I made this widget at MyFlashFetish.com.

Saturday, 25 October 2014

BERHIJRAHLAH

Jika seringkali kita alpa                            

Hanyut dalam dodoian syahdu nan      meraja
Asyik dalam lamunan menggila
Hingga berubah harga sebuah cinta

Semalam yang resah
Jangan lagi diulit gelisah
Luka yang parah
Bersalut nanah dan darah
Kian merekah dan membarah
Usah dibiar punah dalam lesu dan pasrah

Kerana esok masih ada
Dalam izin-Nya Maha Perkasa
Lantaran pintu taubat sedia terbuka
Rebutlah sementara usia masih ada

Melangkahlah walau payah
Kita ada Allah
Rahmat kasih-Nya terlalu mewah
Kita ada Rasulullah
Punya akhlak yang indah
Pendirian tidak pernah goyah
Meniti laluan penuh tabah

Apa ditunggu lagi?????
Jom sama-sama kita berhijrah


ida a.z.
hijrah 1436






Monday, 13 October 2014

MPSI TETAP DI INGATAN

Apa khabar Ibu Kandung,
Sudah lama tidak berkunjung.

Bersama ASASMU aku menulis,
Kisah dikongsi tak habis-habis.

Taman Astakona tetap di ingatan,
Adakah kini masih kelihatan.

Panggung lama kesan tinggalan,
Terasa ada sedikit menyeramkan.

Tersergam dewan Suluh Budiman,
Memandang megah penuh senyuman.

Asrama lama pelbagai nama,
Kekadang yang mengusik pun ada.

Melewati dewan Rahman Talib,
Mata memandang tidak berkedip.

Sama menikmati nasi kawah,
Mat Teropong kekadang menjengah.

Sesekali masalah air meraja,
Seksa terasa menggila-gila.

Pak Aris dalam kenangan,
Insan tua banyak pengalaman.

Pasar raya Angsoka ada di pekan,
Kedai Babu tidak ketinggalan.

Angin Bernam dihirup segar,
MPSI, di hati berbunga mekar.

Naik kereta api ke Batu Gajah,
Tiga tahun dalam sejarah.

Kini UPSI bertukar namanya,
Namun kasihku tetap yang lama.

Friday, 10 October 2014

PERTEMUAN DI PEKAN SABTU

Sabtu lepas aku dan suami ke Pekan Sabtu di Batu Sepuluh.  Hajat utamaku ialah membeli ikan untuk makanan kucing-kucing di rumah.  Ikan-ikan itu biasanya kami rebus sebelum digaulkan dengan nasi.  Di samping itu, aku berkira-kira untuk membeli ikan dan sayur serta barang keperluan dapur.

Sedang asyik menemani suamiku memilih rempeyek, aku ditegur oleh seorang pemuda. Kurenung tepat ke wajahnya.  Jenuh aku mengingat sesuatu. Sayangnya aku gagal. 

"Ni Cikgu Faridatul Akmar, kan?  Pernah mengajar di Sungai Wangi...."  Aku mengiakan kata-katanya.  Sukar untukku mengingat tuan empunya diri.

"Siapa ni ya?"  soalku inginkan kepastian.

"Shafie..." ucapnya.  

Otakku berputar ligat mengimbau sekitar tahun 1992 - 1998.  Sekolah Kebangsaan Sungai Wangi, tempatku bertugas suatu ketika dulu.  Si kembar itu rupanya.... Hatiku berbunga riang.  Ya Allah, dah besar pun budak itu.  Di ketika itu sukar untuk aku membezakan yang mana satu Shafie dan yang mana pula Hanafi.  

Aku segera memperkenalkan dia kepada suamiku.  Mereka bersalaman.  Dia masih mengenali suamiku walaupun sudah lama kami dipisahkan waktu.  Barangkali ingatannya cukup kuat mengingati raut wajah yang pernah ditemuinya dulu.  

Menurutnya dia mengajar di UITM Lundu, Melaka.  Masih bujang.  Mengajar Agama menurutnya.  "Ustaz Shafie" digelar di sana.  Syukur kupanjatkan kepada Allah SWT.  Menurutnya, kembarnya Hanafi pula bertugas di Jabatan Alam Sekitar di negeri Johor.  

Dalam pertemuan itu suamiku sempat mengambil nombor telefonnya.  Sebelum kami berpisah, kuucapkan terima kasih kepadanya.  Masih sudi menegurku, masih mengingatiku yang dipanggilnya "cikgu".


Friday, 3 October 2014

KAK PAH.....

Tengah malam itu, ketika aku sedang menjengah facebook yang lama tidak kubuka ...... tiba-tiba ada mesej yang masuk di telefon bimbitku.

"Kak Mi tak jadi pergi ke program esok.  Jiran Kak Mi, Pah meninggal,"  Begitu bunyinya.  Aku segera dapat menangkap siapa 'Pah' yang Kak Mi maksudkan.
Dua orang anaknya pernah bersekolah di tempatku mengajar.  Suaminya jua kukenali.  Cuma anak-anaknya yang lain hanya ku cam akan wajahnya.

Esok paginya aku mengambil kesempatan untuk segera berkunjung ke rumahnya memandangkan aku akan menghadiri program Baiti Jannati sejurus selepas itu.  Tambahan pula penceramah jemputan ialah Ustazah Norhafizah Musa.  Dua orang teman sudah berjanji akan menumpang keretaku.  

Entah kenapa airmataku menitis tatkala memandang wajahnya.  Sebelum-sebelum ini tidak pernah aku alami sedemikian.  Sudah banyak kali aku menziarahi kematian, namun tidak pernah air mata ku tumpah.  Entah kenapa kali ini pula.....

Tiba-tiba sahaja aku teringatkan tentang Afikah dan Hamsyar yang pernah menjadi muridku dulu.  Anak-anak itu yang kini kehilangan kasih seorang ibu sedangkan aku yang berusia begini masih ada ibu yang sering mendoakanku.  

Terkenang juga malaikat yang sering menjengukku malah sesiapa sahaja.  Cuma Allah belum mengarahkannya mengambil nyawaku.  Entah bila aku akan menyusul Kak Pah pula.  Menurut Kak Mi, Kak Pah demam.  Ada jangkitan virus pada paru-paru dan buah pinggangnya.