Ahad, 21 September 2014

SOALAN BOCOR

Kasihan juga mengenangkan anak-anak Tahun 6 di sekolahku yang tidak bersalah dan tidak berdosa.  Cuti sekolah hampir tamat, namun adakah cuti kali ini diraikan dengan penuh gembira?  Terpulanglah... dalam hati masing-masing yang tahu.  

Mungkin ada yang masih berdebar-debar menghitung dan mencongak soalan apa yang bakal keluar.  Barangkali juga ada yang tidak kisah, baginya cuti tetap cuti.  Yang sudah dijanjikan hala tuju perjalanan pasti mohon dilunaskan.  Apa pun, biarlah mereka tidak rasa tertekan atau stress.  

Apa tidaknya...... selepas ini pada 30 September 2014 nanti, mereka bakal bergelut dengan kertas soalan Sains dan Bahasa Inggeris.  Bakal menjejak kaki ke dewan peperiksaan semula.  Bukannya di satu dua pusat peperiksaan, ia akan berlangsung di seluruh ceruk rantau dalam negara tercinta ini.

Dengan menuding jari salah menyalahkan orang lain, tidak akan membawa apa-apa makna pun.  Apa yang patut kita ambil iktibar ialah tentang sifat amanah yang barangkali tidak dititikberatkan dalam kehidupan.  Di mana amanahnya sehinggakan soalan boleh bocor.  

Adakah mungkin tekanan ke atas sesuatu pihak merupakan penyebab utama soalan terpaksa 'dibocorkan'.  Ah...... biarkanlah tanpa jawapan.  Masa, tenaga dan kos sudah pasti dibazirkan dalam hal ini.  

Yang penting bagi kita sebagai umat Islam adalah untuk menjawab soalan bocor di alam kubur nanti.  Sudah sekian lama soalan-soalan itu dibocorkan......... Adakah kita mampu menjawabnya nanti dengan lidah fasih dan lancar.  Sama-sama kita muhasabah diri.

Selasa, 16 September 2014

MUHAMMAD KHUZAIMY

Masih kuingat lagi wajah anak ini ........ Muhammad Khuzaimy......  murid tahun satu yang terlibat dalam kemalangan bersama adik dan ayah kesayangannya .  Meskipun aku tidak mengajarnya di tahun satu itu, namun kehadirannya di kedai buku sekolah sering memancing ingatanku padanya disebabkan kepetahannya.  

"Cikgu, saya Mykasih...." ujarnya. Aku akan merujuk tanda namanya. M.KHUZAIMY.  
"Tahun 1C" sambungnya lagi.  Lantas aku akan segera mengambil apa yang diminta, dan mencatat jumlah harganya di dalam buku MyKasih yang disediakan oleh Guru B&K.

Kini..... wajah comel itu dan suaranya takkan ada lagi muncul di pintu kedai buku.  Dia bersama adik dan ayahnya pergi buat selamanya setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya pada hari Ahad, 31 Ogos 2014.  Dan keesokan harinya disemadikan dalam satu liang lahad.  Oleh kerana tanah wakaf itu bertentangan dengan simpang laluan ke rumahku, acapkali mataku tertumpu pada pusara tiga beranak yang masih merah itu apabila berhenti di simpang tersebut.

Dan tatkala aku bersama PK HEM, Guru B&K dan dua orang pegawai dari PPD menziarahi neneknya di rumah bagi menyampaikan sumbangan dari pihak sekolah, sayu dan syahdu menyelubungi suasana.  Aku dipeluknya erat sambil bercucuran air mata.  Memang kami saling mengenali.  Cuma aku sudah lama tidak mengunjunginya.  Namun seringkali berbalas lambaian kiranya terserempak tatkala aku melewati jalan utama di hadapan rumahnya.  Kini beliau agak uzur, penglihatan agak kabur, sebelah tangan hilang upaya dan tidak kuat berdiri lama.  Kelihatan sebatang tongkat sentiasa ada di sisinya.

Lebih menambah pilu bila mengenangkan yang ibu Khuzaimy sudah mendahului pergi menyahut panggilan Ilahi dua tahun yang lalu akibat kanser.  Kini dia, adik dan ayahnya pula menyusul.  Yang tinggal kini cuma kakaknya yang berusia 11 tahun yang memang dipelihara oleh nenek dan datuknya.  

Lebih menyedihkan lagi bila mana neneknya membisikkan ke telingaku tatkala kami berpelukan sebelum kami melangkah kembali ke sekolah menyambung tugas semula.
"Ida, jenguk-jenguk le Cik Nah ni," ucapnya sayu.  Tatkala itu air mata yang kutahan tak mampu kubendung lagi.  Beliau kehilangan seorang anak, menantu dan dua orang cucu dari satu keluarga.  Yang hanya tinggal kini satu-satunya cucu perempuan yatim piatu menjadi peneman diri dan suaminya.

Khuzaimy........ berbahagialah engkau di sana....... kami di SKL amat terasa kehilanganmu.