Jumaat, 19 Oktober 2012

PANTUN TUTUP AURAT

Pasang pelita di tengah malam,
Buat penyuluh gelap gelita;
Awal kata diberi salam,
Buat peminat pembaca semua.

Batang tebu dikerat-kerat,
Tapi jangan dibiar lama;
Berpakaianlah menutup aurat,
Kerana itu tuntutan agama.

Di tengah laut sotong dicandat,
Cahaya purnama sama menerangi;
Pakaian jangan ketat dan sendat,
Bentuk badan wajib dilindungi.

Anak nelayan mencari kerang,
Kerang dikutip pagi Selasa;
Usah dipilih kain yang jarang,
Kerana ia mengundang dosa.

Kalau berbicara biar berpada.
Jaga sungguh tutur dan kata;
Labuhkan tudung ke paras dada,
Dalam Al Quran sudah ternyata.

Burung tempua bersarang di dahan,
Mencari makan tak kira masa;
Berseluar pendek jangan diamalkan,
Usah dijadikan budaya kita.

Padi menguning saujana memandang,
Nampak dari Kampung Kota;
Masih boleh ligat di padang,
Pakailah track suit seluar thight pun ada.

Jangan lupa pakai sepatu,
Berjalan nampak penuh semangat;
Letakkan Islam di nombor satu,
InsyaAllah hidup akan selamat.




Rabu, 17 Oktober 2012

JANGAN DIPERSIAKAN BAKAT ANDA

BAKAT dan kebolehan yang Allah anugerahkan kepada setiap insan ada kalanya sama, ada tikanya berbeza.  Perbezaan dan kepelbagaian ini menunjukkan bahawa Allah itu maha hebat.  


Bakat dan kebolehan yang ada jangan dipersiakan.  Andainya anugerah Ilahi itu berupaya mengajak manusia makin dekat denganNYA, silakan berkongsi dengan orang lain.  Asahlah bakat yang ada.  Sentiasa berusaha memperbaiki kekurangan diri agar mencapai tahap terbaik dalam memeriahkan medan yang anda ceburi.  Jangan sesekali lupa diri apabila anda telah mencapai kedudukan yang agak baik dengan bakat kurniaan Allah SWT itu.

















Jadikan kebolehan anda itu sebagai uslub dakwah.  Ajak orang di sekeliling anda bersama-sama meletakkan diri dalam kasih dan rahmat Ilahi.  Pengaruhi mereka agar menyelami sirah Rasulullah dan sahabat baginda, pelawa mereka sama-sama berjuang mendaulatkan agama Allah.  Bawa mereka menuju jalan Ilahi dengan mengutip seberapa banyak pahala dalam perjalanan yang penuh dugaan dan tipu daya.  Buanglah riak dan takabbur kerana ia musuh yang membolehkan kita terkubur di lembah hina.

Sentiasalah berfikir untuk menyuburkan bakat yang Allah beri itu.  Dan dengannya juga anda dapat memberi sumbangan terhadap agama Allah.

Selasa, 16 Oktober 2012

BUAT ANAKANDA-ANAKANDAKU.....

Sayang.........

Tahun ini semuanya sibuk.  Daripada enam anak-anak umi, tiga orang berjuang di medan peperiksaan utama di sekolah.  Ingatlah, untuk mencapai kejayaan tidak ada jalan pintas.  Semuanya memerlukan usaha, usaha dan usaha.

Berusahalah selagi termampu, anakku.  InsyaAllah orang yang berusaha itu akan dinilai Allah, malah diberi ganjarannya.  Untuk berjaya di dalam apa jua yang dilakukan, yang penting ialah kesungguhan.  Dan ia perlu disulami dengan doa dan tawakkal.  

Jauhi putus asa, kerana ia adalah pembunuh hasrat dan cita-citamu.  Hindari hampa dan kecewa, kerana ia merupakan jerat yang bisa memerangkapmu.  

Sayang........

Kalian sentiasa dalam doa umi, insyaAllah.  Sama ada dekat di sisi, mahupun jauh di mata.... umi tetap mengiringi usaha kalian.  Jangan lupakan Allah dalam tiap detik dan saat.  Jaga hubungan denganNYA.  

Kita bukan hanya mahu berjaya di dunia ini sahaja.  Perjalanan kita bakal menuju negeri yang abadi.  Walau straight A yang mungkin boleh kita kecapi, tanpa bekalan akhirat semuanya sia-sia.

Carilah A juga untuk akhlak, A juga untuk solat, A juga untuk penghayatan kalamullah, A untuk hubungan dengan Allah dan juga sesama manusia.  Pendek kata, straight A untuk amal ibadah kita!

Salam sayang dari umi buat semua.



Sabtu, 13 Oktober 2012

FACEBOOK KITA........




Di zaman serba canggih ini ramai di kalangan anak remaja suka melayari internet.  Malahan memiliki akaun facebook, barangkali juga mempunyai blog sendiri.  Begitu jauh bezanya seperti zaman dulu.  Pendek kata, semua maklumat di hujung jari!  Semuanya bergerak pantas, sekelip mata satu berita dimuatkan dalam facebook, sepantas kilat ia akan tersebar ke seluruh dunia.  Merebak bagai api yang sedang melahap dalam cuaca yang panas membakar.

Namun kita perlu berhati-hati dalam membuka bicara.  Berfikir dahulu sebelum membuat keputusan. Segala yang berlaku dalam kehidupan seharian kita, tidak wajar kita ceritakan kepada umum.  Tidak perlu bermegah-megah atau memohon simpati daripada rakan facebook kita.  Kita sepatutnya tidak perlu bersusah payah untuk semua itu kerana malaikat di kiri kanan kita sudah maklum akan tugas mereka mencatat segala gerak geri kita.

Gambar-gambar yang kita ambil sebagai kenangan tidak perlulah diuploadkan kesemuanya. Ada had dan batasnya.  Jagan sampai ia menjadi bahan fitnah yang tidak kita duga.   Jangan biarkan wajah kita menjadi bahan tontonan semua walaupun aurat terjaga.  Ingat bahaya sentiasa ada di luar sana!  Mereka yang berpakaian sempurna boleh 'ditelanjangkan' dengan kebijaksanaan 'pencolek' di alam maya.  

Namun demikian, kiranya ada ilmu yang boleh dikongsi bersama amatlah dialu-alukan untuk dicatat pada status kita.  Ada gambar indah yang kita rakamkan, lebih baik kita  ketengahkan.  Mungkin dengan cara itu orang lain pun dapat menyaksikan keindahan alam ciptaan Allah.  Malah memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran dengan kurniaanNya. 

Selain itu kongsilah kata-kata semangat, motivasi, ayat-ayat Allah, kisah dan sejarah yang dapat memberi ibrah kepada diri dan rakan kita.

Ada persoalan yang kita musykilkan, boleh kita utarakan.  Mungkin ada rakan yang boleh membantu.  Namun seringkali berwaspada kerana ada teguran yang membina, tidak kurang juga yang boleh menjatuhkan kita.  

Sentiasalah berlapang dada kiranya status kita tidak disukai orang, kerana sesungguhnya Allah menilai kita.  Buatlah kebaikan yang akan menambah beratnya pahala kita walaupun orang tak berminat untuk 'like'.  

Teruskan menulis.......

Khamis, 11 Oktober 2012

JADIKAN DIRI ANDA BERHARGA


Tepung pelita manis rasanya,
Jualan laris warung Pak Dolah;
Sebaik-baik hiasan dunia,
Itulah dia wanita solehah.

Ambil pandan di tepi rumah,
Dikutip disimpan di dalam raga;
Bila melangkah keluar rumah,
Batas aurat wajib dijaga.

Lebat sungguh mempelam muda,
Dijolok dikait untuk dicicah;
Labuhkan tudung ke paras dada,
Itulah satu perintah Allah.

Pergi berkelah di Ulu Kenas,
Hati-hati mencuci muka;
Bertudung litup tidaklah panas,
Panas lagi api neraka.

Anak kecil dipangku dibedung,
Wajib dihargai satu amanah;
Sopan dan cantik bila bertudung,
Lindungi diri dari difitnah.

Berbelanja biarlah berjimat,
Sikap boros jangan disemat;
Bertudung labuh dipandang hormat,
InsyaAllah diri akan selamat.

Rabu, 10 Oktober 2012

HEBAT SANGATKAH KITA?


Dunia ini ciptaan Allah.  Muka bumi ini Dia yang menciptakannya.  Dan kita diberi peluang bernafas di buminya ini dengan kasih dan rahmatNYA.  Dan Allah jualah yang telah mempersiapkan segala peraturan dan undang-undang yang perlu kita patuhi.

Tidak ada satupun milik kita di dunia ini.  Segalanya pinjaman belaka.  Dan kita sama-sama dapat merasai nikmat yang telah Allah anugerahkan kepada kita.  Setiap yang dikurniakan itu tidak perlu kita bayar.  Semuanya percuma!  Dan sememangnya kita tak akan mampu membayar harganya.

Dan Allah jua Maha Pengampun.  Malah pintu taubat sentiasa terbuka untuk kita memohon keampunan kiranya tersilap langkah tersalah arah.  Betapa besar kasihNYA pada kita.  

Namun kita yang mengaku diri Islam ini seringkali tersasar dari sempadan.  Semua pemberian Allah yang tidak terhitung itu kita mahu, malahan makin banyak memohon dan meminta itu ini daripadaNYA.  Tidaklah salah tindakan kita itu, tidak ada dosa pun kiranya kita berbuat sedemikian.  Tetapi cuba kita fikirkan sejenak.  Sebagai seorang hamba, kita cuma perlu tunduk patuh terhadap aturan yang Allah telah ciptakan.

Garis panduan telah lama tersedia. Cara hidup Islam patut dan wajib kita amalkan dalam kehidupan kita.  Wajarkah kita mengambil sebahagian daripadanya untuk diaplikasi dalam kehidupan kita dan meninggalkan sebahagian daripadanya pula?  

Apakah kita sudah cukup hebat untuk mewujudkan satu undang-undang dan peraturan untuk menggantikan undang-undang Allah?  Bab solat, puasa dan haji kita terima bulat-bulat.  Kenapa bab ekonomi, politik, pendidikan dan sosial kita pinggirkan dan asingkan dari kehidupan kita?

Kerosakan yang berlaku di mukabumi ini adalah akibat dari tangan-tangan manusia itu sendiri.  Mari kita fikir-fikirkan. 

Isnin, 8 Oktober 2012

LAILA BINTI ABU HATHMAH

PADA zaman awal kemunculan Islam, sekelompok kaum lelaki dan wanita dengan pantasnya bersatu di bawah satu petunjuk dan agama yang benar.  Salah seorang daripada kelompok itu ialah Laila binti Abu Hathmah Ibnu Huzaifah al-Qurasyiah al-Adawiah.  Isteri seorang sahabat yang mulia bernama Amir Ibnu Rabi'ah RA.  Suaminya adalah sekutu Khathab Ibnu Naufal iaitu ayah kepada Umar Ibnu al-Khathab.  

Pasangan suami isteri Laila dan Amir memeluk Islam sejak sekian lama sebelum Rasulullah SAW masuk ke rumah Arqam Ibnu Abu Arqam dan berdakwah di dalamnya.  Dari pernikahannya itu Laila melahirkan anaknya yang bernama Abdullah Ibnu Amir.

Keimanan kepada Allah SWT memiliki pengaruh yang sangat besar pada jiwa Laila.  Dia selalu melihat dengan cahaya Allah.  Telah menjadi satu kenyataan firasat yang terdetik di dalam jiwa Laila binti Abu Hathmah dengan keIslaman Umar Ibnu al-Khathab.  Dia telah mempunyai firasat bahawa Umar akan memeluk Islam pada ketika semua orang beranggapan bahawa satu hal yang mustahil kalau Umar Ibnu Khathab akan memeluk Islam.  Sesungguhnya hati Laila itu telah berkata benar.  Umar Ibnu Khathab datang kepada Rasulullah SAW dan mengisytiharkan keislamannya.  Ternyata kekerasan dan seksaan yang datangnya daripada Umar Ibnu Khathab tersimpan sumber rahmat dan kasih sayang.

Laila bersama suaminya berangkat bersama kelompok awal yang berhijrah ke Habsyah.  Rombongan ini dipimpin oleh Uthman Ibnu Affan RA.  Ini merupakan hijrah pertama dalam Islam.  Laila binti Abu Hathmah memeluk Islam sejak sekian lama dan ikut berbaiah.  Dia berhijrah dua kali ke Habsyah.  Kemudian berhijrah ke Madinah.  Dikatakan Laila adalah wanita pertama masuk ke Madinah berhijrah dengan menaiki seekor unta.

Laila binti Abu Hathmah memiliki kedudukan yang mulia di sisi Rasulullah SAW.  Baginda sering datang menjenguknya dan bertanya tentang keadaannya.  Kemudian mengarahkan Laila kepada hal-hal yang memberinya kebahagiaan.

Laila selalu memainkan peranannya sebagai seorang sahabat wanita dan sebagai contoh bagi kaum wanita yang lain.  Sumber sejarah tidak menyebut tahun berapa Laila meninggal dunia.  Meskipun demikian hembusan-hembusan wangi daripada sejarah sahabat wanita ini dan firasatnya yang tajam selalu menjadi kenangan kita semua.

Rujukan : Buku Peranan Wanita Pada Zaman Rasulullah
               Terjemahan oleh Ustaz Johari Yaman

Sabtu, 6 Oktober 2012

MARI MENCUCI





"Sangat menghairankan, orang yang mencuci wajahnya berkali-kali dalam sehari-hari, tetapi tidak mencuci hatinya walaupun sekali setahun"

Begitulah kata-kata yang kutemui dalam facebook sebentar tadi.  Ringkas dan mudah ditafsirkan.  Ada kalanya kata-kata yang diungkap ringkas walau bersahaja namun cukup membawa makna besar kepada kita semua.  Wajar kita merenung kata-kata tersebut, boleh dijadikan panduan biarpun terkadang terasa kata-kata itu bagaikan dituju khas buat kita yang sering lalai dan lupa.  Sama-samalah kita muhasabah diri, berubah ke arah yang lebih baik.  




MAKRUH TIUP MAKANAN PANAS

RASULULLAH SAW melarang umatnya menghembus atau meniup makanan dan minuman panas.

  "Meniup makanan akan menambahkan karbon dioksida kerana udara hembusan yang kita hembus ada 16 kali karbon dioksida lebih tinggi daripada udara biasa menyebabkan ia terserap masuk ke dalam minuman.  Apabila karbon dioksida bercampur air ia akan menjadi asid karbonik," jelas Dr Jamnul Azhar Mulkan.

Apabila air tersebut diminum, kita akan mudah terkena sakit perut dan cirit-birit.  Itu di antara sebab sunnah Nabi itu sendiri sangat penting untuk dipenuhi.


Jumaat, 5 Oktober 2012

TEGURLAH DAKU.....



Para ulama berkata: "Orang yang paling mencintaimu ialah orang yang selalu menasihatimu."  

Al-Hasan al-Basri berkata: "Saudaramu ialah orang yang selalu menasihatimu.  Dia lebih baik daripada orang yang membiarkan sahaja kamu melakukan apa-apa yang kamu kehendaki."

Namun begitu kita seringkali keberatan untuk menegur orang di sekeliling kita lebih-lebih lagi mereka yang rapat dengan kita, misalnya rakan sekerja atau saudara-mara kita.  Hati kita amat berat untuk memberi teguran kerana bimbang kemungkinan akibat teguran tersebut dia akan bermasam muka dengan kita malah mungkin putus tali persaudaraan atau persahabatan. 

Lantaran itulah maka kita mengambil sikap berdiam diri walaupun terbit rasa benci dengan kesilapan atau kesalahan yang mereka lakukan.  Kita sentiasa mengambil sikap menjaga hati mereka, hinggakan kita lupa bahawa kita wajib menjaga hukum-hukum Tuhan.  Kita terlalu menjaga hubungan kita dengan mereka.  Tapi bagaimana dengan kewajipan dan hubungan kita dengan Allah?

Kalau Allah menghukum perkara itu haram, ia tetap haram.  Kalau berdosa, maka tetaplah berdosa.  Hukum Allah tidak boleh pandai-pandai kita ubah. 

Justeru itu, katakanlah kebenaran walaupun pahit.  Nasihatilah biarpun pahit.  Kadangkala kita terpaksa menanggung risiko di atas nasihat yang kita berikan.  Niat kita baik.  Tapi penerimaan mereka mungkin berbeza.  Dengan kata lain, mungkin apa yang kita katakan kepada mereka tidak boleh diterima. 

Mudah-mudahan Allah memberi kekuatan untuk kita sama-sama nasihat-menasihati antara satu sama lain.  Bak pepatah, " Bumi mana tak ditimpa hujan, manusia mana tak membuat kesalahan dan kesilapan."  

Andaikata kita pula yang diberi nasihat, sentiasalah kita bersikap terbuka.  Sedia menerima nasihat.  Jadilah seperti lembah yang rendah.  Jangan pula kita merasa diri terhina dengan nasihat yang diberi.  Berat menerima nasihat menunjukkan cerminan diri kita yang sebenar.  Menampakkan keegoan kita.  Lebih malang lagi, sikap begitu menunjukkan kejahilan diri.

Belajarlah mengubah sikap kita yang mungkin dilihat negatif oleh orang lain kepada lebih positif.  Sentiasa kemaskini atau 'up-date' diri kita ke arah yang lebih baik dengan teguran-teguran yang membina yang diberi oleh sesiapa sahaja hatta mereka yang lebih muda dari kita.  Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu sendiri berusaha mengubahnya.  Dan kita patut mengambil pengajaran daripada ayat Allah tersebut. 

Selasa, 2 Oktober 2012

DITAKDIRKAN KITA BERTEMU....

Petang tadi kami  (aku dan suami) ke hospital menziarah kawan.  Sudah menjadi kebiasaan...... kehadiran kami di sana pasti bukan hanya seorang sahaja yang akan kami ziarah.  Setiap kali kaki melangkah ke sana pasti ada sahaja kenalan lain yang turut ditemui.  Itulah ketentuan Ilahi.

Namun petang tadi terlalu berbeza dengan kunjungan kami yang biasa.  Tak sangka pula Dia mempertemukan aku dengan seorang makcik yang sebelum ini tidak kukenali.  Oleh kerana tiada sesiapa warisnya di sisi, maka aku segera mendekatinya dan bertanya khabar.  Atas rasa simpati aku menawarkan diri membantu sebaik-baik sahaja melihat keadaannya yang tidak mampu untuk duduk sendiri.  Malah makan pun terpaksa berbaring.

Suamiku membuka tudung bekas makanan (tray).  Lantas aku segera membantu apabila melihatkan dia terkial-kial meraba sudu di dalam 'tray' tersebut dalam keadaan berbaring.  Tak sampai hati rasanya melihatkan dia sedemikian.  Bertentang mata dengannya mengingatkan aku kepada ibuku di kampung, jua ibu mertuaku.  Tiba-tiba aku diserbu perasaan sayu.  Pandanganku terasa sedikit kabur dan terasa air mata seakan mahu tumpah bila-bila masa sahaja.   Namun aku bersyukur sangat-sangat kerana berjaya mengawal emosiku tika itu.

Kucapai sudu, kucedok kuah asam pedas.  Kugaulkan sedikit ikan juga sayur.  Nampak menyelerakan.  Tatkala makanan sampai ke mulutnya...... sekali lagi aku tergugat.  Bayangan ibu datang lagi!  Ya Allah...... kuatkan aku.

Makcik itu nampak berselera sekali.  Ataukah terpaksa makan demi menjaga kesihatan?  Kata orang makanan di rumah sakit dicatu gula garamnya.  Namun aromanya cukup menjadikan kita terliur.  Usai makan aku menghulurkan secawan air untuk diteguknya melalui 'straw' kecil yang sedia ada.  Dia mengungkapkan terima kasih.  Dan aku amat-amat berterima kasih kepadaMu Ya Allah kerana menemukan aku dengan makcik itu.  

Kami sempat berbicara seketika.  "Makcik tak ada anak perempuan," ujarnya sayu.  "Makcik takut, esok nak operate.  Doktor kata bila dah bius tak rasa sakit.  Dia nak cucuk kat tulang belakang...." sambungnya lemah.  Aku tak mampu berkata apa-apa.  

Dalam hatiku berdoa mudah-mudahan makcik itu selamat dalam pembedahannya, insyaAllah.  Aku meninggalkannya dalam ucap salam yang berbaur simpati.