I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday, 25 May 2016

KASIH YANG HILANG

Dia sama sahaja seperti kanak-kanak lain.  Riang dalam dunianya sendiri.  Penuh dengan jerit pekik dan hilai tawa.  Sesekali pergaduhan kecil antaranya dan rakan-rakan mewarnai kehidupannya.  Pendek kata, dia sama seperti orang lain yang seusia dengannya.

Tapi entah di mana silapnya........  kesabaran guru-guru sering tercalar dek sikapnya yang satu itu.  Acapkali kisah yang sama akan diungkit oleh guru yang berbeza.  Dan kesimpulannya, tidak kira dengan guru manapun yang menjejak kaki ke kelasnya.....  sikap dan tingkah lakunya tetap sama. 

"Dia bukan tak boleh membaca..... cuma malas nak menulis jer.  Entah apa kenanya entah...... tak tahu nak mengatakannya," begitulah penerangan Cikgu Juriah sekiranya ada orang bertanya tentang Ikram.  "Orang lain siap semuanya.  Kalau ada yang lambat pun, daripada lapan ayat yang diberi...... err..... empat atau lima ayat siap juga.  Tapi yang sorang ni..... "  dahi Cikgu Juriah berkerut.  Sesekali dia menggeleng-gelengkan kepala.

"Sampai ke sudah satu perkataan saja yang siap.  Mana tidaknya, tulis satu... lepas tu menung.  Menung sana menung sini.  Sekali kita sergah..... sepatah ditulisnya.  Habis masa sejam dalam kelas macam tu saja.  Malas sangat nak menulis.  Tak tahu macam mana nak membetulkannya,"  rungut Cikgu Juriah.  "Bukunya tak pernah dihantar, kerjanya semedangnya tak siap......" ujarnya lagi.

Minggu lepas begitu juga.   "Ya Allah, susahnya nak mengajar yang sorang ni.  Bertuah betul budak ni.......  Langsung tak nak menulis.  Cuba tulis ya, Ikram........" kedengaran butir kata-kata yang keluar dari ulas bibir Ustazah Yati yang terkenal dengan kesabarannya.  Kekadang kelihatan kepala anak kecil itu diusapnya perlahan.  

Lembut nada suara ustazah muda itu.  "Dia memang malas, ustazah!!!" jerit Firdaus dari belakang.  "Malas tu sahabat syaitan!!!" tambah Lokman pula.  Kelas jadi sedikit hingar.  "Cukup, cukup..... tak baik kata kawan malas.  Sama-sama kita doakan dia ya," lembut nadanya memujuk. 

"Alah....maknya pun sama.  Pemalas jugak!" pintas Fariz.

"Hish, tak baik cakap macam tu Fariz, berdosa tu mengata orang.  Kamu kena minta maaf dengan mak kawan kamu tu.  Jangan buat macam tu lagi,"  tersusun  bicara Ustazah Yati menyelinap masuk ke telinga seluruh penghuni kelas itu.  "Jangan mengumpat, tak baik."  Kelas jadi sunyi bak dilanggar garuda.  Fariz kelihatan terkedu.  Senyap-senyap dia bangun melangkah mendekati Ustazah Yati.  Lengan baju kurung hijau bunga-bunga ustazah itu ditariknya perlahan.

"Eh, kenapa ni Fariz?"soal Ustazah Yati.   Raut wajah Fariz direnungnya dalam-dalam.  Seketika mata mereka bertentang.  Manik-manik jernih mula menuruni pipi Fariz.  Anak itu diburu rasa bersalah yang amat sangat.

"Kenapa ni sayang......"  ulang Ustazah Yati lembut.

"Saya berdosa, ustazah...... ta.....tadi saya kata emak Ikram malas.... Sa...saya berdosa ustazah....." sendunya jelas kedengaran.   "Sa.....saya ........ saya malu......... nak minta ampun ........ pa.......pada mak dia......."  air mata kian deras menuruni pipi mongel itu.  Hati Ustazah Yati turut sebak.   Dia terkebil-kebil menahan air matanya daripada melimpahi tebing.  Segera dipeluknya Fariz yang teresak-esak.

"Sudah sayang..........  sudah.....  Cukuplah tu......." belakang Fariz digosoknya perlahan bagi meredakan hiba hati anak kecil itu.  Fariz didakapnya erat.  Sebaik-baik tangisan reda, Fariz dilepasnya perlahan-lahan.  Dikeluarkannya tisu dari beg tangannya untuk mengesat pipi Fariz yang basah.

"Ummi kata berdosa kalau kita mengata orang, Abi pun kata macam tu juga."  Fariz bersuara perlahan.  "Ummi dan Abi pesan jangan mengumpat....." meluncur laju kata-kata itu keluar dari ulas bibir Fariz.  "Kalau buat dosa, kita akan masuk neraka.  Nanti tak cium bau syurga...." petah bicaranya.  Ustazah Yati memandang sekeliling sambil anak matanya meliar mencari Ikram.

"Ha..... tu dia.  Ikram, mari sini!" laung Ustazah Yati.  Ikram menunduk sambil melangkah perlahan menuju suara yang memanggilnya.  Dia akur. 

"Emmm.......Ikram, Fariz nak minta maaf ni.  Boleh ya Ikram maafkan......" pujukan ustazah mampu mencairkan hatinya yang keras.  Mulut Ikram terkunci tiba-tiba.  Sepatah perkataan pun tidak mampu dilontarkannya padahal sejak tadi dia berkira-kira mahu menyumpah seranah Fariz.  Geram benar dia dengan mulut celupar Fariz mengata emaknya 'pemalas'.  Kalau diikutkan hati mahu rasanya melepaskan penumbuk sulungnya ke muka mongel Fariz.  Biar lebam jadinya.  Biar padan muka Fariz.  Itu agaknya balasan setimpal yang bakal Fariz terima di atas dosanya tadi.

"Dengar tak Ikram...........Fariz nak minta maaf ni,  dengar tak?" ulang Ustazah Yati.   Ikram terasa bahunya dipegang.  Fariz menghulur kedua tangannya menanti reaksi Ikram.  Tangan itu disambut Ikram hambar. 

Petang itu Ikram dihantui rasa tidak keruan.  Sebaik-baik dia menghempas diri di katilnya, sepantas kilat wajah Ustazah Yati terbayang di hadapannya.  Ustazah muda itu berjaya mengambil tempat di hatinya.  Sikap Ustazah Yati cukup disenanginya.  Ustazah Yati melayan kerenah anak-anak muridnya sama rata.  Dia tidak pernah membezakan setiap anak muridnya.  Malah tidak pernah berungut semasa mengajar.  Senyuman tidak pernah lekang dari bibirnya.   "Alangkah bahagianya jika mak bersikap begitu...." hatinya berkata-kata.

Kalau dia tiada pensel untuk menulis, Ustazah Yati akan meminjamkannya.  Kalau bukunya tertinggal di rumah, Ustazah Yati tidak akan membebel marahkannya.  Malah Ustazah akan menghulurkan sebuah buku khas yang biasanya ada bersamanya.  Seringkali Ustazah Yati menegur tulisannya yang kurang cantik.  Ustazah Yati tidak lokek dengan nasihat.  Berkali-kali akan terdengar nasihat yang sama sekiranya Ikram melakukan kesalahan dan kesilapan yang serupa.  Sikapnya ketara berbeza dengan guru lain yang ditemui di sekolahnya.

Ikram rajin ke sekolah walaupun apa yang dipelajarinya di kelas dirasanya membosankan kecuali waktu kelas Ustazah Yati.  Kehadiran wanita itu memang ditunggu-tunggu.  Kalau Ustazah Yati tidak hadir disebabkan berkursus atau cuti sakit, terasa sepi dunianya di sekolah pada hari berkenaan.  Entah kenapa wanita itu begitu diminatinya malah terasa paling disayangi di sekolahnya.

"Ikram, tolong pergi kedai kejap!" laung ibu di dapur.  Ingatan Ikram pada ustazah yang disayanginya itu terpadam tiba-tiba.  Dia bergegas menyarung kemeja T yang tergantung di dinding ke badannya.

"Ada apa, mak?" soalnya penuh hormat.

"Belikan mak gula sekilo, kelapa parut sebiji.  Err........ nah ni duitnya.  Cepat sikit ya!" perintah ibunya.  Ikram mencapai basikal, mengayuhnya dengan berhati-hati menuju kedai Pak Razak.  Permintaan ibunya tak pernah dibantah atau ditangguh.  Apa sahaja yang diperintah ibunya, segera ditunaikan.  Begitu taatnya Ikram pada ibunya.  Dia tahu melawan ibu hukumnya berdosa.  Dia tak mahu menjadi anak derhaka.  Itu jugalah pesanan yang sering Ustazah Yati ingatkan kepadanya dan kawan-kawan.

Malam itu Ikram sekeluarga makan nasi dengan sayur lemak pucuk ubi dan goreng ikan masin.    Berselera sekali Ikram makan.  Emak hanya sesekali memasak di dapur.  Kebiasaannya emak beli sahaja lauk dari kedai makan berhampiran.  Ikram sentiasa berbaik sangka dengan sikap ibunya.  Mungkin ibu penat bekerja mencari rezeki hinggakan jarang memasak sendiri.  Memang Ikram menunggu-nunggu saat merasa nikmat makan hasil daripada air tangan ibunya sendiri.

"Adik kata Ikram selalu pergi jumpa Ustazah Yati.  Betul ke?" tiba-tiba ibunya bersuara usai mereka makan malam bersama.  Ketika itu Ikram membantu ibunya mengemas meja makan.  Sisa-sisa makanan yang tumpah dikutip dan meja dilapnya bersih. Ikram sudah biasa melakukan kerja-kerja itu.

"Betul mak," jawabnya.

"Ikram buat apa jumpa ustazah tu?" ibunya inginkan kepastian.

"Err........belajar solat....." lembut nada suaranya.  "Best ustazah tu ajar, mak.  Senang nak faham.  Ustazah kata bila kita mati nanti, soalan utama yang Allah akan tanya ialah tentang solat.  Kalau kita tak solat, apalah kita nak jawab depan Allah nanti........"  nada suaranya mengendur.  Ada getaran di hujungnya.

"Kita tak boleh tinggal solat.  Macam mana susah dan sakit sekalipun kena solat jugak.  Wajib kata ustazah.  Tak boleh solat berdiri, kita duduk.  Kalau tak, boleh baring.  Dengan mata pun boleh.......  Kalau tertidur atau terlupa, baru kena ganti.  Tak boleh suka-suka nak tinggal macam tu saja.  Solat tak macam puasa, boleh diganti-ganti."

"Baguslah kalau Ikram faham,"  getus ibunya.

"Tapi kan mak...... ustazah kata kalau solat berjemaah lagi banyak pahalanya.  Dua puluh tujuh kali ganda!  Ikram teringin sangat nak solat dgn mak dan ayah......"  ucapnya perlahan.  Mata mereka bertentang.  Ibunya hanya menguntum senyum.  "Senang-senang nanti..... kita solat sama ya mak.  Ikram teringin nak solat berjemaah dengan mak atau ayah.  Boleh ya, mak...."  Ibunya hanya memandang ke wajahnya dengan mata yang redup.

Ikram ditinggal sendirian menyelesaikan tugasnya mengemas ruang makan itu..  Walaupun ruang itu kecil tapi cukup menempatkan mereka makan seisi keluarga.  Tugasnya dilakukan teliti dengan penuh berhati-hati.  Nampak kemas bak kerja seorang ibu atau suri rumah.  Sikap Ikram ini cukup disenangi ibunya.  Dari jauh ibunya hanya memerhati gelagat anak kecil itu.  Sayu hatinya tiba-tiba.  Entah kenapa setitis dua air matanya jatuh tanpa diminta.

Fikirannya jauh menerawang sejarah yang ditinggalkan beberapa tahun yang lampau.  Tatkala bergelar anak seorang Imam kampung yang dididik penuh didikan agama.  Tak pernah tinggal puasa, tak pernah tinggal solat.  Berbaju kurung sentiasa, sekali sekala berseluar panjang dengan kemeja T longgar.  Hidupnya penuh kasih sayang. Teratur dan terkawal segalanya.

Tapi itu dulu........ Dan setelah berumahtangga, segalanya bertukar.  Salahkah dia membuat pilihan?  Tersilapkah dirinya membuat perhitungan?  Dan suami yang dianugerahkan itu adalah suami yang dipilih atas pilihannya sendiri, serta mendapat restu ayah ibu.  Tapi di mana silapnya sehinggakan mereka seisi keluarga kian jauh dari landasan yang benar.

"Mak....... dah siap dah.  Semua dah beres.  Nak rehat dululah ....."  Ikram menguatkan sedikit suaranya dari arah dapur agar didengar jelas oleh ibunya.

"Baiklah, nak.  Terima kasih Ikram,"  Sepantas kilat dia mengesat air mata yang mengalir lesu menuruni kedua belah pipinya. Hiba mencengkam seluruh jiwa raga.  Mindanya berputar ligat mencari-cari sesuatu yang kian hilang sinarnya.  Pandangannya kosong.

  .................................................................................................................................................



"Kenapa sejak kebelakangan ni abang tengok Siti banyak menung jer?"  lontaran suara Razali memecah keheningan petang itu.  Wajah Siti direnungnya dalam-dlam.  Sepasang mata yang ditatapnya itu tiba-tiba berkaca,

"Kenapa Ti.......  bagi tahulah abang kalau Ti ada masalah,"   Sepi menguasai suasana.  Razali masih menanti-nanti biji butir yang diharapnya bakal keluar dari ulas bibir isteri kesayangannya itu.  Kian lama dinanti, kelihatan butir-butir jernih air mata kian laju menuruni kedua belah pipi isterinya itu.

"Jom kita ke bilik.... malu kalau nampak dek anak-anak " bisik Razali perlahan sambil memimpin tangan Siti.  Siti melangkah longlai, seakan upayanya kian berakhir.  Di dalam bilik kecil itu Siti meluahkan segala  yang terbuku di hati kecilnya.  Bahunya hinggut turun naik menahan sendu yang meraja di hatinya.  Seakan sesak nafasnya...... bersimpang siur entah ke mana.  Dan Razali mendengar dengan penuh empati.  Seketika dia berasa seakan  berada di awang-awangan.  Menekuni kisah silam yang masih belum berbalam.  Menjadikan hatinya bertambah kelam.  Tambah resah dan menggelisahkan.

"Ti takut bang..........  banyak yang Ti dah tinggalkan.   Pesanan ayah Ti tak buat.......  Amanah Allah Ti sia-siakan..... Berdosa Ti, bang......"  air matanya merembes kembali.  Siti dipeluknya penuh kasih.  Setitik dua air mata lelakinya tumpah jua akhirnya.  Sudah jauh benar tanggungjawab tidak dipikul dengan baik.  Kian lari dari matlamat asal.  Janji yang dimeteri semasa ijab dan qabul mula membayangi diri.  Terasa amanah yang berat itu mahu menghempap dirinya yang hanya pandai melafazkan sahaja.  Dan terasa besar hutangnya yang belum tertunai.

Dia tercari-cari kejernihan yang dulu.  Terasa diri diselimuti dengan keladak yang menghanyirkan.  Kian lama kian hitam pekat menyelubungi.  Mampukah dia berhadapan dengan Allah nanti......  ke mana di halakan anak dan isteri dan di laluan mana arah yang bakal dituju sebagai pemandu mereka?  Mampukan dirinya menjawab nanti?  Peluh takut mula memercik.  Terasa lemah benar dirinya kini.  Lutut terasa goyah, pandangannya tiba-tiba berpinar.  Dia terduduk di birai katil.  Lamunannya terhenti.

"Ya Allah....... bagaimanakan kumula........."  persoalan yang mengharap jawapan.  Jawapan yang memerlukan pengorbanan.  Pengorbanan jujur ikhlas.  Kesilapan semalam jangan diulang lagi.  Kealpaan yang terbina jangan dibiar menebal dan membelenggu diri. Kehidupan bukan berakhir setakat di dunia ini sahaja.  Di dunia sana diri bakal bertarung .  Mampukah diri?  Sesungguhnya janji Allah itu pasti.

..............................................................................................................................................

"Mana milik kita.......
 Tidak ada milik kita.....
 Semua yang ada...
 Allah yang punya..."

Alunan nasyid kumpulan Rabbani itu dihayati sepenuh hati.  Menjadikan hatinya kian dihimpit pedih.  Makan, pakai dan tempat tinggal semua cukup walaupun tidak semewah orang lain.  Cuma makanan rohani masih dalam pencarian.

Tiba-tiba Ikram muncul di hadapannya.  "Jomlah malam ni ayah....  Kita pergi sama-sama,"

" Ke mana Ikram?" soal ayahnya.

"Ustazah Yati kata ada ceramah kat masjid malam ni.....  Jom kita pergi.....  Jomlah ayah......" rayu Ikram.  Lama dia menunggu jawapan.  Wajah ayahnya direnung dalam-dalam.

" Emm......  ok ok...."  jawapan ringkas keluar dari bibirnya.

"Bukan ok ayah,  ustazah kata in shaa Allah..... " senyum tersungging di bibirnya.  Mata tak berkedip memandang ayahnya.

" Ayah janji....... in shaa Allah kita pergi malam ni dengan emak dan adik-adik....."

" Okey........sayang ayah....... " sebuah kucupan singgah di pipi ayahnya.  Sejurus kemudian sepantas kilat Ikram berlari kegembiraan mencari emak dan adik-adiknya.   Razali mula mencari semula kasih yang hilang.


                                                   ****************************











No comments:

Post a Comment