Jumaat, 28 Jun 2013

SELAMAT DATANG RAMADHAN




Di kiri serai di kanan pandan,
Dijaga nanas tumbuh seperdu;
Selamat datang duhai Ramadhan,
Hati menantimu penuh rindu.

Petik setangkai si daun kari,
Buat masakan di tengah hari;
Menghitung waktu engkau dinanti,
Hajat bertemu sua kembali.

Mencari rotan di tengah rimba,
Bawalah teman si anak muda;
Menahan lapar jua dahaga,
Merasa susahnya pada yang tiada.

Masak lepat berisi inti,
Inti kelapa membuka selera;
Sulami simpati dengan empati,
Betapa ehsannya meruntun rasa.

Tepung pelita turut dijaja,
Puteri mandi tidak dilupa;
Perut telah lama bekerja,
Izinkan ia berehat pula.

Hinggap mari si burung bayan,
Di atas dahan di waktu senja;
Hawa nafsu jangan dilayan,
Usah membazir di bulan mulia.

Mekar mengharum mawar di taman,
Kembang melati putih warnanya;
Bersama malam kita hidupkan,
Solat tarawih bersama-sama.

Manis rasanya buah pulasan,
Jangan lupa si buah mangga;
Burulah satu peluang keemasan,
Tadabbur Quran seisi keluarga.

Gelak tawa tambah meriah,
Anak kecil begitu adatnya;
Zakat fitrah dan sedekah jariah,
Tanda kasih sesama manusia.

Berpencak silat di tengah medan,
Menyambut pengantin jauh bertamu;
Selamat datang wahai Ramadhan,
Tidak sabar menunggu hadirmu.

Selasa, 25 Jun 2013

JEREBU

Takkanlah hanya memandang indeks pencemaran saja
Sampai ke satu tahap kita berada dalam bahaya
Mengeluh sini sana

Berfikirlah sejenak.....
Sesungguhnya ada hikmah di sebalik musibah
Panjatkanlah doa dan barangkali mungkin solat hajat
Solat sunat mohon diturunkan hujan
PadaNYA jua kita mengadu

Usah sesekali mohon pada yang tidak punya kuasa

Takkan mungkin mampu mengatasi ujian sebegini
Barang tentu mungkin menyalahkan pihak lain
Menyumpah seranah tak ketahuan

Duduklah muhasabah diri
Merenung pada semalam
Agar kita tak mudah melatah
Mendepani ujian Tuhan
.....Bersyukurlah saat diuji........



Ahad, 23 Jun 2013

LABU

Siapa suka makan labu?  Apa yang terbayang di minda kita ialah sayur lemak labu, lepat labu, bingka labu dan mungkin juga cucur atau jejemput labu.

Tapi tahukah kita bahawa junjungan besar Nabi Muhammad SAW suka makan labu?  Anas bin Malik memberitahu bahawa Nabi suka labu.  Kata Anas: "Pada suatu hari Rasulullah dihadiahkan kuah yang di dalamnya ada labu dan daging.  Aku perhatikan Baginda mencari-cari labu untuk dimakan." ( Riwayat Al Bukhari).

Anas menceritakan lagi temtang sahabat tukang jahit menjemput Rasulullah SAW untuk jamuan yang dibuatnya sendiri.  Lalu aku perhatikan Nabi mencari-cari labu.  Sejak hari itu aku pun suka labu.  (Riwayat al Bukhari dan Muslim).  Para sahabat arif akan kegemaran Nabi ini.

Jadi, anda boleh tumpang berbangga jika anda juga penggemar labu.  Nabi kita suka makan labu!


Rujukan: Solusi isu 57


Sabtu, 15 Jun 2013

RINDU

Terlalu sibukkah Along?  Umi tiba-tiba jadi rindu padamu.  Orang bercuti setelah tamat peperiksaan akhir.  Namun Along masih sibuk mengambil semester khas.  Seperti biasa sibuk dengan assignment dan pembentangan.  

Kerapkali waktu cuti Along sibuk pula dengan group qasidah.  Ada kalanya ke KL atau Shah Alam meraikan kehadiran Syed Syeikh yang terkenal itu.  Kelibat Along kekadang dapat adik-adik lihat di kaca TV dalam kesesakan peminat Ya Hanana itu.  Dan Adik selalu kata, "Bila Along nak balik?".  Adik pun rindu, inikan lagi umi.....


Along kata sibuk pula dengan tasmik bersama ustazah.  Sudah berakhirkah tasmik tu?  Umi di sini sibuk juga sejak buka sekolah ini.  Namun ingatan pada Along kekadang menjengah juga.  Sementelah Angah pun sudah merantau jauh.  Barangkali mungkin raya nanti baru pulang.  Dua orang anak umi bakal berpuasa di rantauan.  Umi bakal terkenang-kenangkan kalian nanti.  Dua tempat kosong pasti ada di meja makan.  Dapatkah kali ini kami solat berjemaah berimamkan Along atau Angah?

Ada kelapangan sebelum menjengahnya semester empat nanti, Along?  1 Julai Along kena menyambung kuliah lagi.  Dah hampir sangat kita nak berpuasa.  Kami tahu Along sibuk.  Balik ye Along........ kami rindukan Along.  






Ahad, 9 Jun 2013

CUTI DAH TAMAT

Sekadar dua minggu itu banyak peristiwa yang berlaku.  Bersama anak-anak yang sentiasa di depan mata, almaklum...  semuanya bercuti, kecuali Along.  Bagi Adik dan Bang Chik yang selalu 'berperang'..... peperangan itu tetap diteruskan.  Ada kalanya Kak Lang yang meleraikan.  

Dan Kak Lang seperti biasa sibuk dengan melayari internet mencari bahan untuk menambah ilmu sementelah dia merupakan calon SPM tahun ini.  Kak Uda pula yang memegang amanah sebagai pengawas pusat sumber di sekolah begitu asyik bergelumang dengan buku dan majalah yang ada di rumah.  'Ulat buku' macam itulah gayanya.....

Manakala Bang Ngah yang berhadapan dengan kesukaran untuk membuat pilihan dalam menentukan tempat bagi menyambung pelajarannya, akhirnya memilih negeri Pahang sebagai destinasinya menambah ilmu!  Allah Ya Allah...................... jauhnya.....  Apa pun kini dia telah berada di perantauan di Kuantan yang tetap menjadi pilihannya.  Alhamdulillah selamat sampai di sana dan berjaya dalam sesi ujian dan temuduganya.  Jaga diri baik-baik sayang, kukuhkan kebergantunganmu pada Allah.  Terlalu hebat ujian di luar sana, terutama dalam usia remajamu.  Letakkan Allah dan Rasulullah di hatimu.

Dan Along yang tetap dalam ingatan..... tahniah dari umi di atas kejayaanmu dalam ujian semester lepas.  Jangan terlalu sibuk dengan group qasidah hingga mengabaikan pelajaranmu.  Berusahalah jika kedua-duanya boleh diseimbangkan.  Umi tidak melarang, malah menyokongmu dari kejauhan.

Bonda tercinta..........sebulan dirimu berada di sisi kami sekeluarga, mohon jutaan kemaafan dari kami andaikata ada tingkah yang menyinggung hatimu.  Maafkan jika ada terlebih terkurang, maklumlah budak-budak dan anak remaja terkadang lain minat dan pilihannya.  Mungkin ada juga gurauan mereka menggugat nalurimu.  Sebagai insan yang punyai banyak pengalaman, sesekali tegurlah mereka.  Anak-anak perlukan bimbingan.  Dan kini engkau beralih pula di rumah adik Nor, harapan kami agar engkau kan kembali bila Ramadhan menjelma nanti.  Boleh kita sama-sama berpuasa dan bertarawih.

Buat suami tercinta........ mudah-mudahan bersabar dengan kerenah anak-anak yang terkadang memeningkan kepala.  Teruskanlah mencari rezeki dan memberi komitmen kepada kami semua.  InsyaAllah, mudah-mudahan Allah memberi kekuatan dan ketabahan dalam mendepani ujian dan dugaan yang mendatang.

Walau cuti persekolahan sudah tamat tempohnya, namun perjuangan mendaulatkan Islam takkan tamat sampai bila-bila.  Dan perjalanan ini mesti diteruskan dengan membawa mesej-mesej Islam kkerana kita adalah khalifah di muka bumi ini.