I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday, 11 December 2014

EMM...... BOLEH MENANG KE?

Emm............... bola tu bulat!  Apa-apa pun boleh terjadi.  Bagi peminat bola sudah tentu menanti-nanti dan menunggu-nunggu akan tarikh hari ini..... 11 Disember 2014.

Apa tidaknya, pasukan negara akan bertemu dengan pasukan Vietnam.  Bagi peminat bola, sudah pasti  tidak sabar menanti detik itu.  Setelah kecundang di stadium sendiri, sudah pasti harapan begitu menggunung untuk menang kali ini.  Tetapi....... kali ini bukanlah bermain di tempat sendiri.  Bermain di tempat lawan yang sudah pasti memberi kelebihan kepada mereka.  Agak berat tugas yang dipikul kali ini!

Bagaimana berat pun tugas itu, ada keutamaan lain lagi yang patut dipandang berat...... iaitu SOLAT!  Kebiasaannya penonton menunggu di padang bola adalah terlalu awal.  Barangkali mungkin menyebabkan panggilan ALLAH itu tidak diendahkan, walaupun di stadium itu ada ruang untuk solat, bermakna adanya surau.  Tapi berapa kerat yang mengunjungi ruang itu?  Hatta di tengah padang pun boleh kita tunaikan solat itu..... kenapa dipandang enteng?

Sebagai umat Muhammad SAW, idola kita....  berbuatlah sebaiknya.  Baginda adalah contoh ikutan.  Allah didahulukan, bukannya bola didahulukan.  Bila seruan dilaungkan, kita sahut dahulu panggilan itu.  Berapa minit sangatlah kita berbicara denganNYA.  Malah sebenarnya pihak berkenaan boleh menyusun jadual perlawanan.  Boleh menjaga batas-batas aurat dalam bersukan.  Tapi mengapa kita mengalah dengan undang-undang dan peraturan manusia?  Sedangkan kita tahu dan maklum undang-undang Allah itu termaktub hebatnya.

Dan seperkara lagi yang amat mendukacitakan dan memalukan ialah sikap sesetengah penonton yang nampaknya tidak bersedia menerima kekalahan.  Tidak adanya semangat kesukanan.  Islam tidak mengajar sedemikian.  Rakyat negara ini seringkali berbangga dengan slogan Negara Islam, sedangkan banyak perkara tidak menunjukkan Islam tertegaknya di negara tercinta ini.  Tengok sahajalah dalam aktiviti bersukan seperti ini.  Waktu-waktu genting seperti Maghrib dilalaikan.  Budaya timur penuh sopan santun yang dahulu dibanggakan, hilang entah ke mana.  Adakah ini akibat daripada tidak ambil pusing hukum-hakam yang telah Allah tetapkan.....  wallahu'alam.

Dan malam ini, biar apa pun strategi, walau hebat mana pun latihan yang telah dijalankan...... ketentuan hanya padaNYA.  Setiap yang mengambil bahagian, sudah pasti berharap akan kemenangan.  Namun kalah menang itu adat pertandingan.  Janganlah hendaknya kejadian malam itu berulang kembali.  Sebagai umat Islam, Rasulullah SAW tidak mengajar kita berbuat tidak baik kepada orang lain.  Di mana bumi dipijak, di situ Islam sepatutnya kita junjung!




No comments:

Post a Comment