I made this widget at MyFlashFetish.com.

Saturday, 22 September 2012

70 kali sehari

Tatkala terbaca paparan ini di facebook.......  makin teringat diri pada kunjungan makhluk bernama malaikat maut.  Dalam sehari kita dikunjungi sebanyak tujuh puluh kali.  Adakah kita sedang ketawa terbahak-bahak di kala itu.  Mungkinkah dalam masa yang sama kita sedang leka di padang bola...... 

Apa pun perkara yang kita lakukan, lakukanlah dengan niat kerana Allah.  Anggap ia sebagai saham kita di sana nanti.  Tidak kira apa yang kita lakukan, pastikan ia benar-benar  mengikut lunas atau batasan yang Allah sudah tetapkan. 

Tidak ada salahnya jika kita bermain bola jaring atau bola sepak (kebetulan waktu itu malaikat mengunjungi kita) dengan berpakaian menutup aurat.  Dengan niat beriadah untuk menjaga kesihatan.  Hasrat kita apabila kesihatan terjamin maka mudahlah kita untuk beribadah kepada Allah.  Dengan kesihatan tubuh badan yang Allah kurniakan kita dapat melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan lebih baik dan berkesan. 

Boleh saja waktu senggang kita isi dengan menonton tv, tapi pastikanlah siaran yang ditonton.  Ia bukan drama yang melekakan dan menambah dosa mata kita.  Bukan juga tarian yang terkinja-kinja dan melampau sehingga merosakkan akhlak kita sebagai umat Muhammad SAW. Tidak juga nyanyian yang mengasyikkan, melalaikan dan menggoda.  Paling tidak kita tonton misalnya rancangan National Geografic, rancangan masakan atau berita.  Rancangan begitu insyaAllah boleh membantu kita mensyukuri nikmat Ilahi, menambah pengetahuan dan mengasah minat serta menajamkan minda.  

Kita kena bijak membuat pilihan.  Pilihan biar tepat.  Agar sehari dalam hidup kita yang 70 kali diziarahi malaikat itu memberi manfaat kepada diri kita.  Malah menambah saham kita di akhirat sana.  Amatlah rugi kalau kita menghabisi masa dengan menonton drama yang melalaikan sehingga masa kita terbuang sia-sia, membuang air mata, membazirkan elektrik, malah membuai diri kita di alam khayalan semata-mata!

Dalam kesibukan kita, sama-sama kita luangkanlah masa untuk berkomunikasi dengan Pencipta kita.  Dalam solat, dalam zikir dan munajat.  Basahilah dan ringankan lidah  menyebut namaNya jua mengalunkan selawat buat kekasihNya.  Belajar mengubah diri daripada yang buruk kepada yang baik.  Daripada yang baik kepada yang lebih baik.  Berazam meninggalkan tabiat buruk kita sambil berusaha mengubahnya sedikit demi sedikit.  Kerana kita sentiasa dalam pemerhatian Allah dan kerapkali dikunjungi oleh malaikat maut!!!



No comments:

Post a Comment