Isnin, 28 Januari 2013

MEREKA JUGA TAHU

"Mereka fikir mereka ada kuasa.  Tapi sebenarnya Tuhan Alla Subhanahu wataala lebih berkuasa." Kata-kata itu meluncur laju keluar dari ulas bibir kenalan baru itu walaupun sebutannya agak pelat sedikit. 

Hatiku tersentak tiba-tiba.  Ya Allah, orang yang bukan Melayu ini dan bukan Islam ini lebih maklum dan lebih tahu kebesaran dan kehebatan Allah SWT.  Mereka percaya bahawa hanya Allah Taala lebih berkuasa.

Perbualan kami kian rancak, walaupun baru bersua.  Banyak perkara yang dia tahu.  Dalam pertemuan yang singkat itu mewujudkan kemesraan antara kami.  Mudahnya berbicara dengan mereka yang memahami dan sedia untuk mendengar walaupun berlainan bangsa.  Benarlah seperti apa yang Allah firmankan dalam kitab suci Al Quran.  

".....Tuhan telah menjadikan manusia, bersuku-suku dan berbangsa-bangsa, untuk saling kenal-mengenal sesamanya..."

Amat malanglah sekiranya kita terlalu mendabik dada dan mengagung-agungkan bangsa atau suku kaum kita hingga menolak bangsa lain.  Sesungguhnya yang hanya membezakan kita ialah keimanan dan ketakwaan kita.  Kalau sekadar mengaku Islam tapi mempertikaikan hukum Allah, malahan mempersenda Nabi kita Rasulullah SAW, dalam kelompok manakah kita berada?  

Mudahnya memperkatakan, "Kami cinta Nabi".... tapi memperlekeh sunnah Nabi.  Bersama kita berfikir dalam-dalam, di manakah kita sekarang berada?  Adakah kita merasakan ada satu kuasa lain yang lebih hebat daripada kekuasaan Allah SWT dalam mentadbir kehidupan ini?  Berhati-hatilah selalu, jangan menggadai akidah kita.  Islam itu untuk semua, tak kira apa bangsa pun kita...... 


Tiada ulasan: