I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday, 31 January 2013

DIA MASIH SEPERTI DULU.....

Untuk kesekiannya kami dipertemukan dalam majlis indah itu, majlis memperingati dan membedah semula sejarah untuk dihadam bersama.  Rentetan perjalanan ataupun riwayat hidup kekasih Allah.  Ringkasnya sirah Rasulullah SAW.  

Dulu tika di alam persekolahan, aku yang bercakap di hadapan kelas.  Memberi tunjuk ajar dalam bidangku.  Menegur mana yang silap, memperbetul mana yang salah.  Terpikat dengan sopan santunmu.  Terpesona dengan tulisan yang cantik, kemas tersusun indah.  Malah mengatasi tulisan rakan perempuan sekelas.  Memang tidak dinafikan.  Mungkin itu berkat ibu yang mendidik dan membesarkanmu.  Berkat doa ayah yang lebih awal meninggalkanmu di sisi bonda tercinta.  Jua berkat usaha tanpa jemu.

Lantaran asuhan yang mantap, jua dengan doa kudus ibu..... engkau melewati perjalanan hidupmu yang penuh liku ini dengan kesungguhan dan penuh tanggungjawab.  Barangkali bunga-bunga doa mengharum mewarnai perjalanan hidupmu sebagai seorang pelajar.  Menuntut ilmu yang ditimba dengan penuh keikhlasan.  Menyahut seruan dan pesanan Rasulullah SAW dalam menuntut ilmu.  Sanggup jatuh bangun dengan harapan untuk membahagiakan bonda tercinta.  

Masa begitu pantas berlalu.  Setelah sepi begitu lama, tiba-tiba dan secara tak sengaja aku terpandang wajahmu di kaca televisyen pada suatu ketika dalam rancangan Akademi Al-Quran.  Entah musim ke berapa........ tidak kuketahui.  Dan aku memperkenalkan siapa yang empunya diri kepada anak-anakku.  Dan bertitik tolak dari hari itu kami sering mengikuti perkembanganmu.

Sehinggalah program Imam Muda munculkan diri.  Dan kemunculan kali kedua ini membuahkan kejayaan paling ketara.  Salam tahniah dari cikgu!  Alhamdulillah ...... lebih berjaya dari diri ini.  Aku turut tumpang gembira.  

Aku beranggapan barangkali mungkin kejayaan yang begitu gemilang itu menjadikan engkau semakin jauh.  Kesibukan yang melanda mungkin kian menjarakkan kita.  Namun sangkaan itu meleset.

Jemputan turut kuterima dalam ramai peminat dan penyokong yang bertaburan seluruh tanah air.  Majlis walimahnya berlangsung penuh sederhana.  Bagai pinang dibelah dua, mudah-mudahan berbahagia hingga ke syurga!  Aku sempat berpelukan bersama bonda kesayangannya di hari bersejarah itu.  Ucapan tahniah dari kami sekeluarga.

Dan jutaan terima kasih buat bekas anak muridku ini...... kerana sudi singgah di sekolah kami yang serba kekurangan dalam memenuhi jemputan kami di awal tahun ini.  

Situasi yang berbeza dari dulu.  Datangnya kini sebagai penceramah, sebagai seorang daie.  Mengajak mengingati Allah, menjadikan Rasulullah SAW sebagai idola.  Melihat kebesaran Allah, menjadikan perjalanan hidup Rasulullah SAW sebagai panduan hidup.  Mengajar erti menghargai dan menyayangi kekasih Allah.

Dari jauh didoakan mudah-mudahan Ulfah selamat melahirkan cahayamata, menjadi ibu mithali.  Jua buat IM Hassan selamat menjadi ayah mithali.  Moga Allah memberkati perjalanan hidup kalian, mengurniakan ketabahan, kekuatan dan kesabaran dalam melayari bahtera rumahtangga.


Malu rasanya menyatakan cinta
Kepada dia kekasih Allah
Kerana dia insan mulia
Sedangkan diriku insan biasa

Kupujuk jua hati dan jiwa
Meluahkan rasa cinta membara
Di dalam pujian ucapan selawat
Tanda penghargaan seorang umat

Selagi upaya kuturuti ajarannya        
Apa terdaya kuamalkan sunnahnya
Moga di dunia mendapat berkat
Di akhirat sana beroleh syafaat

Kerana peribadinya aku terpesona
Kerna budinya aku jatuh cinta
Rindu kupadanya tiada terkata
Nantikanlah daku di taman syurga

......Ya Rasul syafaatkan daku
......Ya Rasulullah kurindu padamu

Sesungguhnya apa yang kudambakan
Hanyalah dia kekasih Allah
Kerana cinta kepada Rasulullah
Bererti cinta kepada Allah






Monday, 28 January 2013

MEREKA JUGA TAHU

"Mereka fikir mereka ada kuasa.  Tapi sebenarnya Tuhan Alla Subhanahu wataala lebih berkuasa." Kata-kata itu meluncur laju keluar dari ulas bibir kenalan baru itu walaupun sebutannya agak pelat sedikit. 

Hatiku tersentak tiba-tiba.  Ya Allah, orang yang bukan Melayu ini dan bukan Islam ini lebih maklum dan lebih tahu kebesaran dan kehebatan Allah SWT.  Mereka percaya bahawa hanya Allah Taala lebih berkuasa.

Perbualan kami kian rancak, walaupun baru bersua.  Banyak perkara yang dia tahu.  Dalam pertemuan yang singkat itu mewujudkan kemesraan antara kami.  Mudahnya berbicara dengan mereka yang memahami dan sedia untuk mendengar walaupun berlainan bangsa.  Benarlah seperti apa yang Allah firmankan dalam kitab suci Al Quran.  

".....Tuhan telah menjadikan manusia, bersuku-suku dan berbangsa-bangsa, untuk saling kenal-mengenal sesamanya..."

Amat malanglah sekiranya kita terlalu mendabik dada dan mengagung-agungkan bangsa atau suku kaum kita hingga menolak bangsa lain.  Sesungguhnya yang hanya membezakan kita ialah keimanan dan ketakwaan kita.  Kalau sekadar mengaku Islam tapi mempertikaikan hukum Allah, malahan mempersenda Nabi kita Rasulullah SAW, dalam kelompok manakah kita berada?  

Mudahnya memperkatakan, "Kami cinta Nabi".... tapi memperlekeh sunnah Nabi.  Bersama kita berfikir dalam-dalam, di manakah kita sekarang berada?  Adakah kita merasakan ada satu kuasa lain yang lebih hebat daripada kekuasaan Allah SWT dalam mentadbir kehidupan ini?  Berhati-hatilah selalu, jangan menggadai akidah kita.  Islam itu untuk semua, tak kira apa bangsa pun kita...... 


Friday, 25 January 2013

KASIH SEEKOR IBU

Aku merenung buat kesekian kalinya pada Si Tompok, kucing peliharaan kami yang kini beranak lima.  Syukur alhamdulillah, semua anak-anaknya selamat dilahirkan.  Tapi belum pasti berapa lama boleh bertahan.  

Tahun lepas anak yang dilahirkan juga lima ekor.  Namun yang masih bernyawa sehingga kini hanya Utih seekor.  Yang lainnya mati seekor demi seekor tatkala semuanya sedang seronok dan lincah bermain.  Harapan kami agar anak-anak Tompok kali ini selamat membesar.  Semoga Allah memelihara Tompok dan anak-anaknya.

Kebiasaannya selesai makan bersama Utih dan Kembang, Tompok akan segera masuk ke dalam kotak di mana anak-anaknya ditempatkan.  Anak-anak yang montel itu akan segera berlumba-lumba mencari puting susu ibunya.  Tanpa menghiraukan kami yang memerhati gelagat anak-anak itu, Tompok membetulkan kedudukannya agar memberi keselesaan buat anak-anaknya yang menyusu.  Kekadang kelihatan kakinya memeluk anak-anaknya itu.

Semua anak-anak itu dipastikan kenyang terlebih dahulu sebelum ia keluar dari kotak dan berehat di lantai dalam keadaan keletihan.  Dan tatkala itu anak-anak kecil itu tidur bergelimpangan dan dalam kekenyangan!
Begitu kasihnya Tompok pada anak-anaknya. 

Tapi ada dalam kalangan manusia di dunia ini yang sanggup membiarkan anaknya begitu sahaja sebaik-baik dilahirkan.  Malah ada yang mungkin sanggup membunuh janin yang kian membesar dalam kandungan.  Ada baiknya mereka belajar daripada haiwan bagaimana cara menjaga dan membesarkan anak-anak.  Haiwan yang tidak dianugerahkan akal fikiran pun boleh melakukan yang terbaik untuk anak-anaknya, inikan pula kita yang bernama manusia.  

Memerhati sekeliling kita mungkin boleh memberi kita pedoman dalam mendidik diri dan menyemai rasa syukur yang teramat sangat pada Yang Maha Esa.  Dan sentiasa menjadikan Rasulullah sebagai idola kita.  Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu terdapat contoh ikutan yang terbaik.  Belajarlah mencontohi baginda, bagaimana kasihnya baginda terhadap anak-anak dan cucu-cucu, malahan haiwan juga.


Thursday, 24 January 2013

JAGA AURAT


Tanam selasih di tepi perigi,
Buat ubat penyejuk badan;
Barang keperluan terpaksa dicari,
Pelbagai pasar jadi pilihan.


Asam gelugur dibelah-belah,
Mari dijemur tengah halaman;
Sesekali keluar membeli-belah,
Amat sukar menjaga pandangan.

Cantik sungguh si burung merak,
Kembang ekornya nampak memikat;
Berlambak tudung pelbagai corak,
Semakin pendek semakin singkat.

Anak merbah mencari makan,
Hinggap di dahan pokok meranti;
T-shirt labuh kelihatan sopan,
Namun T-shirt 'adik' juga dibeli.

Dari timur pergi ke barat,
Bawa bekal keropok dan kacang;
Elok bertudung menutup aurat,
Malangnya kain terbelah di belakang.

Mengatur langkah di kala subuh,
Lorong dan denai jadi laluan;
Bila pakaian melekat ditubuh,
Bentuk badan jadi tatapan.

Terbang tempua pulang ke sarang,
Turun mari di dahan rendang;
Pakaian kini amatlah jarang,
Hingga tembus mata memandang.

Anak-anak di tengah halaman,
Leka bermain hingga ke petang;
Kita berada di akhir zaman,
Ramai berpakaian tapi telanjang.

Rendang sungguh si pohon ara,
Tempat berteduh melepas lelah;
Aurat dijaga akhlak dipelihara,
Turutlah semua perintah Allah.

Tuesday, 15 January 2013

CERMIN DIRI ....... JOM JADI BIJAK

Menjengahnya bulan Rabiul awal ini terasa diri begitu kerdil.  Diri begitu jauh beza dengan perjalanan hidup Rasulullah SAW.  Baginda meninggalkan kita begitu jauh.  Namun kasih baginda kepada kita jelas terbayang di ruang mata.  Rentetan hidup yang dijalani, baginda hadapi dengan penuh sabar dan tabah.  

Sungguh jelas sayang baginda pada kita, hinggakan kalimat terakhir sebelum baginda meninggalkan dunia fana ini adalah menyebut kita ......ummati.... ummati.....ummati......  Begitu akhlak baginda kekasih Allah.  Tapi kita.....

Baginda pernah menyatakan bahawa orang yang bijak ialah mereka yang sentiasa mengingati mati.  Justeru, mereka sentiasa membuat persediaan menuju kematian.  Dalam pada menjalani rencah kehidupan yang mesti diteruskan, ketakwaan pada Allah jangan dikesampingkan.  Tiada guna andai kata kita bijak mengurus hal  kehidupan kita di dunia tapi langsung tidak mengambil kira apa yang bakal terjadi di hari kemudian.  Kita sibuk mengambil berat akan ikrar Rukunegara, tapi kita langsung tidak memandang Rukun Islam dan Rukun Iman sebagai panduan hidup.

Berbeza dengan pandangan masyarakat kita hari ini.  Bagi sesetengah pendapat, mereka yang bijak ialah mereka yang memperoleh 'straight' A dalam peperiksaan, mereka yang ada segulung ijazah, atau PhD, atau yang bergelar Dr atau Prof.  Emm...... mungkin itu dari satu aspek!  Tapi adakah aspek lainnya mereka bijak?  

Memang tidak dinafikan bahawa dalam kalangan mereka yang bijak pandai, terdapat mereka yang bijaksana.  Bijak mengurus kehidupan dunia demi tiket menuju akhirat!  Alangkah bertuahnya mereka itu.  Bersama-samalah kita menjalani kehidupan di dunia ini selaras dengan tuntutan Islam, mengikut lunas-lunas yang digariskan.  Mudah-mudahan dunia ini menjadi tempat kita bercucuk tanam atau berladang, dan akhirat sana menjadi tempat untuk kita menuai nanti!  InsyaALLAH....

Sunday, 13 January 2013

PANDU DIRI DENGAN BMW

Mari kita pandu diri dengan BMW hari ini.


B - Bersyukur.  Bersyukur di atas segala nikmat yang dikurniakan Allah kepada kita sehingga hari ini.  Bersyukur juga di atas segala dugaan yang dikurniakan Allah kepada kita sehingga hari ini.

M - Memaafkan.  Maafkan setiap orang di sekeliling kita.  Apabila kita maafkan orang lain, insyaAllah kita turut dimaafkan.  InsyaAllah juga segala urusan dipermudahkan.

W - Wawasan.  Tanamkan wawasan pada diri hari ini untuk memberikan yang terbaik walaupun sekadar memberi senyuman.  Kerana apabila kita positif, insyaAllah banyak caj positif akan hadir sendirinya.

Kredit buat Muhammad Syukry Roslan.

Monday, 7 January 2013

KHAULAH BINTI HAKIM RA

Khaulah binti Hakim Ibnu Umaiyah as-Sulamiah.  Beliau merupakan isteri kepada Utsman Ibnu Maz'un dan beliau digelar dengan Ummu Syuraik.  Khaulah binti Hakim memeluk Islam bersama kumpulan pertama memeluk Islam di kalangan Muslimin.

Sejak mengenali Islam dan manisnya iman, hatinya disinari cahaya kebenaran dan beliau sangat gembira menjadi sahabat wanita Rasulullah.  Beliau telah berkhidmat kepada Baginda dan membantunya dalam beberapa perkara yang menyebabkannya memperoleh keistimewaan dan keuntungan.


Perkara yang mengharukan dalam sejarah hidup Khaulah ialah perhatian beliau terhadap beberapa urusan Rasulullah dan usahanya untuk membahagiakan hati Baginda.  Apabila baliau melihat Baginda bersedih di atas pemergian Khadijah, beliau telah melamar Saudah binti Zam'ah dan Aisyah binti Abu Bakar untuk Baginda.  Itupun dengan izin Baginda Rasulullah SAW.  

Khaulah binti Hakim sering menjenguk para isteri Rasulullah SAW.  Mereka sangat menghormatinya dan bertanya keadaannya.  Apa yang mengharukan ialah sahabat wanita ini adalah kefasihan kesempurnaan adab dan perasaannya yang lembut.  Ketika suaminya meninggal dunia dia meratapinya dalam sebuah syair yang menyentuh hati.  Kedua-dua orang anak hasil pernikahannya dengan Utsman Ibnu Maz'un, iaitu Sa'ib dan Abdur Rahman memiliki peranan penting dalam emmbina benteng Islam.

Khaulah binti Hakim telah meriwayatkan lima belas buah hadis terus daripada Rasulullah.    Di medan jihad, beliau juga memiliki jasa yang baik.  Beliau telah ikut berjihad ke Thaif.    Satu penghormatan bagi Khaulah binti Hakim ketika Allah SWT di dalam al-Quran surah al-Ahzab ayat 50 menyebutnya sebagai seorang wanita mukminah dan alangkah mulianya beliau.  Beliau telah menjauhkan dirinya dari kehidupan dunia dan mendekatkan dirinya dengan akhirat.   

Rujukan :  Buku Peranan Wanita pasa Zaman Rasulullah
Terjemahan : Ustaz Johari Yaman
Terbitan :  Nadi Minda Resources





Thursday, 3 January 2013

ANUGERAH ILAHI

Perhimpunan pagi Rabu lalu masih segar di ingatan.  Bukan pada pesanan dan peringatan guru bertugas atau ungkapan ringkas tuan guru besar.  Ianya lebih kepada pandangan pertamaku terhadap anak-anak kecil yang baru menganjak ke sekolah rendah.

Pada wajah-wajah baru yang bertamu menjadi warga sekolahku, ahlan wasahlan dari kami......

Tidak seperti tahun lalu, kali ini aku menyaksikan pelbagai kategori anak murid yang begitu menggamit naluriku.   Ternyata hati ini ingin benar mengenali beberapa orang dalam kalangan mereka yang amat ketara berbeza daripada yang lain.   Anugerah Allah!  Subhanallah.....

Kebetulan pula aku diamanahkan oleh seorang jiran untuk menumpangkan anaknya waktu pulang ke rumah.  Tiada masalah untuk semua itu, malah aku berbesar hati untuk membantu.  Dan anak yang menumpang itu kelihatan istimewa di mataku.  Dia merupakan antara empat wajah yang kuamat-amati dalam perhimpunan pagi itu!

Melihatkan raut wajah dan pergerakannya ..... rasa ehsanku membuak tiba-tiba.  Sesungguhnya betapa besar ujian yang Allah beri buat ibu ayah anak istimewa itu.  Dan memang benar bahawa Allah tidak akan menguji seseorang itu dengan yang tidak mampu digalas olehnya.  Ada ketika ujian yang diberi itu kian mendekatkan diri kepada Maha Pencipta...... alangkah beruntungnya mereka! 

Mungkin aku tidak berupaya menyelami apa yang terkandung di lubuk hati seorang ibu.  Namun cukup sekadar melihat kemesraan dan kegembiraan tika mereka bertemu, melambangkan betapa kasih sayang seorang ibu tidak ternilai harganya.  Melihatkan wajah ibu dari jauhpun kelihatan dia melonjak kegembiraan.  Sejak dia mengenal dunia yang penuh fatamorgana ini..... wajah itulah yang sentiasa ada di sisinya, yang melayaninya bak seorang putera, menyantuni tiap gerak lakunya.  Barangkali mungkin tidak pernah bersangka buruk dengan Pencipta.  Malahan sentiasa bersyukur atas anugerah terindah itu.

Ya Allah kumohon padaMu agar memberi kekuatan dan ketabahan jua kesabaran buat ibu itu dalam menjaga amanah yang Kau anugerahkan kepadanya.  Hanya Engkau yang mengerti segala-galanya.  Dan berilah jua aku kesabaran dalam membantu dan membimbing anak itu serta anak-anak yang lain.  Amin.............




Tuesday, 1 January 2013

TAHUN BARU


Pergi ke kebun menggali ubi,
Hajat untuk dibuat tapai;
Tahun baru silih berganti,
Azam yang dulu sudahkah tercapai?

Ke kedai Pak Mail membeli ragi,
Jangan lupa sepaket kari;
Dua ribu dua belas berakhir pergi,
Dua ribu tiga belas munculkan diri.

Bunga melur bunga melati,
Disusun indah buat gubahan;
Pelbagai acara sambutan dirai,
Jangan silap membuat pilihan.

Laman indah cantik berseri,
Kembang mawar menambah wangi;
Acara yang lagha elakkan diri,
Sertailah program diberkati Ilahi.

Adik comel senyum memikat,
Berpakaian pula menutup aurat;
Majlis bersama disertai malaikat,
Limpahan ilmu penuh bermanfaat.

Tampak halus pandang tak jemu,
Menawan sungguh seni tekat;
Hadirkan diri di taman ilmu,
Mudahan hidup mendapat berkat.

Menguning emas padi di sawah,
Tunduk berisi penuh sarat,
Mohon Allah eratkan ukhuwah,
Sama sekata sama muafakat.

Ambil buluh jadikan galah,
Buat mengait buah rambutan;
Bersama mandaulat hukum Allah,
Itulah janji yang kita ungkapkan.

Tanam pegaga berselang pandan,
Pandan mengharum penyeri taman;
Sunnah Rasulullah kita amalkan,
Benteng keimanan kita kukuhkan.

Ambilkan saya pisang sesikat,
Makan di anjung bersama taulan;
Tahun baru padukan tekad,
Bersama kita meneruskan perjuangan.

Duduk mengail ikan sembilang,
Dapat seekor dibuat panggang;
Moga Islam pastikan gemilang,
Inilah masa inilah peluang.