Selasa, 14 Ogos 2012

RAMADHAN....OH RAMADHAN...

Kembang mekar bunga di taman,
Dipetik dara dipuja-puja;
Pasang pelita tengah halaman,
Minyak tanah dibazir sahaja.

Batang buluh si batang bertam,
Tumbuh meliar di tepi kolam;
Main meriam berdentum dentam,
Itu bukanlah budaya Islam.

Ke kedai Pak Mail naik motokar,
Hendak membeli sekati bawang;
Bunga api sibuk dibakar,
Begitu murahkah nilainya wang.

Senyum itu penyeri wajah,
Hati di dalam bagai dicuit;
Pasar raya habis dijelajah,
Cukup banyak berhabis duit.

Tampak langit tinggi membiru,
Sayup memandang jadi terharu,
Semua perkara berganti baru,
Benarkah itu tuntutan nafsu?

Duduk minum secawan kopi,
Sambil mendengar gesekan biola;
Di sana juadah di sini resipi,
Pesta makan bagai nak gila.

Putu bukan sebarang putu,
Putu piring jadi kesukaan;
Islam tidak mengajar begitu,
Jauh menyimpang dari landasan.

Pancing mengena si anak ikan,
Umpan kecil jadi tumpuan;
Rebutlah peluang akhir Ramadhan,
Kembalilah kita ke pangkal jalan.

Kuntum melati bunga dahlia,
Mewangi melur seri hiasan;
Bulan ini bulan yang mulia,
Penuh keampunan penuh keberkatan.



Ahad, 12 Ogos 2012

MALAM-MALAM TERAKHIR

Tatkala Dia mengizinkan kita menghirup udara segar di bumi ini, barangkali wujudkah ungkapan terima kasih kita padaNYA?  Dan dengan limpah keizinanNYA jua, dapatlah kita bersama menghabisi Ramadhan yang masih berbaki ini.  Betapa besarnya nilai malam-malam terakhir ini.

Akan bertemukah kita dengan satu malam yang bernama lailatul qadar?  Malam yang ditunggu-tunggu, jua malam yang dicari-cari.  Mampukah kita menemuinya nanti?  

Dalam kesibukan bergelut menagih kasih Ilahi, masih ada yang sibuk memenuhi tuntutan nafsu yang menggila.  Tanpa sedari Ramadhan akan berangkat pergi meninggalkan kita. Dalam perebutan ingin menggenggam rahmat dan berkat, Syawal kian ditunggu dan dirai melebihi tawaran-tawaran hebat yang dianugerah Ilahi di sepuluh malam terakhir ini.

Gandaan nilai yang dijanjikan dipandang sepi.  Persediaan menyambut hadirnya Syawal lebih utama lagi.  Semuanya bakal berganti, segala yang baru sedia menanti.  Hingga terlupa pembaziran telah menjadi satu agenda.  Setiap tahun begitulah hakikatnya.  Tiada perubahan bagi mengorak langkah ke arah yang lebih baik.

Jauh di sudut hati sesetengah mereka menangisi Ramadhan yang akan berinsut pergi.  Akan bertemukah Ramadhan begini lagi......penuh keberkatan dan keampunan.  Penuh kasih sayang dan rahmat Ilahi.

Isnin, 6 Ogos 2012

PESTA

Menanti Ramadhan hati jadi makin sayu.... makin rindu.... sebak terasa kerana DIA masih mengizinkan aku bertemu dengan Ramadhan kali ini.  Betapa kasihNYA Dia pada aku yang bernama hamba ini.  Hamba yang seringkali lalai dan alpa menghitung hari.

Syukur kupanjatkan padaMU Ya Rabbi kerana aku masih mampu bernafas hingga ke saat ini.  Masih dapat meneruskan kehidupan.  Yang pasti Ramadhan kali ini jua masih dapat kunikmati, alhamdulillah.  Ada ramai di kalangan saudara-maraku yang telah menghadapMU Ilahi, tak sempat bersama di Ramadhan kali ini.  Mudah-mudahan mereka sejahtera di sana, termasuk dalam kalangan mereka yang beriman dan berbahagia.

Ramadhan merupakan pesta ibadah bagi mereka yang memahami dan menjiwainya.  Malam hari yang dimeriahkan dengan tarawih serta solat sunat yang lainnya.  Bangun tahajud, tadarus dan tadabbur Quran.  Siangnya disulami dengan amal ibadah lain.  Turut istiqomah dalam melaksanakan tugas harian dan di tempat kerja dengan penuh ikhlas dan amanah...... turut dinilai sebagai ibadah.  Tidur siang hari untuk meneruskan berjaga malam turut dikategorikan sebagai ibadah.  Ditambah lagi dengan bersedekah dan pelbagai bentuk sumbangan lain, masih dikira ibadah.



DIA menganugerahkan pahalanya yang berlipat ganda...... subhanallah.  Allahu akbar!!!  Betapa besarnya kasihMU Ya Rab. 
Cuma inilah satu-satunya bulan yang mana Allah anugerahkan berganda-ganda pahalanya berbanding bulan-bulan yang lain.  Amat rugilah sekiranya kita tidak merebut peluang keemasan yang Allah sediakan ini.  Mana mungkin kita dapat bersama di Ramadhan kali ini kalau bukan dengan izinNYA.

Dalam meriahnya meraikan Ramadhan jangan pula kita terpedaya dengan nafsu.  Amat malang kiranya dihabisi Ramadhan ini dengan segala bentuk pesta yang lagha.  Misalnya pesta makan, pesta beli belah dan pesta menghias rumah yang keterlaluan hinggakan berlakunya pembaziran.  Mohon sangat-sangat agar Allah jauhkan semua itu. 

Sesungguhnya padaMU Ya Rabbi kami mohon pertolongan dan kasih sayang.  Panjangkan usia kami agar dapat menghabisi Ramadhan tahun ini dengan pesta-pesta yang mulia.  Jangan Kau bolak balikkan hati kami setelah Kau beri hidayah.  Setinggi-tinggi kesyukuran buatMU penguasa sekalian alam......