Selasa, 2 Jun 2015

MANFAATKAN TIGA BULAN INI

Tatkala menjeling sejenak anak-anak muridku yang sedang berada di dalam kelas......  rasa terkilan menyelubungi suasana.  Manakan tidak,  yang hadir sudah tentu beroleh ilmu yang bermanfaat.  Dan yang selebihnya.......  ghaib tak nampak bayang.

Walaupun aku bukan guru kelas mereka, namun setiap kali ada program tahun enam.... aku akan turut serta.  Menghulur bantuan mana yang perlu.  Berganding sama dengan guru-guru tahun enam adalah tugas semua.  Seluruh warga sekolah perlu bahu membahu demi kebajikan anak-anak itu.  Tambahan pula tahun ini merupakan detik sejarah dalam kehidupan mereka setelah enam tahun berada di sekolah rendah.  

Dalam kegirangan anak-anak lain meraikan waktu cuti sekolah, mereka ini terpaksa berkorban.  Mengharap masa cuti tidak terbuang sia-sia.  Menampung bekalan ilmu yang barangkali lompong di mana-mana akibat kekangan waktu dan komitmen lain yang turut minta diselesaikan sebelum ini.  Semua sedia maklum...... dengan aktiviti  permainan, kokurikulum, ko-akademik...... semuanya menuntut disegerakan.

Kini melewati saat-saat ini...... tidak payah lagi menoleh ke belakang.  Jun yang hadir menampakkan hitungan waktu kian pantas.  September bukan lagi nun di hujung sana.  Ada kalanya pecutan tiga bulan terakhir bisa membuahkan kejayaan.  Tak siapa sangka!

Apa yang perlu, semangat dan usaha perlu diterjemahkan.  Ia bukan hanya omongan kosong.  Menadah tangan mohon kejayaan sudah tentu bagi semua.  Tapi tak mungkin akan mengecap nikmat kejayaan itu andai kata tidak disulami dengan usaha yang gigih.  Takkan mungkin air penawar yaasin walau setempayan pun diminum bakal membuahkan markah lulus apatah lagi cemerlang.  

Motivasi yang sering disuap kepada mereka mungkin menjadi pembakar semangat bagi sesetengahnya.  Namun ada kebarangkalian pula ia sekadar kata-kata indah tapi akhirnya menjadi basi sebelum tiba masanya!  Nilaian ini bergantung kepada diri masing-masing, sama ada kuat semangatnya, atau tidak.

Dalam konteks ini, sokongan padu kedua-dua belah pihak sama ada dari guru-guru di sekolah mahupun ibu bapa atau penjaga di rumah, amat diharapkan.  Gandingan semua perlu ada.  Di zaman globalisasi ini jati diri anak-anak bisa goyah akibat pengaruh persekitaran.  Sementelahan pula dengan adanya gajet yang mewarnai dunia hari ini.  Kesilapan dan kealpaan penggunaannya akan membawa padah!

Amat perlu untuk berhati-hati dalam membuat pilihan yang terbaik untuk anak-anak.  Di rumah, murid-murid ini adalah anak-anak kepada ayah bonda.  Tapi di sekolah, mereka adalah anak-anak kepada guru-guru.  Dididik untuk menerima nasihat dan teguran mana baik dan mana yang buruk.  Sentiasa dipantau dari semasa ke semasa.  Bukan hanya guru kelas, seluruh warga sekolah memainkan peranan masing-masing untuk menegur mana yang salah.  

Belajarlah berpuasa......... menahan diri dari menonton TV.  Tonton mana yang bermanfaat, sesuai dengan waktu dan ketika.  Menahan diri dari melepaskan anak-anak dengan keseronokan bergajet.  Menahan diri daripada sewenang-wenangnya mengikut ajakan rakan, sedangkan tugas yang diamanahkan oleh guru-guru terbiar tanpa disudahkan.  Wajarkah kesempatan yang hanya ada tiga bulan ini dilepaskan begitu sahaja?

Anak-anak sepatutnya perlu muhasabah diri.......  mengenang kembali susah payah bonda yang mengandung dan melahirkan....... sukarnya ayah mencari rezeki.....   demi membesarkan anak-anak menjadi insan berguna.  Para guru yang berkorban masa dan tenaga, terkadang meluangkan masa emasnya demi kejayaan anak didik.  Tidak meminta walau sesen pun!  Sanggup segalanya walau kekadang pesanan dan bicaranya tidak diendahkan.  Lebih malang tegurnya tidak dipeduli.  Mungkinkah ilmu bakal hilang berkatnya nanti?????

Bagi anak-anak yang dikasihi........  U-turnlah ke jalan lurus.  Kalau telah terpesong hala tuju, ubahlah sekarang.  Ingatlah, orang di sekitarmu boleh bercakap.... memberi motivasi, memberi nasihat dan teguran.  Namun untuk berubah...... hanya engkaulah yang bisa melakukannya!  

Mohon ampun dari ayah ibu, dari guru-guru yang mencurah ilmu, dari sesiapa jua yang pernah menegurmu.  Sematkan dalam dada bahawa dirimu juga boleh berjaya.  Kita bukannya dilahirkan untuk gagal.  Allah bagi kita akal, untuk membuat pilihan.  Justeru, pilihlah yang terbaik.  Masa masih ada......... insha-Allah anda mampu mengubahnya!













Tiada ulasan: