Ahad, 29 April 2012

BERDUKACITA TIDAK MEMBAWA SEBARANG MANFAAT

Bersedih hati hanya akan memadamkan semangat, membekukan jiwa dan melemahkan azam.  Kesedihan merupakan satu hal yang disukai syaitan.  Oleh itu syaitan sentiasa berusaha sedaya upaya agar manusia itu sentiasa bersedih hati.  Justeru, sikap itu akan menghentikan setiap langkah dan usaha murni ke arah kebaikan.

Kesedihan merupakan penyakit yang berbahaya bagi jiwa.  Kesedihan merupakan kawan rapat kecemasan.  Ia juga dapat membuat hidup jadi tak keruan.  Ia tidak ubah seperti racun berbisa yang dapat melemahkan jiwa, lantas terus boleh memudaratkan kesihatan tubuh badan.

Bersedih hati itu dilarang.  Allah menegaskan dlm firmanNYA yang bermaksud, " Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam) dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu). " (Surah Ali Imran: 139) 


Rasulullah SAW sentiasa memohon pertolongan dari Allah supaya dijauhkan dari kesedihan.  Baginda sering berdoa seperti berikut. : "Ya Allah, aku berlindung kepada-MU dari perasaan sedih dan dukacita."

Kesedihan hati mengenangkan dosa-dosa yang telah dilakukan memang kadangkala menghantui kita.  Namun sekadar hanya untuk bersedih tanpa bergerak untuk menambah kekuatan diri juga menokok ilmu dan ibadah, amat bercanggah dengan apa yang Allah perintahkan. Jangan terlalu menurut hawa dan nafsu semata-mata.

Maka sentiasalah berasa gembira dan berlapang dada.  Berbaik sangkalah pada Allah.  Jangan lupa memohon kepada Allah agar diberi kehidupan yang baik, kejernihan hati dan kelapangan fikiran.

Ahad, 22 April 2012

JAWATAN ADALAH BEBAN DAN TANGGUNGJAWAB

Satu daripada hal yang amat diperebutkan manusia semasa hidup di dunia ini adalah kedudukan.  Memang itu tidak dinafikan.  Namun ada sesetengahnya pula tidak merebutkan kedudukan tetapi orang lain pula yang meminta dia duduk di tempat tersebut kerana melihat kepada kemampuannya bekerja.

Kedudukan itu amat mahal harganya dan terkadang ia boleh menjejaskan kesihatan. Setelah berada di tampuk yang tinggi maka perlulah menjadi pendengar yang setia untuk orang yang di bawah.  Kebajikan mereka wajib diberi perhatian sewajarnya.  Pandangan dan saranan mereka patut diambil kira.  Wajib memikirkan tentang beban dan tanggungjawab yang digalas.  Itu sudah pasti.  

Malahan mesti memberikan komitmen sepenuhnya dengan amanah yang diberi, berlapang dada dengan kritikan yang diterima.  Jika ia membina, ambillah sebagai panduan dan iktibar bagi membuat penambahbaikan diri.  Seperkara lagi bergantung haraplah pada Allah semata-mata, mohon bantuan dariNYA.  Tabah dalam melakukan tugas walau seribu dugaan menerpa.  Berkongsilah pengalaman dan pengetahuan yang ada.

Jangan beranggapan bahawa diri paling hebat, kerana kita patut sedar ada kuasa yang Maha Hebat di atas sana.  Tanamkan rasa syukur dan sentiasa merendah diri.  Ular menyusur akar takkan hilang bisanya.


Seorang yang soleh telah berkata kepada anaknya: "Janganlah anda menjadi ketua kerana ketua terpaksa sering menahan rasa ngeri."

Maksud ucapan tersebut ialah bahawa jangan terlalu senang menonjolkan diri dan ingin menjadi pemimpin.  Sebab kritikan, umpatan, penghinan dan serangan itu sasarannya ialah orang-orang yang berada di barisan yang paing hadapan.  

SEPARUH MANUSIA ADALAH MUSUH BAGI ORANG YANG MEMEGANG KAWALAN KEKUASAAN JIKA DIA ADIL.

Khamis, 19 April 2012

BAGAIMANA BERDEPAN DENGAN KRITIKAN

Allah Yang Maha Mencipta dan Pemberi Rezeki sering mendapat cacian dan cercaan dari orang-orang bodoh yang tidak berakal dan tidak tahu diri.  Sebab itu, anda dan kita semua adalah manusia yang selalu terlanjur dan salah.  Dalam hidup ini, terutama jika anda seorang yang sentiasa memberi, mengelokkan, mempengaruhi dan berusaha membina maka anda biasanya menerima kritikan yang pedas dan pahit.

Mereka tidak akan diam daripada mengkritik anda sebelum anda mati.  Sekiranya anda berada di tengah-tengah mereka mungkin ada tindakan mereka yang membuat anda bersedih dan menitiskan air mata.  Ketahuilah bahawa orang yang duduk di atas tanah tidak akan jatuh dan orang tidak akan menendang anjing yang telah mati. Kalau mereka kesal dan marah kepada anda adalah mungkin kerana anda mengatasi mereka dalam hal kebaikan, keilmuan, tingkah laku dan harta.

Sebab itu waspadalah terhadap apa yang mereka perkatakan.  Sebenarnya mereka akan kegirangan sekiranya berjaya melihat anda jatuh dan tersungkur serta tenggelam dalam kebodohan.  Kuatkan jiwa untuk mendengar cemuhan dan cercaan mereka.  Yang terbaik, anda membalas kritikan mereka dengan menunjukkan akhlak yang lebih baik. Bertambah tinggi darjat atau kedudukan yang anda duduki maka bertambah pedas kritikan yang bakal anda terima.

Memang sukar bagi anda untuk mendiamkan mulut mereka dan menahan gerakan lidah mereka.  Yang anda mampu adalah menguburkan dalam-dalam setiap kritikan itu.  Apa yang perlu anda buat ialah mengelokkan akhlak dan memperbaiki kesalahan anda.





 

Isnin, 16 April 2012

.....REHATKAN MINDA.....


Kasih yang kian lama kian indah.....

Sekadar menyaksikan suatu kisah yang boleh dijadikan iktibar meskipun sekejap cuma.  Barangkali ada hati yang tercuit malah tak kurang juga yang mungkin tersentuh dengannya.  Pada usia perkahwinan yang kian otai, masih teguh dan merimbun bebunganya. 

Andaikata beginilah kita dalam sisa-sisa usia mendatang, sedia berkongsi susah senang bersama, dengan menaruh harapan mendapat kasihNYA di akhirat nanti..... alangkah bahagianya.  Setia bersama mengharungi perjalanan hidup ini bersama walau beribu mehnah yang datang menjelma.....alhamdulillah.

Namun itu semua memerlukan pengorbanan dan kesabaran yang tinggi.  Menuntut agar kita sentiasa bergantung harap kepada Allah semata.  Jua tabah mengharungi tribulasi yang mungkin tiba.  Jadikanlah doa itu sebagai pengiring usaha murni kita.  Kerana sesungguhnya, doa itu senjata orang mukmin. Mudah-mudahan bahagia di sini... maka bahagialah juga kita di akhirat sana.

pembuka bicara...

Assalamualaikum pembuka bicara,
Dengan harapan ukhuwah terbina;
Khabar dimaklum pemanis kata,
Mudahan ikatan terjalin mesra

Diatur pantun disusun seloka,
Diucap tenang madah pujangga;
Sopan santun indah berbahasa.
Budi dikenang takkan dilupa.