I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday, 4 June 2015

KEHILANGAN

Waktu itu aku sedang membuat kerja sekolahku.  Tiba-tiba suara Kak Mas memecah kesunyian.

   "Syam, mari sekejap,"  lembut kudengar nada suaranya.

   "Ada apa Kak Mas?" aku bertanya acuh tak acuh.

   "Marilah duduk dekat kakak sekejap," pintanya.  Aku turut.  "Boleh Kak Mas tanya sikit?" 

   "Tentang apa Kak Mas?"

   "Syam merokok?"  Hatiku digayut resah.  Tetapi aku cuba sembunyikan keresahan hatiku.

   "Kakak tanya ni, Syam......."

   "Err..... tak," jawabku.

   "Syam....... Syam jangan bohong pada Kak Mas,"  Macam ugutan sahaja suara Kak Mas.

   "Tak kak, sumpah!  Syam tak merokok,"  aku cuba berdalih.

   "Betul ni?"
  
    Aku mengangguk-angguk.

    "Sungguh ni Syam tak bohong pada Kak Mas?"  tanyanya lagi.

   "Ya, Syam tak bohong kak,"  aku cuba memancing kepercayaannya kepadaku.


GERTAK

   Esoknya di sekolah aku segera bertemu Anuar, rakan sedarjahku.

  "Hei Nuar, ke sini kau!"  Kulihat Anuar terhegeh-hegeh.  "Cepatlah!"  perintahku.  Bila dia hampir ke arahku, segera kutarik tangannya untuk mengikutku di tempat yang agak terlindung.

   "Eh, kau yang beritahu Kak Mas yang aku merokok, ya?"

   "Tidaklah....."  ujarnya.

   "Nuar, kau jangan ingat aku bodoh!"  Kau belum kenal siapa aku, " gertakku.

   "Eh, apa yang kau cakapkan ni.  Aku tak fahamlah!"

   "Kau sengaja buat-buat tak faham, kan!  Aku tahu..... kau yang beritahu pasal aku pada Kak Mas, kan?"

   "Aku.....aku....."

   "Kalau kau buat lagi, aku panggil geng aku pukul kau, mengerti!!!!!  Kami belasah kau habis-habisan!"  Aku menjegilkan mata ke arahnya.  Dia kulihat mengerutkan keningnya.  Sudahnya aku tinggalkan dia yang termangu-mangu di situ.

KAGET

   Hari itu ayah dan ibu tiada di rumah.  Cuma aku dan Kak Mas sahaja yang ada.  Abang Saiful awal-awal pagi sudah keluar.  Sesekali aku mencuri pandang ke arah Kak Mas yang tekun membuat kerja sekolahnya.  Aku perlahan-lahan bangun.

   "Ha, nak ke mana tu?" tegur Kak Mas.

   "Syam... Syam...  nak ke dapur.  Nak... nak ambil air," jawabku.

   Aku segera melangkah.  Sejurus kemudian aku menatang dua gelas berisi air sirap.  Kuhulurkan kepada Kak Mas segelas.  Kak Mas menyambutnya dengan lafaz terima kasih.
   
   "Syam ..."

   "Ya kak," jawabku.

   "Ni apa?" soal Kak Mas sambil menunjukkan dua batang rokok kepadaku.  Aku kaget.  "Kak Mas jumpa dalam poket seluar Syam.  Syam punya?" tanya Kak Mas.

   "Tak kak,  Syam pun tak tahu dari mana datangnya," aku berhelah.

   " Ha, tak tahu?"  keras  suara Kak Mas.  Tersentak aku seketika.

   "Syam.... baik Syam cakap betul-betul.  Selama ni Syam tipu kakak, ya?  Syam dah pandai sekarang, ya?  Hei, sejak bila dah pandai hisap ni?  Sejak bila???"

   "Tak... tak kak... Syam tak..."

   "Baik Syam berterus-terang.  Cakap cepat!" gertak kakak.  Terkejut aku dengan tengking suara kakak.  Tiba-tiba jari Kak Mas singgah di lenganku.  Tak lepas.

   "Aduh kak,"  aku terjerit kecil.  Aku merayu pada Kak Mas.

   "Lepaskan Syam, kak,"  pintaku.  "Sakit kak, sakit..." rintihku.  Kutepis tangan Kak Mas.  Tak tahan rasanya.  Malangnya jari Kak Mas singgah pula di pehaku.  Meskipun berseluar panjang, namun perit terasa cubitan Kak Mas.

   "Tolonglah Kak Mas.......sakit,"  rayuku.  Aku memohon kasihan belas.

   "Siapa yang mengajar kau merokok, ha?"  tengking Kak Mas.  Kulihat Kak Mas menyinga.  Kak Mas tidak pernah bersikap begitu padaku.  Nampaknya Kak Mas benar-benar marah.  

   "Cakap Syam....... cakap!"  Aku tak berdaya nak kata apa-apa.  Memang kenyataan bahawa aku yang bersalah.  

   "Sedap sangat ke rokok tu?  Cakap Syam, sejak bila kau merokok.  Baik kau cakap,"  Kak Mas memaksaku.

   "Syam... Syam..." aku tergagap-gagap.

   "Syam apa?" pintas Kak Mas.  "Oooo..... kau ingat umur 12 tahun tu dah besar sangat?  Gentleman konon!!  Tahu tak kau..... esok nanti paru-paru ni rosak,"  kata Kak Mas sambil menuding jarinya ke dadaku.  Aku tertunduk.

   "Hei Syam......"  kedua-dua belah pipiku ditepuk-tepuknya.  "Sedar tak diri tu masih budak-budak?  Belum kerja lagi, akan pakai semuanya mak ayah yang tanggung?"  bertubi-tubi soalan Kak Mas menyerangku.

   Jemari Kak Mas tiba-tiba singgah di perutku.  Perutku dipulas.   Terjengkit kakiku menahan sakit.

   "Agaknya ini yang kau nak..."  Kak Mas bersuara.  Bisanya cubitan Kak Mas.  Air mata yang kutahan mengalir sudahnya.

   "Ha, tu lah anak manja!  Sikit-sikit nak menangis, sikit-sikit nak menangis.  Kalau dah tahu benda tu orang tak suka, janganlah buat," jerkah Kak Mas.


ALASAN

   "Hari tu dalam bekas pensel Kak Mas jumpa sebatang.  Lepas tu di celah buku teks ada sebatang.  Tapi alasan kau..... kawan nak nayakan engkau.  Macam-macam alasan kau, Syam.  Kali ni ha..... kakak dapat dalam poket seluar kau, apa pula alasan engkau kali ini?  Jawab Syam, jawab!!!!!"

   "Kau sedar tak Syam....."  bergetar bunyi suara Kak Mas. Kurenung ke wajah Kak Mas.  Mata Kak Mas mula digenangi air.  Akhirnya air mata Kak Mas tumpah menimpa buku sekolahnya.  Aku dihantui rasa bersalah.  "Apa yang aku dapat dengan merokok?" hatiku bertanya sendirian.

  Kak Mas merenung kembali ke wajahku.  Tak ada sepatah perkataan pun lahir dari ulas bibirnya. Aku tahu hati Kak Mas kecewa.  Aku terus ke bilik.  Aku duduk di kerusi meja tulisku sambil melihat kesan cubitan Kak Mas.  Lebam.  Tak pernah Kak Mas berkasar begitu padaku.  Air mataku gugur satu persatu.

RAHSIA

   Malam itu ketika ayah pulang, aku diburu rasa takut.  Mundar-mandir aku di dalam bilik.  Tiba-tiba pintu kamarku diketuk dengan keras.

   "Syam, buka pintu ni," ayah bersuara.  "Cepat!" tengkingnya.  Sebaik-baik daun pintu dibuka, ayah meluru masuk.  Di tangannya tergenggam tali pinggang.  Hatiku jadi kecut.  Aku pasti kini, rahsiaku telah diketahui ayah.

   "Kau merokok, Syam?"  soal ayah.  Aku hanya mengangguk-anggukkan kepalaku.  "Ke mari kau!"  Bagai orang salah, aku melangkah merapati ayah.  Aku tahu apa habuan yang bakal kuterima.

   "Cepat, pusing belakang!"  Aku patuh.  "Ini yang kau mahu, ya?"  Satu hayunan hinggap di punggungku.  Perit kurasakan, tapi kutahankan juga.

   "Berapa batang dah kau hisap?  Ayah yang kerja ni pun tak merokok.  Abang Saiful kau tu pun tak hisap.  Hei Syam, perangai siapa yang kau ikut ni ha?"  Aku hanya mendiamkan diri.  Sekali lagi sebatan ayah mengena punggungku.  Aku dah tak tahan lagi.  Aku segera tunduk melutut di kaki ayah.

   "Ampun ayah.... ampunkan Syam," aku merayu.  Air mata sudah tak dapat kubendung lagi.

"Bangun!  Bangun aku kata, bangun!  Agaknya ini saja cara nak mengajar kau,"  

Tiba-tiba Kak Mas muncul.  Tatkala ayah menghayun tali pinggang buat kali ketiganya, segera tangan Kak Mas menepis.

   "Sudahlah ayah..."  rayu kak Mas.

   "Kau ke tepi Mastura!"  herdik ayah.

   "Ayah... dah la tu," tangan ayah Kak Mas pegang.  Erat.  "Cukuplah tu, ayah,"  Akhirnya ayah beralah.  Dengan wajah mencuka ayah berlalu meninggalkan kami.

   Aku menerpa Kak Mas.  Lantas memeluknya.  Air mataku bercucuran.  Sejuta penyesalan menyelubingi diriku.  Tiba-tiba terasa kepalaku diusap.  Besarnya kasih Kak Mas padaku.  Sedu-sedanku kian menjaadi-jadi.

DERITA

   Tapi kini Kak Mas tiada lagi.  Kak Mas menghembuskan nafasnya yang terakhir September lalu disebabkan barah otak yang dideritainya selama ini.

   "Syam, sudahlah tu..."  bahuku ditepuk ayah.  Oh rupanya sudah terlalu jauh aku mengelamun.

   "Kak Mas, ayah..." ucapku.  Aku meluahkan apa yang terbuku di hati.

   "Ayah faham," ujar ayah sepatah.  "Jom kita makan,"  pujuk ayah. "Hari ini mak masak lauk kegemaran Syam.  Asam pedas." ujar ayah.   Air mataku tiba-tiba meluncur jatuh mengingatkan Kak Mas.  Kak Mas pun sukakan asam pedas emak.

TIDAK BERTUAN

   Di meja makan emak dan abang sedang menunggu.  Aku duduk berhadapan dengan kerusi yang biasa Kak Mas duduk.  Tapi sekarang kerusi itu kosong.  Tidak bertuan.  

   "Mak..."  sapaku.

   "Ya nak," sahut ibu.

   "Kak Mas suka asam pedas ni, kan."  Ibu hanya mengangguk lesu.  "Kalau tak kerana Kak Mas menyelongkar beg Syam...... kalau tidak kerana Kak Mas yang tangkap Syam kerana rokok, mungkin Syam jadi lebih teruk lagi.  Mungkin Syam tak jadi seperti hari ini,"  ucapku.

   "Dah la sayang....." ucap ibu memujuk.  Kulihat ibu menyeka air matanya dengan lengan baju kurungnya.

   "Sudah la tu Mah....Syam, makanlah." pujuk ayah.

   Aku kehilangan kasih sayang seorang kakak, perginya tiada ganti.


   




(Cerpen SUARA PSS, SKSW, Keluaran Jun 1998)
   

Tuesday, 2 June 2015

MANFAATKAN TIGA BULAN INI

Tatkala menjeling sejenak anak-anak muridku yang sedang berada di dalam kelas......  rasa terkilan menyelubungi suasana.  Manakan tidak,  yang hadir sudah tentu beroleh ilmu yang bermanfaat.  Dan yang selebihnya.......  ghaib tak nampak bayang.

Walaupun aku bukan guru kelas mereka, namun setiap kali ada program tahun enam.... aku akan turut serta.  Menghulur bantuan mana yang perlu.  Berganding sama dengan guru-guru tahun enam adalah tugas semua.  Seluruh warga sekolah perlu bahu membahu demi kebajikan anak-anak itu.  Tambahan pula tahun ini merupakan detik sejarah dalam kehidupan mereka setelah enam tahun berada di sekolah rendah.  

Dalam kegirangan anak-anak lain meraikan waktu cuti sekolah, mereka ini terpaksa berkorban.  Mengharap masa cuti tidak terbuang sia-sia.  Menampung bekalan ilmu yang barangkali lompong di mana-mana akibat kekangan waktu dan komitmen lain yang turut minta diselesaikan sebelum ini.  Semua sedia maklum...... dengan aktiviti  permainan, kokurikulum, ko-akademik...... semuanya menuntut disegerakan.

Kini melewati saat-saat ini...... tidak payah lagi menoleh ke belakang.  Jun yang hadir menampakkan hitungan waktu kian pantas.  September bukan lagi nun di hujung sana.  Ada kalanya pecutan tiga bulan terakhir bisa membuahkan kejayaan.  Tak siapa sangka!

Apa yang perlu, semangat dan usaha perlu diterjemahkan.  Ia bukan hanya omongan kosong.  Menadah tangan mohon kejayaan sudah tentu bagi semua.  Tapi tak mungkin akan mengecap nikmat kejayaan itu andai kata tidak disulami dengan usaha yang gigih.  Takkan mungkin air penawar yaasin walau setempayan pun diminum bakal membuahkan markah lulus apatah lagi cemerlang.  

Motivasi yang sering disuap kepada mereka mungkin menjadi pembakar semangat bagi sesetengahnya.  Namun ada kebarangkalian pula ia sekadar kata-kata indah tapi akhirnya menjadi basi sebelum tiba masanya!  Nilaian ini bergantung kepada diri masing-masing, sama ada kuat semangatnya, atau tidak.

Dalam konteks ini, sokongan padu kedua-dua belah pihak sama ada dari guru-guru di sekolah mahupun ibu bapa atau penjaga di rumah, amat diharapkan.  Gandingan semua perlu ada.  Di zaman globalisasi ini jati diri anak-anak bisa goyah akibat pengaruh persekitaran.  Sementelahan pula dengan adanya gajet yang mewarnai dunia hari ini.  Kesilapan dan kealpaan penggunaannya akan membawa padah!

Amat perlu untuk berhati-hati dalam membuat pilihan yang terbaik untuk anak-anak.  Di rumah, murid-murid ini adalah anak-anak kepada ayah bonda.  Tapi di sekolah, mereka adalah anak-anak kepada guru-guru.  Dididik untuk menerima nasihat dan teguran mana baik dan mana yang buruk.  Sentiasa dipantau dari semasa ke semasa.  Bukan hanya guru kelas, seluruh warga sekolah memainkan peranan masing-masing untuk menegur mana yang salah.  

Belajarlah berpuasa......... menahan diri dari menonton TV.  Tonton mana yang bermanfaat, sesuai dengan waktu dan ketika.  Menahan diri dari melepaskan anak-anak dengan keseronokan bergajet.  Menahan diri daripada sewenang-wenangnya mengikut ajakan rakan, sedangkan tugas yang diamanahkan oleh guru-guru terbiar tanpa disudahkan.  Wajarkah kesempatan yang hanya ada tiga bulan ini dilepaskan begitu sahaja?

Anak-anak sepatutnya perlu muhasabah diri.......  mengenang kembali susah payah bonda yang mengandung dan melahirkan....... sukarnya ayah mencari rezeki.....   demi membesarkan anak-anak menjadi insan berguna.  Para guru yang berkorban masa dan tenaga, terkadang meluangkan masa emasnya demi kejayaan anak didik.  Tidak meminta walau sesen pun!  Sanggup segalanya walau kekadang pesanan dan bicaranya tidak diendahkan.  Lebih malang tegurnya tidak dipeduli.  Mungkinkah ilmu bakal hilang berkatnya nanti?????

Bagi anak-anak yang dikasihi........  U-turnlah ke jalan lurus.  Kalau telah terpesong hala tuju, ubahlah sekarang.  Ingatlah, orang di sekitarmu boleh bercakap.... memberi motivasi, memberi nasihat dan teguran.  Namun untuk berubah...... hanya engkaulah yang bisa melakukannya!  

Mohon ampun dari ayah ibu, dari guru-guru yang mencurah ilmu, dari sesiapa jua yang pernah menegurmu.  Sematkan dalam dada bahawa dirimu juga boleh berjaya.  Kita bukannya dilahirkan untuk gagal.  Allah bagi kita akal, untuk membuat pilihan.  Justeru, pilihlah yang terbaik.  Masa masih ada......... insha-Allah anda mampu mengubahnya!