I made this widget at MyFlashFetish.com.

Saturday, 31 August 2013

WAJAH MERDEKA

Kain batik kain basahan
Dijemur kering tepi halaman
Selamat menyambut hari kemerdekaan
Semua itu jadi laungan

Ambil mengkuang dibelah-belah
Diraut begitu berhati-hati
Kibaran bendera kurang terserlah
Jauh berbeza dulu dan kini

Letak bekal di atas para
Untuk dijamah di tengah hari
Bukan tak sayang pada negara
Semangat patriotik tetap di hati

Kasihan sungguh anak pekaka
Ingin terbang patah sayapnya
Walau negara dah lama merdeka
Gerun melihat pengisiannya

Gemersik alunan gesekan biola
Halwa telinga menyentuh rasa
Bila hiburan bagai nak gila
Kian merosak anak bangsa

Kuah kacang nasi himpit
Wajik, dodol dan kuih kapit
Di sana sini rang muda merempit
Hati nan lapang rasa terhimpit

Sebelum Subuh merebus ketupat
Lemang dan rendang sedia di meja
Dedah aurat tak kira tempat
Wajarkah hanya menutup mata

Segar udara di Tanah Rata
Indah pandangan di Kuala Gula
Bayi dibuang merata-rata
Butakah terhadap dosa pahala

Baju melayu teluk belanga
Baju kurung cantik berkancing
Melihat pembaziran begitu ketara
Bimbang ekonomi tambah meruncing

Manisnya rasa si buah serikaya
Masak ranum di hujung dahan
Yang berada kian bertambah kaya
Yang miskin masih dihimpit kesusahan

Merah menyerlah isi tembikai
Melihat sahaja liur meleleh
Hukum Allah mengapa dipertikai
Sunnah Nabi kenapa diperlekeh

Meredah hutan mencari petai
Dapat buluh jadikan galah
Hukum penjajah masih dipakai
Bolehkah selesai segala masalah

Petang hari pergi menjala
Rezeki dapat enak dipanggang
Maksiat masih maharaja lela
Mampukah denda jadi pengekang 

Masak lemak si buah perah
Sambal tempoyak penambat hati
Ubahlah segala sebelum parah
Negeri akhirat tetap menanti


Thursday, 22 August 2013

JENGUKLAH SESEKALI....

Sesekali bila kurenung kembali rentetan peristiwa semalam yang telah pergi meninggalkan waktu......  jelas terasa amat benarnya gandingan mantap  perlu antara seorang guru dan penjaga murid.  Namun perlu disertakan doa dan tawakkal setelah usaha dilakukan.

Meninjau kembali sejarah anak-anak didikku yang telah kulepaskan ke arus perdana, mereka yang boleh terus berjaya meredah kehidupan bersama rakan di sana adalah dalam kalangan mereka yang ayah bondanya atau penjaganya mengambil berat terhadap pelajaran.  Mereka juga boleh berjaya walaupun pada mulanya tertinggal agak jauh di belakang.  

Kiranya harapan 100 persen dibebankan kepada cikgu, mengharap seratus peratusnya daripada guru-guru di sekolah tanpa membuat susulan di rumah, ..... pasti harapan hanya tinggal harapan sahajalah.  

Apa yang terjadi adalah......  beg sekolah yang penuh terisi dengan bebanan renyukan kertas, buku latihan (buku tulis) yang semakin menipis serta kertas makluman kepada penjaga yang bersepah dan berlipat-lipat.  Ada kalanya juga terdapat permainan-permainan kecil di celahan buku-buku dan kertas tersebut. 

Alangkah baiknya tinjauan dibuat oleh penjaga terhadap isi kandungan beg sekolah sebaik-baik anak balik dari sekolah.  Kalau pun tidak setiap hari, sekali sekala apalah salahnya.  Berilah perhatian.....

Jenguklah sesekali beg anak yang bersekolah tu..... Bantu mereka membuat kerja rumah yang dibekalkan oleh guru-guru.  Tapi jangan pula ibu bapa yang menyiapkan kerja sekolah tersebut.  Guru-guru sebenarnya kenal sangat bentuk tulisan dan kerja-kerja anak anda!

Paling tidak pun, temani anak anda membuat kerja sekolahnya.  Mungkin pelajaran zaman sekarang jauh berbeza.  Namun bagi anak-anak yang agak lambat seperti di kelas pemulihan ini, kerja-kerja yang ditugaskan bukanlah berat.  Berilah perhatian dan sokongan padu bagi mereka.  Mereka tentu akan terasa dihargai.  Ucapkan sedikit kata-kata semangat dan sokonglah mereka!  InsyaAllah ini merupakan kunci untuk mereka menuju ke arah kejayaan.

Jangan lupa mendoakan mereka agar mudah menerima pelajaran, lebih-lebih lagi doa seorang ibu.  Kasihanilah mereka.  Kasih sayang amat perlu, kesabaran wajar ditingkatkan.  Kiranya kasih sayang itu hilang......  sukar untuk kita membantu meningkatkan diri mereka.

Apa yang terjadi di sekolah ialah harapan cikgu seakan tercabar dan tercalar.  Ini berikutan dengan keadaan anak-anak yang tidak berubah setelah diberi bimbingan di kelas.  Setelah pelbagai nasihat dan motivasi diberikan, mereka masih tidak endah terhadap pelajaran.  Kerja rumah yang diberi langsung tidak disiapkan. Malah lebih menyedihkan, mereka menjawab dengan selamba sahaja dengan pelbgai alasan.  Tidak langsung menunjukkan rasa bersalah, malah tidak pula meminta maaf kepada guru-guru.  

Sesungguhnya, gandingan antara guru, penjaga dan murid itu amat perlu dalam meningkatkan kemajuan anak-anak di samping mendoakan mereka serta tidak meninggalkan mereka keseorangan dalam mencari ilmu di maya ini.  Hargailah mereka dengan kasih sayang.  Jangan biarkan kasih sayang itu hilang dari pelabuhan hati mereka.............




Thursday, 15 August 2013

kirimkanlah doa

Di sini ramai yang masih alpa
Upload sakan gambar raya 
Update status penuh bangga
Bergaya dengan wajah-wajah ceria
Nak diberitahu seluruh dunia
Segalanya sudah tiada rahsia

Kedengaran dentuman meriam meraja
Apatah lagi mercun yang menggila
Pembakaran wang penuh leka
Pembaziran ringgit tidak terasa
Keseronokan tidak terhingga
Begitukah maknanya Hari Raya....

Sesungguhnya Rasulullah tidak mengajar sedemikian
Semua itu tidak ada dalam Al Quran
Kita masih terkebelakang dalam meraikan kemenangan
Cara yang jauh terpesong bagaikan dalam kesesatan

Sedang di sana saudara kita bermandi darah
Berhujan peluru hidup, badan menadah
Darah mengalir sama merah
Semua kepayahan sama diredah
Berjihad mencari syahid dan syahidah 

Tidak terasakah kita walau sedikit pun
Tidak tersentakkah kita walau sekelumit pun

Kirimkanlah doa.......
Takkan itu pun tidak mampu......





Tuesday, 13 August 2013

TEMBIKAI

Mungkin ada dalam kalangan kita yang tidak ketahui tentang tembikai.  Fakta menarik tentang tembikai ialah ia merupakan makanan kegemaran Rasulullah SAW. Sebuah hadis riwayat Abu Dawud dan Tirmizi bahawa Aisyah r.a. berkata, "Rasulullah pernah makan buah tembkai bersama buah tamar basah."  Anas bin Malik pula menceritakan , "Aku melihat Rasulullah SAW makan tembikai dan tamar." (Riwayat Tirmizi).  Tembikai dapat mencegah pelbagai jenis penyakit.  Ini bertepatan dengan apa yang diriwayatkan oleh Ibnu Asakir bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Makan tembikai sebelum makan makanan berat dapat mencuci perut dan penyakitnya."

1. PADAT DENGAN ANTIOKSIDAN
     Tembikai padat dengan antioksidan semulajadi.  Tembikai merupakan sumber vitamin C dan vitamin A yang baik serta pekat dengan beta karotena.  Antioksidan ini bergerak melalui badan dan meneutralkan radikal bebas.
     Radikal bebas ialah bahan di dalam tubuh yang boleh menjejaskan kesihatan tubuh.  Ia boleh mengoksidakan kolesterol menyebabkan ia melekat  di dinding pembuluh darah yang akhirnya membawa kepada serangan jantung dan strok.  Ia juga boleh menyebabkan serangan lelah yang teruk.
     Radikal bebas juga boleh meningkatkan inflamasi di kalangan penghidap artritis. Ia juga boleh merosakkan sel dinding usus dan menukarnya kepada sel kanser.  Vitamin C dan beta karotena boleh menghalangnya.  Kajian saintifik pula menunjukkan pengambilan vitamin C dan karotena yang tinggi boleh mengurangkan risiko penyakit jantung, kanser usus, asma dan simptom artritis.

2. MEMELIHARA JANTUNG
     Likopena yang merupakan sejenis karotenoid yang padat di dalam tembikai mampu memperbaiki fungsi kardiak.  Beta karotena yang terkenal dengan sifat antioksidan dan anti penuaannya amat baik untuk kesihatan jantung.  Ia juga mencegah masalah kardiak yang berkait dengan penuaan.  Serat, vitamin C, karotenoid dan potasium tembikai membantu mengurangkan kolesterol, justeru mampu menyelamatkan jantung.  Potasium pula mengurangkan risiko serangan jantung.

3. KENCING MANIS
     Penghidap kencing manis sering berasa lapar kerana mereka tidak boleh mengambil makanan ruji dengan banyak kerana memberi kesan buruk terhadap penyakit tersebut.  Tembikai boleh dijadikan alternatif bagi mengenyangkan perut.  Air tembikai yang banyak boleh mengatasi rasa lapar.  Kandungan mineral tembikai iaitu magnesium dan potasium boleh membantu melaraskan fungsi insulin dalam tubuh dan merendahkan kandungan gula darah.  Selain itu, arginina iaitu satu lagi komponen di dalam tembikai berkesan meningkatkan impak insulin ke atas darah.

4. DARAH TINGGI
    Potasium dan magnesium tadi sangat baik bagi menurunkan tekanan darah.  Karotenoidnya pula menghalang pengerasan dinding-dinding arteri dan vena (salur darah), sekaligus membantu mengurangkan tekanan darah.  

5. MEMELIHARA GINJAL
     Potasium di dalam tembikai membantu membersihkan mendapan toksik di dalam ginjal (buah pinggang).  Ia juga sangat membantu mengurangkan kepekatan asid urik di dalam datah, justeru boleh mengelakkan kerosakan ginjal.  Dengan memakan tembikai, ia menggalakkan kencing yang kerap.  Kencing yang kerap akan membersihkan ginjal.  Antioksidan tembikai memastikan ginjal sentiasa berkeadaan baik.

6.  MACULAR DEGENERATION
      Tiga sajian buah-buahan sehati didapati dapat mengurangkan risiko macular degeneration iaitu penyakit mata yang berkait dengan peningkatan usia (ARMD).  Kajian mendapati, pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya dengan vitamin antioksidan seperti vitamin A, C dan E, serta karotenoid dapat mengurangkan kerosakan mata yang teruk seperti hilang penglihatan.

(Rujukan : MAJALAH ANIS, Ogos 2012)

Monday, 5 August 2013

LAGU RAYA DAN REALITI KEHIDUPAN

Entah kenapa lagu raya zaman dulu-dulu tetap menjadi pilihan.  Tapi bila diteliti bait-baitnya kekadang ada kesilapan besar telah dilakukan oleh penulis liriknya.  Dalam kegembiraan menanti ketibaan Syawal, maksiat dan pembaziran turut berganding bersama.  Mana tidaknya....

Sebut saja lagu "Dendang Perantau".... semua orang tahu. Ramai yang suka. Tapi kesalahannya ada pada bait
    "....nun di sanalah tempat kubertemu
         aku dan dia.....  "

Dalam sebuah lagu lain pula begini bunyinya,
    "lekaslah adikku
     hiaskan rumahmu
     biar serba baru
      untuk para tamu..."

Tapi tidak semua lagu-lagu raya sedemikian.  Ada juga yang membawa pengajaran dan peringatan dengan bahasa yang baik dan sopan.  

Tanpa disedari dalam riang menyambut Syawal, rupa-rupanya kita telah melakukan kesilapan.  Sebagaimana dalam lagu, terkadang begitu juga yang terjadi dalam kehidupan seharian kita. 

Saban tahun berganti langsir baru, perabot baru malah berlumba pula siapa yang paling banyak kuih raya.  Hebat tu!!!  Tapi cuba kita selidiki puasa kita.  Sama-sama kita muhasabah diri.  Hebatkah puasa aku tahun ini???  Hidupkah malam-malam dalam Ramadhanku tahun ini???  Kalau tidak pun adakah puasaku tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun sudah......   

Bila mengenang itu semua, terasa sedih pula.  Aidilfitri hampir sangat dah...  namun pengisian Ramadhannya masih sangat sedikit.  Peluang keemasan hanya tinggal saat-saat genting saja lagi.  Sedangkan persiapan Syawal sudah mula dibuat sebaik-baik menjengahnya Ramadhan!  Seolah-olah mendahulukan Syawal atau melebihkan Syawal daripada Ramadhan.  

Bukanlah tidak menerima kehadiran Syawal, tapi peluang di bulan Ramadhan yang berganda pahalanya amat rugi jika tidak diraih.  Mana ada peluang sebegini di bulan-bulan lain.  Kepada yang berjaya mengharungi Ramadhan dengan mencari dan mengumpul seberapa banyak tawaran yang Allah berikan, diucapkan tahniah!!!  Mudah-mudahan saham anda itu berbaloi di kemudian hari.  Dan andalah yang sepatutnya berbangga dan bersyukur bila tiba Hari Raya.

Moga-moga madrasah Ramadhan ini menjadi batu loncatan dalam perjalanan mendidik diri anda agar berterusan melakukan amal ibadah sepanjang tahun sementara menanti tibanya Ramadhan seterusnya.