Selasa, 30 April 2013

MENANTI PENUH SABAR

Setelah lama menanti tibalah saat yang ditunggu-tunggu.  Lima tahun sekali bukanlah tempoh masa yang lama.  Tetapi ia dianggap paling lama andai kata rakyat merasakan hidup tertekan dalam tempoh tersebut.  Dan saat-saat pembubaran itu memang amat dinantikan.

Bermulanya saat dan detik itu maka masing-masing mula berkira-kira membuat pilihan.  Suasana cukup meriah bila tiba hari penamaan calon.  Berjalan mengiringi calon ....... dengan membawa bendera dan banner atau sepanduk pilihan masing-masing...... cukup teruja.  Mungkin perasaan bangga menguasai diri.  Mengharap calon masing-masing layak bertanding.

Setelah detik itu berlangsung, maka bermulalah malam-malam yang menyeronokkan.  Bagi petugas-petugas yang dilantik, waktu dan saat itu dirasakan amat berharga.  Mungkin hampir setiap malam sibuk memasang bendera, gambar calon dan pelbagai kata-kata yang meyakinkan pengundi.  Ada yang bertugas dengan menerima habuan yang dijanjikan.  Ada juga yang melaksanakan tugasan yang diamanahkan dengan rela hati.  


 Bagi mereka yang keluar bekerja di waktu pagi sudah tentu bakal melihat suasana penuh ceria mewarnai sekitar  tempat tinggal mereka.  Wajah-wajah calon pilihan mula ditonjolkan.  

Dan pada pagi berikutnya pula suasana akan bertambah ceria dan pemerhati akan kian teruja.  Petugas yang bijak akan memasangnya di tempat yang strategik, yang boleh dilihat dengan jelas oleh semua yang melalui laluan tersebut.

Bagi yang kreatif pula masa inilah idea mencurah-curah.  Pelbagai bentuk replika dibina, tidak kira sama ada ia sekadar untuk sementara atau kekal.  Teknik pemasangan bendera juga menampakkan bakat seni masing-masing.  Meriah sungguh!  Pasanglah apa pun mengikut pilihan masing-masing.  Negara ini demokrasi.  Dan belajarlah sentiasa berfikiran terbuka.  Jangan ada rasa iri hati atau berdendam.
Amatlah malang sekiranya berlakunya perbalahan antara satu sama lain hanya sekadar berpunca daripada bendera atau banner yang jatuh berserakan, atau batang bendera yang patah.  Sentiasa berbaik sangka, naikkanlah semula, pacakkan dengan lebih tegap dan tidak menghalang pandangan pengguna jalan raya atau lebuh raya.  Elakkan menutup atau melindungi papan tanda dan lampu isyarat.  Ada kalanya pemasangan yang bersepah itu mengundang bahaya. 

Majlis suaikenal calon akan rancak menyusul selepas itu.  Barangkali ada manifesto yang bakal diperjelaskan oleh calon, jua ke mana hala tuju dan harapan yang dibawa.  Dalam menghitung hari yang semakin dekat ini macam-macam boleh terjadi.  Berfikirlah dengan waras sebelum membuat pilihan.  Sesungguhnya jika salah membuat percaturan, kita bakal menggadai nasib generasi akan datang.  Jari yang memangkah ini akan menjadi saksi di akhirat nanti.  Kiranya kita memilih pemimpin yang zalim, penindasan itu bakal dirasai oleh anak cucu kita nanti.  Justeru, buatlah pilihan yang tepat.  Sesungguhnya kita bakal menuju akhirat.  Apakah nakhoda yang bakal kita pilih nanti sanggup berjuang bersama-sama kita meredah keperitan ranjau yang melanda dalam menuju negeri yang abadi.  Fikir-fikirkanlah.  Kita bertanggungjawab dengan apa yang kita pilih.  

Selasa, 23 April 2013

BERKIRA SANGATKAH?

"Pensel ada?" soalku pendek.  Semua menyahut, "Ada...."
"Pemadam ada?" tanyaku kali ini. 
"Tak ada cikgu, saya tak ada duit.  Poket pun kosong ni...." katanya sambil mengeluarkan bahagian putih poket seluarnya.  Yang lain masing-masing senyap.

Dan aku dah tak ada soalan lagi nak bertanya.  Sedang di hati bersarang pelbagai pertanyaan.  Namun tidak kulayan hasrat hati ini.  Kupaksa ia pendam begitu sahaja.  

"Nah, guna sajalah pemadam cikgu.......  tapi dah habis guna nanti pulangkan semula.  Sebab cikgu pun nak guna juga.  Ok ya?"  Dia mengangguk lesu.  Tapi wajahnya sedikit ceria.

Kasihan pula aku melihatnya.  Kekadang keadaannya seakan tidak terurus.  Anak yatim yang duduk di sebelahnya kelihatan bersih, kemas dan segak.  Walaupun tanpa ayah, ibunya cukup mengambil berat akan dirinya.  Wajahnya sentiasa mengukir senyuman.  Sejuk hati melihatnya.

Namun bila kukalihkan pandangan ke arah yang seorang ini......  rasa kesalku menyesak tiba-tiba.  Bukan kesal dengan perawakan dirinya.  Cuma kesal akan kasih yang hilang!  Ada kalanya semua alat tulisnya cukup.  Namun kelihatan dia tidak bijak menjaga barang-barangnya.  Mungkin mudah dapat...... dan begitu juga mudah hilangnya!  

Duit belanja kekadang ada, kadang-kadang tidak ada walau sesen pun.  Tapi syukurlah, dia dapat RMT dan vitamin di sekolah.  Kalau tidak bawa duit belanja pun sudah boleh makan di kantin.  Tiada siapa yang iri hati.  Rezeki masing-masing, namun bersyukurlah!

Tetapi kalau hendak membeli alat tulis di sekolah, masih memerlukan duit juga.  Dan tidak semua dalam kalangan mereka yang mendapat My kasih.... (boleh membeli dengan hanya menunjukkan kad sahaja!).

Dan kekadang akulah yang menjadi tempat rujukan untuk meminjam alat tulis.  Dah selalu benar aku berbuat demikian.  Aku tak kisah pun.  Kalau ada maka kupinjamkan, kalau tidak ada ..........  masih ada rakan (murid) lain yang baik hati menghulurkan bantuan.  Sikap muridku cukup kusenangi.  Sedia membantu kawan yang dalam kesusahan.  Walaupun kurang dari segi pencapaian akademiknya, namun ada perkara lain yang amat kuhargai.  Mereka tidak kedekut membantu!

Kekadang terfikir juga, zaman sekarang kredit handphone kalau habis cepat je di top-up.  Bukan sepuluh sen atau dua puluh sen.......lima atau sepuluh ringgit tu sudah biasa......  Kalau bagi duit belanja anak-anak rasanya seringgit pun sudah cukup bagi mereka.  Cuma bawa bekal air masak sahaja.  Begitulah keadaan kantin sekolahku.  Setakat makan seringgit tu boleh kenyang.  InsyaAllah.

Kalau dapat makanan percuma di kantin (RMT), boleh jimat.  Tapi untuk membeli alat tulis bukan boleh ambil dulu dan masukkan ke buku hutang.  Kami tidak mengajar anak-anak ini  berhutang sejak kecil lagi.  Kalau ada yang tidak cukup duit apa yang mampu dijanjikan ialah "Sila datang esok, kumpul duit dulu".  Hanya itu sahaja yang mampu kami pesan.

Kepada anak-anak didik cikgu .......  belajarlah bersungguh-sungguh.  Jangan jadikan kemiskinan itu satu alasan untuk duduk di takuk lama.  InsyaAllah anda semua boleh berjaya, tapi kena ada usaha, kesungguhan dan tawakkal kepada Allah.  Jangan tinggal solat, sayang......

Rabu, 17 April 2013

PILIHAN RAYA

Lima tahun lama menanti
Mendidik hati belajar bersabar
Gegak gempita di sana sini

Bila parlimen sah dibubar

Ambil buluh di dalam hutan
Hajat nak buat tiang bendera
Berhati-hati sikap diamalkan
Agar tiada siapa yang cedera

Berbagai warna berkibar megah 
Tampak cantik berselang seli
Jangan cemburu dan jangan marah
Naikkanlah lambang pilihan hati

Negara kita negara demokrasi
Berfikirlah dengan rasional
Kebencian orang usah dicari
Bertindaklah secara profesional

Kalau kita dah layak mengundi
Jangan lepaskan peluang ini
Buatlah pilihan tepat dan pasti
Tersilap perhitungan menyesal nanti

Ada yang hanya memilih parti
Tak kurang juga melihat calon
Semua tertanya ternanti-nanti
Bagai menunggu lama berkurun

Di kedai kopi riuh bersembang
Calon pilihan jadi bualan
Selidiklah dulu latar belakang
Sebelum kita membuat keputusan

Berperibadi mulia berakhlak terpuji
Sedia berkhidmat ikhlas di hati
Tidak hanya mementingkan diri
Bimbang janji tidak ditepati

Bertindak adil penuh saksama
Tak kira kepada apa pun bangsa
Mentaati Allah lebih utama
Wawasan akhirat penuhi dada

Sanggup bersusah sama merasa
Turun padang boleh sahaja
Sedia bertemu bila-bila masa
Tidak berkira sangat orangnya

Di hari mengundi lapangkan hati
Pilihan dah tentu di tangan sendiri
Pangkahlah dengan berhati-hati
Malaikat melihat kanan dan kiri

Andai salah membuat pilihan
Pemimpin zalim kita yang angkat
Rakyat hidup penuh penindasan
Bebanan hutang makin meningkat

Kesilapan kita di hari ini
Pasti dihitung dengan teliti
Di hari akhirat dipersoalkan nanti
Di hadapan Allah jari bersaksi

Undi kita adalah rahsia
Terserah anda memilih siapa
Berfikiran tenang jangan leka
Ingat Allah menilai kita

Ahad, 14 April 2013

YB

Bila sebut sahaja singkatan YB, pasti yang terbayang diminda ialah Yang Berhormat.  Tambahan pula angin pilihanraya bertiup kencang.  Tarikh penamaan calon pun sudah sedia maklum, tarikh mengundi pun semua sudah tahu.  

Tapi sebagai hamba Allah, berapa ramaikah yang sedar bahawa YB itu membawa maksud besar.  Yang Berkhidmat.......

Sebagai khalifah di muka bumi ini kita adalah Yang Berkhidmat kepada Allah, Yang Berkhidmat menegakkan agamaNya.  Betapa besar amanah yang tergalas di bahu kita.  Alangkah beratnya tanggungjawab itu.  Wajarkah kita hanya duduk diam dan hanya sekadar memerhati tanpa ada tindakan walaupun seinci?  

Sebagai hamba Allah, kepada Allah jualah tempat kita berkhidmat.  Setelah Allah mengizinkan kita bernafas di jagatNya ini, dianugerahkan kemurahan rezeki dan kesihatan yang baik, wajarkah kita mendiamkan diri menikmati semua ini dengan penuh rasa bangga dan beranggapan semua itu atas usaha dan jerih payah kita semata-mata?  Apakah kita tidak sedar bahawa kasih sayang dan ehsan Allah itu sentiasa bersama kita?

Jangan hanya menjadi Yang Berkhidmat kepada anak isteri atau suami, YB kepada boss di pejabat atau tempat kerja, hingga kita lupa bahawa yang utama kita wajib berkhidmat kepada Maha Pencipta.  Dia Yang Maha segala-galanya, Maha Pemberi Rezeki, Maha Pemurah. Maha Mengasihani.  

Dalam surat rasmi sering kita titipkan 'Yang Menurut Perintah' .... (menurut perintah boss atau ketua jabatan)....  tapi adakah kita juga Yang Menurut Perintah Allah???  Allah adalah BOSS kita yang paling utama.  Tak mungkin kita akan terlepas dariNya di akhirat sana kalau di dunia ini lagi kita tidak Berkhidmat dan tidak Menurut PerintahNYA.

Belajarlah untuk Berkhidmat kepada semua, kepada ayah bonda, kepada keluarga. masyarakat dan negara.  Namun jangan lupa perkara utama kita kena menjadi insan Yang Berkhidmat kepada Allah dan agamaNYA.  Tanggungjawab besar itu jangan diabaikan.  Ia berkait rapat dengan kehidupan kita sesudah mati.  

Sabtu, 13 April 2013

MENGHADAPI CABARAN

Berhadapan dengan anak murid yang seorang ini begitu mencabar dan hingga ke saat ini cabaran itu tetap terpaksa dihadapi.  Kadang kala rasa putus asa cuba menggoda........

Namun kutabahkan jua hati belajar menjadi sabar menghadapi kerenahnya.  Pandangan dan aduan tentangnya di kelas kuterima dengan hati terbuka.  Apa pun label mereka terhadap anak murid yang seorang ini, terserahlah.  

Kekadang aku mengambil peluang merenung matanya dalam-dalam. Wajahnya  tampak bersih tapi pandangannya agak redup, seakan menyembunyikan sesuatu.  Teramat kurang senyum tatkala berhadapan denganku.  Namun aku bersyukur kerana kemahiran yang diajar telah mula dikuasai.  Usaha dan doaku telah mula menampakkan hasil.

Pernah rakanku mengesyorkan agar dia dirujuk kepada pengamal perubatan.  Tapi apabila perkembangan terkini menampakkan hasil yang baik, kupadamkan sahaja saranan itu.  Memang ternyata lambat tapi menunjukkan sedikit kemajuan.  Dan kemajuan yang sedikit itulah yang membanggakan, syukur alhamdulillah.  Biarlah apa orang kata......   yang penting apa Allah kata.  Biarlah apa pun pandangan orang, namun pandangan Allah lebih utama.  Itu yang kupegang.

Dan aku tak akan menoleh ke belakang lagi.  Perjalanan mesti diteruskan walau betapa sukarnya mendidik dia.  Biarlah apa yang mereka nak kata..... aku tetap yakin dengan rahmat Allah.  Sesungguhnya kejayaan yang dicapai dari setiap kekecewaan dan penderitaan itu mengandungi nikmat yang tinggi nilainya.  

Selasa, 9 April 2013

BELAJAR MENGHARGAI

Ya Allah kurniakan aku kekuatan dan kesabaran dalam mendepani situasi yang tidak dijangka......   mudah-mudahan aku dan ibu-ibu yang lain belajar bersyukur saat diuji.

Sebaik-baik menerima panggilan telefon dari puteri kesayangan di hostel, aku berrgegas ke sana.  Dengan segera memohon keizinan dari warden agar mengizinkan aku membawa pulang anakanda yang mengadu demam sejak semalam.  Terima kasih cikgu!

Sebelah malamnya kami segera ke hospital di bahagian kecemasan.  Pemeriksaan berlanjutan membuatkan hatiku sedikit bimbang.  Menurut jururawat bertugas, suhu badannya agak tinggi.  Contoh darah diambil.  Air dimasukkan ke tubuhnya yang kelihatan kurang bermaya.  

Tidak nampak jelas kesakitan yang ditanggungnya.  Mungkin Allah memberi kekuatan padanya.  Penantian yang agak lama begitu membosankan kerana sikap tergesa-gesa membuatkan aku lupa membawa teman setiaku untuk dihadam bersama tatkala menunggu lama.  Dalam keadaan yang agak kelam kabut itu satu naskhah majalah atau buku pun tidak kucapai.  

Kedengaran di kaunter agak bising dengan leteran seorang wanita mengenai anak bujangnya yang lebih dahulu dimasukkan ke wad yang sama.  Perbualan mereka tidak kuhiraukan kerana aku lebih bimbang akan situasi anakanda yang dikasihi.  Namun aku mencuri dengar biji butir yang dikisahkan akibat nada suara yang agak tegang kala itu.  Ibu tua itu berungut tentang kedegilan anaknya.  

Suami yang menunggu di luar kukhabarkan akan situasi sebenar.  Oleh kerana  masa menunggu agak lama, kumaklumkan agar dia berehat atau tidur dahulu. Jam telefon bimbitku menunjukkan hampir 11.00 malam.  Dalam tempoh menunggu itu, pelbagai peristiwa berlaku.  Wad Pemerhatian malam itu agak sibuk.  Pesakit bersilih ganti.  Doktor keluar masuk memastikan situasi pesakit.  Jururawat yang seorang itu bertugas dengan penuh dedikasi.  Kelihatan daripada perbualannya dengan doktor aku dapat menangkap bahawa malam itu jumlah pesakit di luar jangkaan.

Rupa-rupanya siang malam keadaannya serupa sahaja.  Kuingatkan lewat malam begitu tidak sesibuk waktu siangnya.  Namun sangkaanku meleset!

Kebetulan bekas anak muridku juga ditempatkan dalam wad yang sama akibat kemalangan jalan raya.  Itupun setelah mataku tertancap pada sampul surat yang terletak di kaunter jururawat bertugas.  Rupa-rupanya ibu yang bising tadi adalah ibu anak muridku itu.  Dalam ramai-ramai pesakit yang berkongsi wad pemerhatian malam itu, hanya dia seorang sahaja yang terlibat dalam kecelakaan jalan raya.  

Sempat bertanya khabar tentangnya seketika.  Namun aku tak berhasrat memanjangkan bicara memandangkan dia dalam keadaan kurang selesa.  Dia tidak dibenarkan makan atau minum sehingga jam 3.00 pagi bagi mengesahkan keadaannya.  Betapa bimbangnya hati si ibu mendapat berita hal anak sedemikian.  Suara cemasnya tadi berlegar seketika dalam kepalaku.  Mudah-mudahan anak muda ini mengambil iktibar daripada apa yang terjadi.  Juga diharapkan agar tiada perkara buruk menimpanya nanti.  Itu sekadar harapan dari seorang bekas gurumu.  Doa seorang ibu itu lebih hebat lagi!

Beralih kepada pesakit lain yang turut berkongsi wad dengan puteriku, rata-rata ibu yang menjaga dan mengawasi mereka.  Betapa besarnya pengorbanan seorang ibu.  Di wajah masing-masing penuh mengharap agar semuanya berjalan dengan baik.  Menaruh harapan agar penyakit yang datang akan beransur pergi.  Begitu juga aku.

Orang lain bersilih ganti meninggalkan wad sebaik-baik urusan selesai.  Namun ditakdirkan aku menunggu agak lama.  Sesekali aku merenung wajah puteriku.  Dalam keadaan terbaring lemah, sesekali dia mengisyaratkan kepadaku agar membantu membetulkan tudung dan lengan bajunya.  Auratnya perlu dijaga dalam keadaan wad yang terbuka.  Tambahan pula yang berurusan di situ tidak kira lelaki atau wanita.  

Kecekapan melaksanakan tugas membuatkan aku tabik hormat kepada jururawat tersebut.  Hanya dia seorang yang ditempatkan di wad pemerhatian berkenaan.  Sedangkan pesakit bergilir-gilir minta diperhati!  Tidak kira siapa pesakitnya, dia tetap melayan penuh hormat.  

Dan akhirnya aku mengungkapkan terima kasih kepadanya setelah urusanku selesai.  Sebanyak 3 botol air dimasukkan ke tubuh puteriku!  Suhu badannya dipastikan agak stabil sebelum meninggalkan hospital.  Sampel darah yang diambil mengesahkan tiada apa-apa yang buruk menimpa dirinya.  Bimbang juga aku kerana penghuni katil di hujung sana didapati positif denggi.  Dia sebaya usia dengan anakandaku.  Mudah-mudahan juga pesakit itu segera sembuh.  

Berbekalkan ubat yang diberi serta sijil cuti sakit yang diterima, kami melangkah pulang.  Si abang di rumah yang mengawasi adik-adik yang sudah lena turut bimbang.  Dia menelefon untuk memastikan kesihatan adindanya. 

Sebaik-baik sampai di perkarangan tempat parkir kereta, kelihatan suamiku tertidur.  Keletihan menunggu.  Jam menunjukkan hampir 2.00 pagi.  


Sabtu, 6 April 2013

BELAJARLAH LEBIH KREATIF

Anak-anak merupakan anugerah yang Allah berikan kepada pasangan suami isteri.  Amanah yang diberikan itu perlu dididik dan diasuh dengan sebaik mungkin.  Menegur bukanlah merupakan satu-satunya cara untuk membetulkan kesalahan mereka.

Cara mendidik anak-anak boleh dipelbagaikan.  Jadi didiklah mereka mengikut tahap usianya.  

* Lebihkan pujian daripada teguran
- tegurlah kesalahan mereka
- banyakkan pujian ke atas sifat baik mereka

* Bezakan kesalahan sengaja atau tidak
- jangan terus menghukum kesalahan yang tidak disengajakan
- jika kesalahan itu sengaja dilakukan, beri peringatan dan amaran terlebih    
  dahulu

* Bimbing anak-anak rasa bersalah
- jangan terus menyalahkan mereka jika mereka membuat kesalahan
- gunakan pendekatan memujuk dan nyatakan kesan buruk akibat kesalahan

* Mempunyai nilai yang sama
- ibu bapa wajar memiliki nilai murni dan pandangan yang sama agar anak 
  tidak keliru untuk menyokong atau mematuhi nilai yang diterapkan
 
* Tahu bezakan nakal dan jahat
- berikan pilihan aktiviti yang lain untuk mengelak daripada melakukan 
  perbuatan nakal
- perbuatan jahat perlu ditangani dengan lebih tegas

(rujukan: solusi april 2013)

Isnin, 1 April 2013

SEMAKIN TUA

Bila dunia dikatakan semakin tua, maka ada wajarnya kita sama-sama cermin diri.  Ia bukanlah membawa maksud memandang wajah di cermin...... membilang kedutan di dahi, atau menghitung berapa banyak tahi lalat yang ada, ataupun berkira-kira mahu mengembalikan kecantikan wajah yang sering dilupakan.  

Sesungguhnya kita juga meningkat tua tatkala sehari berlalu pergi.  Tak kiralah sama ada usia kita sekarang baru mencecah belasan tahun atau menjengah tiga puluhan atau melewati setengah abad.  Biarlah apa yang kita buat hari ini lebih baik daripada semalam.  Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan mereka yang beruntung.  

Yang benar-benar merasakan dirinya tua, seringkali menyatakan bahawa mereka lebih dulu makan garam.  Banyak pengalaman, serta sudah terlalu banyak ilmu di dada.  Bagaimana pula mereka yang muda?  Walaupun mungkin kurang pengalaman, tapi penuh dengan pengetahuan.  Malahan mereka lebih mahir dalam mendapatkan maklumat di hujung jari!  

Alangkah baiknya jika digandingkan bersama orang lama dengan orang baru.  Sama-sama berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam meneruskan kehidupan yang kian meningkat tua bersama tuanya usia bumi kita.  Entah esok atau lusa kita akan meninggalkan dunia fana ini.  Belum pasti tika itu usia kita masih muda belia atau tua bangka (maaf atas sedikit kasarnya bahasa).  Apa yang pasti sempatkah kita menyediakan bekalan untuk dibawa ke negeri yang abadi?

Mudah-mudahan kita tidak menunggu esok untuk membuat kebajikan dan mencegah kemungkaran.  Hanya sekarang merupakan masa yang kita ada.  Menunggu esok bermakna usia kita kian tua sehari, maka sia-sia sahaja masa yang berlalu.  Belum pasti kita mampu bernafas esok hari!  Sesungguhnya hanya DIA Maha menentukan.  

Ringkasnya, JANGAN TUNGGU ESOK.  Belum tentu esok untuk kita.