Jumaat, 14 Disember 2012

ISYTIHARKAN PERANG

APABILA menyebut perkataan 'perang', minda kita segera menghidu situasi yang berlaku nun jauh di luar sana.  Terbayangkan segala bentuk penderitaan, kesusahan dan keperitan hidup mereka yang berada dalam kancah peperangan.  Dan segala rupa kezaliman jelas kelihatan di ruang mata.  Allah ya Allah......

Namun tanpa kita sedari bahawa diri kita sendiri wajar mengisytiharkan perang dengan syaitan laknatullah, berperang dengan hawa nafsu yang menggila.  Yang mana kita seringkali tewas di dalamnya.

Dalam keenakan melayani perasaan, citarasa, impian, hasrat dan cita-cita, kita terlupa bahawa kita acapkali kalah dan terpaksa mengibarkan bendera putih.  Dan akhirnya kita terduduk dan tersengguk dalam kerugian.

Mampukah kita berperang tatkala terjaga atau terbangun dari tidur?  Di kala insan lain enak dibuai mimpi dalam  suasana sepi, dingin dan tenang.  Apakah kebarangkalian kita sedia untuk berwuduk dan menghadap Yang Maha Esa.  Ataukah sekadar meneguk air di dapur, lantas terus menarik selimut semula bagi melangsaikan keenakan tidur di tilam empuk yang sedia menunggu.

Sediakah kita berperang tatkala berada di pusat beli belah? Di kala kita membuat pilihan antara mahu membeli langsir baru yang begitu memikat hati, sedangkan langsir di rumah baru tahun lepas berganti.  Malah langsir lama di dalam almari belum pudar warnanya.  Namun hati begitu kuat meronta meminta kita membuat keputusan segera!

Sediakah kita berperang tatkala jiran mengajak kita ke masjid berdekatan kerana ada ceramah agama sedangkan kita telah berjanji dengan anak-anak untuk makan malam di salah sebuah restoran yang menjanjikan makanan istimewa.  Tatkala itu hati telah berkira-kira untung ruginya kedua-dua pilihan tersebut.  Apakah kita tidak terdaya untuk terus membatalkan janji untuk makan malam yang boleh ditunda ke tarikh lain berbeda dengan topik ceramah dan penceramah yang mungkin sukar untuk kita temui lagi.  

Sediakah kita berperang untuk menghentikan aktiviti facebook kita tatkala azan berkumandang di surau bersebelahan?  Begitu jugalah tatkala kita berhadapan dengan saat-saat berbuka puasa, di kala meja penuh dengan makanan yang enak belaka.  Malah lebih-lebih lagi di waktu-waktu kita menyambut hari raya. Tepuk dada tanya iman.....

Sediakah kita berperang???  Itu hanya beberapa contoh yang menghendaki kita membuat keputusan yang sebenarnya mudah untuk kita ambil tapi begitu sukar membuat keputusan kerana peperangan melawan nafsu memang hebat.  

Walaupun bagi sesetengah manusia merasakan mungkin ia kelihatan remeh, tapi sesungguhnya perkara-perkara sedemikian menampakkan kelemahan kita hanya dalam menangani peperangan melawan nafsu kita sendiri.  Justeru, sama-samalah kita inytiharkan perang ini.  Di samping mencari kekuatan diri dan berusaha ke arah yang lebih baik bagi menangani tuntutan nafsu yang menggila, sama-samalah kita berdoa kepada Pencipta.  Sesungguhnya doa itu adalah senjata orang mukmin.  

Tiada ulasan: