang mana baju yang berkenan, baju ibu yang lama tu masih elok lagi" (sedangkan baju itu sudah dipakai berulangkali tatkala Hari Raya menjelma).  "Tak payahlah susah-susah nak jumpa doktor, sakit sikit je ni" (sedangkan kesakitannya mungkin tak tertanggung olehnya malah tidak mahu menyusahkan kita baik dari aspek masa, tenaga dan wang ringgit).

Sekadar itu contoh yang yang mungkin dapat mengubah persepsi kita tentang ibu dan sejarahnya membesarkan kita.  Dalam kepayahan..... kita dibesarkan.  Penuh dengan pengorbanan yang tak terbayar oleh kita.  Sebermula dari detik ibu mengandungkan kita.  Itulah sebabnya mengapa Allah menyuruh kita mentaatinya selepas Allah dan Rasul.  Dan diperkukuhkan sebanyak tiga kali, "Ibumu, ibumu, ibumu".  Kemudian barulah ayahmu.

"Kasihnya ibu....membawa ke syurga".  "Syurga itu terletak di bawah tapak kaki ibu".  Seringkali ungkapan-ungkapan ini dimainkan.  Namun berapa ramaikah di kalangan kita yang benar-benar menyanjung dan menghargai pengorbanan yang telah mereka lakukan untuk kita?  

Marilah sama-sama kita muhasabah diri, merenung kembali sejarah silam kita tika bersamanya.  Seri dan ceriakan hidupnya yang masih bersisa.  Doakan mudah-mudahan dipanjangkan usia dan beroleh keberkatan dalam hidupnya.  Andaikata ibu kita telah tiada, kirimlah sesuatu kebaikan untuknya di alam sana.  Doa anak yang soleh dan solehah itu adalah kiriman istimewa kita untuknya.  TANPA IBU SIAPALAH KITA.  TERIMA KASIH IBU, JUA SYUKRAN PADAMU YA RABBI MENGANUGERAHKAN AKU SEORANG IBU YANG BEGITU LUHUR BUDINYA.

Thursday, 3 May 2012

TIBA-TIBA.....



entah kali yang ke berapa
keresahan itu sesekali menerpa
menguji kekuatan mindaku
mencabar keutuhan kalbuku

secara tiba-tiba.....
antara lembut petah bicara
di balik manis kata yang bersalut pura-pura
aku dijengah setitik dukacita
meratah luahan yang berserabut angin lara
pada lontaran suara 
antara redup gerhana
bersimpuh singgah di balik tabir kecewa

tiba-tiba juga....
aku dengan sengaja
memukul hebat pulangan kata-kata
biar lenanya nan panjang terpancung 
lantas tungkas bangun meracau
mengharap sejalur ehsan
yang mungkin tidak berpeluang
melahap rantai hatiku
yang semakin kukuh terbina
lantaran bersandar pada kasihMu Ya Rabbi.

......................ida a.z.


SERBA SALAH

Kadang-kadang kita diburu rasa bersalah dalam membuat keputusan.  Bak pepatah, "diluah mati emak, ditelan mati bapa."

Begitulah berbelahnya rasa hati kita untuk membuat keputusan.  Bimbang dan takut kalau-kalau keputusan yang bakal kita ambil nanti mengecewakan mana-mana pihak.

Apa yang perlu kita lakukan ialah fikir masak-masak sebelum membuat sebarang keputusan.  Bergantung haraplah kepada Allah 100%, mohon kepadaNya agar membantu kita dalam menyelesaikan masalah yang mungkin terlalu sukar untuk kita hurai atau selesaikan.

Jangan dibiarkan masalah itu berpanjangan tanpa penyelesaian yang sewajarnya.   Kadang-kadang perkara itu sebenarnyua boleh kita atasi dengan cara sedia bertolak ansur dan adanya sikap sanggup berlebih kurang agar tidak menimbulkan ketegangan mana-mana pihak.  


Amat malang jika perasan serba salah itu kita pendamkan begitu sahaja tanpa mengambil sebarang langkah untuk menyelesaikannya dengan cara terbaik.  Kebimbangan yang berterusan dan melampau kadangkala boleh mengakibatkan seseorang itu hilang pertimbangan.  Kekusutan yang melanda mungkin mengakibatkan seseorang itu boleh mengambil jalan pintas tanpa memikirkan akan risiko yang bakal ditanggungnya.


Sekiranya perlu, berkongsilah dengan seseorang yang boleh kita percayai bagaimana untuk menyelesaikan rasa serba salah kita.  Mungkin dengan cara itu kita mempunyai kekuatan untuk membuat keputusan muktamad.  Ibarat menarik rambut dari dalam tepung.  Rambut jangan putus dan tepung tidak berselerak.