I made this widget at MyFlashFetish.com.

Sunday, 28 December 2014

KASIHANILAH MEREKA YA ALLAH

Terlalu banyak berita yang masuk.  Semuanya pantas.  Bagaikan air bah yang naik mendadak.  Baik menerusi whatsapp atau info melalui facebook.  

Aku meneliti bait-bait bicara dalam diam.  Membaca status mereka di telefon bimbitku.  Melihat foto-foto yang dimuat turun.  Cuba menjiwai resah yang bertandang.  Empatiku menerjah datang.

Ada dalam kalangan rakan sekerjaku merupakan orang Pantai Timur.  Kebetulan ramai pula.  Emak ayah dan adik-beradik serta saudara-mara ramai di sana. Kami di sini syukur alhamdulillah, cuaca baik sahaja.  Kalau pun hujan, tidak membimbangkan.  Ada kalanya mendung, ada waktunya renyai sahaja.  Jauh berbeda dengan situasi di sana.  Hujan lebat saban waktu.  Tidak menampakkan tanda-tanda reda.  Hingga menyebabkan air sungai naik melimpahi tebing.

Kekadang aku mencelah jua bagi meredakan resah hati yang meraja.  Teramat kuat degup jantung kuduga.  Anak menantu yang bertugas di sini gelisah kian ketara.  Manakan tidak..... berita dari sana tidak pernah berdusta.  Hingga terputus hubungan mereka.  Dan akhirnya khabar diterima...... rumah asal terpaksa ditinggalkan.  Pusat pemindahan bakal menerima penghuni baru.

Aku dapat merasakan kepiluan yang amat sangat mula menerawang segenap rasa.  Hati yang sebu.  Fikiran yang buntu. Berbaur jadi satu.  Hanya doa yang mampu dipanjatkan pada-Mu Ya Robbi.  Kasihanilah mereka Ya Allah.  Lapangkan hati mereka menerima dugaan ini.  Teguhkan iman mereka, kurniakan mereka kekuatan semangat dan kesabaran dalam menempuh ujian yang melanda.

Anak-anak di perantauan sering mendoakan dan mengharap yang terbaik buat mereka.  Aku turut terharu, berkongsi rasa bersama mereka.  Semoga ENGKAU jadikan kami umatMU yang bersyukur dan bergantung harap pada kasih dan rahmatMU.  Jangan tinggalkan kami Ya Allah, usah biarkan kami menentukan nasib kami sendiri.



No comments:

Post a Comment