Jumaat, 8 Julai 2016

WAD 2 KATIL 13

Petang Rabu aku menerima khabar dari abang bahawa ibu dikejarkan ke wad kecemasan.  Seterusnya ditahan di wad 2, Hospital Batu Gajah.  Segera aku memaklumkan kepada 'boss' keadaan tersebut.  Lantas memohon ikhsan budi bicaranya untuk meninggalkan tugas keesokan harinya jam 11.00 pagi.  

Keesokan harinya banyak pula pesanan kawan yang perlu aku selesaikan sebelum kelas Matematik bermula.  Sehabis baik aku cuba menyelesaikan tugas yang diamanahkan.  Namun hati tetap berbicara.  Terima kasih yang tidak terhingga kepada kak Nani yang menerima semula muridnya untuk dibimbing dalam waktu Bahasa Malaysia.  Begitu juga buat Cikgu Wahidah.  Duduk perkara sebenar terpaksa kujelaskan.

Aku singgah di rumah sebentar sebelum meneruskan perjalanan ke hospital.  Jam 12.00 aku memandu sendirian, berbekalkan pesanan suami agar berhati-hati memandu, tambahan dalam cuaca panas di bulan penuh barakah.  

Lebih kurang jam 1.45 petang aku tiba di tempat yang di tuju.  Telah lama benar aku tidak menjengah hospital berkenaan.  Aku ringan-ringankan mulut bertanya kepada kaki tangan hospital tentang lokasi yang dinyatakan ayah dalam perbualan telefon malam tadi.  

Melewati beberapa bangunan lama tinggalan sejarah....... mataku menerawang susuk bentuk wad yang menempatkan pesakit.  Bangunan kayu fesyen lama, namun jelas kelihatan kukuh.  Kehijauan rerumput saujana mata memandang.  Dan akhirnya pencarianku berakhir di wad 2 katil 13.  Alhamdulillah....  Abang Shamsul yang menemani sedia ada di situ.  Salamku bersambut, kukucup tangan ibu.  Ada riak ceria di wajahnya walaupun menahan sakit kakinya yang membengkak.

Ayah tiba tidak berapa lama kemudian, dalam keadaan bertongkat.  Masih mampu memandu kereta Kancilnya.  Sejurus kemudian abang meninggalkan kami, barangkali mengambil giliran untuk berehat.  Selesai menunaikan solat Zohor, kami menghabisi masa bercerita dalam suasana santai.  Dan sebelum menunaikan solat Asar aku sempat menghantar ibu ke bilik air, menantinya membersihkan diri dan mandi, kemudian menyorong semula kerusi rodanya ke katil 13 tadi.  Cuma sedikit sukar bagiku untuk mengawal kerusi roda itu di kawasan curam di wad tersebut.

Petang itu aku dan ayah meninggalkan ibu sendirian.  Puas hati ibu kerana dapat bertemuku.  Jelas terbayang di wajah tuanya.  Ketika kami beriringan menuju ke tempat parkir kereta, ayah sempat mengadu bahawa kakinya tidak lagi kuat seperti dulu.  Lututnya sakit-sakit.  Ayah akan kembali semula ke wad menemani ibu sebaik-baik selesai menunaikan solat isya' dan tarawih di rumah, itu janji ayah pada ibu.  Dan aku terus memandu sendirian kembali ke rumah sambil membawa seberkas doa buat ibu.....  


Tiada ulasan: