Isnin, 28 Mei 2012

PERCUTIAN YANG BERBALOI

DALAM PERJALANAN INI, MENUJU DESTINASI, BERBAGAI LEBUH RAYA DITEMUI




PERJALANAN KU TERHENTI DI LEBUH RAYA INI, TERPANDANG PUSARA DIAM MENYEPI
Begitulah antara bait-bait senikata lagu yang masih kuingat.  Kata orang tua, "Jauh berjalan luas pemandangan".  Berbagai asam garam kehidupan dapat kita lihat dan pelajari. 

Rancanglah percutian agar ia memberi manfaat kepada kita seisi keluarga.  Setelah sekian lama asyik bekerja ( bagi mereka yang bekerja ), ataupun asyik belajar (bagi yang bergelar pelajar), sesekali cuba pergi jauh meninggalkan kebiasaan kita.  Ini bukan bermakna kita ingin melarikan diri daripada situasi yang sering mencengkam kita.  Kita hanya sekadar mencari ketenangan dari kesibukan yang melanda.  Itupun hanya seketika!

Sesekali cubalah mencari kelainan dari hambatan tugas yang digalas.  Kekadang keasyikan dengan tugasan harian kita, menjadikan kita diburu tekanan (tension).  Diri kita mungkin saja keletihan dan barangkali kemurungan boleh terjadi.  Begitulah betapa hebatnya situasi hari ini.  Jadi, bijaksanalah dalam mengatur kehidupan.

Percutian yang sesekali hadir ini wajarlah kita isi dengan aktiviti yang boleh membantu menambah pengetahuan.  Selain itu jadikan ia sebagai pengukuh keintiman keluarga.  Saat-saat begitulah kita dapat bermesra bersama anak-anak, suami atau isteri kita.  Malah ada baiknya juga jika kita dapat menikmatinya bersama ayah atau ibu kita yang masih ada.  Bawalah mereka bersama menikmati percutian yang cuma sesekali sahaja.


 Menyaksikan keindahan alam menjadikan kita semakin dekat dengan Tuhan, semakin mensyukuri nikmat-Nya.  Betapa besar dan agungnya Sang Pencipta.  Maha Mengatur segala-galanya.  Menghargai alam bermakna kita turut sama menghargai apa yang Allah telah ciptakan.  Belajar menghargai bermakna juga kita belajar berterima kasih kepada Penciptanya, iaitu Allah SWT.

Dalam kehidupan seharian kekadang kita tidak dapat bersama dengan keluarga menikmati makan bersama,bertukar-tukar pandangan dan pendapat di meja makan.  Malah disebabkan kekangan waktu ada kalanya menjadikan kita renggang dengan anak-anak.  Seawal pagi kita sudah keluar rumah, pulang pula lewat petang.  Waktu malamnya pula kita keletihan.  Bagi sesetengahnya pula terpaksa pulang lewat malam di kala anak-anak lena dibuai mimpi!  

Anak-anak pula terlalu sibuk dengan urusan sekolah (kalau masih bersekolah), kelas tambahan, tuisyen, kokurikulum dan kerja rumah yang membebankan.  Sesetengahnya pula waktu petang diisi dengan kehadiran ke Sekolah Agama Rakyat.  Malamnya pula dihiasi dengan kelas mengaji.  Begitu hebatnya anak-anak zaman sekarang.  Kita patut memberi taraf lima bintang kepada mereka.  Hargailah mereka.  Raikan hari cutinya.

Ada baiknya juga anak-anak ini kita bawa berjalan, menikmati udara segar di kampung di samping mengeratkan ikatan di antara mereka dengan datuk nenek, keluarga Pak Long, Mak Lang atau Pak Uda di sana.  Pasti keriuhan melanda kiranya anak-anak ini bersua buat kesekian kalinya.  Kegembiraan pasti jelas terbayang di wajah mereka.  Pasti masing-masing sibuk bercerita dengan girangnya.

Andaikata ada peristiwa besar yang dilangsungkan oleh sesetengah pihak, apa kata kita bawa mereka bersama.  Misalnya ada pesta buku atau konsert nasyid.  Pasti mereka teruja.  Selamilah hati mereka, mereka juga mungkin berharapkan sesuatu yang boleh menjadi bekal untuk dikongsi bersama rakan-rakan apabila persekolahan baru bermula. 

Keluar bercuti bukanlah bermakna kita perlu mengeluarkan wang yang banyak, perlu berjalan beratus-ratus kilometer jaraknya.  Mulakan dengan destinasi yang terdekat, tapi diisi dengan penuh aktiviti bermanfaat.  Percayalah..... sekiranya kita menghargai mereka, insyaAllah kita akan dihargai. dikasihi malah disayangi. 
 


Tiada ulasan: