I made this widget at MyFlashFetish.com.

Sunday, 31 March 2013

DURRAH BINTI ABU LAHAB R.A.

Durrah binti Abu Lahab merupakan sepupu Rasulullah.  Beliau menolak semua tindakan ayahnya, Abu Lahab yang tidak akan memberinya sebarang faedah daripada hartanya yang banyak.

Walaupun banyak tekanan dari persekitarannya, Islam mendapat tempat di hatinya yang bersih dan telinganya yang mendengar.  Akhirnya Durrah memeluk Islam.  Allah SWT telah mengeluarkannya daripada kegelapan kepada cahaya keimanan.    Durrah binti Abu Lahab ikut berhijrah ke Madinah. Beliau telah memperoleh pahala orang-orang yang berhijrah.  

Di Madinah Munawarah, Durrah binti Abu Lahab memiliki kedudukan yang tinggi dalam kalangan sahabat wanita, tetapi pandangan sinis daripada beberapa wanita telah membuatnya bersedih, kerana mereka melihatnya seorang puteri Abu Lahab yang telah menjadi musuh Allah dan Rasul-Nya.  Rasulullah SAW dengan segera menangani perkara tersebut dengan menjelaskan bahawa seseorang itu tidak akan memikul dosa orang lain.  Manusia tidak memiliki kecuali apa yang mereka telah usahakan.  Segala perbuatannya akan diperlihatkan dan akan dibalas dengan balasan yang sebanding.

Durrah binti Abu Lahab tidak pernah berjauhan dari rumah Rasulullah.  Beliau sering mengunjungi Aisyah Ummul Mukminin untuk mempelajari ilmu dan fikh.  Kadangkala dia berlumba dengan Aisyah untuk berkhidmat kepada Rasulullah SAW.  Beliau juga adalah salah seorang penyair-penyair wanita Quraisy yang telah meriwayatkan hadis Rasulullah.  Selain meriwayatkan hadis Rasulullah, Durrah sangat hebat dalam bersyair.  Syair-syairnya mengandungi erti yang sangat elok dan mendalam.  

Durrah selalu menjaga dan memelihara kedudukannya dan sebelum baginda wafat, baginda meredai Durrah binti Abu Lahab.  Beliau hidup sehingga ke tahun 20H.  Dia meninggal dunia pada zaman khalifah Umar Ibnu Khathab RA selapas mewarnai sejarah hidupnya dengan warna-warna kegemilangan yang baik dalam sejarah wanita.  Semoga Allah SWT sentiasa mencurah keredhaan-Nya ke atas Durrah binti Abu Lahab.



Rujukan :   Buku Peranan Wanita Pada Zaman Rasulullah
Terjemahan oleh Ustaz Johari Yaman

Wednesday, 27 March 2013

MAKRUH ATAU HARAM.........

"Ala, rokok tu makruh je la.....Bukan haram pun...itu pun nak kecoh ke.."

Antara sebab fatwa mengeluarkan rokok itu haram dan makruh ialah :

-  Dulu fatwa dan keluar makruh tapi sekarang dah jadi haram, sebab perkara makruh jika dibuat hari-hari atau selalu ia jadi haram.

-  Dalil yang menyatakan Jangan meletakkan diri kita ke dalam kebinasaan itu telah dijadikan bukti kepada kita agar menjauhi perkara yang boleh membinasakan kita seperti merokok, hisap dadah, hisap gam, dan lain-lain.

-  Asap yang terkeluar dari hembusan rokok itu memberi mudarat dan menyebabkan orang-orang sekeliling merasa tidak senang, dan perkara yang menyebabkan jiran tetangga, orang awam tidak senang, adalah dikira sebagai dosa.

-  Asap merupakan kesukaan jin dan syaitan dan api juga adalah kebanggaan syaitan.  Syaitan berkata yang telah Allah rekodkan di dalam Al Quran, "Sesungguhnya aku dijadikan dari api dan dia (Nabi Adam) dijadikan dari tanah."  Maka orang yang sukakan asap dan api dekat dengan syaitan dan syaitan adalah musuh Allah dan musuh orang-orang Islam yang nyata.

-  Rasulullah SAW dan para sahabat tidak pernah merokok.  Justeru, mengapa kita perlu merokok?

-  Jika kita pertikaikan takpe buat sebab makruh sahaja.  Tapi jika dibuat benda makruh hari-hari dan selalu serta kerap buat perkara makruh dalam hukum fikhnya boleh jatuh haram.

-  Beli rokok seperi beli benda yang tak berfaedah, dan ia membawa kepada pembaziran, dan Allah berfirman dalam surah al-Isra', "Sesungguhnya pembaziran itu merupakan saudara kepada golongan syaitan."

* Sebagai penutup, buanglah rokok dan dekatilah Quran dan sunnah Rasul.  Wallahu a'alam.

(kredit buat sahabat di facebook yang mengizinkan info ini dikongsi bersama)

Sunday, 24 March 2013

BICARA TENTANG AYAH

Semalam aku membuat panggilan ke kampung.  Ayah menyambutnya.  Jelas suaranya ceria di hujung talian.  Sakit kakinya kian berkurang..... alhamdulillah.  Bercerita tentang pemakanan baru yang ditemuinya, jua tentang ibu yang turut sepakat menggunakannya.  Ada perubahan yang menggembirakan.  Syukur sangat-sangat padaMu Ya Allah.

Riang hatinya dapat kurasakan.  Mengungkap tentang pencapaian cucu kesayangan....... anakandaku yang kedua.  Mesra dipanggil Angah.  Kubiarkan dia berbicara panjang.  Merancang-rancang pilihan yang mungkin boleh dicadangkan buat Angah.  Biarpun tidak beroleh semua A, hatinya cukup berbangga. 

Begitulah sikap ayah.  Amat kasihkan cucu-cucunya.  Malahan anak-anakku amat mesra dengannya.  Andaikata ayah menelefon ke rumah, pasti semua akan ditanya.  Bertanya khabar mereka, pencapaian sekolahnya, apa aktivitinya. Kalau mereka ada di rumah, sudah pasti akan bercerita panjang di talian.  Dan kalau rindu sangat pasti ayah akan memandu sendiri datang bertemu kami.  Itu ketika ayah sihat.   

Semakin anak-anak membesar, semakin banyak aktiviti di sekolah.  Penuh dengan jadual kelas tambahan, aktiviti kokurikulum, aktiviti petang, perkhemahan dan banyak lagi hingga kekadang tidak mengizinkan untuk kami balik kampung.  Ada kalanya Along yang belajar di kolej pula yang pulang ke rumah.  Meraikan Along bermakna sudah pasti hasrat balik kampung dibatalkan.  Kekadang ada kerja kursus atau urusan yang perlu diselesaikan yang menyebabkan dia pulang biarpun sekejap.

Namun tidak menjadi masalah bagi ayah untuk menghubungi cucu-cucunya kerana Along dan Angah masing-masing boleh dihubungi menerusi telefon bimbit mereka.  

Melewati usia yang kian meningkat, kisah ayah kekadang menggamit ingatanku.  Teringat tentang kami dua beradik (aku dan abang) yang sering menaiki basikal tua bersama ayah.  Dengan basikal itulah ayah membawa kami berjalan-jalan di sekitar kawasan lombong bijih timah tempat ayah bekerja.  Aku duduk di galang hadapan sementara abang duduk di karier belakang.  Ayah mengayuh dengan berhati-hati sambil bercerita tentang apa yang kami lihat.  

Di lokasi itulah tempat ayah bekerja.  Berpeluang menyaksikan gergasi berat yang terapung di permukaan lombong......  kapal korek. Hamparan putih bersih pepasir.  Begitu mendamaikan.  Dan waktu itu ayah digelar 'kepala lombong'.  Masih kuingat lagi cerita ayah tentang tuan 'orang putih' yang sering melihat ayah solat di tempat lapang atas pepasir dan batu.  Betapa ayah mengambil berat akan solat sehinggakan tuan manager menyediakan tempat khas bagi memudahkan ayah menyahut panggilan Allah tika bekerja.  Ah...... begitu prihatinnya dia.

Kekadang ayah membelikan kami ais krim seorang satu untuk dinikmati tatkala berbasikal sambil meninjau-ninjau sekitar tempat kerjanya.  Dan ada waktunya juga kami berempat beranak memancing di kawasan lombong berhampiran.  Murahnya rezeki tika itu.  Pada kebiasaannya ikan haruan dan ikan puyu banyak yang kami perolehi.  Selain dimasak terus, ada juga yang diasinkan.  

Ayah kemudiannya berjinak-jinak dengan perniagaan kain secara kecil-kecilan. Bila didapatinya ekonomi agak stabil barulah ayah nekad berhenti daripada kerja lombong.  Ayah menyahut sunnah Rasulullah.  Bermula dari situ ayah tidak menoleh ke belakang lagi.  Makin lama perniagaan ayah makin besar.  Ayah mula berniaga mengikut pesanan dan permintaan pelanggan.  Bermula daripada kain baju, ditambah lagi dengan pinggan mangkuk, akhirnya perabot! Ayah akan bersama-sama menaiki lori menghantar perabot masuk ke kampung-kampung mengikut permintaan pelanggan.  

Biasalah adat berniaga..... tetap mengundang risiko.  Ada yang cabut lari meninggalkan hutang.  Namun ada yang bagus menjelaskan hutang tiap kali ayah datang ke rumahnya.  Tidak menghampakan.  Malah menjadi pelanggan yang ayah hargai.  Hingga kekadang beberapa ringgit berbaki, ayah halalkan sahaja.  Begitu pemurahnya ayah.....

Kian meningkat usia, ayah tinggalkan dunia perniagaan itu.  Tapi ayah tidak meninggalkan terus atau berhenti daripada kerja sendiri.  Kemudian ayah beralih menjual surat khabar.  Langkah ayah semakin jauh.  Hingga kekadang terpaksa menghantarnya melangkau daerah.  Sampaikan ada kalanya ayah terus melanjutkan perjalanan berkunjung ke rumah kami, singgah melepas rindu terhadap cucu-cucunya!

Dan kini tatkala kekuatan makin kurang, keadaan kesihatan adakalanya terganggu, menyebabkan ayah mengambil keputusan hanya berniaga dalam lingkungan kawasan tidak jauh dari rumah sahaja.  Dan selebihnya ayah amanahkan kepada kawan-kawan dan sahabat yang lebih muda dari usianya.  Namun rezekinya tetap melimpah, alhamdulillah.  

Mengenang komitmen ayah dalam dunia perniagaan, kuucapkan tahniah!  Banyak masanya dihabisi ke arah itu.  Kecekapan ayah dalam bidang kira mengira tetap kusanjung.  Tidak hairanlah bahawa ayah pernah menjadi guru ilmu hisab mengajar rakan-rakan sekelasnya bila diamanahkan oleh cikgunya suatu ketika dahulu (di alam persekolahan).  Malah ayah pernah menewaskan gurunya dalam membuat pengiraan dan jawapan terhadap soalan ilmu hisab.  Hebatnya ayah!!!

Tapi itu dulu..... dan ketika ayah mempunyai kelayakan menjadi seorang guru, ayah terpaksa menguburkan cita-cita itu kerana kemiskinan.  Yang sedihnya rakan yang pencapaiannya lebih rendah dari ayah pula yang berjaya mengisi kekosongan itu.  

Tapi kesedihan ayah akhirnya terubat bila mana anaknya ini yang berjaya meneruskan cita-cita murni ayah.  Bakat penulisan ayah juga turut mengalir dalam diriku.  Terima kasih ayah.....  ayah banyak mengajar erti ketabahan dan kesabaran.  

Akhirul kalam, mudah-mudahan ayah sentiasa dalam kasih dan rahmat Allah.  Dikurniakan kesihatan yang baik, daya ingatan yang bagus, meniti laluan hidup ini dengan penuh kebahagiaan dan ketenangan.  Salam sayang dari anakandamu......

Saturday, 23 March 2013

SELAMAT BERCUTI !


Selamat bercuti cikgu ucapkan,        
Buat anak-anak didik sekalian;
Minda dah penat perlu direhatkan,       
Namun ilmu jangan dikesampingkan.

Belajarlah terus menghargai masa,
Jangan dibiar berlalu sia-sia;
Ibarat emas begitulah harga,
Sering dikias dalam bahasa.

Ayahbonda hendaklah dihormat,
Usah dilupa walau sesaat;
Seratus persen Allah ditaat,
Supaya hidup kita selamat.

Kerja sekolah yang guru suruh,
Jangan suka ditangguh-tangguh;
Buatlah dengan bersungguh-sungguh,   
Jangan tinggalkan separuh-separuh.

Manfaatkan masa dengan berhemah,
Teruskan kebaikan dengan istiqomah;  
Walaupun banyak waktu di rumah,
Ilmu pengetahuan boleh ditambah.

Kalau duduk menghadap facebook,
Buatlah status yang elok-elok;
Jangan sampai tersengguk-sengguk,
Pembaziran masa memang dikutuk.

Cubalah berjalan rehatkan minda,
Terperuk di rumah tension kita;
Eratkan ukhuwah sanak saudara,          
Handai taulan dikunjung sama.

Bercuti begini peluang keemasan,
Boleh dicari pelbagai kemahiran;
Bekalan hidup masa hadapan,
Bersama keluarga jalin kemesraan.

Kalau berpeluang kaki melangkah,
Dunia luar sesekali diziarah;
Sambil menikmati ciptaan Allah,
Bersyukurlah atas segala anugerah.

Thursday, 21 March 2013

SPM

ISTIMEWA BUAT ANAK-ANAK YANG DIKASIHI......

Mengimbau kembali tika di dewan peperiksaan
Dengan penuh tekun pena menari
Mungkin dengan jawapan paling pasti
Ataupun mungkin penuh yakin di hati
Bertempur dengan pelbagai strategi
Tahniah........ perjuangan sengit rela kau tempuhi

Dan kini.....

Penantian itu akan berakhir jua
Dengan penuh debar menanti 
Mungkin dengan rasa penuh cemas
Ataupun mungkin rasa tidak sabar
Menjengah naluri
Sabarlah ....... beberapa jam sahaja lagi

Barangkali ada yang tak tidur lena
Barangkali juga ada yang termimpi-mimpi
Atau barangkali serba tak kena selang beberapa hari
....... segala rasa bertakhta di hati
....... menerobos seluruh ruang kalbu
....... dan minda pun mendendang lagu rindu
....... mengharap jawapan indah datang bertamu

Salam tahniah buat semua!!!
Walau apapun yang bakal diterima
Bersyukurlah padaNYA
Kerana jika rentetan perjalanan itu telah kau usaha
Dengan penuh gigih mencanai seluruh raga
Wajarlah kejayaan itu kau genggam sama
Sesungguhnya segala dengan ketentuanNYA.

Namun jangan kau lupa.....
Keputusan yang bakal kau terima nanti
Bukanlah pengakhir laluan hidup ini
Tidak juga nokhtah penutup segalanya
Menuju mercu jaya.

Ingatlah........
Semarakkan kejayaan dengan keimanan
Sirami dengan bunga keikhlasan
Bajai dengan syukur berpanjangan
Pupuk dengan nilai kemanusiaan
Hiasi dengan peribadi penuh kemuliaan
Adun dengan ketinggian akhlak dan ehsan

Kalian akan kecewa
Andainya kejayaan dirai dengan penuh kesombongan
bersulam keegoan malah melupakan Tuhan
meminggirkan doa kudus bonda yang melahirkan
    jua ayahanda yang membesarkan
menafikan sumbangan murni pendidik yang mengesankan

Senantiasalah muhasabah diri
bahawa sesungguhnya kejayaan itu milikNYA abadi.

Tuesday, 19 March 2013

CINTA HIGH CLASS!!!

Sudah lama kubuat pesanan,
Katanya ia hangat di pasaran;
Lama menunggu penuh harapan.
Buku tersebut jadi pilihan.

Kepada sahabat di bidang perniagaan,
Pesanan itu aku tujukan,
Lama menanti tanpa perasaan,
Kalaulah ada sila maklumkan.

Anak bujangku mohon dicarikan,
Novel Islamik jadi permintaan;
Apa menarik tidak ketahuan,
Namun usaha kubuat tempahan.

Bila impian jadi kenyataan,
Novel sudah dalam genggaman;
Masa terluang kususuli pembacaan,
Rupanya indah sungguh persembahan.

Kebergantungan hidup padaMu Tuhan,
Membina cinta jadi keutamaan;
Cintakan Engkau jadi pilihan,
Menuntun laluan penuh pedoman.

Membina hidup dalam persahabatan,
Mengharap suci dalam pergaulan;
Sesungguhnya syaitan penuh godaan,
Perlu tingkatkan takwa dan keimanan.

Hidup jangan mengharap keseorangan,
Sunnah dijadikan ikutan dan panduan;
Bijaksanalah membuat pilihan,
Agar hidup tak tersalah haluan.

Cinta High Class jadikan panduan,
Tiada salah tiada kesesatan;
Hanya sekadar menjadi pilihan,
Penuh nasihat juga rujukan.

Novel dulu tidak kuhairankan,
Makin hadam mengisi kekosongan,
Seni karya kita raikan,
Menghargai Allah dalam penulisan.




Friday, 15 March 2013

OTAK MANUSIA

Terdapat fakta menarik tentang otak manusia:

1.  80% daripada struktur otak terdiri daripada air.  Jadi, minumlah air dalam kuantiti yang secukupnya penting untuk otak.
2.  Alkohol boleh menudaratkan otak dengan cara melemahkan hubungan antara neuron (sel otak).
3.  Saiz otak hanya 2% daripada saiz badan manusia, namun ia memerlukan kira-kira 20% oksigen yang dipindahkan melalui salur darah.
4.  Saiz dan berat jirim otak tiada kaitan dengan kemampuan otak berfikir.


LUAHAN YANG TERPENDAM

Sesekali hatiku terusik juga dengan luahan rasa rakan sekerja.  Meneliti sebak hati seorang rakan cemerlang dalam menangani anak-anak didik yang kian menipis budaya menghadam ilmu yang dicurah.  Malah rasa hormat pada guru  kian hilang seiring dengan ancaman utama yang melingkari kita seperti facebook, twitter, pelbagai games, sms dan mms.  

Malahan lambakan bahan bacaan yang tidak bermoral di luar sana menjadi pengganti buku-buku akademik di sekolah.  Bukan tidak ada buku ilmiah di pasaran, tapi bahan bacaan ringan itu juga yang cukup serasi dengan pilihan hati.  Novel picisan mewarnai hati muda remaja, malahan memaut hati adik-adik yang baru menjengah di sekolah rendah.

Tambah berserabut lagi dengan lambakan filem Korea, Indonesia, Filipina dan lainnya yang menjadi halwa penyeri pawagam di rumah!  Bimbangnya kita dengan fenomena sedemikian.  

Berbalik pada kisah rakan sekerja tadi.....  mana mungkin tugas mendidik seratus persen boleh diserahkan bulat-bulat kepada pihak sekolah.  Kekangan masa sememangnya kian ketara dewasa ini.  Berapa jam sahajalah anak-anak itu berada bersama gurunya di sekolah.  Dan selebihnya mereka akan bersama keluarga di rumah.  Barangkali ada waktu ke kelas tuisyen, ke surau atau majlis ilmu.  Tidak kurang juga yang duduk berjam-jam mengadap komputer atau laptop, ataupun menghadap TV.

Dalam hal ini, ibu bapalah memainkan peranan penting membantu guru mengurus dan membimbing anak-anak di rumah.  Pantaulah kerja sekolah yang dibekalkan oleh guru, semak hasil kerjanya.  Kalau tidak berpuas hati, sila datang ke sekolah bertanya dan berkongsi masalah anak-anak.  Mungkin ini merupakan salah satu cara atau langkah penambahbaikan pencapaian anak. 

Janganlah hanya menuding jari menyalahkan pihak sekolah jika anak-anak tidak mencapai apa yang dihajati.  Guru-guru tidak akan mensia-siakan anak didik yang diserah dan diamanahkan kepada mereka.  Namun sikap anak-anak itu mungkin menggugat hati dan naluri seorang guru.  Bagaimana mungkin mahu menjadi pelajar yang baik kalau akhlaknya terhadap guru kelihatan sumbang.  Teguran guru tidak diambil kisah.  Tugasan yang diberi tidak diselesaikan.  Nasihat guru tidak diendah.  Akan beroleh keberkatankah ilmu yang dicurah selama ini.....

Kalau dahulu ibu bapa sendiri memberi hak dan kebenaran kepada guru untuk mengenakan tindakan terhadap kesalahan anak-anak, namun kini perkara tersebut telah lenyap.  Zaman sekarang guru-guru tidak ada hak untuk merotan, mendenda, mengherdik,  malahan menjegilkan mata pun tidak dibenarkan.  Kalau ada pun mungkin boleh dalam hal-hal tertentu sahaja dan hanya guru tertentu sahaja mempunyai hak berbuat demikian.  

Bukanlah hendak menyalahkan ibu bapa dalam hal ini, namun ibu bapa adalah guru mereka di rumah.  Ibu bapa juga merupakan orang pertama yang mendidik dan mengasuh mereka.  Ibu bapa adalah insan yang paling hampir dengan anak-anak.  Memang tidak dinafikan bahawa pengaruh luar atau kawan-kawan di luar sana begitu kuat.  Tapi kiranya anak-anak ini sedari awal telah dibekalkan dengan ilmu yang mantap,  sikap positif, motivasi dan doa, insyaAllah mereka mampu menjaga diri berhadapan dengan pelbagai cabaran mendatang.  

Sejajar dengan itu juga ruang waktu senggang di rumah boleh diisi dengan menyudahkan tugasan sekolah yang dibekalkan oleh guru-guru.  Kalau tidak mampu mengajar, menemani mereka waktu belajar itupun sudah memadai.  Bimbinglah mereka agar mencintai ilmu.  Doakan mereka agar dipermudahkan urusan dan diberi keyakinan agar beroleh kejayaan dunia mahupun akhirat.  Tanamkan dalam diri mereka akan kepentingan ilmu.  Sesungguhnya orang berilmu dipandang mulia.

Sentiasalah memberi kerjasama dengan pihak sekolah.  Luangkan masa untuk bersama guru-guru misalnya dalam Mesyuarat Agung PIBG, gotong-royong di sekolah, hari bertemu waris, dan yang seumpamanya. Mungkin dengan cara itu anak-anak dapat melihat betapa mereka dihargai, bukan setakat menghantar anak-anak di pintu pagar dan mengambilnya waktu pulang sahaja.  Sesekali kehadiran ibu bapa itu dapat bertukar fikiran dan mengeratkan silaturahim dengan guru-guru di samping mengetahui perkembangan anak-anak di sekolah.  

Justeru, tindakan ibu bapa yang sedemikian dapat membantu guru-guru membentuk peribadi dan akhlak anak-anak di sekolah.  Tanpa komitmen dan doa ibu bapa, mungkin hajat untuk melihat kejayaan anak-anak terkandas di pertengahan jalan.  Oleh itu sama-samalah kita berusaha, berdoa dan tawakkal kepada Allah agar dianugerahkan ketabahan hati dan kesabaran dalam mendidik generasi hari ini ke arah pemantapan dan kekuatan rohani dan jasmani.

Wednesday, 13 March 2013

Tahniah Dari Cikgu

Berjiran dengan kelas Pendidikan Khas mengajar aku agar lebih memahami.  Seterusnya belajar menghargai insan anugerah Allah itu.  Peristiwa pagi tadi membuatkan hatiku sedikit teruja.  Inilah buat pertama kalinya dia memberi respon terhadap teguranku!

Selama aku mengenalinya...... setiap ucap salamku tidak ada penyambutnya.  Tanya khabarku...... takkan mungkin ada jawabnya.  Apa yang ada hanya renungan yang kosong.  Seolah-olah tiada perasaan.  Mungkin ada juga insan sedemikian.  Namun apa yang pelik ialah sikapnya di rumah jauh beza dengan apa yang berlaku di sekolah.  Dan yang paling tidak disangka ialah....... semua yang berlaku di persekitarannya mampu diceritakannya apabila dia berada di rumah!  Jaga-jaga........ rahsia guru-guru di kelasnya akan jadi tidak rahsia lagi!  (Maaf terlebih pula......)

Begitulah sikapnya yang diceritakan oleh salah seorang Pembantu Pengurusan Murid (PPM) kepadaku.  Pada anggapanku anak ini begitu hebat, boleh bertahan dengan sikap membisunya tika berada di sekolah.  Terkunci kejap lidahnya daripada terus berkata-kata seperti di rumah.  Sebaik-baik kakinya melangkah masuk ke perkarangan sekolah, mulutnya secara automatik tertutup rapat!

Dan pagi tadi seperti biasa aku menegurnya seperti selalu.  Tanpa kuduga ada respon positif darinya!  Hatiku berbunga.   Ketiga-tiga soalan mudah yang kukemukakan dijawabnya perlahan tapi jelas kudengar.  Syukur alhamdulillah! Adakah ini petanda dia mula berubah?  Ataupun moodnya baik pagi-pagi begitu...... entahlah.  Bersangka baik sahajalah, kita diajar begitu.  

Dan tatkala dia bersama rakan-rakannya duduk di bangku sebaik-baik pulang dari stadium tengah hari tadi, aku menegurnya sekali lagi.  Kuucapkan tahniah padanya, kerana berjaya memungut pingat emas dalam acara larian (lumba lari) dalam kejohanan olahraga Pendidikan Khas.  Pecutannya sungguh hebat! Tahniah dari cikgu!!!  Sesungguhnya benarlah....... bahawa setiap insan itu ada keistimewaannya yang Allah anugerahkan. 


Kelihatan Syakira (di kiri sekali - bertudung putih, anak tudung hitam)
bersama-sama rakan, guru dan PPM memotong kek
 sempena sambutan Hari Lahir anak-anak PPKI pada tahun lepas.




Tuesday, 12 March 2013

SALAM BUATMU BERDUA....

Tatkala mendengar bicaramu bonda lewat pertemuan itu, aku hanya memerhati pada wajahmu yang kian dipenuhi daging yang kian kendur.  Banyak yang diceritakan.  Sesekali aku mengiakan, mengangguk tanda faham.  

Beralih memandang wajahmu ayahanda......  biar menanggung sedikit ujian Tuhan, namun jelas cerianya.  Mungkin gara-gara kehadiran cucunda yang tersayang.  Rasa terkilanmu terbang entah ke mana!  Rindu yang teramat seakan terlerai sudah.  

Maafkan kami kerana hadir tanpa cukup korum.  Hanya Bang Chik dan Kak Alang kubawa bersama.  Kak Uda tak ikut serta kerana banyak 'homework' katanya.  Adik yang lincah awal pagi lagi mengikut abi yang sibuk membantu di majlis kenduri kahwin.  Along tidak balik kerana kesibukan menyudahkan kerja kursusnya manakala Angah masih belum selesai PLKN.

Dalam keadaan yang tidak cukup korum itu...... riak wajah ayahanda jelas membayangkan satu kepuasan yang tak dapat diungkap dengan kata-kata.  Aku menyedari akan hakikat itu.  Maafkan kami kerana sudah lama tidak menjengah kalian berdua.  Kesibukan dan kekangan masa......  barangkali itu alasan mudah untuk diluahkan.


Namun dalam kesibukan dan kesuntukan masa itu jualah kami sedaya-upaya memberi laluan untuk mengisi kekosongan dan kerinduan itu biar hanya seketika cuma.  Dan aku amat-amat bersyukur dengan limpah keizinanMU Ya Allah, kami dapat meluangkan masa bersama.  

"Peliharalah mereka berdua Ya Allah sebagaimana mereka memeliharaku sejak aku kecil lagi.  Kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku......Amin Ya Allah."  Mudah-mudahan kalian berdua sentiasa dalam kasih dan rahmat Allah.


Saturday, 2 March 2013

KELETAH KALIAN.....

Duduk menganyam tikar mengkuang,
Bersimpuh sopan di anjung rumah;
Setiap wajah kurenung kupandang,
Pasti punya banyak kerenah.

Di tepi bendang mengumpul jerami,
Elok disusun di dalam lori;
Kecil molek handalnya Hakimi,
Mulut becok tidak terperi.

Anak muda petik kecapi,
Rasa terhibur hati pak tani;
Tulisan Areefa tidaklah rapi,
Setelah ditegur berubah kini.

Nelayan ke laut mencari lala,
Doa diserta penuh berkat;
Iqbal tersenyum manis bak gula,
Bila mengeja terlalu lambat.

Pucuk mengkudu jangan diambil,
Di hujung dahan banyak kerengga;
Sayang Ashraf terkebil-kebil,
Apa yang diajar selalu lupa.

Ambilkan saya si daun palas,
Mari dibuat pembungkus ketupat;
Sebutan Danish kurang jelas,
Latih tubi dan terapi itulah ubat.

Mak Andih juga Pak Pandir,
Kisah lama jadi teladan;
Mengapa Haziq selalu tak hadir,
Makin banyak yang ketinggalan.

Sayang kemboja jatuh berserakan,
Di kaki langit berwarna jingga;
Moga Allah bekalkan kesabaran,
Dalam mendidik membimbing mereka.

Belalang kunyit dibuat umpan,
Berakhir mengail di senja indah;
Setiap mereka punyai kelebihan,
Begitu uniknya anugerah Allah.