I made this widget at MyFlashFetish.com.

Friday, 23 December 2016

SKBG

Dah 50 tahun usia kita........  setengah abad.  Kita mula berkenalan di darjah satu di Sekolah Kebangsaan Batu Gajah.  Tapi kelibat sekolah itu sedikit pun sudah tidak ada lagi di pekan Batu Gajah.  Hanya bangunan baru SK TIWA (Toh Indera Wangsa Ahmad) yang menggantikannya.  Memang aku perasan........  tidak ada sekelumit langsung bangunan lama yang tinggal.  Sedikit rasa kesal bertenggek di hatiku.

Yang ada cuma bangunan batu bertingkat gah berdiri.  Sudahlah bangunan lama kini tiada.  Malah namanya pun turut ditukar!  Cuma beberapa naskhah majalah lama SKBG masih tersisip di antara celahan majalah yang ada di rak buku di rumahku menjadi bukti sejarah sekolah rendahku.

Di situ aku mengenali kawan-kawan sepermainan.  Mereka yang sama-sama mewarnai kehidupan dalam usia tujuh hingga dua belas tahun itu.  Belajar di bangunan bertangga, berlantaikan papan.  Di bahagian bawah pula ada stor alatan sukan dan bilik muzik.

Dan sebahagian lain pula bahagian bawahnya hanya ruang kosong yang agak rendah, tidak dapat kami bolosi.  Keunikan bangunan tersebut masih kuingat lagi.  Bunyi derapan sepatu kami jelas kedengaran tatkala menapak tangga lagi.  Jikalau berambat di dalam kelas, makin jelas bunyinya.  

Kita sama-sama bermain teng-teng, galah panjang dan jengkit kejar....... ceria terbayang di wajah masing-masing.  Beberapa batang pokok ketapang menjulang tinggi menambah redup laman sekolah kami.  Di situlah tempat kita menanti ayah atau ibu yang datang menjemput bila tiba tengah hari.

Makanan di kantin berbaloi harganya.  Cukup kenyang terasa walaupun hanya beberapa sen nilainya.  Dan aku tetap menabung setiap hari dengan syiling yang berbaki.  Kekadang ibu menyediakan bekal untuk kubawa, namun wang poket tetap kuterima.

Cikgu-cikgu kami ramai yang vateran.  Masih kuingat lagi pada Cikgu Shaharbanun, guru kelas yang agak garang.  Cikgu Rosli yang mengajar kami seni lukis dan senaman atau pendidikan jasmani.  Ustaz Alias, guru agama kami.  Cikgu Sofiah yang mengajar aku semasa di darjah satu.  Cikgu Ibrahim guru Bahasa Inggeris.  

Guru-guru lain yang masih dalam ingatanku.......Cikgu Yang, Cikgu Fatimah Zahra, Cikgu Zul, Cikgu Emi dan Cikgu Ema.  Manakala guru besar yang kuingat pula ialah Cikgu Othman dan Cikgu Ashar.  Yang selebihnya kuingat wajah, tapi nama tak ingat pula.  Kepada semua guru SKBG yang pernah mendidik kami, kuungkapkan jutaan terima kasih.  Takkan terbalas jasa kalian.  Semoga Allah memberkati hidupmu, cikgu.  Dan kiranya engkau telah tiada, kami hadiahkan Al Fatihah buatmu.

Kami pernah merasa bersekolah di Sekolah Cawangan suatu ketika dulu.  Rasanya kami belajar di situ semasa di darjah tiga dan empat.  Agak jauh sedikit lokasinya ke belakang.  Tak silap aku, berdekatan dengan Kampung Dobi.  Bangunan papan bertingkat.  Dan ada lagi dua bangunan lain, bertiang batu besar.  Agak rendah.  Ciri-ciri unik sedemikian agak sukar dilihat dewasa ini. Padang sekolah pula kawasannya agak tinggi dan terdapat beberapa anak tangga untuk naik ke atas. Dan Sekolah Cawangan itu kini dijadikan setor MDKB.  

Bila ada program utama di SKBG, kami akan berjalan beramai-ramai dari Sekolah Cawangan diiringi guru-guru menuju sekolah utama sambil melewati beberapa buah rumah kampung dan taman perumahan.  Kami akan memberi laluan kepada kenderaan yang turut berkongsi laluan yang sama menuju ke destinasi mereka.  

Semasa di bangku sekolah rendah, aku turut terpilih sebagai wakil sekolah dalam pertandingan nasyid, tarian asli dan badminton.  Selebihnya aku menyertai persembahan nyanyian dan syair terutama bila tibanya Hari Penyampaian Hadiah di hujung tahun.  Cuma di bidang sukan sahaja aku tidak menyerlah.  Semasa latihan rumah sukan, aku turut hadir.  Namun tidak terpilih.  Kawan-kawanku yang lain lebih hebat di bidang tersebut.

Enam tahun bersama di SKBG....... bagai bertahun lamanya kurasakan.  Dan kini di kala usia di angka lima puluhan..... kenangan manis itu tetap segar di ingatan.  Malah kembali segar pabila aku bertemu mereka kembali di laman facebook.  Dan sebahagian kecil pula bertemu di "WhatsApp".

Buat sahabat lama yang dikasihi, masih bersama tika ini...... terima kasih atas huluran salam yang bersambut.  Kita tautkan kembali saat manis itu, walaupun dalam situasi yang berbeda dari dulu.  Semoga bahagia di samping keluarga tercinta..

(Dilah Othman, Dila Pok Abdul Aziz, Norasiah Kidah, Zawiyah, Haziyah Yusof, Nora Wahid, Nor Akmar Tahir, Mahmuzah Abdul Salam, Noraini,  Zainab Sukor, Hazurah Salleh, Rahmah Ismail, Norliza Azmi, Rosnah Yusof dan Sarina Rahi) 










Thursday, 22 December 2016

MANUSIA KIAN GILA

Tatkala dahulu amat berani berkata-kata
semua kenyataan deras terbuka
menghentam semua
membujur lalu melintang patah
lantaran pedas dan tajam menghiris
leluka pilu bagi yang terkena

Namun wajah itu kini beralih arah
menjilat kembali hamburan
...... yang membusuk
...... yang memual
...... yang menjijik
...... dan meloyakan
dengan rela hati

Hingga aku yang kurang ilmu ini
jatuh longlai terjelepuk
m
 e
  n
   g
    e
     l
      u
       n
        g
         s
          u
           r 
            laju
membawa tabik hormat
yang punah 
dan berserakan di kaki waktu
membilang harga yang semakin hilang
menghitung nilai yang kian lompong
mengira apa yang tersisa


lekiyour22122016


Saturday, 17 December 2016

RINDU SERINDU-RINDUNYA.....

Kelmarin....... kutatap mukabuku untuk kesekian kalinya.  Mengimbau kembali sejarah yang tak bisa berulang.  Sambil meraikan bicara-bicara manis disulam rindu yang terbuku di kalbu.

Mengenang rakan seperjuangan yang kian melewati usia setengah abad.  Anak-anak yang kian dewasa.  Masing-masing berjubah, dengan topi empat segi....... wajah penuh ceria.  Malah ada yang sudahpun bercucu.  Selayaknya kita digelar atuk, tok wan, opah, nenek dan yang sewaktu dengannya.

Dengan raut wajah yang dah mula berubah.  Yang dahulunya cantik molek..... barangkali sekarang kedut mula mencelah.  Rambut yang dulunya hitam pekat, kian menyerlah putihnya.  Malah berat badan pun melebihi dari dulu.... kenyataan yang memang tampak jelas.  Kalau ada pun yang masih sama seperti dulu.... mungkin sukar ditemui.

Namun tak mengapa...... asalkan sihat walafiat, mampu untuk beribadah, alhamdulillah.  Itu sudah cukup bagus bagi kita.  Kesihatan itu amat berharga!

Sesekali bersua di muka buku...... acapkali kerjaya menjadi topik pilihan.  Paling tidak pun, ungkapan tentang keluarga pasti menjadi topik idaman.  Laluan hidup telah jauh berbeda dari dulu.  

Apa yang serupa ..... kita tetap duduk dalam gelanggang yang sama.  Cuma barangkali jawatan yang berbeda.  Menggalas amanah yang perlu dipikul sebelum titik nokhtah itu kita capai.  Dan tatkala khidmat telah berakhir.... bukan bermakna segalanya terhenti.

Namun ada dalam kalangan kita telah berundur diri lebih dahulu.  Atas alasan masing-masing, jua pilihan masing-masing.  Yang pasti, walau apa pun pengakhirannya.... kita tetap digelar 'çikgu' .

Dan kebersamaan kita di MPSI, tetap mekar di hati.  Kita pernah berada di situ, di tempat yang sama.  Belajar menjadi pendidik...... bergelar guru pelatih.......  merasai nikmat yang mungkin telah hilang.  Yang ada hanya kenangan, masih berbunga di teratak hati.

Taman Astakona, Dewan Rahman Talib, surau lama, panggung wayang lama, bangunan Suluh Budiman, dewan kuliah, kelas-kelas, asrama-asrama, dewan makan, bangunan lama Jabatan Penerbitan..... dan lebrinya........

Kehijauan pepohonnya, padangnya, tamannya....... 

Teringat nasi kawahnya, lauknya, gulainya, juga sorakan bising tatkala 'tray' bertabur jatuh.  

Masih  teringat lagi pada Mat Teropong,  Satira ........  

Rindu serindu-rindunya...... tiga tahun di Tanjung Malim, aku pulang dengan kereta api malam......




Friday, 16 December 2016

TERIMA KASIH SEMUA

Seingat aku........ aku mula berjinak-jinak dalam dunia penulisan semasa di sekolah menengah.  Waktu itu ada ruangan pantun di radio.  Tapi aku dah lupa tajuk rancangannya.  Sekadar mengisi masa lapang, aku pun mula menulis.  

Pertama kali bila pantunku dibaca oleh juruhebah Radio Perak....... rasa gembira juga.  Terasa pantun kita dihargai.  Sejak itu, rancangan tersebut memang kutunggu-tunggu.  Sama ada terpilih untuk dibaca atau tidak..... aku tak kisah.  

Aku teruskan berkarya dengan menulis sajak pula.  Tajuk rancangannya tak silap aku, "Rentak Remaja".  Adalah beberapa sajakku terpilih untuk disiarkan.  Syukur Alhamdulillah.  

Pernah sekali hasil tulisanku terpilih untuk disampaikan oleh juruhebah RTM Kuala Lumpur.  Memang tak ingat langsung nama rancangannya.  Cuma yang aku ingat siarannya tengah malam...... saat orang sedang beradu!  Daripada beberapa naskhah yang dihantar, yang terpilih untuk dibaca cuma satu.  

Pernah juga hasil tulisanku disiarkan di majalah Variasari.  Itu pun sekadar hantar secara suka-suka.  Kata orang setakat seronok-seronok menulis.  Bukan serius pun.  

Tidak berapa lama selepas itu, aku melangkah ke MPSI..... terputus terus hubungan aku dengan Radio Perak.  Ringkasnya, langsung tak menulis di radio.
Namun aku bersyukur, kerana di sanalah aku terus berkarya, dalam dua genre.... sajak dan cerpen.  Dan terima kasih banyak-banyak sahabat..... menyokong dari belakang.  Terutama rakan se'dorm'.   Teman sebilik.....   Rakan penulis dari group ASASMU.  Tak lupa pada semua yang sudi membaca hasil tulisanku.  Juga yang memilih dan menyiarkan hasil karyaku!

Di MPSI aku mengenali beberapa nama penulis, Kak Normeeza A.R.,  Kak Nita A.R., Kak Norhasni Marjono, Eden, dan beberapa nama yang tak asing lagi.  Dan terima kasih Kak Norina Md Zain..... buat pertama kalinya membawa aku ke bangunan lama Jabatan Penerbitan dan Penerangan (maaflah kalau tersilap), melihat bagaimana Buletin Bayu Budiman dicetak dan diterbitkan.  Terasa kecil diriku waktu itu.   Segan rasanya melihat petugas yang bekerja lebih masa menyiapkan tugasan.  Pengalaman yang amat berharga.  

Dan pengalaman itu juga aku aplikasikan semasa membantu kakak senior menerbitkan Suara Helwani, di bawah Jabatan Agama Islam dan Dakwah.  Bukan mudah tugasnya....

Aku berharap agar kalian (sahabat semua) juga menulis.  Sama-sama kita tulis yang baik-baik.  Sampaikan yang baik-baik.  Barangkali ada ilmu yang boleh kita kongsikan bersama.  Mungkin juga boleh menjadi saham di akhirat.






Thursday, 15 December 2016

KENANGAN BERSAMAMU

IBU KANDUNG SULUH BUDIMAN.....menemukan kami

....untuk ke sekian kalinya aku menulis lagi.  Mengingati kalian dalam cuti-cuti begini.  Pada kelas A..... dekat di hati.  Namun yg lain tetap di ingati.  Pada yang serumah sewa di Felda Trolak Selatan..... merasai bersama kehidupan di luar, untuk satu semester. Keletah kalian masih melekat lagi.

Namun tak seorang pun dalam kalangan kalian yang tetap kekal berutusan hingga kini.  Yang ada pun cuma sesekali bersua di facebook.  Atau paling tidak pun.... bertemu dalam 'group MPSI' juga di facebook.   

Dan kekadang tanpa diduga Allah mempertemukan kita...... dalam perjalanan!  Pernah aku bersua dengan Kak Suraya di jeti Langkawi.   Bertemu Kak Liza di atas bas, seingat aku di Langkap, Perak.  Pada Kak Normah, member sebilik yang sering mengenakan maxi sambil membawa gitarnya......  pun aku tidak ketemu.  Izin kuungkap terima kasih Kak Normah, mengajarku tentang 'kamera'.

....Kak Mano, kita sama-sama menulis dulu!  Masihkah menulis kak?  Rindu mahu melihat tulisan Kak Mano.  Emm.... persamaan wajah Kak Mano dengan abang senior menjadikan kami sering tertanya-tanya.  Bersaudarakah?  ...... mirip sangat-sangat.

Dengan rakan sama 'dorm' ..... waktu mula-mula kita menjejakkan kaki di Suluh Budiman....  paling banyak kuingat.  Group Jawa.... hingga aku turut belajar satu dua bahasa yang mereka banggakan.  Pada Salinah, Kak Zainab, Kak Siti Jumaijah, Kak Siti Anizah dan Siti Ruwaidah...... rasanya terdengar-dengar lagu Herman Tino yang dulu..... sijhi bakale jadhi loro....

Pada Kak Salbiah, orang Taiping.  Lembut orangnya.  Kak Noraini, orang Tikam Batu......  Rajin mengaji.  Pernah bercerita bagaimana pengalaman kakinya dipegang makhluk sasa, berbadan besar, lagi tinggi..... tika kami sama-sama satu dorm.  

Kak Nor Aziah, kerap sangat balik ke Tapah Road.... dua minggu sekali!  Sering disakat waktu itu..... "kenapa selalu balik kampung, Kak Yah?  Ni mesti ada apa-apa...." itulah antara dialog kami yang tak pernah lupa bila melihat Kak Yah bersiap-siap hendak balik hujung minggu.  Kak Yah hanya membalasnya dengan senyuman....

Emm...... Kak Suraya..... yang seorang ini sibuk belajar silat dulu.  Tapi tak habis rasanya...  Rahnah pula tak banyak cakap.  Tekun orangnya.  Dan sekarang dah dapat ijazah.... aku melihat perkembangannya dalam facebook.  Tahniah Rahnah!!! 

Kak Ani sorang lagi, orang Kedah.  Che Noraini nama penuhnya. Ni member rapat Kak Zai.  Mana pergi pun sering berdua.  Emm...... siapa lagi ya?  Ya, Kak Fauzlahanim... orang Selangor.... yang ini seorang lagi yang agak rapat denganku.  Kami ditemukan pada minggu orientasi!!!  Rindulah Kak Hanim!   Ke mana menghilang?  

Ada seorang lagi yang tetap di ingatan..... iaitu Kak Rohana, mesra kami panggil Kak Ana.  Tak lama bersama kami, sebab Kak Ana melanjutkan pengajian di UIA...... kalau tak silap aku.  

Maaf kalau ada lagi yang terlupa.  Asrama tempat kami waktu itu bangunan lama, ada dua dorm di situ.  Dorm sebelah pun ramai rakan yang sering menjadi teman berbual.  Lebih-lebih lagi jika sama sekelas.

Berpindah ke asrama yang kedua pula..... Allahu Robbi.  Jauh la pulak nak ke dewan makan.  Terpaksa menempuh asrama lelaki pula!  Owh..... sukarnya.  Dugaan betul waktu itu, lebih-lebih lagi masa bulan Ramadhan.  Nak bersahur..... kena berjalan jauh, melewati asrama berkenaan, kekadang diusik guru pelatih lelaki.  Hinggakan terbitnya sebuah sajak dari hatiku.  Dan sudahpun tersiar dalam cetakan Buletin Bayu Budiman... waktu itu.

Mengenang semuanya......  tiga tahun kita bersama di Lembah Bernam itu....
Jika Allah izinkan, aku menulis lagi........ 
Salam rindu di angin lalu....



Tuesday, 13 December 2016

NASIBMU NELAYAN...

Buat pertama kalinya aku berkongsi rasa di program itu.  Selama ini aku turut mengikuti perkhabaran tentang cerita-cerita suram..... yang mengundang kesedihan, keperitan dan kepayahan kehidupan nelayan.

Dan hari itu aku sendiri merasai erti perjuangan itu.  Benarlah pepatah mengatakan bahawa.... tak kenal maka tak cinta.....

Untuk menyelami perasaan mereka yang bergelar nelayan...... belajarlah erti kesusahan bersama mereka.  Cuba menadah telinga mendengar keluhan dan rintihan.  Jika ingin lebih merasai dan empati.....  duduklah bersama mereka.  Melihat dengan mata kepala sendiri permasalahan yang ditelan sekian lama.

Bukan mereka menolak pembangunan, bukan juga menentang perancangan.  Tapi biarlah pembangunan itu tambah memudahkan mereka, paling tidak pun..... kesannya nanti tidak menambah sukar kehidupan mereka.

Apabila sidang media diadakan, diwar-warkan untuk dilaksanakan..... sambutlah dengan hati terbuka.  Yang kelihatan cuma badan NGO.  Yang berjuang bermati-matian.  Sanggup berdiri bersama mereka, bersuara menyokong mereka.  Terkehadapan membela nasib mereka.......

Pepasir pantai yang memutih sejak berzaman entah ke mana perginya.  Yang tinggal kini sesetengahnya disaluti lelumpur gelap ...... dan kaki-kaki yang berlari-lari di situ dahulu, kini jarang mahu menginjak tepian pantai.  Keindahannya telah beransur hilang!!!   Begitulah yang dikhabarkan....

Setelah laut ditambak berdekatan dengan tempat tinggal mereka, hidupan laut makin menjauh.  Nelayan agak sukar untuk menambat bot akibat air yang cetek.  Maka mahu tidak mahu terpaksalah mengambil jalan jauh untuk ke laut.  Sedangkan lori-lori yang berulang alik mengangkut tanah dan batu bertali arus di atas tambakan tersebut.  Barangkali mengharapkan agar kerja-kerja dapat disegerakan.

Dalam perjanjian awal, hanya separuh sahaja tambakan yang akan dibina.  Namun apa yang kelihatan, ia telah jauh melebihi apa yang dijanjikan....  Mataku merenung sayu memerhati segala-galanya tatkala duduk-duduk di situ.  Rancaknya pembangunan....  

Tatkala bermula sidang media itu, aku mengambil peluang mendengar biji butir perbincangan dan soalan yang diketengahkan. Memang wajarlah mereka menentang dan bersatu hati memohon pembinaan tersebut dihentikan serta-merta kerana beberapa risiko yang bakal menimpa.

Bukan setakat nelayan sahaja yang hadir petang itu, terdapat badan-badan NGO berdiri sebaris bersama mereka. Namun aku tidak dapat bersama hingga ke penghujung program.  Kami melangkah pulang dengan seberkas harapan, mengharap agar para nelayan mendapat pembelaan yang sewajarnya.  Berharap agar mereka tidak diperkotak katikkan oleh insan yang berkuasa....... yang menganggap bahawa wang adalah segala-galanya.

Demi kelangsungan hidup nelayan dan generasinya, dan demi menyelamatkan Pantai Warisan Teluk Muroh....... sama-samalah kita berganding bahu dalam usaha murni ini.  




Bakal hilangkah pantai warisan ini .....
Tika sang penguasa berkira-kira mahu mengkomesialkannya
Demi mengisi kantung sendiri yang seakan tidak pernah penuh
Juga tembolok yang tidak pernah kenyang-kenyang

Bakal ghaibkah pantai warisan ini.....
Yang telah berzaman mewarnai kehidupan para nelayan
Dengan keindahan pepasir nan memutih
Kekayaan khazanah hidupan lautnya

Pantai Warisan Teluk Muroh,
..... kami sedia bangun bersamamu
..... mempertahankan hak yang sekian lama tersimpan
..... agar engkau tidak lagi menangis
               diratah rakus mereka yang hilang nilai kemanusiaan




13122016 lekir

Wednesday, 7 December 2016

MANJUNG PERMAI

Daerah Dinding asal namanya
Bahan sejarah banyak tercipta
Gangga Negara satu darinya
Di Kampung Kota terletak kesannya
Kota Belanda gagah rupanya 
Di Teluk Gedung Pangkor tempatnya

Di Teluk Batik tempat berkelah
Teluk Batak namanya diubah
Kesan lagenda Teluk Rubiah
Tapak kakinya dilihat nyata
Di Tanjung Kepah banyak kerangnya
Di Kampung Baru banyak siputnya

     Manjung daerah membangun
     Tumpuan pelancong
     Angin laut menyegarkan
     Indahnya pandangan
     Tempatnya nelayan

Manjung permai (3X)
Tempat pelancong
Manjung permai (3X)
Pesat membangun

Pangkalan TLDM tersergam
Keselamatan tidak terancam
Pertahan negara, agama, bangsa
Semoga nusa aman sentosa
Lumut terkenal singgahan dagang
Sampai di sini lupa nak pulang......


Walaupun aku bukan asalnya orang Manjung, tapi kini telah menjadi warga Manjung setelah bertemu jodoh dengan orang di daerah ini.  Semua putera puteriku dilahirkan di bumi bertuah ini

Betapa indahnya bait-bait bahasa di atas, senikata lagu 'Manjung Permai'  masih kuingat lagi....  Tapi itu dulu.... Manjung yang kini kian hilang keindahannya.  Kian suram kelihatannya.  Menggugat emosi dan nurani pencinta alam.

Tatkala manusia mengejar kemajuan, betapa rakusnya mereka membaham peluang yang ada.  Membunuh keindahan dan keaslian yang bertapak sekian lama ........  hinggakan segalanya kian terhakis!!!

Bukankah kerosakan yang dilihat hari ini berpunca dari tangan-tangan manusia itu sendiri???  Kita harus ambil iktibar terhadap peringatan yang Allah beri.  

Bandar pelancongan yang diagung-agungkan di dalam lagu terebut kian mula menampakkan kesan tercalarnya, dan lukanya bertambah dalam.  Demi mengejar keuntungan......  apakah segalanya harus dikorbankan....



Monday, 5 December 2016

WHATSAPP YANG MENAKUTKAN!!!

Amat benarlah seperti yang UAI katakan selalu.....
tentang facebook
tentang whatsapp


Tatkala aku dipelawa masuk ke group tersebut .....  dengan sukarela aku memberikan nombor telefon bimbitku.  Hasrat untuk menautkan kembali silaturrahim yang lama terputus.  Berhajat untuk mengembalikan hubungan yang hilang entah ke mana...   Ya, respons amat baik pada mulanya.

Disebabkan tugas yang digalas sentiasa memerlukan komitmen....... maka aku tidak berapa mengendahkan whatsapp yang masuk melalui group itu.  Cuma kekadang bila ada ruang waktu, baru aku membacanya.  Rasanya tidak ada apa keperluan untuk aku menambah komen atau bicara.  

Namun tatkala 'notification' bertalu-talu masuk.......  dan acapkali kuperhatikan ada empat lima orang yang hanya berborak santai, berbalas-balas wasap..... maka aku mengambil keputusan untuk 'left group'.   

Apa tidaknya...... aneh sekali!!!  Rasanya dalam group itu masing-masing telah berumah tangga, paling tidak pun hanya seorang dua daripada yang berpuluh-puluh itu yang masih solo.  Boleh pulak berbalas-balas wasap hanya berborak perkara yang remeh.  Apa rasanya bersembang dengan isteri atau suami orang tanpa ada sebarang keperluan yang mendesak?  Dalam waktu malam hingga ke pagi pula tu!!!  Bayangkan....

Rasa syukur sangat-sangat bila aku mengambil keputusan sedrastik itu.  Cuma ada seorang dua sahaja yang sempat kusimpan nombornya, itu pun yang sejantina denganku.  Memang kawan baikku dulu.

Murahnya nilai diri....... jika tujuan berwhatsapp dijadikan sedemikian.  Sekadar untuk melayani sembang kawan yang tidak ada langsung keperluan.  Sedangkan di sisi kita ada isteri atau suami yang patut kita layani sepenuhnya. Ya Allah, ampunkanlah mereka....

Bukan aku kata yang diri ini serba sempurna.....  Tapi jika dengan perkara itu makin menambah dosa yang ada, biarlah aku undur diri.  Aku masih lagi belajar, belajar memperbaiki diri.  

Sesekali bila difikir-fikirkan...... seolah-olah diri kita sengaja membawa masuk maksiat hatta hanya melalui 'hp' .   Akibat tidak bijaknya kita menggunakannya dengan cara yang betul, padahnya kita yang terima.  

Terima kasih Ya Allah, mohon berikan aku kekuatan untuk melawan tipu daya syaitan.





Sunday, 4 December 2016

TAKZIAH LUQMAN.....

Takziah.......... dari kami, guru-guru......

Tatkala mendengar berita di kaca tv tentang pemergian seorang atlit oku dari Manjung, Perak........  hati tertanya-tanya.  Sehinggalah akhirnya terjawab.  Atlit yang dimaksudkan itu ialah jiran setempat tinggal denganku.

Suamiku agak sedikit terasa dengan kehilangan tersebut.  "Semalam baru selisih dengannya di perjalanan.  Dia dalam kereta....." getus suamiku.  Nampak terkilan di raut wajahnya.  Baru semalam jumpa, hari berikutnya sudah tiada.

Sebenarnya kami baru lagi berkunjung ke rumahnya, sebelum kejadian.  Aku nampak kelibatnya di muka pintu, berkerusi roda di dalam rumah.  Mesra menyambut kami.  Waktu itu kami menghantar kipas angin untuk dibaiki oleh bapanya.

Walaupun sama tempat tinggal, tidaklah semua jiran itu kuketahui dan kukenali keluarganya.  Tapi bagi jiran yang satu ini, jika dikenangkan kembali..... memang masih kuingat lagi pada hari perkahwinannya...... kurang lebih lapan tahun yang lalu.....

Masa itu ada dua pasangan pengantin di dalam rumah tersebut.  Mereka adalah insan istimewa.  Kebetulan waktu itu suamiku membantu katering untuk majlis perkahwinan tersebut.  Aku turut hadir.  Masih kuingat lagi...... ketika itu ramai warga oku turut serta.  Mungkin merupakan ahli kelab atau persatuan yang sama.....  Itu cerita lapan atau sembilan tahun yang lalu.

Tanpa kusedari hari ini bahawa salah seorang muridku antara yang ramai itu adalah anak atlit ini.  Perkenalan kami bermula tatkala aku menegurnya tentang baju uniform sekolah yang dipakainya sedangkan murid lain berbaju t-shirt sekolah kerana pagi berkenaan mereka kelihatan menuju ke padang.  Ada PJ sudah tentunya.  

Dia kelihatan kemas dengan kemeja putih berlengan panjang.  Aku jelaskan tentang baju PJ yang harus dipakai sekiranya melakukan pendidikan jasmani bersama gurunya nanti.  Rupa-rupanya dia masuk ke sekolahku dalam bulan Jun lalu.  Guru kelasnya terlepas pandang tentang baju PJ yang patut dbelinya. 

Selang beberapa hari selepas itu, ibunya hadir ke sekolah untuk membuat tempahan baju tersebut.  Aku agak terpempan seketika.  Allahu Robbi..... Maha Suci Allah..... kusembunyikan rasa sedikit sebak yang bertenggek di hatiku.  Tangan ibu muda itu agak terketar-ketar menyerahkan nilai wang untuk bayaran pakaian PJ yang ditempah.  Dari cara berdiri, berjalan dan cara percakapannya...... dapat kuagak bahawa ibu ini termasuk dalam kalangan insan kurang upaya.

Sedang dia berurusan denganku, rupa-rupanya suaminya hanya menunggu dalam kereta.  Waktu itu tidak ada sebarang syak di hati untuk mengenal siapakah wanita atau ibu muda ini.  

Sehinggalah berita kejadian malang menimpa ayahnya tersebar di kaca tv, barulah aku tersentak sekali lagi.  Lantaran itu kami membuat kutipan sumbangan untuk Luqman.  Semasa hadirnya kami untuk menyampaikan sedikit sumbangan di rumahnya, kelihatan datuk, nenek, ibu dan adik perempuannya.  

Tambah menyentuh hati tatkala melihat adiknya yang comel itu bergerak secara meniarap dengan kedua belah kaki yang lemah berbalut dan diikat kemas oleh doktor.  Ya Allah..... sembuhkanlah segera anak itu.


Tuesday, 8 November 2016

HARGA MINYAK NAIK LAGI......

Penuh laman dengan viral resipi........ baik facebook mahupun whatsapp.  Kuteliti resipi-resipi tersebut.  Berbaur sindiran.  Walaupun ianya baik dari aspek kesihatan, namun hatiku condong mengatakan bahawa semua itu memperli mereka di atas sana.

Ironinya begini...... diumumkan harga gula naik, jawapan mudahnya kurangkan gula.  Lebih tragis..... jangan makan gula.  Harga petrol naik, jangan naik kereta.  Ataupun berkongsi kereta.  Dan sekarang harga minyak masak naik, tukar menu kepada yang rebus-rebus atau yang bakar sahaja.  Sifir mudahnya begitu......

Kenapa tidak yang di atas sana tunjuk contoh teladan yang baik dan mulia?  Dalam keadaan rakyat dinasihati segala..... nun yang di sana boleh pulak boros berbelanja. Lebih hebat di luar negara.   Bermewah-mewah segala...... konon katanya dulu, belilah barangan buatan Malaysia.  Ibarat ketam menyuruh anaknya berjalan betul!!!   CAKAP TAK SERUPA BIKIN

Kenapa rakyat didahulukan untuk menerima hukuman yang dicipta sendiri oleh mereka di atas sana?  Siapakah yang menaikkan harga?  Siapakah yang boleh mengawal harga?  Jawatan berkaitan masalah ini..... diberi betulkah kepada mereka yang mahir dalam selok beloknya?  Atau asal yang menyokong membabi buta.  Kira pak angguk saja.   Peganglah jawatan itu sampai bila-bila.

Seeloknya jangan pegang jawatan kalau ianya bukan bidang anda.  Jangan mendabik dada dengan penyelesaian yang nampak bodoh di pandangan marhaen.  Malulah dengan mereka yang tidak berpendidikan tinggi, tapi fikiran mereka lebih hebat daripada menteri......

Duduk di atas sana ...... jangan rasa boleh buat sesuka hati.  Buat keputusan yang memihak kepada siapa?  Bukankah anda dipilih, menang dalam pilihan raya.  Apakah semuanya sudah lupa?  Cakap sahajalah 'janji ditepati'...... slogan yang tak berpijak di bumi nyata.  Pemanis mulut, penyedap halwa telinga.....

Sesekali duduk berfikirlah, bagi yang tak pernah berfikir ...... siapakah sebenarnya pengkhianat?  Siapa yang mengkhianati kita, yang menzalimi kita....

RAKYAT DIDAHULUKAN
JANJI DITEPATI
(Benarkah ..............)

Rakyat Didahulukan....... lebih kepada rakyat didahulukenakan.  Rakyat didahulukan untuk merasa BR1M awal tahun.  Berapa ramai yang dapat?  Berapa nilainya yang dapat?  Budi itulah yang diingat sampai mati.  Dikenang dan disebut-sebut selalu.  Berbelanja sekelip mata.  Bertahankah nilai yang dapat itu sampai setahun???

Sedarkah ...... apakah yang terjadi selepas itu?  Dalam tempoh untuk sampai ke penghujung tahun itu, berapa banyak yang dikaut pula dari rakyat?  
1.  GST  (persennya bakal naik lagi)
2.  Harga petrol naik (entah berapa kali)
3.  Perasankah bil air atau elektrik anda?
4.  Bagaimana dengan kos perubatan? 
5.  Macam mana pula dengan kos lain-lainnya yang semakin meningkat, tak pernah langsung menurun......

Beri sedikit........ ditarik sikit-sikit, yang akhir jumlahnya jadi banyak.  Takkan tak nampak.  Takkan tak sedar.  Kalau yang ini pun otak tak berupaya nak fikir, jangan marah jika anda dikategorikan OKU (Otak Kurang Upaya).  

Paling sedih........ ramai yang terpaksa dibuang kerja atau diberhentikan kerja. Bagi yang sudah berkeluarga, bagaimana kehidupannya berhadapan dengan hari-hari mendatang...... Tambahan pula dengan kenaikan harga.  Inilah kenyataan.  

Melihatkan senario hari ini, bangkitlah dari lena yang panjang.  Buka minda, dan berfikirlah.  Buatlah pilihan yang tepat.  Fikirkan masa depan anak cucu kita.  Jangan sampai nanti kita yang dipersalahkan kerana kesilapan membuat pilihan pada hari ini.  




Saturday, 5 November 2016

TURUNLAH SAMA (KHAS BUAT BAPAK-BAPAK MENTERI)

Turunlah sama.....
santunilah mereka sekelian
melihat kesusahan dan keperitan 
menyelami rasa hati dan perasaan
menelusuri kehidupan yang dhaif dan menginsafkan
yang menghitung hari-hari mendatang dengan kepayahan

Turunlah sama.....

tatkala mereka-mereka ini
berhempas pulas mencari sesuap nasi
terkadang sekadar meneguk air pili
merenung mohon simpati dan empati
pada siapa-siapa yang peduli

Turunlah sama.....

belajarlah merasai
berkongsi segala yang dideritai
jangan hanya bijak memperli
mencadangkan alternatif ikut logik sendiri
walhal menampakkan kebodohan peribadi
lagak si kaya tanpa sedar membaham hasil negeri
memenuhi perut dan tembolok kroni-kroni
alam akhirat sana sanggupkah berdepan dengan Ilahi?

Turunlah sama.....

jangan pandai menabur janji
wang ditabur tak tentu mana diperolehi
rakyat marhaen bergelut bagai nak mati
mendepani hari-hari mendatang ini
dengan bebanan tak tertanggung lagi
sedang kalian lena dek empuknya kerusi
rakus dan gelojoh bersama anak bini
menyapu bersih hak kami

Atau kami di sini.....

Yang akan menurunkan kalian suatu hari nanti
In shaa Allah...... sudah pasti!!!!!






Friday, 28 October 2016

RIBUT

Sebaik-baik aku melangkah masuk ....... kelihatan masing-masing menghadap komputer.  Aku pun tadi menghadap komputer juga.    Letih mataku berlama-lama.  Sesekali aku ke pejabat, bertemu yang berkenaan.  Berhasrat mahu berbincang sesuatu.

Malangnya semua kulihat sibuk.  Bila sudah di'klik'...... terpaksa menunggu.  'Loading' begitu punya lama...... akhirnya tak jadi juga.  Terbit rasa kasihan di hatiku.  Bukan sekadar pada rakan sekerja, malah pada diriku sendiri.  Bekerja bagai ribut...... menguruskan pelbagai jenis 'e' .

Betullah apa yang kubaca dulu...... kenyataan seorang profesor terhadap tugas seorang 'guru' .   Memang tidak dinafikan.  Dan ia benar-benar menerbitkan stress dan fed-up!

Tapi apa yang berlaku sekarang?  Keadaan seolah-olah menjadikan kita semakin jauh dari kasih Allah.  Sudahlah di tempat kerja, kita bertugas.  Balik ke rumah, masih lagi menghadap tugas yang sama.  Kekadang lewat tidur...... bersengkang mata.  Ada kalanya tidak teratur jadual kehidupan seperti dulu.

Sedangkan bagi pekerja lain, kerjanya habis di pejabat atau di tempat kerja sahaja.  Nokhtah setakat itu.  Tidak ada sambungan tugas pejabat di rumah.  "Rumahku adalah Syurgaku".

Dan seratus persen hilang stressnya di tempat kerja.  Tiada apa yang membebaninya tika di rumah.  Syukur alhamdulillah.

Ya Allah, aku mohon perlindungan-Mu.  Mohon permudahkan urusan kami.  Mohon rahmat dan kasih sayang-Mu.  Didiklah hati dan jiwa kami agar amat bergantung harap kepada-Mu.  Dengan tugas bagaikan ribut ini, ia tidak sedikitpun mengganggu ingatan kami pada-Mu.  Dengan amanah yang dikendong ini, tidak sesekali anak-anak didik terabai.

Bak pepatah..... kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai....
Semoga kesabaran dan kekuatan sentiasa bertaut utuh dalam diri.  

.....suatu hari nanti
pastikan bercahaya
pintu akan terbuka
kita langkah bersama
di situ kita lihat
bersinarnya hakikat
debu jadi permata
hina jadi mulia.......




MILO

Dah lama aku perhatikan iklan ini.....  Kehebatan yang nyata!

 "Minum milo anda jadi sihat dan kuat".   Betul ke?  

Pernah sekali aku diberitahu oleh rakan sekerja bahawa kandungan milo itu bukanlah bagus sangat.  Ada campuran tanah di dalamnya.  Aku jadi terkesima. Malas pula aku menyelidik.  Ah..... biar sahajalah...

Dulu memang aku suka minum milo panas atau suam ketika di kantin sekolah.  Semakin lama aku makin menjauh dari meminum minuman tersebut.  Bukan kerana terpengaruh dengan kata-kata kawanku itu.  Semuanya kerana menjaga kesihatan.

Sudahlah milo itu manis.  Ditambah lagi dengan susu pekat manis!  Bertambah-tambah manis rasanya.  

"Kalau kacau air tu jangan sampai ke dasar.  Jangan kacau semua.  Tak terminum nanti...." tegur suamiku.  Memang kami sekeluarga jenis yang tak minum yang manis sangat.  Sekadar manis-manis buah sahaja setiap bancuhan minuman yang dibuat.  Tetapi kalau minum di luar, aku biasanya lebih minat minum air suam sahaja.

Satu fakta menarik ingin kukongsikan ialah perkataan MILO itu sendiri.  Kenapa sejak kebelakangan ini ia disebut MAILO?  Pelik sangat....... sebutannya menyalahi ejaan.  Di kelas aku mengajar murid-muridku ejaan MILO, bunyinya MILO.  Tapi di kaca TV, ejaan MILO....... disebut MAILO...

Jadi sekarang .........siapa perosak bahasa???????????

Wednesday, 5 October 2016

SEMBUHKAN MEREKA YA ALLAH.....

1 Muharram jatuh hari Ahad.  Isninnya cuti lagi.....  Aku bersama suami mengambil kesempatan menziarahi jiran belakang rumah yang sudah 4 hari ditahan di wad.

Rupa-rupanya ramai bertali arus yang datang menjenguk beliau.  Ketika kami sampai, kelihatan beliau sedang menikmati hidangan petang itu.  Isterinya yang begitu ramah menyambut kehadiran kami.  Kelihatan anak menantu dan cucu ada sekali.

Bicara kami tidak panjang.  Usai bertanya khabar dan mendengar sedikit penerangan dari sang isteri, kami mohon diri kerana ada lagi pesakit yang akan diziarahi.  Ketika itu ada lagi jiran lain yang baru sampai.  

Kami melangkah ke wad lain.  Dalam perjalanan aku ditegur oleh dua orang anak muridku.   Tatkala aku bertanya siapa yang diziarah.....  mereka saling berpandangan dan tersenyum tanpa dapat menyebut nama gerangan yang dijenguk....  satu persoalan bertenggek di hatiku.

Di wad pembedahan, kami melangkah ke ruang pesakit wanita.  Suami menjelaskan kepadaku........ nak ziarah saudaranya.  Aku sebenarnya hanya mengikut sahaja, tanpa mengenali siapa orangnya.  Tatkala makin hampir ke katil tersebut, hati dijengah pilu.  Sebelah kakinya berbalut hingga ke peha.  Kami dimaklumkan seraya berbisik oleh suaminya bahawa isi sebahagian daging kakinya telah dibuang.  Akibat kencing manis.

Sesekali kami berbual.  Namun suamiku lebih banyak bertanya khabar kepada suaminya.  Mereka saling mengenal antara satu sama lain.  Pasangan ini merupakan pendidik.  Suami telah pencen, manakala isterinya masih berkhidmat.  Tua lebih dua tahun sahaja dariku.  Sekolahnya pun tidak jauh dari tempatku mengajar.

(....... tiba-tiba sahaja aku teringat pada Kak Nor......... ) 

Sedang asyik menelinga perbualan mereka berdua, anak muridku datang menghulur salam kepadaku....  kusambut tangannya.   "Ziarah siapa ye?"  Pun tanpa jawapan dari ulas bibirnya..... barangkali tidak tahu hendak menceritakannya.

Aku memanjangkan leher ke ruang sebelah sambil kaki melangkah meninggalkan suami.  Ada beberapa kelibat insan yang aku cam berada sekitar katil tersebut.  Ucap salamku mereka sambut.  Seorang demi seorang kuhulurkan tangan, tanda salam perkenalan.

Allahu robbi....... macam sama sahaja keadaannya dengan pesakit di katil tadi.  Sebelah kakinya juga berbalut hingga ke peha.  Cumanya pesakit yang seorang ini ramah bercerita.  Kelihatan agak ceria.  Rupa-rupanya sebahagian daging kakinya dibuang kerana sudah membusuk........hatiku meneka sendirian...... kencing manis jugakah....

Diceritakan asalnya pesakit hanya demam dua hari.  Sudah pergi ke klinik berdekatan bagi mendapatkan rawatan.  Dan akhirnya sebulan ditempatkan di hospital.  Dimaklumkan sebelum ini telah dimasukkan ke ICU.  Malah telah dibacakan Yaasin untuknya....... aku terdiam seketika.  

Kuasa Allah...... tak siapa yang tahu.  Alhamdulillah, elok sedarnya.  Cuma selepas itu setelah pemeriksaan doktor, sebahagian daging kakinya terpaksa dibuang.  

( .......... aku teringat kembali pada Kak Nor ........)

Ramah mulutnya berkisah...... terkesima aku jadinya.   Tidak terasa sakitkah?  Masih muda orangnya.  Anak-anak masih kecil.  Rupa-rupanya dulu pernah belajar di sekolah tempatku mengajar sekarang.  Maknanya 'murid tua' sekolahku.  

"Doakan saya ye cikgu," ujarnya ketika kami bersalam sebelum aku meninggalkannya.  

"In shaa Allah," jawabku sepatah.  Rasa sebak menerawang di kamar hatiku.  


Dalam perjalanan pulang kubisikkan pada suami...... " Teringat pada Kak Nor, bang.   Dia pergi dulu dalam keadaan macam tu ".   Kumohon pada-Mu Ya Allah, sembuhkanlah mereka.  Kasihilah mereka.  Kasihanilah mereka.  Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Sunday, 14 August 2016

TERKENANG HARI MERDEKA YANG DULU

Tiba-tiba aku teringat kenangan masa lalu.  Tika ayah masih bekerja di lombong bijih timah di Kampung Pisang......

Waktu itu aku dan abang masih kanak-kanak.  Kalau ayah ada masa lapang di sebelah petang, ayah akan membawa kami dua beradik bersamanya menaiki basikal berkeliling tempat kerjanya.  Aku duduk di tempat duduk belakang, manakala abang duduk di galang depan.  Al maklumlah... basikal tua.

Kami melewati pepasir yang memutih.  Menikmati pemandangan bak padang pasir!  Dan apa yang membanggakan kami adik-beradik......  ayah akan bercerita sambil meneruskan kayuhannya.  Menunjukkan lokasi tempatnya bekerja.  Menerangkan tentang kapal korek yang tersergam di tengah lombong........  kelihatan amat besar dan berat...... namun boleh terapung di air.

Ayah akan membelikan kami sorang sebatang aiskrim.  Sungguh mengasyikkan..... menikmati aiskrim sambil mendengar cerita ayah.  Melihat suasana lokasi ayah bekerja.  Ayah hanya seorang buruh lombong, cumanya tugas ayah sebagai 'kepala lombong'.  Diamanahkan untuk mengawasi dan meninjau rakan lain yang bekerja.

Paling menyeronokkan bagiku ketika itu ialah tatkala sambutan Hari Ulang Tahun Kemerdekaan disambut.  Sebelum hari berkenaan tiba, semua pekerja lombong akan menerima bungkusan besar, cenderahati untuk dibawa pulang.  Kalau anak ramai, banyaklah bungkusan yang akan diterima.  

Hatiku berbunga riang tatkala menerimanya dari tangan ayah.  Antara isi kandungan bungkusan tersebut termasuklah beberapa jenis gula-gula, biskut, coklat, belon, dan permainan.  Paling menarik ialah bendera Malaysia yang pada batangnya berisi gula-gula pelbagai warna.  Saban tahun kami menerimanya dan berakhir apabila ayah berhenti kerja di lombong tersebut.  

Ayah berhenti sebab mahu berniaga.  Barangkali mahu mengikut jejak rasul junjungan. Setelah jatuh bangun, bergelumang dengan asam garam kehidupan sebagai seorang peniaga, ayah berjaya dalam karier pilihannya.  Alhamdulillah.

Dan Hari Merdeka sekarang .........  jauh berbeza dari dulu.  Dengan harga barang yang tak pernah turun, ditambah dengan GST,  terlalu ramai wajah bukan masyarakat Malaysia yang berserakan di bumi tercinta ini...... aku jadi hiba.  Akan tergadaikah bumi ini?  Hinggakan semakin leburnya kata-kata 'takkan melayu hilang di dunia'........

Siapakah yang bersalah?  Hinggakan sambutan kemerdekaan tiada makna......  kerana kita tidak lagi merdeka untuk menyuarakan pendapat dan pandangan.  Saban hari kematian dan pembunuhan mengisi ruang dada akhbar.  MERDEKAKAH KITA?????


OH KERETAKU.....

Kita disaran beli Proton,
Tapi harga jualannya di luar lebih murah
Sayangnya di sini melambung tinggi

Kita digalakkan beli kereta buatan sendiri,
Tapi 'mereka' berbangga dengan kereta luar negara
Emm...... agak-agak berapa harga, ya?

Kita hairan.....
Hairan bin ajaib.....
Ajaib bin pelik .....
Kerana ada yang kata macam 'tin milo'.....
Kena sikit.... lesut .... sompek.... 
Yang baru masuk di pasaran, ada yang ditarik balik

Oh keretaku,
Ada agenda tersembunyikah di sebalik penciptaanmu...

Hanya tinggal pada lagu.....
"berkereta jenama negara
    megah menyusur di jalan raya"



Tuesday, 9 August 2016

PENCUCI MULUT?????

Usai solat Asar bersama kak alang di AEON, kami meninggalkan pusat beli belah itu menuju restoran pilihan.  Sejak tadi perut berkeroncong, mohon diisi...

Sebaik-baik kami tiba di situ, kak alang memakir kereta agak jauh.  Barangkali mungkin mengelakkan kesesakan lalu lintas.  Kelihatan ramai yang singgah makan di situ.  Barangkali ada juga yang baru pulang dari kerja.  

Kami melewati beberapa buah meja makan yang terdiri dari pelanggan lelaki.  Dan akhirnya mengambil keputusan untuk makan nasi sahaja.  Di bahagian dalam pun sama, ramai lelaki kulihat sedang makan.  Cuma ada kelibat seorang wanita sahaja yang aku nampak.

Kami mengambil posisi duduk di tepi, saling berhadapan.  Biasanya memang begitu.  Kami bukanlah selalu makan di luar.  Sekiranya sesak sahaja atau dah terpaksa..... barulah mencari alternatif di luar!

Namun kedai atau tempat makan yang menjadi pilihan ialah yang utamanya terjaga kebersihan dan kehalalannya.  Pengusaha dan pekerjanya terdiri dari kalangan mereka yang seagama dengan kami.  Oleh kerana kami bukan jenis yang rasis,  tidak menjadi hal kalau mereka bukan orang Melayu.

Restoran ini menurut suamiku sentiasa mengekalkan reputasinya.  Mendapat pengiktirafan dari jabatan Agama Islam.  Pengunjung juga terdiri dari berbilang bangsa.  Banyak pilihan makanan di situ.  Manakala harga makanannya pula berpatutan.  

Sebaik-baik selesai makan, aku bangun untuk membasuh tangan.  Bila berpatah balik ke kerusiku, kelihatan lelaki di meja sebelah mula menyalakan rokoknya.  Maka berkepullah asap mencemar ruang udara.  Aku segera menekup mulut dan hidungku dengan sapu tangan.  Aku perasan lelaki itu menoleh padaku.  Namun aku buat tak tahu sahaja.  Malah tidak menurunkan sapu tangan tadi.

Kak Alang yang berniqab barangkali lebih selamat dariku.  Sambil menunggu dia menghabisi makanannya, mataku tertancap pada seorang lelaki di kaunter yang sedang membuat bayaran.  Ada isterinya di sisi.  Bungkusan rokok di tangannya diketuk-ketuk.  Barangkali kotak baru yang bakal dibuka....

Dan selepas itu seorang lagi lelaki yang baru bangun meninggalkan meja makan menghidupkan api rokoknya....... Allahu robbi.....  agaknya itulah pencuci mulut mereka!!!

Bukankah restoran itu tempat awam........  Peraturan merokok telah diwartakan oleh kementerian kesihatan.  Aku pernah terbaca risalah mengenainya di klinik kesihatan.

Nikmat makan makanan berzat dan seimbang sebelumnya telah dicemari dengan tambahan asap rokok yang mengandungi banyak unsur yang memudaratkan kesihatan.  Hebat betul manusia ini.  

Teringat pula aku pada bulan Ramadhan....... mereka yang merokok boleh tahan pula tak menyedut zat rokok dalam waktu begitu lama.  Tapi sebaik-baik masuk waktu berbuka........ di sebelah pinggan nasi dah ada kotak rokok menanti!  Tahu di kotak rokok ada tanda amaran dari kementerian kesihatan.  Malahan ada gambarnya sekali.....  Ada mereka kisah???

Kami meninggalkan restoran setelah membuat bayaran di kaunter.  Lupa pula aku meninjau-ninjau kalau-kalau ada papan tanda 'dilarang merokok' di situ. Hatiku berat menyatakan tiada tanda larangan pun.  

Dan aku berhajat untuk singgah lagi di restoran itu untuk menghulurkan surat 'komen' aku terhadap sikap pelanggan dan sedikit teguran kepada pengusaha restoran itu agar lebih rela menjaga kesihatan pengunjung yang pelbagai citarasa daripada menjaga hati pelanggan yang menjadikan rokok sebagai 'pencuci mulut' mereka.






Sunday, 31 July 2016

DAKAPAN TERAKHIR....

Esok takkan ada lagi kelibat Cikgu Wahida di sekolah ..... takkan ada lagi yang mengucapkan "Assalamualaikum cikgu" buatmu sahabatku.  Jumaat kelmarin..... majlis persaraan telah disaksikan oleh semua.... dan kau bakal menutup bukumu bersama kami di sini.

Betapa aku amat terasa kehilanganmu.  Maaf sahabat, kerana aku tak bisa naik ke pentas menghulurkan hadiah kenangan buatmu.  Tak terdaya rasanya.....

Kita ditemukan pada tahun 2006.....  sama-sama berada dalam bidang pemulihan. Pada tahun itu jugalah aku dilantik menjadi Guru Pemulihan Khas.   Engkau waktu itu di SK Sungai Tiram.  Manakala aku di sini, SK Lekir. Ilmu tentang Pemulihan Khas tak banyak yang kuketahui masa itu.  

Kita seringkali bersua tatkala perjumpaan guru-guru pemulihan peringkat daerah Manjung diadakan.  Seingat aku, kita kerap bertemu apabila jawatankuasa Pemulihan Khas daerah mengadakan pelbagai aktiviti bagi menambah ilmu dan berkongsi idea bagi memantapkan lagi pedagogi dalam PdP.

Banyak catatan pengalaman bersamamu.....  tika kita sama-sama di Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Negeri Sembilan.  Dan akhirnya kita menjadi akrab.  Sering berkongsi idea dalam mencari penyelesaian dalam menangani masalah berhadapan dengan anak didik kelas pemulihan.  Idea-idea bernas sering kau lontarkan.  

Malah banyak ilmu yang dikongsikan bersama sementelahan engkau merupakan Jurulatih Utama Pemulihan Khas Negeri Perak...... yang ringkasnya disebut 'JU' sahaja.  Dan seterusnya kau diangkat sebagai Jurulatih Utama Pemulihan Khas/LINUS peringkat kebangsaan.  Tahniah Wahida!!! 

Dan apabila aku tersenarai di dalam AJK Pemulihan Khas daerah Manjung, persahabatan terasa makin intim.  Menghadiri mesyuarat bersama dan melaksanakan tugasan bersama-sama makin mendekatkan kami.  

Januari 2014........ 
SK Lekir menerima kehadiran Puan Norwahidah binti Yakub sebagai warganya!  SK Batu Sepuluh yang diidamkan, tapi SK Lekir yang menjadi tempat baktinya.  Kuasa Allah mengatasi segala-galanya.  Terhumban di SK Lekir...... sudah pasti ada hikmahnya.

Beralih ke arus perdana..... maka bermakna pemulihan khas ditinggalkan.  Namun kami seringkali berurusan dalam banyak hal.  Ilmu-ilmu berkaitan pemulihan dan linus menjadi bahan perbincangan kami walaupun dirimu tidak lagi bergelar 'Guru Pemulihan'.

Dan Jumaat kelmarin merupakan detik-detik terakhir engkau bersamaku di SK Lekir.  Genap sepuluh tahun kita berkenal mesra, mudah-mudahan tidak terhenti di sini sahaja.  Sekali kita bergelar 'guru'...... sampai bila pun tetap bergelar 'guru'.

Kepadamu sahabatku Wahida......  terima kasih atas segalanya.  Mohon halalkan ilmu yang dicurah dan dikongsi bersama.  

Masih kuingat lagi ungkapanmu setelah hadiah tanda kenangan kuhulur buatmu lewat pertemuan itu.  Kalimah tulus dari ulas bibirmu agar aku meneruskan perjuangan ini ...... mendidik anak bangsa.  Air mataku tumpah jua dalam pelukan terakhir itu.




Sunday, 24 July 2016

TAHSIN SOLAT

Tak ramai yang hadir ladap di sekolah pagi tadi.  Bukan kerana tajuknya yang tak menarik.  Cuma banyak sangat aktiviti lain yang berlangsung serentak.  Kami terpaksa berbahagi-bahagi di beberapa buah lokasi.  Dan aku merupakan antara yang terpilih untuk sama-sama berada di makmal komputer sekolah.  Menjadi pendengar, menadah ilmu.

Entah berapa kali air mataku tumpah bila mendengar kata-kata ustazah yang dijemput itu.  Lembut bicaranya.  Ada kalanya bait kata-kata yang dilontar begitu menyentuh hati nuraniku.

Betapa benar hujah yang dibawanya.  Memang tak dinafikan, relevan dengan saat dan ketika ini.  Banyak kisah yang diselit dalam ceramah santainya.  Semuanya berkait tentang solat.  

Walaupun tajuknya 'Tahsin Solat' yang membawa maksud memperelokkan solat, perkara sampingan yang beliau dedahkan menggegar naluri keibuanku.  Jelasnya, ibu yang berjaya...... melahirkan anak yang hebat....... anak yang tidak menipu ibu.  Aku bermonolog sendirian...."Pernahkah anak-anak menipuku?  Atau berbohong padaku?"  Sementelah pula mereka makin dewasa, malah jauh dari mata.  Sedang persekitaran yang menggila begitu mempengaruhi mereka.  Allahurobbi....

Hamba yang kerdil ini mohon sangat-sangat pada-Mu Ya Allah,  berilah kekuatan kepada putera puteriku menghadapi ujian dan dugaan yang maha hebat di luar sana.  Bantulah mereka dalam menempuh laluan hidup yang berliku ini.  Jangan biarkan nasib mereka ditentukan oleh diri mereka sendiri.

Betapa ramai anak-anak di luar sana lalai mendirikan solat.  Ambil mudah akan solat.  Sedangkan persoalan utama yang akan ditanya di alam barzakh ialah tentang solat.  

Makin ke penghujung ceramah santainya..... makin gerun hatiku.  Beliau mengambil sedikit masa menjelaskan satu persatu akibat meninggalkan solat....  Ya Allah berilah perlindungan kepada kami sekeluarga,  guru-guruku, saudara maraku, sahabat handaiku jua muslimin muslimat baik yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia agar sentiasa mendapat kasih dan rahmat-Mu Ya Allah, mendapat kekuatan dalam melaksanakan solat yang Kau perintahkan.  


Sunday, 17 July 2016

MAAF ZAHIR DAN BATIN

MAAF ZAHIR BATIN..... terlalu banyak siaran tv sempena perayaan Eidul Fitri.  Tiap-tiap tahun begitulah adanya.  Ia seolah-olah mengajak semua penonton tidak berganjak ke mana-mana.  Kita akan dihidangkan pelbagai juadah siaran menarik hari raya mulai hari raya pertama atau Syawal pertama.

Ini berlanjutan hingga yang entah ke berapa Syawal....  Aku pun tidak mengerti dengan siaran tv ini.  Naik bingung aku dibuatnya.  Dalam iklan yang dipaparkan..... mengajak kita balik kampung dan saling menziarahi.  Macam ajak-ajak ayam saja lagaknya.

Tapi hati dan mata terikat agar jangan melepaskan peluang menonton pelbagai rancangan yang diulang entah kali yang ke berapa.  Kalau ada yang terkini pun, rasanya cuma hiburan nyanyian dan persembahan artis yang dirasakan menggila berhari raya.

Dengan pakaian yang serba indah, nyanyian silih berganti, gelak tawa menggamatkan suasana, aurat pun kurang terjaga, apakah maknanya Hari Raya?  Begitukah cara yang sewajarnya diraikan setelah sebulan berpuasa?

Sama-sama kita berada di madrasah Ramadhan...... begitukah berakhirnya.....

Dan dengan mudah mulut melafaz "SELAMAT HARI RAYA.  MAAF ZAHIR BATIN".  Selamat Hari Raya itu yang bukan beragama Islam pun biasa mengungkapkannya.  Menyentuh soal "Maaf zahir batin" pula.... fahamkah maksudnya?  

Ada insan lebih mudah mengungkapkan, "mohon maaf mana yang tersilap, terkasar bahasa sama ada sedar atau tidak.  Minta halalkan makan minum...." cantik bahasanya, lembut hati mendengarnya.  Yang memohon dengan rasa rendah hati, yang memaafkan dengan berlapang dada.

Sambil melipat kain aku menonton siaran sempena Syawal.  Cuma aku tak perasan tv berapa.... Tak silap aku rancangan itu berkaitan dengan gossip menggosip.  Rasanya ada sekali dua aku terserempak rancangan tersebut.  Itupun sekerat jalan saja..... tak minat sungguh aku.  

Sebelum berakhirnya rancangan itu, 'krew'nya mengucapkan "selamat hari raya, maaf zahir batin". Aku berungut sendirian.... dah buat cerita macam-macam, mudah pulak mohon maaf zahir batin.  Dan selepas ini rancangan itu akan diterbitkan lagi..... dunia dunia....

Aku seakan nak tergelak juga bila mendengar ungkapan...."selamat hari raya, maaf zahir batin, kosong-kosong" ....  Begitu mudahnya nak mohon maaf.  Ini bukan perlawanan bola sepak dengan berkesudahan 0 - 0. Atau seri....

Sama-samalah kita muhasabah diri agar permohonan maaf ini sentiasa menjadi amalan kita.  Bukan hanya menunggu raya saja baru hendak melafazkannya.  Entah-entah raya akan datang kita belum pasti dapat bertemu dengannya lagi.  Wallahuálam.