I made this widget at MyFlashFetish.com.

Friday, 11 April 2014

SELAMAT PERGI SAHABAT

Menerima khabar tentang pemergianmu,membuat hati kian direnggut sayu.  Bukan aku tidak rela menerima takdir Allah, atau tidak redho dengan semua itu.  Cuma teringatkan anak-anak yang ditinggalkan.

Imbauan kembali mengingat detik-detik permintaanmu tatkala suamimu kurang sihat dulu.  Waktu itu aku diminta menjemput pulang anakmu Husna di Ipoh kerana engkau terpaksa berada di sisi suami tercinta yang berjuang menghadapi penyakitnya.  Kebetulan anak-anak kita terpilih menyertai perkhemahan di utara tanah air.  Tahniah buat mereka berdua.  

Selang beberapa hari selepas itu suamimu menghembuskan nafasnya yang terakhir.  Sejak itu engkaulah ibu, kaulah jua ayah kepada anak-anak.  Betapa tabahnya engkau menghadapi ujian.  

Samanya kami ialah punya tiga orang anak yang sebaya.  Anak keduaku pernah sekelas dengan anak sulungmu, Nabil semasa di Sekolah Kebangsaan ACS, Sitiawan.  Bila meningkat ke tingkatan satu, anakku Firdaus ke Madid manakala anakmu Nabil ke Al-Mizan.  Sama-sama dalam daerah Kuala Kangsar!  

Seterusnya untuk tahun berikutnya, Husna pula berjaya ke Madid. Tetapi Atiqah tidak berjaya di dalam ujian kelayakan untuk ke sana.  Ada ketikanya kita terserempak di Madid tatkala menjenguk anak-anak.  

Setelah memegang jawatan Fasilinus di PPD Manjung, engkau tetap seperti dulu.  Masih mesra bagai selalu.  Acapkali juga kita terserempak di Pekan Rabu, Batu 11.  Kekadang engkau bersama ibumu yang menjadi penemanmu.  Kemesraan kita masih segar di ruang mata.  

Kebetulan pula Nabil pernah menjadi guru ganti buat sementara waktu memegang kelas anakku di SMK Batu Sepuluh.  Kami sempat berbual buat beberapa ketika semasa mengambil keputusan ujian.  Dia masih ingat lagi padaku dan Firdaus.  Dan kali ini berkesempatan pula menjadi guru bergelar 'Ustaz Nabil' kepada adik Firdaus, iaitu Farhan.  

Dan kini, anak-anak yang kukenal lebih-lebih lagi Nabil dan Husna serta dua orang lagi adik-adiknya menjadi anak yatim piatu.  Kesedihan menjengah seluruh ruang rasa.  Ya Allah, lindungilah anak-anak itu yang kehilangan kasih ayah bonda.  Berikan kekuatan, ketabahan dalam mendepani cabaran di bumi bertuahMU ini.  Sesungguhnya Engkau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.  Ada hikmah di sebalik ujian yang Kau turunkan ini.  

Buat sahabatku Salmah....... mudah-mudahan sentiasa bahagia di sana, dicucuri rahmat dan tergolong dalam kalangan mereka yang beriman, insyaallah.  Kau seorang adik yang baik, sentiasa tenang, tabah dan sabar.  Terasa mahu menitis air mata ini untuk mengakhiri bicara sendu ini.  Salam sayang dari kak ida......


No comments:

Post a Comment