I made this widget at MyFlashFetish.com.

Saturday, 3 November 2012

AKHIRAT MINDED

APA SAHAJA YANG KITA LAKUKAN....... FIKIRKANLAH AKHIRAT SAMA.  Kita hidup ini bukan hanya untuk dunia semata-mata.  Kita semua akan kembali kepada Maha Pencipta.  Dan segala tindak tanduk selama hidup ini akan dipersoal dan ditayangkan di akhirat nanti.

Sekiranya kita punya kerjaya hebat, bertugas atau bekerjalah dengan penuh amanah.  Jangan melakukannya sehabis baik dengan harapan mendapat nama, pangkat atau kedudukan yang tinggi hingga meminggirkan soal halal haram.  Jangan pula memasang niat  bekerja semata-mata untuk mencari rezeki demi sesuap nasi untuk anak isteri.  Berniatlah bekerja kerana Allah.   


Bermulanya langkahan kaki meninggalkan rumah ..... tanamkan akhirat minded kita.  Bermula dengan doa naik kenderaan,  mendengar  siaran radio IKIM dalam perjalanan, ucapan salam buat rakan sepejabat, bermanis muka dan senyum, semua itu merupakan langkah mengumpul saham akhirat.  Ia nampak mudah, namun jangan diperlekehkan kerana Allah tetap menilainya walaupun sebesar zarah. 




Andai kita suri rumah sepenuh masa, ia bukan penghalang untuk kita menambah saham akhirat kita.  Apabila berfikir tentang akhirat, lakukan sesuatu yang kita mampu.  Kiranya kita mahir dalam memasak, masaklah sesuatu dan sedekahkan kepada jiran tetangga atau surau berhampiran dengan tujuan meraikan jiran atau ahli kariah tempat kita.  

Kalau seorang suri rumah pandai menjahit, barangkali mungkin boleh jahitkan langsir untuk masjid berdekatan.  Terserah sama ada menjahitnya secara percuma (bagi yang  berkemampuan) atau mengambil upah untuk menjahitnya dengan niat dan tujuan agar masjid nampak cantik dan ceria lantaran itu menarik jemaah menjejakkan kaki ke rumah Allah.  


Jangan jadikan alasan kita tidak boleh menyumbang apa-apa untuk memenuhkan kantung akhirat kita hanya sekadar menyedari bahawa kita cuma suri rumah sahaja!  Kadang-kadang tanpa kita sedari bahawa sumbangan kecil kita itu memberi impak besar terhadap timbangan amal kita di sana nanti.  Sesungguhnya Dia Maha Tahu.




Justeru, berbuat kebaikanlah di dunia ini di samping meninggalkan kemungkaran.  Janji Allah adalah pasti.  Mudah-mudahan hidup kita tidak sia-sia.  Bercucuk tanamlah di dunia fana ini, agar kita dapat menuai hasilnya di sana nanti.  InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment