I made this widget at MyFlashFetish.com.

Saturday, 14 June 2014

RAMADHAN KEMBALI LAGI

Beberapa hari sahaja lagi bulan Ramadan yang mulia bakal tiba.  Mudah-mudahan Ramadan kali ini tidak seperti Ramadan yang lalu.  Kalau facebook sering statusnya di update, hendaknya Ramadan yang akan menjelang ini begitu jua.  Hari-hari dalam bulan puasa itu wajar kita updatekan dari semasa ke semasa.

Bilangan hari berpuasa sudah tentu seperti Ramadan sebelumnya.  Tak mungkin kita boleh ubah sesuka hati.  Cuma pengisian di dalamnya perlu diperbaharui.  Sentiasa dikemaskini, ditambahbaik dari hari-hari sebelumnya.

Dalam gembira kita menyambut bulan yang penuh keberkatan ini, ada pihak yang lebih lagi gembira daripada kita.  Apa tidaknya, orang bisnes sudah awal-awal lagi menceriakan suasana.  Pelbagai produk mereka sudah mewarnai iklan di pelosok tanah air menerusi media arus perdana.  

Tidaklah salah untuk melariskan jualan, namun berpada-padalah.  Rancangan-rancangan menarik bakal membanjiri siaran televisyen dalam tempoh Ramadan ini.  Filem dokumentari berkaitan sirah Nabi dan lokasi tempat bersejarah yang berkaitan, kekadang membuatkan kita begitu teruja. Beberapa siri kuliah dan pengajian bagi menambah ilmu memang dinanti-nantikan.

Dalam menanti Ramadan yang diraikan, ada juga yang 'terover' hingga mendahulukan Hari Raya.  Pelbagai fesyen pakaian dan beraneka juadah raya menjadikan kelihatannya Hari Raya lebih diutamakan daripada bulan Ramadan. Kegilaan menyambut Hari Raya nampaknya bagai meminggirkan Ramadan.

 Sepatutnya kita sama-sama menyambut Ramadan ini dengan aktiviti yang bermanfaat dan menambah nilai dengan pengisian yang lebih bermakna.  Jangan hanya Ramadan setakat menahan lapar dan dahaga sedangkan hawa nafsu lainnya kita layan semahunya.

Biar Ramadan kita kali ini diupgradekan semahu-mahunya.  Sama-sama kita mohon kepada Yang Maha Esa agar teguhkan iman, dan kita diberikan kekuatan dalam meningkatkan amal ibadah dalam Ramadan Al Mubarak nanti.  Insha-Allah.





Wednesday, 11 June 2014

GURU OH GURU

Merenung kembali zaman silamku....... mula mengenal ABC dan 123 jua alif ba ta, darimu yang bergelar 'guru'.  Bertahun mendidikku sedari awal, bermula di tadika.

Melangkah ke sekolah rendah ..... ilmu kian bertambah.  Guru makin ramai.  Mengajarku dan rakan-rakan dengan penuh sabar.

Melangkah lebih jauh ke sekolah menengah ..... pelbagai ragam mewarnai kehidupan.  Guru tetap mengajar dengan penuh tabah.  Tanpa mengenal penat lelah.  Mendidik dengan penuh hemah.  

Namun kini, segalanya berubah!  Kemanisan yang dulu bagi seorang guru kian kabur.  Barangkali mungkin kerana bebanan tugas yang menggila.  Dalam keseronokan berhadapan dengan anak didik, pelbagai tugasan lain minta diselesaikan.  Dalam waktu yang sama berhadapan pula dengan masalah anak didik yang pelbagai.  Anak-anak zaman kini yang jauh berbeza dari dulu.

Di sekolah...... dialah guru, dia juga doktor
atau jururawat, dia pengadil, dia kerani, dialah bendahari, dia jurulatih di padang, dia jugalah hakim bagi menyelesaikan masalah di antara pelajar.  Dia pelawak, mungkin dia juga penghibur, dia penyajak, dia pengarah, dia tukang sapu, dia pengawal keselamatan.  Malahan dia jugalah tukang cuci!  Betapa hebatnya insan yang bergelar 'guru' ini.

Mampukah yang bukan guru menjawat jawatan sebegini?  

Kepada semua yang pernah memberi ilmu kepadaku, jutaan terima kasih kuungkapkan.  Mudah-mudahan kalian sentiasa dalam kebahagiaan dan diberkati hendaknya.  
TERIMA KASIH CIKGU, USTAZ/USTAZAH, TEACHER/SIR, mohon halalkan ilmu yang kau beri kepadaku. 



Monday, 9 June 2014

HARI IBU



Kau sinar rambulan 
Menyerikan bintang-bintang
Kaulah fajar yang menerbitkan pagi

Kau sirami embun 
Menyegarkan pepohonan
Kau bukakan tabir siang untukku

Kau berikan mama
Kasih sayang maha suci
Betapa agungnya tiada ternilaikan

Oh mama....... oh mamaku
Tiada cinta yang suci setulus cintamu

Kusuntingkan mama
Sekuntum mawar putih
Sebagai lambang kesucian cintaku

Begitulah bait-bait senikata lagu dendangan Sharifah Aini yang masih kuingat lagi.  Dalam kesibukan orang menyebut tentang hari ibu, ada yang langsung tidak mengendahkan tentang tarikh tersebut.  Bagi mereka tidak ada khas hari ibu dalam dairi hidup mereka.  Bagi mereka setiap hari adalah hari ibu.  Bagi yang mengerti, tidak kira masa dan apa waktunya....... ibu tetap di hati mereka.

Memang tidak dinafikan bahawa ibu memainkan peranan penting dalam memberi didikan untuk anak-anak.  Ibu adalah guru nombor satu.  Ibu yang penuh kasih sayang terhadap anaknya tidak akan meninggalkan anaknya sendirian.  Seorang ibu mampu menjaga anaknya yang ramai.  Namun anak yang ramai itu belum pasti mampu menjaga ibu yang seorang!

Ibu yang sanggup menemani dan berkongsi masalah bersama anaknya, sedia mendengar luahan rintihan hati anaknya, mampu memujuk rajukan anaknya, malah sedia meluangkan masa untuk anak-anaknya tanpa mengira masa dan ketika............... menunjukkan betapa prihatin dan sayangnya kepada amanah yang diberi.  Betapa besar pengorbanannya.

Kalau boleh berfacebook dengan kawan-kawan, bermesej dengan rakan-rakan. kenapa tidak dengan ibu kita?  Dengan orang lain kita ada masa, kenapa tiada masa dengan ibu kita ?    TANPA IBU SIAPALAH KITA.