Rabu, 30 April 2014

TUDUNG OH TUDUNG (2)

................ dua tahun kemudian.....

Berwarna-warni cantik memikat
Tudung sekarang ni bertingkat-tingkat
Bila dipakai........ fullamak di badan dan dada melekat
Begitukah tuntutan dan syariat?

Tudung sekarang dah ada awning
(Ingatkan rumah jer yang ada awning)
Tak payah lagi nak pening-pening
Sekali serkup tak payah nak kelepet dan guna pin
Gerenti kemas tak berkerut kening

Ada yang labuh menutup dada
Tapi ditarik ke sana ke mari penuh gaya
Dikenakan kerongsang cantik berbunga
Bahu kanan kiri dipin belaka

Tudung dililit memusing kepala
Di bawah dagu kerongsang disedia
Berjuntai-juntai penyeri muka
Tersilap pandang macam janggut pula

Manik dan batu terpampang di dada
Tudung ultraman diberi nama
Tiada apa fungsi yang istimewa
Sekadar cantik dipandang mata

Pakailah tudung pelbagai cara
Pasanglah niat yang betul sahaja
Labuhkan ia ke paras dada
Dalam Al Quran ada panduannya

Jangan hanya pakai bergaya
Mengharap pujian semata-mata
Aurat yang lain didedah pula
Bimbang pula mengundang dosa.






Sabtu, 26 April 2014

TUDUNG OH TUDUNG

TUDUNG OH TUDUNG...

zaman sekarang ni ramai bebeno yang pakai tudung
perasan rambut mesti dilindung
jangan bagi mate orang meneropong
memandang dengan mulut terlopong


tapi seribu kali sayang......
pakai tudung lengan pulak ditayang
pakaian ketat lenggang lenggok jelas terbayang
rasa malu entah ke mana melayang

pakai tudung jangan tak pakai.....
nanti orang kata takdak ka akai
zaman la ni orang pakat-pakat dok pakai
malu aih kalau hang sorang tak mo pakai

pegi le tengok kat dapo
peghoyok pun pakai tudung
sajian pun pakai tudung jugak
kuali pun same...... ade juge tudung
due kali lime aje yop yong oiiii......
macam kite juge.... sibuk bertudung

ate ubah le persepsi....
moh kite tutup aurat
jangan pakai baju melekat-lekat
atau pakaian singkat-singkat
di sana sendat sini pun sendat
nanti pengsan orang yang melihat
dia pun kongsi sama saham untuk akhirat

aje bebeno kome oii....
jom kite tutup aurat ni
bukannye bungkus aurat
bukan juge balut aurat
jangan sibuk bertudung kepale aje
sibuk menutup rambut aje
sedangkan aurat lain terbuke bagai nak gile

jangan tunggu lame-lame
ajal maut tak tentu bile
bertaubatlah kite segere.....
maaflah kalau ade yang terkene
teman menyebutnye aje
aje bebenor yop yong oii....

(ni la hasil tulisan tahun 2012 yang lalu, dalam satu group di laman facebook)

Makin lama wanita semakin ramai yang bertudung.  Tudung di pasaran kian berlambak.  Ada yang kecik dan ada yang labuh.  Ada yang berawning, ada yang bertingkat-tingkat!  Ada yang dibubuh manik, ada pulak yang berbatu!  Pelbagai nama, perbagai jenama..........  Dari dulu dah ada tudung bawal, tudung mawi.  Diikuti dengan tudung ariani, fareeda......    Last sekali ada pulak tudung ultraman (mana tidaknya, siap dengan sebiji manik atau batu besar di dada!).   Kekadang yang melihat ada yang menggeleng kepala.....

Apakah tujuan sebenar wanita itu bertudung?????  Benarkah menutup aurat, atau pun mengikut perkembangan fesyen semasa.......  em.... kalau tidak, kita dikatakan ketinggalan zaman!

Di sinilah tanpa disedari penelanjangan syaitan bermula.  Semakin lama...... syaitan semakin berjaya memujuk merayu kita.  Tudung semakin pendek, semakin singkat, ada yang berbonggol bak unta, bertingkat-tingkat dengan warna yang kontra.

Bukankah telah jelas di dalam Al Quran bahawa ........ labuhkan tudungmu hingga ke paras dada.......   Ini kalam Allah, perintah Allah, yang tidak boleh kita bantah atau kita lawan.  Akhirkata....... sama-sama kita muhasabah diri.  Patuhi suruhan Allah, jauhi laranganNYA. 

Jumaat, 11 April 2014

SELAMAT PERGI SAHABAT

Menerima khabar tentang pemergianmu,membuat hati kian direnggut sayu.  Bukan aku tidak rela menerima takdir Allah, atau tidak redho dengan semua itu.  Cuma teringatkan anak-anak yang ditinggalkan.

Imbauan kembali mengingat detik-detik permintaanmu tatkala suamimu kurang sihat dulu.  Waktu itu aku diminta menjemput pulang anakmu Husna di Ipoh kerana engkau terpaksa berada di sisi suami tercinta yang berjuang menghadapi penyakitnya.  Kebetulan anak-anak kita terpilih menyertai perkhemahan di utara tanah air.  Tahniah buat mereka berdua.  

Selang beberapa hari selepas itu suamimu menghembuskan nafasnya yang terakhir.  Sejak itu engkaulah ibu, kaulah jua ayah kepada anak-anak.  Betapa tabahnya engkau menghadapi ujian.  

Samanya kami ialah punya tiga orang anak yang sebaya.  Anak keduaku pernah sekelas dengan anak sulungmu, Nabil semasa di Sekolah Kebangsaan ACS, Sitiawan.  Bila meningkat ke tingkatan satu, anakku Firdaus ke Madid manakala anakmu Nabil ke Al-Mizan.  Sama-sama dalam daerah Kuala Kangsar!  

Seterusnya untuk tahun berikutnya, Husna pula berjaya ke Madid. Tetapi Atiqah tidak berjaya di dalam ujian kelayakan untuk ke sana.  Ada ketikanya kita terserempak di Madid tatkala menjenguk anak-anak.  

Setelah memegang jawatan Fasilinus di PPD Manjung, engkau tetap seperti dulu.  Masih mesra bagai selalu.  Acapkali juga kita terserempak di Pekan Rabu, Batu 11.  Kekadang engkau bersama ibumu yang menjadi penemanmu.  Kemesraan kita masih segar di ruang mata.  

Kebetulan pula Nabil pernah menjadi guru ganti buat sementara waktu memegang kelas anakku di SMK Batu Sepuluh.  Kami sempat berbual buat beberapa ketika semasa mengambil keputusan ujian.  Dia masih ingat lagi padaku dan Firdaus.  Dan kali ini berkesempatan pula menjadi guru bergelar 'Ustaz Nabil' kepada adik Firdaus, iaitu Farhan.  

Dan kini, anak-anak yang kukenal lebih-lebih lagi Nabil dan Husna serta dua orang lagi adik-adiknya menjadi anak yatim piatu.  Kesedihan menjengah seluruh ruang rasa.  Ya Allah, lindungilah anak-anak itu yang kehilangan kasih ayah bonda.  Berikan kekuatan, ketabahan dalam mendepani cabaran di bumi bertuahMU ini.  Sesungguhnya Engkau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.  Ada hikmah di sebalik ujian yang Kau turunkan ini.  

Buat sahabatku Salmah....... mudah-mudahan sentiasa bahagia di sana, dicucuri rahmat dan tergolong dalam kalangan mereka yang beriman, insyaallah.  Kau seorang adik yang baik, sentiasa tenang, tabah dan sabar.  Terasa mahu menitis air mata ini untuk mengakhiri bicara sendu ini.  Salam sayang dari kak ida......