Selasa, 15 Julai 2014

SALMA BINTI SAKHR

Salma binti Sakhr merupakan kaum wanita dari Bani Taim, juga wanita terawal memeluk Islam.  Nama penuh wanita ini ialah Ummu Khair Salma binti Sakhr Ibnu Amir Ibnu Ka'ab Ibnu Sa'ad Ibnu Taim Ibnu Murrah.  Beliau mengumpul sifat-sifat terpuji, dan mengamalkannya dalam segala aspek kehidupannya.

Beliau merupakan ibu kepada khalifah Abu Bakar ash-Shiddiq.  Beliau sangat berbakti kepada Rasulullah SAW. Rasulullah adalah kawan bermain anaknya, iaitu Abu Bakar ash-Shiddiq.  Suaminya bernama Utsman Abu Qahafah, seorang sahabat memeluk Islam pada hari penaklukan kota Mekah.

Ummu Khair Salma binti Sakhr memeluk Islam sejak di rumah Arqam Ibnu Abu Arqam di Mekah dan membaiah Rasulullah SAW. Keislaman bondanya ini menggembirakan hati Abu Bakar ash-Shiddiq.  Dan ketika Rasulullah SAW menakluk kota Mekah, Allah telah membuka hati ayahnya pula iaitu Abu Qahafah memeluk Islam.  Tiada orang lain daripada golongan Muhajirin selain Abu Bakar yang kedua orang tuanya memeluk Islam.

Ummu Khair bersama yang lainnya berhijrah ke Madinah agar dapat beribadah dengan tenang kepada Allah setelah diperintahkan oleh Rasulullah SAW. Dia telah menyaksikan semua peristiwa pada zaman Rasulullah.  Baginda meninggal dunia dalam keadaan redho kepada Ummu Khair.  Setelah itu kaum Muslimin membaiat Abu Bakar sebagai khalifah Rasulullah SAW.Allah memuliakan Abu Bakar ash-Shiddiq dengan keislaman kedua orang tuanya, anak-anak dan cucu-cucunya.  Ketika Abu Bakar meninggal dunia, kedua orang tuanya mewarisi segala hartanya.  Namun Abu Qahafah mengembalikan harta warisan tersebut kepada anak-anak Abu Bakar ash-Shiddiq.

Ummu Khair banyak berbuat baik dalam kehidupannya sehinggalah dia kembali kepada Allah.  Beliau meninggal dunia setelah beberapa bulan anaknya Abu Bakar meninggal terlebih dahulu.  Semoga Ummu Khair di tempatkan di dalam syurga-Nya yang luas.  Amiiin.

Sumber Rujukan : Peranan Wanita Pada Zaman Rasulullah
Terjemahan oleh : Ustaz Johari Yaman


Ahad, 13 Julai 2014

KIRIMKANLAH DOA

Tatkala kita di sini penuh ceria dalam menelusuri Ramadhan 1435H, masihkah ada sekelumit rasa bertenggek di ruang hati kita tentang saudara kita di sana? Saudara yang nun jauh beribu batu...... GAZA.....

Salam Ramadhan buat mereka yang dipenuhi rentetan kehidupan yang dihujani dengan peluru berpandu di saat kita menghitung-hitung dan berkira-kira mahu membuat persediaan berbuka puasa, lebih-lebih lagi persediaan menyambut ketibaan Syawal.

Cubit paha kiri...... takkan yang kanan tak terasa juga?  Andai itulah yang terjadi, memang barangkali mungkin tiada perasaanlah kita.  Belajarlah untuk mengasihi andai diri ingin dikasihi.  



Apakah kita patut sekadar bersyukur kerana negara kita aman?  Di negara kita tiada peperangan.  Semua hidup dalam bahagia dan harmoni.  Wajarkah itu yang menjadi ungkapan?  Jika sekadar itulah pemikiran kita, jumud namanya. Tak mahukah otak yang dianugerahkan Allah ini kita guna pakai untuk memikirkan perkara yang labih jauh lagi.  Memikirkan permasalahan umat.   Kalau dikatakan otak beku, kita marah.  Kalau disebut kita hanya mementingkan perut, kita marah juga.  

Kita boleh tidur lena di sini dalam kekenyangan!  Sedang mereka diganggu mimpi ngeri.  Namun syahid itu tetap jadi idaman!  Tapi kita apa yang ada?  Yang menyimpan hasrat nak ke sana juga, barangkali mungkin terhalang.Ada yang menyantun dengan doa, berdoalah.  Sesungguhnya Dia Maha Mendengar.  
Malah ada yang memboikot barangan, boikotlah.  Jangan kata usaha ini nampak bodoh.  Sejarah biarkan berulang.  Ingat lagi bagaimana seekor burung kecil membawa air di paruhnya berusaha membantu memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim!

Jangan asyik berfikir nak menjaga periuk nasi kita sahaja.  Perlu ingat juga, kalau Allah tak izinkan......  tak menjadi nasi dalam periuk kita itu.  Sesungguhnya Pemberi Rezeki hanya Allah SWT.  Dalam kesibukan menjaga diri dan hal peribadi tanpa memikirkan sanak saudara yang berlainan bangsa tapi seagama, rasa-rasanya mampukah kita mendepani cabaran dan ujian bersendirian sekiranya ujian seberat itu Allah timpakan ke atas kita?  Berfikirlah di luar kotak buat seketika.......

Bukanlah kita mengharapkan perkara sebegitu terjadi kepada kita, tapi belajarlah merenung sebentar.  Tidakkah dalam hati kecil kita sangat-sangat mengharapkan bantuan dan pertolongan Allah.  Dan barangkali pertolongan itu datang dalam pelbagai bentuk.  Mungkin ada yang menghulurkan wang, ubat malahan doa.  Atau Allah turunkan malaikat-Nya datang membantu...... siapa tahu!
Berperasaanlah sikit.....  kita bersaudara sesama mukmin.  Allah tidak menilai kaya atau miskinnya kita, berharta atau tidaknya kita.  Ketaqwaan, itu yang penting!  


Salam Ramadhan Al Mubarak.  Mudah-mudahan kita dikurniakan hati yang lembut dan sentiasa basah lidah untuk mendoakan mereka.

Jumaat, 11 Julai 2014

PANTASNYA WAKTU BERLALU...

Terasa pantasnya masa berlalu....... kini Ramadhan kian hampir ke pertengahannya.  Hingga ke saat dan detik ini terasa tidak banyak yang mampu kukumpulkan di Ramadhan kali ini.  

Namun terima kasih Ya Rab, sedikit ujian-Mu menyedarkan aku yang kerdil ini.  Dalam nikmat kesihatan yang sedikit terganggu, namun syukur kupanjatkan kerana aku mampu melewati detik-detik Ramadhan berkat kasih-Mu jua.

Kumohon pada-Mu, agar diberi kekuatan dan istiqomah dalam menempuh separuh lagi Ramadhan yang berbaki.  Kurniakan aku kesungguhan, ketabahan, kecekalan dan hilangkanlah rasa lemah dan putus asa.  Sesungguhnya Ya Rab, tak terhitung rahmat-Mu dan kasih-Mu.  

Selasa, 8 Julai 2014

KREATIFNYA ANAK-ANAK HARI INI!

Sesekali menoleh ke belakang mengenangkan zaman dulu-dulu.......  teringat peristiwa di bulan Ramadhan.  Bermain bunga api..... pegang besi pun terasa agak ngeri, bimbang kalau-kalau percikan apinya mengena tangan.  Selesai main, dawainya segera dicampak ke tanah.  Dan esok paginya kelihatan dawainya berserakan di halaman.

Kalau main mercun roket pula, bakar sumbunya kemudian segera lari jauh-jauh sambil menekup telinga.  Berdesup bunyinya dan meletup di udara sambil mengeluarkan cahaya yang mengasyikkan.  Bunga api yang mengeluarkan das-das tembakan bercahaya pula begitu menarik perhatian.  

Selain itu sempat juga bersama abang dan anak-anak jiran bermain meriam tanah.  Teringat lagi.....  kami buat sedikit lekukan di tanah, kemudian disusun memanjang tin-tin milo atau susu yang telah dilubangkan di bahagian bawahnya.  Di bahagian hujung atau hadapannya kami sandarkan tudung periuk.  Meriam tanah itu kami halakan ke perdu pisang di hadapan.  Kami masukkan karbid di bahagian pangkalnya dan bubuh sedikit air.  Akan kelihatan ianya menggelegak.  Apa lagi.... kami cucuhkan api selepas itu.  Dan yang menariknya ialah..... bunyi letupan yang kuat di samping tudung periuk itu terbang melayang ke perdu pisang!!!

Kini segalanya tinggal kenangan...... kenangan manis di alam jahiliyah dulu!!!

Namun sekarang anak-anak kian kreatif.  Dalam keseronokan menyambut Ramadhan, pelbagai acara di luar jangkaan mereka telah fikirkan.  Walaupun ayah ibu, datuk nenek dan guru-guru di sekolah memberi kesedaran bahayanya bunga api dan mercun, juga meriam......  namun segalanya tak menjadi apa kepada mereka.  Apa yang tergambar di fikiran ialah mereka akan mencipta sesuatu yang mengejutkan dan menyeronokkan.  

Di sini timbullah semangat berlumba..... mercun atau meriam siapa yang paling kuat dan hebat bunyinya?  Lantas bukan sekadar dibeli, dipasang atau dicucuh api sahaja, malah diubahsuai lagi!  Dikeluarkan belerangnya, disumbat dalam hendal basikal atau batang paip.  Dialihkan ke dalam botol.  Atau entah apa-apa lagi yang tidak terjangkau dek akal kita yang dewasa ini.  Begitulah kreatifnya mereka, tanpa menyedari bahaya yang menanti.

Sesungguhnya Islam tidak mengajar sedemikian.  Apa yang disarankan ialah kita sama-sama tingkatkan ibadah.  Banyakkan solat sunat, bertarawih, tadabbur Al Quran, bersedekah, qiamullail, itulah antara yang elok dilakukan.  Tidak ada dalam Quran dan sunnah Rasulullah menghidupkan Ramadhan ini dengan membakar wang ( beli bunga api dan mercun, selepas itu dibakar pula).  Kita tidak disuruh berbuat demikian.  Tiada nas langsung mengenainya.  Tindakan sedemikian sudah tentu membazir.  Sesiapa yang membazir adalah sahabat syaitan.  Walaupun syaitan telah diikat di bulan puasa ini, namun ciri-ciri dan sikap syaitan itu telah meresap masuk ke dalam diri manusia.  Tidak berjayanya kita mengawal nafsu itu!

Dan natijahnya...... atas kesilapan kita yang sengaja menempah masalah, akhirnya memang masalah itu bisa datang pada kita.  Awal-awal lagi sudah terpampang di dada akhbar bahawa bahana main mercun sehingga mengakibatkan putus jari!  Cuba fikirkan...... berbaloikah buang duit beli mercun, kemudian bakar mercun, selepas itu mercun meletup!  Bukan setakat mercun sahaja yang terbakar, malah jari pun hilang!  Jari hilang atau putus, mudahkah nak diganti?  Menyesal tak sudah jadinya.  

Mohonlah pada anak-anak kecil atau anak-anak muda sama ada yang masih bersekolah atau tidak, anda semua adalah anugerah Allah buat mak ayah.  Jangan hampakan mereka atau menyusahkan mereka kerana kegilaan anda akan menyebabkan anda kehilangan sesuatu yang berharga.  Sayangilah diri anda, ingatlah orang yang tersayang.  Kalau ingin berkreatif sekalipun, buatlah sesuatu yang kena pada tempatnya.  Kreatif anda itu boleh menyebabkan ayahbonda berbangga dengan anda.