I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday, 23 May 2013

ADUH KASIHAN.....

Hari ini dia berungut tentang begnya yang koyak.  Sebelum melangkah keluar dari kelasku, dia memeluk erat beg tersebut.  Kuperhatikan betul-betul beg itu. Kelihatan bahagian bawah atau tapak begnya ternganga. Bahagian tersebut dihalakannya ke atas.   Bahagian atas yang berzip dialihkannya pula ke bawah.  Alhamdulillah....... zipnya masih baik. Kelihatan wajahnya sedikit mencuka. Hatiku sedikit sebak. 

"Tak mengapalah.......  hari ni saja last sekolah.  Mungkin bila buka sekolah selepas cuti nanti mak belikan beg baru...." pujukku.  Dia hanya membisu.

Semalam aku menyuruhnya membuang bekas penselnya yang kelihatan terlalu 'uzur' ke dalam bakul sampah.  Aku berhasrat untuk menggantikannya dengan yang baru.  Tunggulah nanti!

Sejak aku mengenalinya di awal Januari lalu, dia hanya mengenal huruf dan suku kata KV sahaja.  Kuperhatikan dia mempunyai potensi untuk berjaya suatu hari nanti, berkat kesungguhannya mempelajari apa yang kuajar.  Anak ini memerlukan lebih perhatian dan bimbingan.  Kerja sekolah yang kuberi sering disiapkan dalam tempoh yang kuminta.  Cuma sesekali jika ada kerja yang tidak disiapkan, dia memberi alasan 'terlupa".  

Dia mudah dapat apa yang kuajar.  Namun anak-anak sebegini perlukan bimbingan di rumah juga.  Mengharapkan perhatian ibu ayah untuk membantunya di rumah.  Paling tidak pun ada abang atau kakak yang boleh diharapkan untuk membantu.  Tapi dia belajar sendiri di rumah.  Mengeja tanpa perhatian dan bimbingan sesiapa.  Tiada yang menyemaknya.  Gambar yang kulukiskan tidak diwarna kerana pensel warnanya sudah habis..... tidak berganti.  

Tidak adil kurasakan kalau aku terus memarahinya akibat 'terlupa'.  Tidak ada sesiapa yang mengingatkan tentang kerja rumahnya.  Malahan tiada sesiapa yang menyemak isi beg sekolahnya.  Dalam usia semuda itu anak-anak begini banyak menghabiskan masa dengan bermain.  Tambahan pula mereka agak terkebelakang daripada murid-murid lain di kelas masing-masing.  Sesungguhnya mereka amat-amat memerlukan perhatian.

Mengenangkan semua itu, simpatiku datang bertamu.  Alangkah baiknya permata hati sebegini, anugerah Allah ini, dan amanah Allah ini, dilayan sebaiknya.  Mereka mengharapkan sekelumit kasih dari insan bergelar 'guru' cuma tika hanya di sekolah!  Menagih sedikit sayang di tempatnya menambah ilmu.  Itu sahaja.  

InsyaAllah kita jumpa lagi bila sekolah dibuka nanti.  Salam untuk semua...... anda semua tetap dalam doa cikgu!  

No comments:

Post a Comment