Sabtu, 23 April 2016

FATHUL ISLAM....

Sebaik-baik masuk ke kelas selepas bacaan Yaasin di tapak perhimpunan pagi Jumaat lalu....  kulihat wajahnya murung.  Jauh berbeza dengan rakan-rakannya yang lain.

"Kenapa Fathul...... tak sihat ke?" dia hanya menggeleng-gelengkan kepala.  

"Gaduh dengan kawan?" aku meneka dalam kesamaran.  Dia menggeleng lagi.

"Pasal Cikgu Azrina nak tukar sekolah ke?" aku cuba mengagak.  Dia mengangguk lesu. Tepat sekali!  

"Cikgu Noor Azrina ada ajar kamu, ke?" soalku.  Dia menggeleng.

"Cikgu tu mak angkat kamu ke, Fathul?" bertalu soalan kutuju kepadanya.  Dia menggeleng juga.

"Bukan cikgu...... Cikgu Azrina ajar pengakap..." jelas Umar Khalid kepadaku.

"Öh, begitu...... " ujarku sepatah.

Memang menarik tika cikgu itu menyampaikan pengajarannya walaupun hanya untuk sejam waktu kokurikulum bersama tahun tiga di makmal komputer.  Kebetulan waktu itu aku turut sama berada di makmal tersebut.  Barangkali itu yang menyebabkan Fathul tertarik hati.

Walaupun bukan guru mengajar subjek utama di kelas Fathul, daya tarikannya pasti ada hingga membuatkan anak ini kelihatan bersedih hati.  Dalam situasi bertemu dua minggu sekali, dan rasanya baru beberapa kali sahaja bersua...... hatinya terpikat dengan penyampaian guru itu.  

Aku kenal sangat Cikgu Noor Azrina.  Suaranya jelas dan nyaring bila berhadapan dengan anak didik.  Malah suara nyaringnya seringkali menerobos gegendangku tatkala aku bertugas di kedai buku.  Kelihatan garang....... segarang suaranya.  Beberapa pintu kelas pasti terdengar suaranya semasa PdP berlangsung.  Amat mengambil berat dan menjaga makmal komputer yang diamanahkan kepadanya.  Begitu sikap guru ICT kami.

Mungkin ada yang takut kepadanya, tak kurang juga yang suka kepadanya.  Tatkala beliau membuat ucapan terakhir di perhimpunan pagi itu...... ada beberapa murid yang kelihatan sugul, malah ada juga yang kulihat menahan air mata dari terus tumpah.  Merah mata dan hidung......... menahan sebak di dada......

Begitulah....... perginya seorang guru membawa kenangan manis.  Istimewanya seorang guru itu tidak sama di pandangan mata muridnya.  Barangkali mungkin akan tetap segar di ingatan, lebih-lebih lagi tika menyambut 16 Mei.......






Khamis, 21 April 2016

BERAT MATA MEMANDANG

Kelmarin aku bersama Kak Fadz, Cikgu Ya dan Jai meneruskan misi ziarah. Paling menjentik hatiku bila kami ditemukan oleh Jai dengan warga emas yang dalam keadaan kudrat yang tak seberapa yang menjaga anak perempuannya yang berusia 44 tahun. Ibu itu dengan kekuatan lutut yang tidak upaya menampung badan, ditambah dengan masalah kencing manis.  Duduk di kerusi bersebelahan dengan anaknya.

Manakala anak yang berusia 44 tahun itu hanya tersandar di kerusi 'malas' dalam keadaan tidak upaya, sosok tubuh yang ketara tidak berisi, ditambah dengan memakai lampin pakai buang.  Kusentuh dan kugenggam erat tangannya.  Dia membalas genggamanku.  Ada respon.

Turut bersama mereka ialah anak kepada wanita OKU itu yang baru sahaja menamatkan pengajian tingkatan lima.  Setia menemani ibu yang terlantar dan nenek yang kian uzur.  Manakala abangya baru sahaja keluar sebaik-baik kami sampai.

Mendengar ceritanya, aku jadi pilu.  Makcik itu yang mempunyai tiga orang anak tanpa rasa malu meneruskan bicara bila kami menanyakan beberapa perkara.  Dan akhirnya persoalan kami terjawab dengan kisah yang menyayat hati.

Anak yang asalnya dilahirkan sempurna ketiga-tiganya, mendapat masalah yang sama setelah mendirikan rumahtangga.  Anak yang berusia 44 tahun itu mengalami masalah sedemikian ketika anak bongsunya mencecah usia dua tahun.  Masalah yang tidak ditemui punca penyakitnya.... makin meruncing.  Dan hasilnya kini adalah keadaan yang dapat kami lihat di depan mata.  Masih mampu melirih pandang kepada kami,  mampu menjawab salam, namun terkapar lesu seakan mohon simpati.

Bak kata pepatah, "Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul"....   Bayangkan anaknya yang kini remaja berusia 18 tahun..... bermakna sudah lebih kurang 16 tahun ibu berusia 44 tahun itu menderita sedemikian rupa.  Ya Allah...... sabar sungguh bondanya menghadapi ujian-Mu.  Dan kini anak-anak berdua itu bakal mengambil alih tugas nenek yang kian dimamah usia.  

Bagaimana pula halnya anak-anak yang dua lagi?  Yang menerima nasib yang sama seperti ini?  Tak terjangkau akalku....

Mereka-mereka ini merupakan insan terpilih yang memerlukan sekelumit ehsan dari kita yang serba sempurna.  Seringkali kita berkira dalam banyak hal, berungut dengan ujian-ujian kecil.  Sedang mereka redho dan sabar menerima ujian sebesar dan seberat itu.  Kita...... kita bagaimana?

Aku kembalikan soalan itu kepada diriku ........  dalam usia yang menjangkau separuh abad ini, tak sehebat itu ujian yang Allah timpakan ke atas diriku.  Ya Allah, permudahkanlah urusan mereka.  Limpahkanlah kasih sayang-Mu buat mereka.  Lewat kunjungan itu, banyak mengajar aku erti kemanusiaan dan rasa syukur yang mendalam.  

Ziarah ini ............ aku belajar erti kehidupan dan kasih sayang sesama insan.



Rabu, 13 April 2016

MELANGKAH PERGI

Hari itu Cikgu Basri naik pangkat, beliau ditugaskan sebagai Penolong Kanan Kokurikulum di SK Sitiawan....  Kami kehilangan seorang pakar bahasa.  Beliau sering menjadi rujukan kiranya terdapat persoalan berkaitan Bahasa Melayu.  Orangnya banyak pengalaman, banyak tahun mengajar Bahasa Melayu tahun 6.  

Selain itu, Cikgu Basri merupakan orang teater.  Barangkali Fauziah Nawi, Mior Hashim Manap, Ahmad Yatim....... adalah sahabat sama bidang suatu ketika dulu.  Beliau juga mempunyai minat dan kebolehan bermain takraw.  Malah menjadi pengadil untuk pertandingan permainan tersebut.  Cuma kami di sekolah tidak pernah nampak beliau aktif di sekolah sama ada sebagai tekong atau posisi yang dua lagi.

Itu kisah Cikgu Basri yang lapan belas tahun berkhidmat di sekolah yang aku mengajar sekarang.  Aku masih baru di sini, baru sebelas tahun.

Dan siang tadi berita melalui whatsapp........ seorang lagi bakal meninggalkan kami...  Cikgu Noor Azrina Mazlan.  Beliau juga naik pangkat.  Bakal memegang jawatan Penolong Kanan Kokurikulum di SK Seri Samudera.  Tahniah buat Ina!!!

SK Lekir akan kehilangan seorang lagi guru yang berdedikasi, mahir dalam bidang IT.  Guru Matematik tahun satu, juga guru TMK.  Beliau juga guru pengakap yang aktif.  Beliau lebih dahulu bertugas di sekolah ini berbanding denganku walaupun usianya lebih muda dariku.

Dan selepas ini sudah tentu Cikgu Norwahidah.......  rakan baikku.  Sama-sama berkenalan di bidang Pemulihan Khas.  Berkenal dengannya menjadikan kami begitu akrab.  Banyak ilmu bagaimana cara untuk memulihkan murid yang bermasalah membaca, menulis dan mengira.  Bergelumang dengan cabaran dan kesabaran.

Cikgu Wahida memang cukup rajin, dapat menjalankan tugas dengan begitu baik.  Pernah memegang jawatan JU Pemulihan Khas daerah Manjung.  Apa sahaja tugas yang diamanahkan, akan beliau buat sehabis baik.  Beliau akan bersara pilihan.... sedang menghitung hari....

Berturut bulan meninggalkan kami warga SK Lekir...... Cikgu Basri bulan Mac, Cikgu Noor Azrina di bulan April manakala Cikgu Wahida in shaa Allah di bulan Julai nanti...  doa kami mudah-mudahan lebih berjaya di tempat baru.  

Buat sahabat-sahabat yang dikasihi.... 

Tika melangkah pergi
Jangan lagi menoleh ke belakang
Kami doakan nanti
Pergilah.... tiada yang menghalang

Tika menapak pergi
Kemaafan yang kami pinta
Barang mungkin tersinggung bicara
Meruntun nurani terusik jiwa
Tiada niat sekelumit jua

Tika terlerai menjauh sudah
Jengahlah sesekali cuma
Kenangan indah senada seirama
Di teratak usang berkongsi rasa
Berpaut kasih bertamu mesra
Melakar sejarah bertahun lama

Dan esok nanti
Carilah kami di celah sinar mentari
Terserlah manisnya sebuah memori