I made this widget at MyFlashFetish.com.

Friday, 25 January 2013

KASIH SEEKOR IBU

Aku merenung buat kesekian kalinya pada Si Tompok, kucing peliharaan kami yang kini beranak lima.  Syukur alhamdulillah, semua anak-anaknya selamat dilahirkan.  Tapi belum pasti berapa lama boleh bertahan.  

Tahun lepas anak yang dilahirkan juga lima ekor.  Namun yang masih bernyawa sehingga kini hanya Utih seekor.  Yang lainnya mati seekor demi seekor tatkala semuanya sedang seronok dan lincah bermain.  Harapan kami agar anak-anak Tompok kali ini selamat membesar.  Semoga Allah memelihara Tompok dan anak-anaknya.

Kebiasaannya selesai makan bersama Utih dan Kembang, Tompok akan segera masuk ke dalam kotak di mana anak-anaknya ditempatkan.  Anak-anak yang montel itu akan segera berlumba-lumba mencari puting susu ibunya.  Tanpa menghiraukan kami yang memerhati gelagat anak-anak itu, Tompok membetulkan kedudukannya agar memberi keselesaan buat anak-anaknya yang menyusu.  Kekadang kelihatan kakinya memeluk anak-anaknya itu.

Semua anak-anak itu dipastikan kenyang terlebih dahulu sebelum ia keluar dari kotak dan berehat di lantai dalam keadaan keletihan.  Dan tatkala itu anak-anak kecil itu tidur bergelimpangan dan dalam kekenyangan!
Begitu kasihnya Tompok pada anak-anaknya. 

Tapi ada dalam kalangan manusia di dunia ini yang sanggup membiarkan anaknya begitu sahaja sebaik-baik dilahirkan.  Malah ada yang mungkin sanggup membunuh janin yang kian membesar dalam kandungan.  Ada baiknya mereka belajar daripada haiwan bagaimana cara menjaga dan membesarkan anak-anak.  Haiwan yang tidak dianugerahkan akal fikiran pun boleh melakukan yang terbaik untuk anak-anaknya, inikan pula kita yang bernama manusia.  

Memerhati sekeliling kita mungkin boleh memberi kita pedoman dalam mendidik diri dan menyemai rasa syukur yang teramat sangat pada Yang Maha Esa.  Dan sentiasa menjadikan Rasulullah sebagai idola kita.  Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu terdapat contoh ikutan yang terbaik.  Belajarlah mencontohi baginda, bagaimana kasihnya baginda terhadap anak-anak dan cucu-cucu, malahan haiwan juga.


No comments:

Post a Comment