Isnin, 30 Mei 2016

ADUH KASIHAN

Usai berdoa, kami memulakan pelajaran.  Tiga orang saja yang hadir hari ini.  Hatta kalau hanya seorang pun yang hadir, in shaa Allah aku akan teruskan juga.

Jadual kelas bermula jam 9.00 pagi dan berakhir jam 12.00 tengah hari.  Dua subjek sekaligus dalam tempoh 3 jam itu.  Agak sukar mengajar subjek Matematik berbanding dengan Bahasa Melayu.

Mengajar mereka bertiga dalam suasana santai, saling membantu dan memperbetulkan kesilapan kawan.  Teknik rakan sebaya kusemaikan kepada mereka.  Agar mereka tahu bahawa ilmu yang ada perlu dikongsi bersama.  Seterusnya manfaatnya juga diperoleh bersama.

Selesai kelas tambahan, aku menghantar Aishah pulang.  Semasa Aishah mahu menjejak kaki ke keretaku, Rizqan sempat bertanya perlahan kepadanya...... "Cikgu ni mak Aishah ke?".  Soalan itu jelas kudengar.

Walaupun tidak berbalas, Rizqan tetap tersenyum sambil mengunyah pisang goreng yang dibekalkan oleh ibunya.  Dia menunggu kakaknya yang bakal menjemputnya pulang.

Dan lewat petang tadi, ketika aku menemani anak bongsuku mencari barang keperluan asramanya di bandar.........  aku terpandang pakaian raya yang bergantungan.  Cantik-cantik belaka.  Walaupun Ramadhan belum menjelang.... keperluan hari raya sudah mewarnai pusat pakaian dan beli belah. 

Tiba-tiba aku teringat pada Aishah dan Rizqan....... lebih-lebih lagi pada Rizqan....  Semasa di kelas tadi tak habis-habis dia memuji kasut yang dipakai oleh Umar.......

 

Tiada ulasan: