Sabtu, 18 Januari 2014

DIA....KEKASIH ALLAH


 Tahun berganti, musim berlalu.  Maulidur Rasul datang lagi.  Namun ungkapan kasih padanya (Rasulullah SAW) hanya di bibir sahaja.  Sedang hati barangkali mungkin berat mengikut sunnah dan akhlak baginda. 

Semua maklum bahawa Nabi Muhammad SAW merupakan kekasih Allah.  Baginda patut menjadi idola buat sesiapa sahaja di muka bumi ini.  Bagindalah sebaik-baik contoh ikutan.

Namun dalam kita berqasidah memuji dan mengingati baginda, masih ramai lagi yang masih tidak percaya dan memandang sepi hukum Allah.  Wajarkah beria-ia benar menyambut dan mengadakan majlis sambutan Maulidur Rasul sedangkan apa yang Rasulullah suruh tidak kita laksanakan.  

Mengaku Nabi Muhammad SAW itu pesuruh Allah, dan nabi yang terakhir tapi masih berhelah dalam melaksanakan hukum yang Allah perintahkan yang dibawa oleh Rasulullah SAW.  Kekadang memperlekeh mereka yang mengamalkan sunnah Rasulullah.  Malah tahu bahawa hukum Allah itu benar, namun masih bertapi-tapi lagi untuk melaksanakannya.  

Dulu kita sibuk memandang ke timur, melihat cara bekerja orang di sana.  Dan diterapkan di negara tercinta ini.  Tapi dari aspek bahasa, mereka mengutamakan bahasa ibunda mereka sendiri.  Mengapa tidak kita?  Kita ada bahasa ibunda, tidak pula kita mengutamakannya.  Masih lagi berdolak dalih, malah berbangga mewar-warkan PPSMI. Apa untungnya?   Dan kini yang dibangga-banggakan itu bersepai bak kaca terhempas ke bumi.  Yang jadi mangsa.......  anak-anak yang tidak berdosa!

Jika benar kita ada jati diri, letaklah Islam dan perundangannya di nombor satu.  Rasulullah SAW sebagai suri teladan.  Ada baiknya kita ubah memandang ke negara jiran kita yang paling hampir.  Bertuahnya bumi negara jiran ini yang penuh yakin dengan janji Allah.  Malah Allah menganugerahkan lagi rezeki berlipat ganda buat mereka.

Rasulullah SAW yang sama-sama kita kasih meninggalkan kepada kita Al Quran sebagai panduan hidup.  Janganlah diambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain.  Sesungguhnya kesemua isi Al Quran itu wajar diamalkan dalam kehidupan seharian.  Ia sesuai untuk semua zaman........ dulu, kini dan selamanya.

Tiada ulasan: