Selasa, 1 Januari 2013

TAHUN BARU


Pergi ke kebun menggali ubi,
Hajat untuk dibuat tapai;
Tahun baru silih berganti,
Azam yang dulu sudahkah tercapai?

Ke kedai Pak Mail membeli ragi,
Jangan lupa sepaket kari;
Dua ribu dua belas berakhir pergi,
Dua ribu tiga belas munculkan diri.

Bunga melur bunga melati,
Disusun indah buat gubahan;
Pelbagai acara sambutan dirai,
Jangan silap membuat pilihan.

Laman indah cantik berseri,
Kembang mawar menambah wangi;
Acara yang lagha elakkan diri,
Sertailah program diberkati Ilahi.

Adik comel senyum memikat,
Berpakaian pula menutup aurat;
Majlis bersama disertai malaikat,
Limpahan ilmu penuh bermanfaat.

Tampak halus pandang tak jemu,
Menawan sungguh seni tekat;
Hadirkan diri di taman ilmu,
Mudahan hidup mendapat berkat.

Menguning emas padi di sawah,
Tunduk berisi penuh sarat,
Mohon Allah eratkan ukhuwah,
Sama sekata sama muafakat.

Ambil buluh jadikan galah,
Buat mengait buah rambutan;
Bersama mandaulat hukum Allah,
Itulah janji yang kita ungkapkan.

Tanam pegaga berselang pandan,
Pandan mengharum penyeri taman;
Sunnah Rasulullah kita amalkan,
Benteng keimanan kita kukuhkan.

Ambilkan saya pisang sesikat,
Makan di anjung bersama taulan;
Tahun baru padukan tekad,
Bersama kita meneruskan perjuangan.

Duduk mengail ikan sembilang,
Dapat seekor dibuat panggang;
Moga Islam pastikan gemilang,
Inilah masa inilah peluang.

Tiada ulasan: