I made this widget at MyFlashFetish.com.

Sunday, 1 November 2015

RAMADHAN BERSAMAMU....

5 Oktober 2015 bersamaan 21 Zulhijjah 1436 Hijrah jam 11.48 malam .............  itulah tarikh pemergian sahabat yang dikasihi, kak Norsitah Darus.

Tahun ini ukhuwah terjalin kian ketara.  Teringat masa kita sama-sama bertadarus di Masjid Ar Raudhah dengan Ustazah Najihah, Nurul, Kak Fadzilah dan Kak Ramlah.  Antara jam 3.00 hingga 5.00 petang dalam bulan Ramadhan lalu.....

Ramai muslimat kampung kita yang bertadarus di sebelah pagi kerana masing-masing suri rumah sepenuh masa, sedangkan bagi kami yang bekerja..... hanya di sebelah petang merupakan waktu yang terluang.  Aku, Kak Fadzilah dan Ustazah Najihah mengajar di sebelah pagi.  Manakala Kak Ramlah menjaga menantunya dalam pantang, agak sibuk di sebelah pagi juga.  Jadi kami mengambil keputusan untuk sama-sama bertadarus di waktu petang.

Kak Nor.......mengenalimu dengan lebih dekat.......  kemesraan cepat benar dirasa. Walaupun anakmu, Sakinah telah lama kukenali kerana kami bertugas di sekolah yang sama, namun jauh beza bila bersama denganmu.  Tegur menegur bacaan semasa bertadarus menjadi kelaziman kita.  Terima kasih Kak Nor, banyak ilmu yang kami kongsikan bersamamu.

Di sepanjang Ramadhan tempoh hari, kami dapat menyaksikan betapa hebatnya Kak Nor menadah ilmu di merata tempat.  Kekadang bayangmu timbul di Ar Raudhah, ada kalanya di masjid Batu 8.  Ada ketikanya Kak Nor ke pondok pengajian bersama sahabat di sana..... bertadarus dan berqiamulail.  Benar-benar kau mencari redho-Nya, memenuhi sepanjang Ramadhan itu.  Hatimu terikat di masjid, rumah Allah.

Kau melawan lelahmu demi mencari apa yang dihampar-Nya dalam bulan mulia itu.  Sungguh-sungguh kau mencari.......   tak upaya kami menandingimu, Kak Nor.  Berkejar ke sana, meluang waktu ke mari, terasa bagaikan tiada secangkir waktu pun kau biarkan begitu sahaja.

Dan lewat mengakhiri tadarus bersamamu, kita sama-sama mengharap agar dapat bersua di Ramadhan akan datang. Mungkin dapat bersama lagi melakar keindahan Ramadhan.  

Namun....... kebimbangan mula bertenggek di teratak hati bila mana kesihatanmu mula terjejas.  Khabar kuterima dari Sakinah bahawa engkau disahkan terkena denggi, demam yang datang dan pergi.  Sekejap baik, sekejap datang semula.  

Dalam keadaan yang masih kurang stabil, situasi lain pula diberitakan.  Setelah menjalani pembedahan, aku sempat berbual denganmu Kak Nor.  Walau dalam keadaan lemah, engkau tak henti mengungkap rasa syukur pada-Nya.  Bersyukur dengan ujian yang diterima...... tabahnya Kak Nor.

Lewat beberapa hari di wad, akhirnya kuterima berita pemergianmu menerusi 'whatsapp'.  Kehilangan seorang sahabat yang cukup menyentuh rasa .........  Kutatap wajah bersihmu sebagai penghormatan terakhir dariku.  Dan tatkala Sakinah kupeluk erat, tiada kata-kata yang bisa kuungkapkan.