I made this widget at MyFlashFetish.com.

Tuesday, 8 July 2014

KREATIFNYA ANAK-ANAK HARI INI!

Sesekali menoleh ke belakang mengenangkan zaman dulu-dulu.......  teringat peristiwa di bulan Ramadhan.  Bermain bunga api..... pegang besi pun terasa agak ngeri, bimbang kalau-kalau percikan apinya mengena tangan.  Selesai main, dawainya segera dicampak ke tanah.  Dan esok paginya kelihatan dawainya berserakan di halaman.

Kalau main mercun roket pula, bakar sumbunya kemudian segera lari jauh-jauh sambil menekup telinga.  Berdesup bunyinya dan meletup di udara sambil mengeluarkan cahaya yang mengasyikkan.  Bunga api yang mengeluarkan das-das tembakan bercahaya pula begitu menarik perhatian.  

Selain itu sempat juga bersama abang dan anak-anak jiran bermain meriam tanah.  Teringat lagi.....  kami buat sedikit lekukan di tanah, kemudian disusun memanjang tin-tin milo atau susu yang telah dilubangkan di bahagian bawahnya.  Di bahagian hujung atau hadapannya kami sandarkan tudung periuk.  Meriam tanah itu kami halakan ke perdu pisang di hadapan.  Kami masukkan karbid di bahagian pangkalnya dan bubuh sedikit air.  Akan kelihatan ianya menggelegak.  Apa lagi.... kami cucuhkan api selepas itu.  Dan yang menariknya ialah..... bunyi letupan yang kuat di samping tudung periuk itu terbang melayang ke perdu pisang!!!

Kini segalanya tinggal kenangan...... kenangan manis di alam jahiliyah dulu!!!

Namun sekarang anak-anak kian kreatif.  Dalam keseronokan menyambut Ramadhan, pelbagai acara di luar jangkaan mereka telah fikirkan.  Walaupun ayah ibu, datuk nenek dan guru-guru di sekolah memberi kesedaran bahayanya bunga api dan mercun, juga meriam......  namun segalanya tak menjadi apa kepada mereka.  Apa yang tergambar di fikiran ialah mereka akan mencipta sesuatu yang mengejutkan dan menyeronokkan.  

Di sini timbullah semangat berlumba..... mercun atau meriam siapa yang paling kuat dan hebat bunyinya?  Lantas bukan sekadar dibeli, dipasang atau dicucuh api sahaja, malah diubahsuai lagi!  Dikeluarkan belerangnya, disumbat dalam hendal basikal atau batang paip.  Dialihkan ke dalam botol.  Atau entah apa-apa lagi yang tidak terjangkau dek akal kita yang dewasa ini.  Begitulah kreatifnya mereka, tanpa menyedari bahaya yang menanti.

Sesungguhnya Islam tidak mengajar sedemikian.  Apa yang disarankan ialah kita sama-sama tingkatkan ibadah.  Banyakkan solat sunat, bertarawih, tadabbur Al Quran, bersedekah, qiamullail, itulah antara yang elok dilakukan.  Tidak ada dalam Quran dan sunnah Rasulullah menghidupkan Ramadhan ini dengan membakar wang ( beli bunga api dan mercun, selepas itu dibakar pula).  Kita tidak disuruh berbuat demikian.  Tiada nas langsung mengenainya.  Tindakan sedemikian sudah tentu membazir.  Sesiapa yang membazir adalah sahabat syaitan.  Walaupun syaitan telah diikat di bulan puasa ini, namun ciri-ciri dan sikap syaitan itu telah meresap masuk ke dalam diri manusia.  Tidak berjayanya kita mengawal nafsu itu!

Dan natijahnya...... atas kesilapan kita yang sengaja menempah masalah, akhirnya memang masalah itu bisa datang pada kita.  Awal-awal lagi sudah terpampang di dada akhbar bahawa bahana main mercun sehingga mengakibatkan putus jari!  Cuba fikirkan...... berbaloikah buang duit beli mercun, kemudian bakar mercun, selepas itu mercun meletup!  Bukan setakat mercun sahaja yang terbakar, malah jari pun hilang!  Jari hilang atau putus, mudahkah nak diganti?  Menyesal tak sudah jadinya.  

Mohonlah pada anak-anak kecil atau anak-anak muda sama ada yang masih bersekolah atau tidak, anda semua adalah anugerah Allah buat mak ayah.  Jangan hampakan mereka atau menyusahkan mereka kerana kegilaan anda akan menyebabkan anda kehilangan sesuatu yang berharga.  Sayangilah diri anda, ingatlah orang yang tersayang.  Kalau ingin berkreatif sekalipun, buatlah sesuatu yang kena pada tempatnya.  Kreatif anda itu boleh menyebabkan ayahbonda berbangga dengan anda.  

No comments:

Post a Comment