I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday, 27 December 2012

BINGKISAN BUAT AYAH.....

Seperti cuti-cuti sebelumnya, anak-anak ku bawa bertemu datuk dan nenek mereka di kampung memenuhi undangan penghujung Disember.  Sedikit kenduri doa selamat dan tahlil dibuat secara kecil-kecilan, dengan jemputan saudara dan taulan terdekat.  Kenduri yang diadakan bagi mensyukuri nikmat kesihatan yang dikurniakan Ilahi dan kenduri itu juga mengingatkan ayah kepada ramai rakan seangkatan dengannya telah menemui Yang Maha Esa.  Cuma bilakah saat ayah pula akan bertemu denganNYA nanti.  Itu kata ayah..........

Walau dalam kekalutan masa menghabisi sisa-sisa penghujung tahun, kami penuhi undangan itu.  Ayah kelihatan riang menyambut kepulangan cucu-cucunya tersayang.  Kegembiraannya jelas terbayang di balik kedutan wajahnya.  Bonda juga sedemikian walau dalam payah mengawasi batuk-batuk dan semputnya seperti biasa.  'Inhaller' sudah menjadi sahabat karib walau di mana dia berada.

Bonda tidak seperti selalu..... biasanya masakan dari air tangannya menjadi penyedap selera kami.  Dia sudah tidak berupaya menyediakan semua itu tambahan dalam kuantiti yang banyak.  Dan ayah lebih maklum akan duduk perkara sebenar, itulah sebabnya mengapa ayah memilih untuk menempah sahaja menu makan tengah hari tersebut.

Banyak tugas kukerahkan kepada anak-anak yang kian membesar.  Urusan di dapur ada Kak Alang dan Kak Uda yang membantu.  Adik dan Bang Chik menyelesaikan urusan mengemas dan menyusun kerusi meja di luar, walaupun ada ketikanya pergaduhan kecil mewarnai tugas mudah itu.  Perang saudara kekadang meletus antara kedua anak-anak kecil itu.  Manakala Bang Long dan Bang Ngah membantu menyusun atur tempat makan.  Alhamdulillah..... semuanya sudah boleh diharap.  

Bacaan doa pun ayah serahkan kepada Abang Mat, pangkat anak saudaranya yang datang dari kampung.  Sesuai dengan jawatan Abang Mat sebagai salah seorang imam di kampungnya, bacaan doanya begitu jelas.  Dan doa terakhir ayah sudahi dengan nada suara yang rendah, hampir tidak kedengaran.  Kami yang hadir hanya mengaminkannya.

Kami berpeluang bertemu teman rapat ayah yang hanya beberapa orang sahaja yang dapat menghadirkan diri.  Peringkat tua ramai yang telah pergi meninggalkan dunia fana ini, dan pada mereka peringkat mudalah ayah galaskan harapan.  Sesekali bertemu bagi menautkan kembali ukhuwwah dan kekeluargaan.  Ahli keluarga rakan karib ayah (allahyarham Pak Imam Fahmi) yang diundang turut hadir.  Cuma isterinya yang agak uzur tidak dapat datang.

Seusai majlis, kulihat ayah kelihatan puas.  Tiada tanda-tanda keletihan di raut wajahnya.  Cuma ayah sedikit berpantang terhadap makanan.  Agak gusar makan daging, lantas ayah memilih ayam sebagai gantinya.  Tidak seperti tika ayah masih kuat dulu, dalca sememangnya menjadi kegemarannya.  Paling digemarinya dan masih segar diingatannya dalca yang dimasak oleh Pak Ali (disebut "Dalca Pak Ali").  Tiada seorang pun mewarisi kepandaian Pak Ali memasak dalca itu.  Walaupun ada yang cuba belajar, namun tidak dapat menandingi keistimewaan dalca tersebut.  Apakah rahsia Pak Ali...... dan kini hanya tinggal nama sahaja.

Lebihan pencuci mulut yang sempat kubuat untuk tetamu, kutinggalkan di dalam peti sejuk.  Kutahu ayah menggemarinya.  Sekiranya sesuatu makanan itu ayah suka, ia akan diulang makan banyak kali.  Sejak dulu kuperhatikan tingkah ayah begini. Ayah sukakan yang manis-manis.  Syukur sangat-sangat kerana ayah tidak menghidap kencing manis. Cuma yang sedikit membimbangkan adalah tekanan darahnya kekadang agak tinggi sedikit.  Kesibukan menguruskan jualan suratkhabar sedikit menggugat kesihatannya.  Ayah kurang mendapat rehat yang secukupnya.  

Jika kelapangan dan punya waktu bersemuka dengan kami semua, ayah suka bercerita tentang kisah zaman dulu-dulunya kepada cucu-cucunya.  Kisah zaman Jepun, cerita zaman kanak-kanaknya, semuanya dalam nada senda gurau.  Penuh hilai tawa yang mencuit hati.  Seusai solat berjemaah, biasanya ayah memberi sedikit tazkirah buat kami semua.  Dan ada kalanya ayah memberi peluang kepada Bang Long dan Bang Ngah menjadi imam mengepalai solat jemaah kami kerana ayah mengakui kekadang lupa potongan surah yang dibacanya. Berdiri tegakpun kelihatan sudah kian bongkok.   Namun Fatihah ayah masih utuh seperti dulu.

Uban kian memutih, pergerakan pun kian lambat, dan daya ingatannya kian lemah.  Pernah ayah tersilap mengira wang, namun bonda segera membetulkannya.  Ayah ada menyuarakan hasrat untuk menunaikan umrah, tapi bonda menghalang disebabkan kerisauan bonda terhadap perubahan yang begitu ketara terjadi pada ayah beberapa bulan yang lalu berikutan secara tiba-tiba tekanan darah ayah naik ketara sehingga menyebabkan ayah ditahan di wad.  Begitulah situasi ayah kini.......  

Dari kejauhan ini, kupanjatkan doa dan harapan agar ayah sentiasa dalam kasih dan rahmat Ilahi.  Pada bondapun harapanku begitu juga.  Moga-moga dipermudahkan segala urusan....

Salam kasih dari kami seisi keluarga, peliharalah kedua ibu bapaku sebagaimana mereka memeliharaku sewaktu aku kecil lagi, kasihilah mereka sebagaimana mereka kasih akan daku.  Amin Ya Allah.





 

Saturday, 22 December 2012

DUHAI WANITA

DUHAI WANITA

Duhai wanita......
Yang dijadikan dari rusuk kiri Adam
Yang bengkok, kalau diluruskan dengan kasar akan mudah patah!

Duhai wanita.....
Terlalu ramai dalam kalangan kamu di neraka
Tempat yang penuh seksaan
Telah dikisahkan Rasulullah SAW

Duhai wanita.....
Telah diangkat martabatmu
Sesungguhnya Kekasih Allah itu menyayangimu
Namun adakah kau lupa?

Duhai wanita.....
Diperingatkan padamu tentang auratmu
Mengenai labuhkan tudungmu ke paras dada
Mengapakah kau engkar pada perintah Maha Kuasa?

Tika dunia sementara masih lagi bernyawa
Dan saat kiamat belum lagi tiba
Detik dan peluang masih ada
Sesungguhnya pintu taubat senantiasa terbuka
Lalu lindungilah auratmu
Auratmu adalah maruahmu
Namun jangan lupa bahawa tipu daya syaitan amat menggoda
.....mencadangkan tudung-tudung yang menggila
.....sehinggakan ia semakin singkat dan ketat
.....menyerlahkan bonggol-bonggol unta
.....nipis penuh gaya
.....rona warna merajalela
.....lupa bahawa hanya rambut yang terlindung
.....sedangkan lengan masih lagi ditayang
.....bentuk badan tetap jadi perhatian
.....lenggok kian meruntun pandangan

Duhai wanita......
Belajarlah mengasihi diri
Agar terselamat di syurga abadi.

Friday, 21 December 2012

BUKAN SENANG NAK SABAR

Betul....... bukan senang nak sabar.  Semua itu ujian dari Allah.  Jangan mudah rasa letih dan buruk sangka terhadap apa yang Allah berikan pada kita.  Mungkin ada hikmah di sebaliknya!  Cuma kita sahaja yang tidak tahu.  Mungkin kita tidak nampak.

Kembalilah kita sama-sama muhasabah diri.  Mungkin dengan ujian yang Allah berikan sedikit ini mengingatkan diri kita atau mungkin memberi amaran kepada diri kita yang mudah lupa.  Semua itu ketentuan Allah.  Kita selalu meminta-minta pada-NYA.  Ada kalanya kita dapat apa yang diminta dalam kadar segera.  Ada waktunya kita menikmati apa yang diidam dan didoakan setelah bertahun lamanya.  Malahan mungkin juga tidak nampak di dunia ini.  Adakah mungkin Allah memberi di akhirat sana?  Terserah padaNYA, kita hanya berdoa.

Jangan mudah putus asa dari rahmat Allah, belajarlah bersabar.  Kekadang ada insan lain yang diuji lebih hebat dari kita.  Mereka boleh tersenyum lagi!  Lihat sahajalah di sekeliling kita..... Semoga ujian yang Allah beri itu menjadikan kita semakin tabah dan bersyukur.  Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.

DAN RINDU PUN MENGGAMIT

TATKALA malam mula berinsut ke dinihari, sesekali aku dijengah rindu pada mereka yang pernah sama berkampung tiga tahun di Tanjung Malim.  Lembah Bernam yang mengumpul begitu banyak sejarah dan kenangan suka duka bersama.  Angin semilir yang membawa bait-bait bicara dan bahasa untuk kucatat di kanvas putih berseri.  Lantas menjadi paparan abadi di teratak Suluh Budiman.

Kenangan awal semasa tinggal di dorm amat mengujakan!  Kisah-kisah seram ada kalanya meremangkan bulu roma.  Namun aku bersyukur sangat-sangat kerana tidak pernah melihatnya di hadapan mata.  Al-maklumlah..... menjadi penghuni bangunan lama, maktab perguruan yang tua....kian dimamah usia!  Punya seribu satu macam sejarah berdarah terpahat di dalamnya.  Masih ingatkah padaku lagi....Kak Yah, Kak Sal, Kak Zai, Sally, Siti Ruwaida, Kak Anizah, Kak Ani Rahim, Along (Che Noraini), Rahnah, Kak Mano, Kak Su (Suraya), Kak Siti Jumaijah, Kak Normah, Kak Ani (kemudian ke UIA), emm......siapa lagi ya?  Ribuan kemaafan ..... andaikata tidak disebut di sini.  Terlalu lama kita berpisah!

Pada Kak Normah..... teman sebilik yang begitu memahami, terima kasih tidak terhingga kerana memberi semangat dan kekuatan untukku menulis.  Lembut bicaramu terbayang jelas di kala ini.  Bukan bodek, tapi inilah kenyataan.  Begitu bersabar dengan kerenah adik yang satu ini.  Aku belajar tentang kamera denganmu, berkongsi sedikit kemahiran dan pengalaman.  Mohon halalkan ilmu itu, alhamdulillah.   

Juga pada teman serumah tika latihan mengajar satu semester di Trolak Timur.........     Kak Ani, Kak Noi, Kak Nor, Kak Liza, Kak Fidah, Sakiah, Kak Ana dan Maznah....(maaf jika ada nama yang tercicir...... rasanya tidak).  Terima kasih semua, asam garam kehidupan kita lakar bersama di rumah sewa di Felda Trolak Selatan.  Pelbagai pengalaman indah bermain di ingatan!

Bersama Kak Nisa, Kak Liza, Kak Jamie dan Kak Syidah....... kita menyulam erti ASASMU.  Pada Kak Mano tidak ketinggalan, menulis dalam diam.  Berkongsi idea jua pengalaman di bidang penulisan.  Yang menyaksikan betapa kita bertaut mesra dalam menyemai kasih pada seni bahasa.  Menghidupkan semarak cinta bagi menyambung rautan seni yang ditinggalkan oleh abang-abang dan kakak-kakak yang dulu.  Sesungguhnya mata pena itu sememangnya tajam!

Pada teman sekuliah (kelas A, B, C, D dan E) ...... maaf tidak dapat kutitipkan satu persatu nama kalian di sini..... syukur Alhamdulillah kita sama-sama dapat menghabisi tiga tahun itu dengan penuh yakin dan bergaya.  Ilmu yang dihadam itu menjadi bekal untuk bertapak di daerah masing-masing. Berbekal semangat kental dan doa padaMu Ya Rabb, penuh tawakkal kami mencurahkan ilmu pula kepada anak-anak yang bakal menerima.  Mudah-mudahan menjadi bekal di sana nanti, insyaAllah.

Akhir kalam untuk semua yang kukasihi.......

Semalam telah berlalu
Dan kita hari ini bergelar guru
Yang dilahirkan Ibu Kandung
Tanjung Malim yang syahdu

Masih nyamankah air di kali?
Ataukah telah mengalir lesu?
Dibenteng hutan batu
Dan kian tandusnya hijau alam yang dulu
Kini hanya debu berterbangan menyapa pipi
Berbekalkan kisah sendiri-sendiri

Namun adik-adik yang tinggal
Punya kekuatan tersendiri
Tidak hanya meneguk rakusan kuasa 
Dan membisu menelan suapan menggila
Kian belajar menjadi dewasa
Bersandarkan keadilan dan kemuliaan ilmu
Agar tidak tergadai maruah diri
Bakal mengganti pemimpin hari ini

.....................salam buat semua,
                         terima kasih dari kejauhan.

Wednesday, 19 December 2012

CARA RASULULLAH TIDUR






















Aisyah r.a. meriwayatkan yang bermaksud: 
 "Setiap kali hendak tidur pada malam hari, Rasulullah SAW selalu menyatukan kedua tapak tangan beliau seraya membaca surah Al-Ikhlas, al-Falaq, dan an-Nas, kemudian beliau meniup kedua tapak tangan beliau.  Setelah itu, dengan kedua tapak tangan itu, beliau mengusap bahagian tubuh yang terjangkau, dimulai dari kepala, wajah, lalu bahagian depan tubuh beliau.  Hal ini beliau lakukan tiga kali."
(Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Abu Dawud, Ibnu Majah, Ahmad dan Nasa'i)

Sunday, 16 December 2012

CATATAN BUAT AFIQAH......


"Assalamualaikum cikgu," satu suara menyelinap masuk ke telingaku.  Suara siapakah itu?  Aku segera menoleh sambil menjawab salam tersebut. Huluran tanganku disambutnya lalu dicium.  Aku memeluknya erat.  Ketika itu air matanya setitis dua menitis menuruni kelopak matanya.

"Ha.......macam mana result, Afiqah?" soalku pada bekas anak murid yang pernah kudidik dan bimbing di kelas pemulihan semasa dia berada di tahun 2, 3 dan 4 dulu.

Dia tersipu malu sambil menghulurkan slip keputusan itu kepadaku.  Kutatap dengan teliti, mataku tertumpu pada keputusan Bahasa Melayu dan Matematik, kerana dua subjek itulah yang pernah kuajar dulu.  "Eh, baguslah result kamu, Afiqah!  Macam mana Penulisan boleh dapat A ni?" tanyaku spontan.  Dia masih melirik senyum.  Tiada kata-kata keluar dari ulas bibirnya.

"Alhamdulillah.......tahniah Afiqah,  emm..........subjek lain pun ok jugak.  Alhamdulillah lulus semua!"  Hatiku berbunga gembira.  Kulihat slip itu....... Pemahaman B, Penulisan A, B.Inggeris C, Matematik C dan Sains B.  Syukur sangat-sangat pada Allah yang telah menganugerahkan kejayaan itu kepadanya.

Aku masih ingat tatkala aku menerima murid bernama Norafiqah yang sukar untuk mengeja walaupun suku kata mudah KV, malah amat payah untuk mencantum KV + KV suatu ketika dulu.  Lambat dalam mengeja dan membaca.  Untuk mengira pun sukar.  Aku terpaksa memperlahankan rentak pengajaranku disebabkan kesukaran dia menguasai apa yang diajar.  

Namun berkat kesungguhan dan kerajinannya, Allah mempermudahkan segala urusan.  Walaupun lambat, meskipun agak ketinggalan berbanding rakan sekelas yang lain, dia tetap berusaha dan terus berusaha.  Kepayahan yang dilaluinya dulu kini Allah bayar cash!

Sesungguhnya padaMU kupanjatkan kesyukuran.  Kejayaan yang dicapai dari setiap kekecewaan dan penderitaan itu mengandungi nikmat yang tinggi nilainya.  Mudah-mudahan Afiqah dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam meneruskan usaha bagi mencapai cita-cita.  Moga kejayaan yang cemerlang menantimu di hujung sana.  


Friday, 14 December 2012

ISYTIHARKAN PERANG

APABILA menyebut perkataan 'perang', minda kita segera menghidu situasi yang berlaku nun jauh di luar sana.  Terbayangkan segala bentuk penderitaan, kesusahan dan keperitan hidup mereka yang berada dalam kancah peperangan.  Dan segala rupa kezaliman jelas kelihatan di ruang mata.  Allah ya Allah......

Namun tanpa kita sedari bahawa diri kita sendiri wajar mengisytiharkan perang dengan syaitan laknatullah, berperang dengan hawa nafsu yang menggila.  Yang mana kita seringkali tewas di dalamnya.

Dalam keenakan melayani perasaan, citarasa, impian, hasrat dan cita-cita, kita terlupa bahawa kita acapkali kalah dan terpaksa mengibarkan bendera putih.  Dan akhirnya kita terduduk dan tersengguk dalam kerugian.

Mampukah kita berperang tatkala terjaga atau terbangun dari tidur?  Di kala insan lain enak dibuai mimpi dalam  suasana sepi, dingin dan tenang.  Apakah kebarangkalian kita sedia untuk berwuduk dan menghadap Yang Maha Esa.  Ataukah sekadar meneguk air di dapur, lantas terus menarik selimut semula bagi melangsaikan keenakan tidur di tilam empuk yang sedia menunggu.

Sediakah kita berperang tatkala berada di pusat beli belah? Di kala kita membuat pilihan antara mahu membeli langsir baru yang begitu memikat hati, sedangkan langsir di rumah baru tahun lepas berganti.  Malah langsir lama di dalam almari belum pudar warnanya.  Namun hati begitu kuat meronta meminta kita membuat keputusan segera!

Sediakah kita berperang tatkala jiran mengajak kita ke masjid berdekatan kerana ada ceramah agama sedangkan kita telah berjanji dengan anak-anak untuk makan malam di salah sebuah restoran yang menjanjikan makanan istimewa.  Tatkala itu hati telah berkira-kira untung ruginya kedua-dua pilihan tersebut.  Apakah kita tidak terdaya untuk terus membatalkan janji untuk makan malam yang boleh ditunda ke tarikh lain berbeda dengan topik ceramah dan penceramah yang mungkin sukar untuk kita temui lagi.  

Sediakah kita berperang untuk menghentikan aktiviti facebook kita tatkala azan berkumandang di surau bersebelahan?  Begitu jugalah tatkala kita berhadapan dengan saat-saat berbuka puasa, di kala meja penuh dengan makanan yang enak belaka.  Malah lebih-lebih lagi di waktu-waktu kita menyambut hari raya. Tepuk dada tanya iman.....

Sediakah kita berperang???  Itu hanya beberapa contoh yang menghendaki kita membuat keputusan yang sebenarnya mudah untuk kita ambil tapi begitu sukar membuat keputusan kerana peperangan melawan nafsu memang hebat.  

Walaupun bagi sesetengah manusia merasakan mungkin ia kelihatan remeh, tapi sesungguhnya perkara-perkara sedemikian menampakkan kelemahan kita hanya dalam menangani peperangan melawan nafsu kita sendiri.  Justeru, sama-samalah kita inytiharkan perang ini.  Di samping mencari kekuatan diri dan berusaha ke arah yang lebih baik bagi menangani tuntutan nafsu yang menggila, sama-samalah kita berdoa kepada Pencipta.  Sesungguhnya doa itu adalah senjata orang mukmin.  

Tuesday, 11 December 2012

DURIAN OH DURIAN.....

Sudah terkenal serata tempat,
Baik jauh mahupun dekat;
Ia digemari setiap peringkat,
Begitu glamour ramai peminat.

Pelbagai nama dibubuh gelaran,
Mengikut rupa diberi tuan;
Rasa manis bila dimakan,
Lemak melekat terasa menelan.

Bagi mereka yang jaga kesihatan,
Berhati-hati membuat pilihan;
Nafsu serakah jangan dilayan,
Jatuh sakit sendiri menahan. 

Kalau waktu buah sedikit,
Tak banyak pilihan harga pun perit;
Kita membeli memanglah sakit,
Wang menipis di dalam poket. 

Bila banyak jadi lambakan,
Harga menjunam jatuh berserakan;
Pembeli kian banyak pilihan,
Termenung peniaga melihat jualan.

Dibuat kuah biar menggelegak,
Tenggek di dapur harum semerbak;
Rasanya hebat bagai nak rak,
Tapi janganlah buruk melantak.

Musim durian banyak dugaan,
Wang ringgit jadi taruhan;
Tak kira saudara mahupun teman,
Kurang memandang secara ehsan.

Tika diajak sesekali melancong,
Mungkin musim jadi penghubung;
Datuk nenek mula dikunjung,
Menyatu rindu riuh sekampung. 

Sanggup bermalam di pondok di dusun,
Di dalam hati tak rasa gerun;
Gugurnya bagai duit yang turun,
Rezeki melimpah bertahun-tahun.

Di musim begini ramai pencuri,
Sanggup rembat berguni-guni; 
Kalau lambat pergi mencari,
Durian tersayang ke mana pergi.  

Bagi peminat di negeri Perak,
Tak lupa pasti buat tempoyak;
Pembuka selera penuh semarak,
Sambal dan gulai sesuai di tekak.

Lempuk dan dodol tidak dilupa,
Wajik durian enaknya rasa;
Makanan ini berlebihan gula,
Makanlah hanya sekali sekala.

Durian kampung durian kahwin,
Beza bau rupa pun lain;
Durian siam cantik bukan main,
Nikmati yang ori dengan penuh yakin.
 
   
  
 

 
 
 
    
 
 
 

Sunday, 9 December 2012

UMMU HANI BINTI ABU TALIB RA

Ummu Hani anak kepada bapa saudara Rasulullah SAW, Abi Thalib bin Abdul Manaf bin Hashim, al-Hasyimiah al-Makkiah. Ibunya adalah seorang tuan yang mulia, Fatimah binti Asad bin Hasyim, beliau adalah daripada golongan Muhajirin yang dibaiah, ibu kepada semua anak Abi Thalib, iaitu Ali, Ja'far, Uqail, Thalib dan Ummu Hani.  Dia telah mewarisi kefasihan daripada bapanya yang merupakan salah seorang yang fasih berbahasa Quraisy dan ahli sastera.  Begitu juga dia mewarisi akhlak daripada ibunya, Fatimah binti Asad yang membuatnya menjadi salah seorang wanita terhormat dalam dunia Islam.

Ummu Hani agak lambat memeluk Islam tetapi semua bukti mengatakan bahawa Ummu Hani tidak pernah menentang dan memerangi dakwah Islam.  Dia merupakan orang yang amat menghargai dan menghormati Islam. 

Berbagai sumber sependapat beliau memeluk Islam bertepatan dengan peristiwa Fathu Makkah (Pembukaan Kota Mekah).  Selepas peristiwa bersejarah itu, Ummu Hani menyingkap dengan sikap yang amat mulia.  Pada hari tersebut, Rasulullah SAW masuk ke rumah Ummu Hani, mandi kemudian solat sebanyak 8 rakaat.  Solat ini disebut solat kemenangan.  Para pemimpin Islam apabila menakluk negeri musuh, mereka solat dengan solat kemenangan.

Di zaman jahiliah, wanita mempunyai kuasa untuk membebas dan menjamin orang tawanan.  Ummu Hani juga telah menjamin dan membebaskan dua orang lelaki daripada keluarga suaminya, yang dihukum mati oleh Rasulullah SAW, kemudian baginda mengabulkan pembebasannya. Ummu Hani juga telah meriwayatkan daripada Rasulullah SAW sebanyak 46 buah hadis. 

 Ummu Hani mempunyai kelebihan yang sangat banyak.  Yang terbesar adalah bahawa peristiwa Israk  dan Mikraj bermula dari rumahnya di Mekah.  Antara keutamaan lain Ummu Hani ialah tentang adabnya terhadap Rasulullah SAW.  Beliau menyertai Peperangan Khaibar bersama Rasulullah SAW.

Semoga Allah menempatkannya dengan limpahan kasih sayang-Nya bersama para abrar dan solehin, dan segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.

Rujukan : Buku Peranan Wanita Pada Zaman Rasulullah
Terjemahan oleh : Ustaz Johari Yaman
   


RESIPI KEJAYAAN



Usai pembacaan, kuselit penanda di celahan buku hasil tulisan Puan Noraslina Jusin.  Mataku melirik pada penanda tersebut.  Barangkali mungkin kad comel ini turut dimiliki oleh insan lain.  Namun ingin kukongsikan bersama buat tatapan semua.  Mudah-mudahan menjadi ibrah buat kita bernama manusia, yang tidak lepas dari kesilapan dan dosa.  Kredit buat penulis yang menulis RESIPI KEJAYAAN ini.  Setinggi-tinggi kesyukuran buat Allah SWT yang mendatangkan idea dan ilham pada penulisnya.






BAHAN-BAHANNYA:

250gm Daya Usaha
100gm Kesabaran
100gm Keimanan
190gm Keinsafan
150gm Pengorbanan
150gm Campuran Akhlak Mulia
8 sudu teh Rasa Tanggungjawab
200gm Senyum Secukup Rasa
* boleh didapati dari didikan yang baik dan sempurna

CARA MEMBUATNYA :

* Pukul semangat hingga kembang dan kental
* Masukkan usaha dan kesabaran, gaul sebati
* Masukkan keinsafan sedikit demi sedikit.  Biarkan adunan menjadi lembut.
* Setelah itu, campurkan keimanan, rasa tanggungjawab dan campuran akhlak mulia.
* Bungkuskan ia dengan kertas ingin tahu dan ingin mencuba.  
* Masukkan adunan tersebut ke dalam mangkuk bertimbang rasa dan tolak ansur.
* Hias dengan senyuman yang menawan, kemudian bakar dengan tenaga yang ada.
Tip: Bagi mendapatkan hasil yang terbaik, jauhi dari air mata putus asa walaupun setitik.


Thursday, 6 December 2012

SESEKALI DIUJI.....

UJIAN merupakan satu pendekatan Allah untuk mendidik manusia.  Musibah merupakan ujian yang ditimpakan ke atas manusiaBelajarlah mencari hikmah di sebalik musibah itu.  

Musibah merupakan sesuatu yang tidak disukai oleh manusia.  Allah pasti menguji kita dengan sesuatu yang kita tidak sukai seperti kehilangan, kematian, kesakitan, ketakutan, kemiskinan, kesedihan dan bencana.  Namun mengapa Allah mendatangkan kepada kita semua itu? 

Begitulah cara Allah hendak menilai diri kita.  "Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa kamu, tapi Allah melihat hati dan amalan kamu,"(Hadis Riwayat Muslim).
"Adakah manusia menyangka bahawa ia akan dibiarkan begitu sahaja dengan mengaku kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji?" (Surah Al-Ankabut).

Musibah atau ujian menimpa semua manusia, tidak kira sama ada mereka orang baik atau sebaliknya.  Apa yang membezakannya ialah bagaimana keadaan setiap insan itu menerima musibah itu dan bagaimana mereka menghadapi dan menanganinya.  Orang yang rapat atau akrab dengan Allah amat berbeza penerimaannya dengan mereka yang jauh dari Allah.  Bagaimana musibah atau ujian itu dihadapi menunjukkan darjatnya di sisi Allah.

Ramai  yang bersimpati dengan mereka yang ditimpa ujian atau musibah akan menyuruh atau menasihatinya bersabar.  Bersabar dengan dugaan Allah.  Redho dengan ujian yang menimpa.  Tapi kekadang bila perkara tersebut menimpa pula ke atasnya, mampukah dirinya sabar atau redho. 

Menerusi ujian dan musibah yang menimpa itulah dapat menguji sejauh mana tahap keimanan setiap individu itu.  Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud bahawa ujian yang berlaku terhadap diri manusia itu sama ada untuk memuliakannya atau menghinakannya.

Kita tidak mampu mengelakkan diri daripada ujian atau musibah.  Tapi kita mampu mengubah musibah itu menjadi kebaikan tetapi dengan adanya musibah itu kita mungkin boleh membangkitkan motivasi diri ke arah yang lebih baik.  Mudah-mudahan berkat musibah atau ujian yang melanda itu akan mendekatkan diri dan kebergantungan kita kepada Allah SWT.

Monday, 3 December 2012

CAPSICUM ATAU LADA BENGGALA

CAPSICUM........ mungkin nama ini begitu asing bagi sesetengah orang. Kalau disebut sahaja lada benggala mungkin ramai yang tahu.

Dalam kecantikannya yang pelbagai warna, ciptaan Allah SWT ini mempunyai banyat khasiat dan manfaat.  Secara ringkasnya berikut adalah manfaat kesihatan yang diperoleh daripada capsicum:

* Baik untuk diabetis
* Bersifat melawas
* Baik untuk merawat selsema dan demam
* Membantu mengurangkan kolesterol, berkesan menghindarkan strok dan serangan jantung
* Menggalakkan kesihatan kardiovaskular dan membantu menurunkan tekanan darah
* Merawat dan mencegah jangkitan
* Baik untuk membran mukus, mata dan kulit
* Mempercepatkan metabolisme dan membantu membakar lebih kalori
* Merangsang rembesan perut dan menggalakkan pencernaan
* Mempunyai antioksidan yang meneutralkan radikal bebas yang menyebabkan kerosakan tisu dan sel
* Padat dengan nilai antiradangan
* Mencetus pembebasan endorfin (pemancar neuro) di dalam otak yang mengurangkan rasa sakit
* Berguna dalam melambatkan asimilasi lemak di dalam usus

(rujukan : Majalah ANIS, Disember 2012)