I made this widget at MyFlashFetish.com.

Friday, 31 January 2014

KANGKUNG

Entah kenapa teringar jer lagu "Lenggang-Lenggang Kangkung".  Justeru kunukilkan pantun ini.

Lenggang Kangkung nama diberi,
Itulah lagu waktu dahulu;
Sekarang diri dah besar tinggi,
Ingatan tetap padamu ibu.

Tengah hari menumis kangkung,
Tumis kangkung dalam kuali;
Kasihmu ibu tak mampu kuhitung,
Sayangmu ayah seikhlas hati.

Tumis kangkung campur belacan,
Harum semerbak bau di dapur;
Seringkali ibu berpesan,
Jangan leka asyik berhibur.

Petik kangkung di dalam parit,
Hati-hati bertinggung di tebing;
Mencari rezeki susah dan perit,
Jasamu ayah tidak terbanding.

Semangkuk kangkung di atas meja,
Buat hidangan para tetamu;
Walaupun diri sibuk bekerja,
Pulang ke kampung luangkan waktu.

Beli kangkung di pasar tani,
Jangan lupa sebotol budu;
Cucu-cucu penghibur hati,
Datuk dan nenek menanggung rindu.

Tanam kangkung di atas batas,
Subur tumbuhnya melata di tanah;
Memang tiada jalan pintas,
Rajin berusaha tak kenal lelah.

Celur kangkung dibuat pecal,
Makan bersama penuh selera;
Hidup di dunia sediakan bekal,
Moga di akhirat tidak merana.

Cantik kangkung bunganya putih,
Kembang pagi di tepi longkang;
Bersangka baik hati yang bersih,
Berburuk sangka jangan sebarang.

Kalau kangkung naik harga,
Sayur lain pun banyak lagi;
Pangkat dan harta tiada nilainya,
Amal ibadah dibawa mati.

Sunday, 19 January 2014

KASIHILAH MEREKA YA ALLAH

Seperti biasa, sebelum meninggalkan emak dan ayah, aku bersalam sambil mengucup tangan mereka.  

"Doakan mak ya...." perlahan tutur bicaranya.  Jelas kedengaran di telingaku. 

"Tak pernah lupa, mak..." jawabku.  Kupeluk emak erat-erat.  Sebak terasa. Emak agak kurus sekarang.  Daging-daging di badannya telah mengendur.  

Aku beralih kepada ayah pula.  Kukucup tangannya.  Lama tanganku digenggam.  Lantas kupeluk ayah.  Kurenung ke wajahnya.  Ayah amat berharap kami pulang pada cuti Tahun Baru Cina nanti.  Pada waktu tersebut ayah akan mengadakan majlis sambutan Maulidur Rasul di rumah.  Ustaz yang berkenaan telah dijemput.

Kawan baik ayah telah membuat tempahan makanan tengah hari untuk hari itu.  Oleh kerana abang Shamsul tidak dapat hadir pada hari yang dimaksudkan, maka harapan ayah hanya pada kami. Abang Shamsul ada urusan di Kuala Lumpur, menurut ayah.  Manakala suamiku pula ada urusan pada tarikh berkenaan.  

Dalam perjalanan pulang, aku memaklumkan kepada suami andaikata dia tidak dapat hadir nanti atas urusan yang mungkin tak dapat dielakkan, maka aku dan anak-anak insya-Allah akan pulang juga bagi memenuhi harapan dan permintaan ayah.  

Anak-anak memang pantang diajak untuk pulang ke kampung, seronok bukan kepalang!  Alhamdulillah, jarak antara rumah kami tidaklah jauh.  Ini memungkinkan kami untuk pulang menjenguk selalu walaupun hanya 'balik hari' sahaja.  

Dalam hati aku berdoa mudah-mudahan Allah mengizinkan kami kembali ke rumah Tok Gemuk dan Tok Wan pada tarikh yang dimaksudkan.  Sihatkan tubuh badan mereka Ya Allah.  Permudahkan urusan insan yang begitu istimewa bagiku, malah bagi kami seisi keluarga.

Teringat kata anakku, " Umi, Tok Gemuk dah tak gemuk lagi ya.  Dia dah kurus dah......" 
Hatiku diketuk kepiluan......



Saturday, 18 January 2014

DIA....KEKASIH ALLAH


 Tahun berganti, musim berlalu.  Maulidur Rasul datang lagi.  Namun ungkapan kasih padanya (Rasulullah SAW) hanya di bibir sahaja.  Sedang hati barangkali mungkin berat mengikut sunnah dan akhlak baginda. 

Semua maklum bahawa Nabi Muhammad SAW merupakan kekasih Allah.  Baginda patut menjadi idola buat sesiapa sahaja di muka bumi ini.  Bagindalah sebaik-baik contoh ikutan.

Namun dalam kita berqasidah memuji dan mengingati baginda, masih ramai lagi yang masih tidak percaya dan memandang sepi hukum Allah.  Wajarkah beria-ia benar menyambut dan mengadakan majlis sambutan Maulidur Rasul sedangkan apa yang Rasulullah suruh tidak kita laksanakan.  

Mengaku Nabi Muhammad SAW itu pesuruh Allah, dan nabi yang terakhir tapi masih berhelah dalam melaksanakan hukum yang Allah perintahkan yang dibawa oleh Rasulullah SAW.  Kekadang memperlekeh mereka yang mengamalkan sunnah Rasulullah.  Malah tahu bahawa hukum Allah itu benar, namun masih bertapi-tapi lagi untuk melaksanakannya.  

Dulu kita sibuk memandang ke timur, melihat cara bekerja orang di sana.  Dan diterapkan di negara tercinta ini.  Tapi dari aspek bahasa, mereka mengutamakan bahasa ibunda mereka sendiri.  Mengapa tidak kita?  Kita ada bahasa ibunda, tidak pula kita mengutamakannya.  Masih lagi berdolak dalih, malah berbangga mewar-warkan PPSMI. Apa untungnya?   Dan kini yang dibangga-banggakan itu bersepai bak kaca terhempas ke bumi.  Yang jadi mangsa.......  anak-anak yang tidak berdosa!

Jika benar kita ada jati diri, letaklah Islam dan perundangannya di nombor satu.  Rasulullah SAW sebagai suri teladan.  Ada baiknya kita ubah memandang ke negara jiran kita yang paling hampir.  Bertuahnya bumi negara jiran ini yang penuh yakin dengan janji Allah.  Malah Allah menganugerahkan lagi rezeki berlipat ganda buat mereka.

Rasulullah SAW yang sama-sama kita kasih meninggalkan kepada kita Al Quran sebagai panduan hidup.  Janganlah diambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain.  Sesungguhnya kesemua isi Al Quran itu wajar diamalkan dalam kehidupan seharian.  Ia sesuai untuk semua zaman........ dulu, kini dan selamanya.