Ahad, 17 Mei 2015

SELAMAT HARI GURU

Ungkapan ini acapkali diterima oleh mereka yang bergelar guru.....  termasuk diriku.  

Mengenang kembali zaman persekolahanku, walaupun bermula di tadika tika berusia lima tahun.  Itu bukanlah sekolah pertamaku.  Ada seorang lagi guru yang lebih istimewa.  Malahan teramat istimewa melebihi guru-guruku yang lain.

Meskipun dirinya tidak digelar "cikgu", namun sumbangannya begitu besar dalam hidupku.  Dialah yang mengajar aku mengenal semua.  Mendidik dan membimbingku penuh sabar. Menegurku mana yang salah.  Walaupun tempat belajarku bukan dinamakan sekolah.

Guruku yang kumaksudkan ialah bondaku.  Dialah cikgu NOMBOR 1!  

Berinsut dari situ, aku ke tadika Kg Sungai Terap.  Dua tahun.  Masihku ingat lagi wajah-wajah mereka.  Cikgu Imah dan Cikgu La. 

Aku melangkah terus ke sekolah rendah yang namanya Sekolah Kebangsaan Batu Gajah.  Malangnya nama sekolah itu telah bertukar ke SK TIWA (Toh Indera Wangsa Ahmad).  Lebih menyedihkan apabila tiada langsung bangunan bersejarah yang ditinggalkan buat tatapan hari ini.  Bangunan batu bertingkat tersergam indah.  Ramai guruku di situ.  Yang rapat denganku ialah Cikgu Sofiah, Cikgu Shaharbanon, Cikgu Rosli, Cikgu Rokiah dan Ustaz Alias.  Namun guru-guru lain wajahnya tetap kuingat.

Kemudian aku ke SMR Batu Gajah, di Jalan Tanjung Tualang di tingkatan satu hingga tingkatan tiga.  Yang paling kuingat ialah Ustaz Shahrani, Ustaz Umar serta Ustaz Abdul Rahim.  Guru-guru yang lain ialah Miss Kee dan Miss Ho.  

Aku di tempatkan di aliran sains semasa di tingkatan 4,5 dan 6 di SM Sultan Yusuff, Batu Gajah.  Masa itu dikenal sebagai SMSY ataupun SYS.  Guru-guruku berbilang bangsa, Melayu, Cina, India, Ceylon dan Sikh.  Cikgu Noorlia dan Encik Sallehuddin yang paling kuingat.  Guruku ramai keturunan Cina kerana mereka memonopoli subjek sains.  

Tak lupa juga semasa di sekolah rendah, aku turut belajar mengaji di sebelah petangnya bersama Ustazah Takyah.  Suaminya bernama Hj Mat Isa......  Seingat aku, kedua-duanya telah lama pergi mengadap Ilahi.

Apabila menyambung belajar di MPSI di Tanjung Malim,  guruku semakin ramai.  Walaupun bergelar pensyarah, mereka juga adalah guru.  Tiga tahun aku di sana, bermakna ramai yang mencurah ilmu kepadaku.  Di sanalah aku menuntut ilmu untuk menjadi seorang GURU.

Begitulah rentetan perjalanan bersama guru-guru secara formal.  Namun tidak kulupa bahawa ada guru lain yang turut sama mewarnai alam kehidupanku.  Adanya ustaz ustazah,  yang membimbingku belajar ilmu agama.  Adanya 'teacher' yang mengajar bahasa.  

Tidak lupa juga ilmu yang dipelajari melalui internet atau media elektronik.  Melalui buku-buku terlalu banyak.........  Begitulah perkongsian ilmu di era globalisasi ini.

Akhir kalam,  TERIMA KASIH CIKGU dan SELAMAT HARI GURU!


.........dan hari ini aku masih mendidik anak-anak yang dahagakan ilmu........
           menyambung tugasmu guru....