I made this widget at MyFlashFetish.com.

Sunday, 30 September 2012

MEMILIH SAHABAT

Di dalam kitab Hidayatul Salikin, Imam Ghazali ada menyatakan :  

"Hendaklah kita memilih sahabat dengan 5 syarat."


1.  Orang yang berakal :  Berkawan dengan orang yang jahil akan 

      menimbulkan persengketaan.


2.  Baik dari segi peribadi dan akhlaknya :  Elakkan bersahabat dengan 

     orang yang jahat dan buruk perangainya kerana ianya akan 

     mempengaruhi kita.


3.  Orang yang soleh :  Jangan berkawan dengan orang yang fasik kerana 

      ianya akan sentiasa mengekalkan dosa besar dan kecil. 


4.  Jangan berkawan dengan orang yang sangat kasih sesuatu perkara 

      yang bertentangan dengan suruhan Allah.  Jika berkawan dengan 

      orang yang sebegini, ia akan terikut-ikut dengan tabiat rakannya.


5.  Orang yang benar perkataannya :  Janganlah suka berkawan dengan 

      orang yang suka berdusta.  Orang yang suka berdusta itu tidak dapat 

      dipercayai agama dan dunianya.  Demikian itu akan membawa kepada 

      kebinasaan dunia.


(kredit to: ayid, copenhagen)






Oleh itu buatlah pilihan yang tepat.  Memilih sahabat perlu mengikut garis 

panduan yang dibenarkan menurut Islam.  Namun perlu diingat bahawa 

kita dijadikan bersuku-suku dan berbangsa-bangsa untuk saling kenal-

menganal.  Jangan kita hanya berkawan dan bersahabat dengan yang 

sebangsa dengan kita sahaja, Rasulullah SAW tidak mengajar kita 

sedemikian!  Kita diberi akal untuk berfikir, maka fikirkanlah.  Tepuk dada, 

tanya iman.



TAK MINUM AIS?

KEBETULAN semalam aku sempat berbicara dengan anak bujangku tika berkunjung ke sekolahnya.  Sementara menantikan adiknya yang sedang menduduki ujian di dewan, kami berbual panjang.

Bicara kami menyentuh sedikit tentang minuman.  "Angah tak minum ais," ujarnya.  

"Kenapa, angah?  Dah lama ke angah tak minum?"  bertalu pertanyaanku kepadanya.  Tak perasan aku tentang perubahannya, dan sejak bila????  Aku mencungkil rahsia di sebalik perkara ini.  Ringkas dan mudah jawapannya.

"Otak jadi beku..." katanya, mudah untuk kufahami.  Namun aku ingin cuba mendapatkan maklumat tentangnya nanti.  Menurut angah, ada sekolah yang tidak membenarkan pelajarnya mengambil ais sebagai minuman.  Mungkin ada hikmah di sebaliknya.  Orang tua-tua pun lebih suka mengambil air suam atau air masak sahaja sebagai minuman sebagai menjaga kesihatan.  Mengapa tidak kita?

Saturday, 29 September 2012

RINDU


Adik manis berbaju biru,
Dihias sulam berona ungu;
Hati kian digayut rindu,
Padamu ayah dan juga ibu.

Hiasan taman si bunga bulang,
Seri anggerik dalam jambangan;
Sejarah lama manakan berulang,
Tersimpul rapi dalam kenangan.

Dahlia, melur, juga melati,
Tampak cantik berseri-seri;
Kasihmu tetap mekar mewangi,
Walau jarak pemisah diri.

Tanam pandan berselang seli,
 Pegaga meliar tepi perigi;
Cintamu ibu tidak terperi,
Kasihmu ayah bertaut di hati.

Bersarang rendah si burung tempua,
Riang berkicau burung kenari;
Kasih ibu membawa ke syurga,
Takkan kulupa sampai ke mati.

Rendang kemboja tengah halaman,
Merimbun bunganya jadi hiasan;
Walau jauh diri di rantauan,
Terpahat budimu segar di ingatan.

Pisang emas di atas para,
Cantik berseri kuning masaknya;
Tika rindu menggamit mesra,
Hanya gambar galang gantinya.


Friday, 28 September 2012

KAMI YANG FOBIA

MENDENGAR SIREN AMBULANS SUDAH MENJADI HALWA TELINGA KAMI.  Bunyi dentuman   kenderaan juga sudah sebati dengan kami.  Begitulah kisah kehidupan kami yang menjadi warga sekolah yang didirikan bersebelahan dengan jalan utama.

Kes kemalangan seringkali bertandang di kawasan ini.  Kekadang dalam seminggu entah berapa kali ambulans melalui jalan utama ini.  Masih kuingat lagi waktu aku baru ditempatkan di sekolah ini.  Kejadian tersebut berlaku begitu pantas.  Sebuah kereta hilang kawalan setelah melanggar lopak air dan merempuh barisan pokok bunga lantas melayang dan seterusnya jatuh menjunam ke dalam parit berdekatan di luar pagar, di belakang kantin sekolah.  Kemalangan itu berlaku ketika hujan renyai.  Pada hari yang sama juga terjadi kemalangan kecil di antara sebuah lori dengan sebuah kereta.  

Terdapat juga kemalangan yang membabitkan seorang ibu kepada anak murid kami yang ditimpa kemalangan sewaktu ingin mengambil kad laporan anaknya.  Malah guru-guru sekolah ini juga pernah terbabit dalam kemalangan sewaktu ingin mengambil posisi untuk masuk ke kawasan sekolah.

Semasa pembinaan jejantas sedang rancak dilaksanakan, anak didik kami turut menjadi mangsa akibat kecuaiannya melintas jalan sebaik-baik tamat waktu kokurikulum sebelah petang.  Namun setelah jejantas siap dibina, berita kemalangan terus-terusan menjadi topik utama di kawasan ini.  Malah ia semakin menyesakkan dada!!!

Dentuman yang bingit dan mengejutkan acapkali menjadikan debaran jantung kian kencang.  Pelbagai tanggapan negatif kian meraja di hati.  Kekadang kami sebagai saksi utama yang melihat kejadian sentiasa diperingatkan untuk tidak turut campur tangan dalam hal luar kawasan sekolah. Semuanya demi keselamatan kami.  Tapi wajarkah kami sebagai pendidik membiarkan dan hanya berdiam diri menyaksikan kemalangan sebagai satu pesta?????

Atas rasa tanggungjawab dan prihatin serta kasih sayang sesama insan..... kami tak sanggup membiarkan mangsa terkapar begitu sahaja.  Semampu yang terdaya, insyaAllah akan kami usahakan.  Paling tidak kami berharap agar usaha murni itu mampu membantu menyelamatkan nyawa, itu pun dengan izinNYA.  

Entah bila akan berakhirnya siri-siri kemalangan ini tidaklah kami ketahui.  Memang benar MALANG TIDAK BERBAU.  Tapi bila kemalangan itu dapat dihidu....kami tidak mampu untuk berdiam diri dengan hanya berpeluk tubuh melihat dan memerhati.  


Wednesday, 26 September 2012

BERKAWAN



Berkawan biar beribu....... berkasih biar satu....  Benarkah ungkapan ini?  Itulah apa yang diperkatakan sesetengah orang.  Walau apapun yang disebut orang, apa yang penting ialah pandai-pandailah memilih kawan.  Ada kawan yang boleh membantu.  Namun perlu diingat, bahawa ada juga kawan yang boleh membantut!

Sebaik-baik kawan kita ialah mereka yang akan mengingatkan kita kepada Allah bila melihatnya.  Selain itu menambahkan ilmu kita oleh percakapannya.  Serta menyemarakkan semangat kita menyediakan bekalan  hari akhirat.  Dia akan menegur kita jika kita tersilap dalam membuat perhitungan.  Begitulah kasihnya dia kepada kita.  

Kalau kita menginginkan kawan yang sedemikian, maka kita wajar cermin diri kita terlebih dahulu.  Ringkasnya muhasabah diri.  Perbetulkan diri kita.  Sentiasa berusaha memperbaiki diri.  Jika ingin diri disayangi, kita patut belajar menyayangi.  Jika ingin dihormati, maka kita mestilah belajar menghormati orang lain.  

Ada kawan mengajak ke arah kebaikan.  Namun tak kurang juga yang mengajak ke arah sebaliknya.  Oleh kerana mentimun di tangan kita, dan pisau juga di tangan kita, maka buatlah keputusan terbaik selaras dengan tuntutan Islam.  Mudah-mudahan keputusan yang kita ambil nanti diberkati dan dirahmati Ilahi sejajar dengan had dan batas-batas dalam Islam.

Monday, 24 September 2012

DI MANA BAHAGIA


Semua orang ingin bahagia.  Ada yang mengatakan mereka bahagia jika memiliki wang berjuta.  Tidak kurang juga merasa bahagia jika memiliki isteri yang cantik jelita atau suami yang tampan bergaya.  Malah ada yang bahagia dengan mempunyai rumah besar dan kereta mewah.

Namun ada di kalangan manusia yang tidak bahagia walaupun memiliki wang berjuta, isteri yang rupawanm suami yang 'handsome' serta harta yang melimpah ruah.  Mengapa???  Seringkali juga kita dengar ada yang mengeluh walaupun punya banyak wang.  Hidup sentiasa di dalam ketakutan.  Bimbang menghantui diri kerana risau perompak atau pencuri sering mengintai-ngintai lokasi rumah mereka.  Sesungguhnya hati tak pernah tenang.  Amat susah hati sekiranya terpaksa meninggalkan rumah yang serba canggih dan mewah walau dalam tempoh masa sebentar cuma.  Terlalu bimbang pencuri bermaharajalela di dalam rumah sekiranya rumah itu berjaya dipecah masuk!  Maka dengan itu rumah mewah begini biasanya perlu dipersiapkan dengan 'alarm' dan 'cctv'.  

Tidak kurang juga yang ketakutan akan kehilangan isteri yang cantik jelita.  Selalu dikejar rasa cemburu buta yang tidak ketahuan hujung pangkalnya.  Amat risau jika ada yang menjeling pandang pada isteri yang tersayang.  Begitu tertekan jika ada yang terpikat dengan suami yang kacak.  Silap-silap nanti........ tak pasal-pasal 'peperangan' kecil meledak!

Jadi......apalah gunanya semua kemewahan itu jika ia lebih mendorong kita menjadi tidak tenteram.  Dengan kesenangan yang dimiliki itu membawa seribu satu macam stress atau tekanan pada diri.  Lantaran akhirnya menjadikan diri kita dalam kemurungan walaupun tampak segalanya ada.

Oleh itu berbaliklah kita kepada Allah Yang Maha Mencipta.  Sesungguhnya semua itu adalah milikNYA jua.  Tidak satupun milik kita.  Memang semua itu Allah sediakan bagi mereka yang berusaha.  Sesiapa yang berusaha, insyaAllah dia akan berjaya.  Itu janji Allah!!!  Cuma perlu diingat bahawa semua itu Allah yang beri.  Tidak mustahil DIA akan tarik semula bila-bila masa.  Maka sama-samalah kita memanjatkan kesyukuran atas nikmat dan kelebihan yang dikurniakanNYA kepada kita.  Semata-mata pinjaman belaka.  Sesungguhnya tidak ada satupun milik kita, hatta nyawa dan pernafasan ini pun Allah yang beri pada kita.  Dan bila-bila masa Allah boleh menjemput kita pergi menemuiNYA.

Apabila DIA mengurniakan sedikit kelebihan atau rezeki yang lebih daripada cukup bagi kita, kongsilah bersama dengan mereka yang memerlukan.  Ada hak mereka di dalam kesenangan yang Allah beri pada kita.  "Sekiranya kamu bersyukur dengan nikmat yang Allah beri, insyaAllah DIA akan menambahnya lagi dan sekiranya kamu kufur maka rasakanlah bahawa azab ALLAH amat pedih." 

Sesungguhnya dengan adanya ketenangan hati dan ketenteraman jiwa, maka kita insyaAllah akan beroleh kebahagiaan!!! 



Saturday, 22 September 2012

70 kali sehari

Tatkala terbaca paparan ini di facebook.......  makin teringat diri pada kunjungan makhluk bernama malaikat maut.  Dalam sehari kita dikunjungi sebanyak tujuh puluh kali.  Adakah kita sedang ketawa terbahak-bahak di kala itu.  Mungkinkah dalam masa yang sama kita sedang leka di padang bola...... 

Apa pun perkara yang kita lakukan, lakukanlah dengan niat kerana Allah.  Anggap ia sebagai saham kita di sana nanti.  Tidak kira apa yang kita lakukan, pastikan ia benar-benar  mengikut lunas atau batasan yang Allah sudah tetapkan. 

Tidak ada salahnya jika kita bermain bola jaring atau bola sepak (kebetulan waktu itu malaikat mengunjungi kita) dengan berpakaian menutup aurat.  Dengan niat beriadah untuk menjaga kesihatan.  Hasrat kita apabila kesihatan terjamin maka mudahlah kita untuk beribadah kepada Allah.  Dengan kesihatan tubuh badan yang Allah kurniakan kita dapat melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan lebih baik dan berkesan. 

Boleh saja waktu senggang kita isi dengan menonton tv, tapi pastikanlah siaran yang ditonton.  Ia bukan drama yang melekakan dan menambah dosa mata kita.  Bukan juga tarian yang terkinja-kinja dan melampau sehingga merosakkan akhlak kita sebagai umat Muhammad SAW. Tidak juga nyanyian yang mengasyikkan, melalaikan dan menggoda.  Paling tidak kita tonton misalnya rancangan National Geografic, rancangan masakan atau berita.  Rancangan begitu insyaAllah boleh membantu kita mensyukuri nikmat Ilahi, menambah pengetahuan dan mengasah minat serta menajamkan minda.  

Kita kena bijak membuat pilihan.  Pilihan biar tepat.  Agar sehari dalam hidup kita yang 70 kali diziarahi malaikat itu memberi manfaat kepada diri kita.  Malah menambah saham kita di akhirat sana.  Amatlah rugi kalau kita menghabisi masa dengan menonton drama yang melalaikan sehingga masa kita terbuang sia-sia, membuang air mata, membazirkan elektrik, malah membuai diri kita di alam khayalan semata-mata!

Dalam kesibukan kita, sama-sama kita luangkanlah masa untuk berkomunikasi dengan Pencipta kita.  Dalam solat, dalam zikir dan munajat.  Basahilah dan ringankan lidah  menyebut namaNya jua mengalunkan selawat buat kekasihNya.  Belajar mengubah diri daripada yang buruk kepada yang baik.  Daripada yang baik kepada yang lebih baik.  Berazam meninggalkan tabiat buruk kita sambil berusaha mengubahnya sedikit demi sedikit.  Kerana kita sentiasa dalam pemerhatian Allah dan kerapkali dikunjungi oleh malaikat maut!!!



Thursday, 20 September 2012

ANAK KECIL ITU.....


Ibu di dapur sibuk menanak,
Si anak kecil asyik bertanya;
Kucing pun tahu sayangkan anak,
Malang manusia di mana kasihnya.


Di subuh hening baca Al Quran,

Kokokan jalak tidak dihirau;
Sudah hilangnya kemanusiaan,
Ditinggal pergi di tangga surau.

Hati-hati mengait langsat,
Rambutan gading isinya lekang;
Masih merah bertali pusat,
Sayang ditemui di tepi longkang.

Nasi goreng, nasi lemak,
Dimakan enak buat sarapan;
Sampai hati hingga tergamak,
Sanggup dicampak dari bangunan.

Ke rumah Pak Mail pagi Selasa,
Sambil membawa sebakul mangga;
Tidakkah terbit rasa berdosa,
Menganggap nyawa tidak berharga.







Monday, 17 September 2012

RAMADHAN BERLALU SYAWAL PUN PERGI

Sepanjang Ramadhan kita berada di madrasahnya.  Belajar dan mendidik diri di bulan yang mulia.  Sepurnama dipenuhi dengan pelbagai pesta yang mengasyikkan.  Siang hari berpuasa.  Malamnya diisi dengan solat tarawih juga solat sunat yang lain.  Tidak lupa juga tadabbur Al Quran.  Disulami dengan qiamullailDitambah pula dengan bersedekah.  Dihiasi lagi dengan membaca Al Quran.  Diadun juga dengan memberi makan mereka yang berpuasa........Allahu Rabbi. 

Tatkala Syawal munculkan diri, ada yang mengambil peluang keemasan untuk berpuasa enam hari.  Dalam kesibukan menyambut Hari Raya, majlis rumah terbuka turut diadakan.  Ada yang meraikan anak-anak yatim dan mereka yang miskin.  Mereka yang kurang berada menjadi tetamu istimewa.  Betapa pemurahnya mereka yang berkenaan.  Rezeki dan nikmat Allah dikongsi bersama.  Mudah-mudahan Allah menilai setiap kebaikan yang dihulur dengan penuh ikhlas.

Namun setelah berakhirnya Ramadhan dan Syawal...... mungkinkah segala bentuk pesta sedemikian akan terus mewarnai kehidupan kita?  Adakah kita masih konsisten dan istiqomah dengan beramal seperti itu?  Jika jawapannya ya...... alhamdulillah.  Teruskan beramal walaupun sedikit.  Jangan terus terhenti.  Bertambah malang lagi jika sikap negatif kembali membelenggu diri kita.  

Ramadhan dan Syawal kian jauh meninggalkan kita.  Ada hati yang diulit pilu.  Ada jiwa yang dijengah sayu.  Hadirnya dinanti, pemergiannya diratapi.  Selepas ini adakah kebarangkalian untuk bertemu bulan mulia itu.  Entahkan dapat entahkan tidak.  Hanya doa yang mampu kita panjatkan pada Yang Esa.  Mudah-mudahan dipanjangkan usia dan beroleh kesihatan yang baik, justeru memungkinkan kita menemuinya untuk kesekian kalinya nanti.  InsyaAllah!!!

Bagi mereka yang telah pergi meninggalkan kita sama ada dalam bulan Ramadhan atau Syawal yang baru sahaja dihabisi...... bermakna Ramadhan itu merupakan Ramadhan terakhir buat mereka.  Mudah-mudahan mereka tergolong dalam golongan orang yang beriman. 



Sunday, 16 September 2012

SABARLAH KAK YANG......

 (dedikasi buat Kak Yang dan anak-anak)

Secangkir waktu bersamamu setelah pemergian suami tercinta.....
Mengajak aku untuk menelusuri kehidupannya sedetik cuma
Dari kata hati seorang isteri

Dalam pelangi petang kian mencecah senja
Sesekali aku digayut sebak
Meneliti kekuatanmu yang cekal mengatur bicara
Setelah dua musim berkhidmat penuh ketabahan jua kepayahan
Buat dia bergelar suami

Bertimpa ujian mendatang
Bukan penghalang kasihmu padanya
Bertimbun musibah menjengah
Kian memarak cintamu padanya 

Dan salam terakhir itu
Kau sempurnakan bersama anak-anak di sisi
Pemergian penuh syahdu
Dalam tautan kalamullah yang tidak putus-putus bersambut
Dijalin ikhlas khusyuk berpadu
Menyelinap menerjah ruang sepi 
Dalam dayu yang merayu
Meredhai pemergian yang dijanji

Bersabarlah sahabatku...........
Bina kekuatan walau tanpanya di sisi
Kerana sesungguhnya DIA terlalu hampir pada kita
Dan padaNYA jua kita akan kembali
Menyusul mereka-mereka yang telah pergi......

 
 

 
 

Saturday, 15 September 2012

RAJINLAH MEMBACA

Betulkah orang kita malas membaca?  Barangkali dan kemungkinan besar jawapannya "Ya, betul."

Membaca seolah-olah bukan merupakan satu budaya masyarakat kita.  Mungkin budaya hedonisme atau sukakan hiburan menjadikan aktiviti membaca kian lenyap dari pandangan kita.  Ini semua salah siapa?   Tanpa menuding jari kepada sesiapa, kita wajar muhasabah diri dan keluarga terlebih dahulu. Di manakah kita dalam konteks membaca.....
 
Membaca bukannya satu hobi tetapi satu tuntutan dan keperluan.  Bagaimana cara kita ingin tahu tentang perkembangan dunia luar dan tentang ilmu-ilmu kalau tidak dengan membaca.  Kalau setakat menonton tayangannya atau gambarnya, ia bukan sepenuhnya menghuraikan berita yang terkandung di sebaliknya.  Malahan kadang-kadang apa yang dipertontonkan kepada kita itu ada kalanya diputarbelitkan.  Dan akhirnya kita tertipu.

Ayat pertama yang Allah turunkan jelas menunjukkan bahawa kita disuruh membaca.  Namun perlu diingat bahawa membaca juga ada hadnya.  Had atau batas yang dimaksudkan ialah membaca apa yang diredhai Allah dan disukaiNYA.  Kita adalah apa yang kita baca.  Tidak dinafikan ramai yang suka membaca.  Tapi apa yang dibaca itulah akan mencerminkan siapa kita sebenarnya.  Di luar sana pelbagai jenis bahan bacaan berlambak di pasaran.  Bacaan yang bagaimanakah pilihan kita?

Justeru buatlah pilihan yang tepat dalam memilih bahan bacaan.  Berikut merupakan antara bahan bacaan yang perlu dibaca mengikut prioriti:
1.  Al Quranul Karim - paling banyak dan paling perlu dibaca
2.  Hadis Rasulullah SAW
3.  Ilmu-ilmu asas syariah - aqidah, feqah dan akhlak
4.  Buku-buku pengkhususan ilmu / pengetahuan am
5.  Buku motivasi dan pengalaman hidup orang lain yang mempunyai 'ibrah
6.  Buku-buku tentang pendidikan anak-anak, keluarga, masyarakat dan lain-lain.
7.  Buku tentang analisis sejarah- terutama sirah Nabi dan para sahabat.
8.  Bacaan hiburan, yang tidak tersasar daripada ajaran Islam - seperti novel, sajak dan 
     sebagainya.

Bila kita malas membaca bermakna kita akan berhenti belajar.  Dan apabila kita berhenti belajar bermakna kita akan berhenti memimpin.    Oleh itu jangan berhenti membaca.  Bimbang nanti kita akan dipimpin oleh orang lain yang mungkin memimpin kita tanpa ilmu yang sewajarnya dan untuk membawa kita menuju negeri yang abadi.


Thursday, 13 September 2012

KITA BAKAL MENYUSUL

Dalam kesibukan menanti detik waktu anak-anak warga sekolahku masuk ke dewan bagi menjawab kertas terakhir, aku dikejutkan dengan berita pemergian jiran menghadap Yang Maha Esa.  Terima kasih Puan Aishah yang mengkhabarkan berita terkini jiran kita.  Bila kumaklumkan kepada suamiku, ternyata beliau amat terkejut.  Baru Ahad lalu kami menziarahinya di ICU.  Dan sebelum itu kami menziarahi isterinya di Hospital Daerah.  Malang tidak berbau.  Mereka terlibat di dalam kecelakaan jalan raya.

Masih segar di ingatanku tika berbicara dengan Kak Ton.  Dia ceria seperti selalu walaupun dalam keadaan patah tulang peha dan bekas lebam amat ketara di sini sana bahagian tubuh badannya...... Sedangkan suaminya terlantar nun di hospital ibu kota.  Keadaan suami yang agak kritikal tidak dikhabarkan oleh sesiapapun kepadanya lantaran mengenangkan situasinya sendiri tidak mengizinkan untuk menerima khabar mendukacitakan itu.  Biarlah rahsia...... kata doktor.

Kak Ton mohon disegerakan pembedahan kaki untuk dimasukkan besi, sedangkan perjanjian dengan doktor ia akan dilakukan pada hari Rabu.  Padanya biarlah urusan dipercepatkan agar dia dapat segera menjenguk suaminya di hospital sana.  Begitulah kasihnya Kak Ton pada pasangan hidupnya.  

Namun takdir Allah mengatasi segala-galanya. Pada hari Khamis berikutnya (hari ini)..... suami tercinta menghembuskan nafas terakhir.  Pihak hospital mengambil inisiatif membawa jenazah untuk ditatap buat kali terakhir.  Entah aku tidak pasti apa perasaan Kak Ton dan bagaimana penerimaannya terhadap janji Allah itu.  Aku tidak ada di situ.  Apa yang pasti ialah yang pergi takkan kembali.  Sesungguhnya semua itu terjadi atas  kehendak Yang Maha Esa juga.  DariNYA kita datang, dan kepadaNYA kita akan kembali.

Selepas berjemaah Asar dan solat jenazah dilaksanakan, jenazah disemadikan di tanah perkuburan dengan disaksikan anak-anak dan saudara mara, jiran serta handai taulan.  Pilu menyelubungi suasana.  Teman yang pernah sehidup bersama tiada di sisi, masih menerima rawatan di hospital.  Mudah-mudahan suami Kak Ton di tempatkan dalam kalangan orang mukmin dan mendapat rahmat serta keampunan Ilahi.

Dan kita........ entah bila pula......

Seusai solat Maghrib aku menerima khidmat pesanan ringkas daripada Kak Jan, rakan sekerjaku tentang kembalinya ke rahmatullah seorang lagi makhluk Allah yang bernama manusia.  Allahu akbar...... tambah pilu terasa kerana kawan baikku itu pula kehilangan  suami juga.  Seterusnya bertalu-talu panggilan masuk bagai mengesahkan info yang kuterima.  Innalillahi wainna ilaihi raajiuun......  hanya itu yang terlepas dari bibirku.  

Buat Kak Ton dan Kak Yang...... bersabarlah.  Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar,  mungkin ada sesuatu yang lebih baik yang Allah kehendaki.  Dan kita bakal menyusul mereka.... cuma saat dan ketikanya tidak kita ketahui.


Salam Kasih Dari Kami...

Assalamualaikum Ina,
Mudah-mudahan sentiasa dalam kasih dan rahmat Allah.  Jua dibekalkan kekuatan untuk meneruskan kehidupan dalam dunia yang serba mencabar ini.

Sesungguhnya kasih Allah itu melebihi segala-galanya.  Lantaran itu diturunkan musibah buat kita.  Namun harus diingat ada hikmah di sebaliknya!!!  Kekadang kita minta sesuatu yang kita suka, namun Allah beri apa yang DIA kehendaki.  Sedarlah adikku.....  bahawa DIA Maha Tahu apa yang terbaik buat kita.  

Ina,
Mengenalimu sebagai seorang adik.  Cukup ceria, riang berbicara.  Tapi itu dulu..... dan kini segalanya kian pudar.  Tampak murung durja.  Memandang wajah surammu, aku jadi hampa kecewa.

Adikku ina....jangan bersedih.....
Allah tidak akan menguji seseorang itu lebih dari kemampuan untuk digalasnya.  Jangan mudah mengaku kalah.  Jangan jadikan ujian itu menggugat pendirian kita.  Terkadang ujian itu merupakan penghapus dosa-dosa kita.  Ataupun mungkin ia sekadar menguji sejauh manakah kebergantungan kita terhadapNYA.  

Jika semakin kita diuji..... semakin kita memuhasabah diri.  InsyaAllah....kita akan semakin dekat denganNYA.  Sesungguhnya DIA amat hampir dengan kita.  Percayalah Ina.  

Dari kejauhan ini ramai yang mendoakan, tak kurang juga yang memberi kata-kata semangat.  Ingatlah..... segala dugaan dan cabaran itu merupakan ujian  keimanan kita.  Adakah kita menyangka bahawa kita tidak akan diuji?  Cumanya..... setiap insan itu berbeza ujian yang Allah turunkan kepadanya.  

Ada yang beranggapan bahawa ujian itu cuma asam garam dalam kehidupan.  Tidak kurang juga yang mengatakan ia sebagai batu loncatan untuk mencapai kejayaan yang lebih besar dan cemerlang.  Namun elakkanlah buruk sangka terhadap Allah yang menurunkan ujian sedemikian.  Sentiasa peringatkan diri bahawa ada insan lain yang lebih berat ujiannya daripada yang kita hadapi.

Ina.....
Semoga cepat sembuh dan dapat bersama kami di luar ini.  Tangan yang menghayun buaian bisa menggoncang dunia.  Kitalah yang bakal menghayun buaian itu bersama-sama di daerah kecil ini.  Anak-anak dahagakan ilmu yang kita curahkan.  Jangan jatuh semangat dik, kuatkan azammu.  

Mudah-mudahan kita dapat bersua kembali dalam cerianya suasana.  Dan ingatlah bahawa Allah bersama orang-orang yang sabar.  Sesungguhnya kami menanti kepulanganmu dengan tekad yang waja.

Salam kasih dari kami...............



"Mudah-mudahan Teacher cepat sembuh!!!!!"

Wednesday, 12 September 2012

KITA DITEMUKAN

Tak siapa menyangka, tak siapa pun menduga, setelah sekian lama berpisah akhirnya bersua jua.  Kuasa Allah..... tak siapa boleh menolaknya.

Ramadhan yang baru berlalu, kuterima kunjungan bekas anak muridku.  Hadirnya bersama ibu dan adik lelakinya membawa hajat besar...... menjemput kami ke majlis walimahnya yang bakal diadakan dalam bulan Syawal nanti.  Lebih meriah lagi kerana dua mempelai bakal diraikan dalam majlis tersebut.  Dia bergelar doktor kini.  Syukur alhamdulillah, aku tumpang gembira.

Aku masih ingat kisah roti canai yang pernah singgah ke telingaku suatu waktu dahulu.  "Emm.... kalau dapat 5A, nak hadiah apa?" tanya ayahnya.  "Emm.... belanja makan roti canai kat depan...." jawab si anak. Ringkas jawapannya. 

Sesekali bila teringatkan kisah yang diceritakan ini..... aku jadi sebak.  Kalau orang lain boleh minta KFC atau McDonald.....mengapa pilihan ini bermain di mindanya???  Sifirnya mudah....roti canai itu masakan kampung, jelas ikhlas dan suci bersih buatannya.  Memang sudah biasa melewati kawasan itu, cuma barangkali jarang atau tidak singgah sahaja.  

Ini jauh berbeza dengan KFC atau MacDonald yang tampak asing.  Tengok nama sahaja sudah mencukupi.  Kehalalannya boleh dipertikaikan.  Membelinya juga bermakna kita menempah sebutir peluru untuk menghentam dan membunuh rakus saudara kita di Palestin, Chechnya, Iraq dan banyak lagi tempat di luar sana.

Anak yang pernah menempah roti canai itulah turut sama dengan kakaknya menjemput kami ke majlis bahagianya itu! 

Dan kehadiran kami ke majlis yang dijanjikan agak lewat kerana waktu sebelumnya kami ke majlis di tempat lain.  Namun kami hadir disambut mesra oleh keluarganya walaupun tanpa ayah di sisi kerana telah pergi meninggalkan dunia fana ini.  Tahniah buat dua mempelai, jua keluarga, lebih-lebih lagi ibunya yang banyak berkorban dan berjuang membesarkan anak-anak ini.  Malah menempah kejayaan yang membanggakan.

Dengan izinNYA juga, dalam majlis tersebut, aku ditemukan dengan seorang lagi bekas muridku yang turut menjawat jawatan doktor yang bertugas di salah sebuah bandaraya utama.   Salam tahniah dari cikgu!!!  Sudah menimang seorang cahayamata, kini bergelar ibu dan isteri.  

SK Sungai Wangi meninggalkan kenangan manis buatku, mudah-mudahan Allah memberkati bekas-bekas anak didikku.  Selamat di dunia jua di akhirat.  Malah dapat berbakti kepada agama dan negara.

Tuesday, 4 September 2012

SYAWAL YANG HADIR

Tatkala mata kami bertaut
Jabat tangan pun bersambut
Pelukan mula berpaut
Dalam lelah dan semput
Sesak nafas bagai ribut

Dan hati mula tersentuh
Dengan kalimah bicara bisa meruntuh
Segunung kesalahan yang utuh
Sekelip mata hancur luluh
Pada genggaman salam yang kukuh
Air mata pun berderai jatuh

Tatkala dakapan yang erat
Dengan hati paling berat
Memohon kemaafan yang sarat
Penuh dosa yang dah berkarat
Agar tiada lagi yang melekat
Dan kehidupan diharap penuh berkat
Menyambut Eidul Fitri yang kian mendekat
Dalam ucap kata yang sepakat

Kemaafan yang diungkap
Singgah di pelabuhan hati penuh meratap
Keampunan yang diharap
Bisa menerangkan yang gelap
Boleh menjernihkan yang malap
Agar tidak mengulangi yang silap

Mungkinkah bakal ditemui Ramadhan dan Syawal di lain musim?