Ahad, 31 Julai 2016

DAKAPAN TERAKHIR....

Esok takkan ada lagi kelibat Cikgu Wahida di sekolah ..... takkan ada lagi yang mengucapkan "Assalamualaikum cikgu" buatmu sahabatku.  Jumaat kelmarin..... majlis persaraan telah disaksikan oleh semua.... dan kau bakal menutup bukumu bersama kami di sini.

Betapa aku amat terasa kehilanganmu.  Maaf sahabat, kerana aku tak bisa naik ke pentas menghulurkan hadiah kenangan buatmu.  Tak terdaya rasanya.....

Kita ditemukan pada tahun 2006.....  sama-sama berada dalam bidang pemulihan. Pada tahun itu jugalah aku dilantik menjadi Guru Pemulihan Khas.   Engkau waktu itu di SK Sungai Tiram.  Manakala aku di sini, SK Lekir. Ilmu tentang Pemulihan Khas tak banyak yang kuketahui masa itu.  

Kita seringkali bersua tatkala perjumpaan guru-guru pemulihan peringkat daerah Manjung diadakan.  Seingat aku, kita kerap bertemu apabila jawatankuasa Pemulihan Khas daerah mengadakan pelbagai aktiviti bagi menambah ilmu dan berkongsi idea bagi memantapkan lagi pedagogi dalam PdP.

Banyak catatan pengalaman bersamamu.....  tika kita sama-sama di Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Negeri Sembilan.  Dan akhirnya kita menjadi akrab.  Sering berkongsi idea dalam mencari penyelesaian dalam menangani masalah berhadapan dengan anak didik kelas pemulihan.  Idea-idea bernas sering kau lontarkan.  

Malah banyak ilmu yang dikongsikan bersama sementelahan engkau merupakan Jurulatih Utama Pemulihan Khas Negeri Perak...... yang ringkasnya disebut 'JU' sahaja.  Dan seterusnya kau diangkat sebagai Jurulatih Utama Pemulihan Khas/LINUS peringkat kebangsaan.  Tahniah Wahida!!! 

Dan apabila aku tersenarai di dalam AJK Pemulihan Khas daerah Manjung, persahabatan terasa makin intim.  Menghadiri mesyuarat bersama dan melaksanakan tugasan bersama-sama makin mendekatkan kami.  

Januari 2014........ 
SK Lekir menerima kehadiran Puan Norwahidah binti Yakub sebagai warganya!  SK Batu Sepuluh yang diidamkan, tapi SK Lekir yang menjadi tempat baktinya.  Kuasa Allah mengatasi segala-galanya.  Terhumban di SK Lekir...... sudah pasti ada hikmahnya.

Beralih ke arus perdana..... maka bermakna pemulihan khas ditinggalkan.  Namun kami seringkali berurusan dalam banyak hal.  Ilmu-ilmu berkaitan pemulihan dan linus menjadi bahan perbincangan kami walaupun dirimu tidak lagi bergelar 'Guru Pemulihan'.

Dan Jumaat kelmarin merupakan detik-detik terakhir engkau bersamaku di SK Lekir.  Genap sepuluh tahun kita berkenal mesra, mudah-mudahan tidak terhenti di sini sahaja.  Sekali kita bergelar 'guru'...... sampai bila pun tetap bergelar 'guru'.

Kepadamu sahabatku Wahida......  terima kasih atas segalanya.  Mohon halalkan ilmu yang dicurah dan dikongsi bersama.  

Masih kuingat lagi ungkapanmu setelah hadiah tanda kenangan kuhulur buatmu lewat pertemuan itu.  Kalimah tulus dari ulas bibirmu agar aku meneruskan perjuangan ini ...... mendidik anak bangsa.  Air mataku tumpah jua dalam pelukan terakhir itu.




Ahad, 24 Julai 2016

TAHSIN SOLAT

Tak ramai yang hadir ladap di sekolah pagi tadi.  Bukan kerana tajuknya yang tak menarik.  Cuma banyak sangat aktiviti lain yang berlangsung serentak.  Kami terpaksa berbahagi-bahagi di beberapa buah lokasi.  Dan aku merupakan antara yang terpilih untuk sama-sama berada di makmal komputer sekolah.  Menjadi pendengar, menadah ilmu.

Entah berapa kali air mataku tumpah bila mendengar kata-kata ustazah yang dijemput itu.  Lembut bicaranya.  Ada kalanya bait kata-kata yang dilontar begitu menyentuh hati nuraniku.

Betapa benar hujah yang dibawanya.  Memang tak dinafikan, relevan dengan saat dan ketika ini.  Banyak kisah yang diselit dalam ceramah santainya.  Semuanya berkait tentang solat.  

Walaupun tajuknya 'Tahsin Solat' yang membawa maksud memperelokkan solat, perkara sampingan yang beliau dedahkan menggegar naluri keibuanku.  Jelasnya, ibu yang berjaya...... melahirkan anak yang hebat....... anak yang tidak menipu ibu.  Aku bermonolog sendirian...."Pernahkah anak-anak menipuku?  Atau berbohong padaku?"  Sementelah pula mereka makin dewasa, malah jauh dari mata.  Sedang persekitaran yang menggila begitu mempengaruhi mereka.  Allahurobbi....

Hamba yang kerdil ini mohon sangat-sangat pada-Mu Ya Allah,  berilah kekuatan kepada putera puteriku menghadapi ujian dan dugaan yang maha hebat di luar sana.  Bantulah mereka dalam menempuh laluan hidup yang berliku ini.  Jangan biarkan nasib mereka ditentukan oleh diri mereka sendiri.

Betapa ramai anak-anak di luar sana lalai mendirikan solat.  Ambil mudah akan solat.  Sedangkan persoalan utama yang akan ditanya di alam barzakh ialah tentang solat.  

Makin ke penghujung ceramah santainya..... makin gerun hatiku.  Beliau mengambil sedikit masa menjelaskan satu persatu akibat meninggalkan solat....  Ya Allah berilah perlindungan kepada kami sekeluarga,  guru-guruku, saudara maraku, sahabat handaiku jua muslimin muslimat baik yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia agar sentiasa mendapat kasih dan rahmat-Mu Ya Allah, mendapat kekuatan dalam melaksanakan solat yang Kau perintahkan.  


Ahad, 17 Julai 2016

MAAF ZAHIR DAN BATIN

MAAF ZAHIR BATIN..... terlalu banyak siaran tv sempena perayaan Eidul Fitri.  Tiap-tiap tahun begitulah adanya.  Ia seolah-olah mengajak semua penonton tidak berganjak ke mana-mana.  Kita akan dihidangkan pelbagai juadah siaran menarik hari raya mulai hari raya pertama atau Syawal pertama.

Ini berlanjutan hingga yang entah ke berapa Syawal....  Aku pun tidak mengerti dengan siaran tv ini.  Naik bingung aku dibuatnya.  Dalam iklan yang dipaparkan..... mengajak kita balik kampung dan saling menziarahi.  Macam ajak-ajak ayam saja lagaknya.

Tapi hati dan mata terikat agar jangan melepaskan peluang menonton pelbagai rancangan yang diulang entah kali yang ke berapa.  Kalau ada yang terkini pun, rasanya cuma hiburan nyanyian dan persembahan artis yang dirasakan menggila berhari raya.

Dengan pakaian yang serba indah, nyanyian silih berganti, gelak tawa menggamatkan suasana, aurat pun kurang terjaga, apakah maknanya Hari Raya?  Begitukah cara yang sewajarnya diraikan setelah sebulan berpuasa?

Sama-sama kita berada di madrasah Ramadhan...... begitukah berakhirnya.....

Dan dengan mudah mulut melafaz "SELAMAT HARI RAYA.  MAAF ZAHIR BATIN".  Selamat Hari Raya itu yang bukan beragama Islam pun biasa mengungkapkannya.  Menyentuh soal "Maaf zahir batin" pula.... fahamkah maksudnya?  

Ada insan lebih mudah mengungkapkan, "mohon maaf mana yang tersilap, terkasar bahasa sama ada sedar atau tidak.  Minta halalkan makan minum...." cantik bahasanya, lembut hati mendengarnya.  Yang memohon dengan rasa rendah hati, yang memaafkan dengan berlapang dada.

Sambil melipat kain aku menonton siaran sempena Syawal.  Cuma aku tak perasan tv berapa.... Tak silap aku rancangan itu berkaitan dengan gossip menggosip.  Rasanya ada sekali dua aku terserempak rancangan tersebut.  Itupun sekerat jalan saja..... tak minat sungguh aku.  

Sebelum berakhirnya rancangan itu, 'krew'nya mengucapkan "selamat hari raya, maaf zahir batin". Aku berungut sendirian.... dah buat cerita macam-macam, mudah pulak mohon maaf zahir batin.  Dan selepas ini rancangan itu akan diterbitkan lagi..... dunia dunia....

Aku seakan nak tergelak juga bila mendengar ungkapan...."selamat hari raya, maaf zahir batin, kosong-kosong" ....  Begitu mudahnya nak mohon maaf.  Ini bukan perlawanan bola sepak dengan berkesudahan 0 - 0. Atau seri....

Sama-samalah kita muhasabah diri agar permohonan maaf ini sentiasa menjadi amalan kita.  Bukan hanya menunggu raya saja baru hendak melafazkannya.  Entah-entah raya akan datang kita belum pasti dapat bertemu dengannya lagi.  Wallahuálam.





Khamis, 14 Julai 2016

LAGENDA BUDAK SYS...83

Usai menunaikan solat Zohor di tempat solat wanita berhampiran wad 2 itu, aku singgah duduk di ruang menunggu (pelawat).  Seorang pengawal wanita ada di situ.  Kami berbual mesra, perkenalan pun bermula.  

Perbualan kami jadi semakin rancak dengan pertemuan tidak diduga aku dengan rakan sama sekolah sejak sekolah rendah hingga ke menengah......Encik Shaharani Nengah.  Jenuh aku mengingat nama itu..... makin pening dibuatnya.   Rupa-rupanya beliau setahun lebih tua dariku. 

Semasa zaman sekolah rendah dan menengah rendah dahulu, aku bukan jenisnya berkawan dengan semua pelajar.  Namun pelajar perempuan tetap menjadi keutamaanku.  Baik Melayu, India mahupun Cina.

Ketika bersekolah di Sekolah Kebangsaan Batu Gajah, aku diamanahkan dengan jawatan Pengawas Perpustakaan.  Naik ke menengah rendah di Sekolah Menengah Rendah, Batu Gajah...... aku memegang jawatan pengawas sekolah.  Namun aku menolak sebarang jawatan bila masuk tingkatan empat di Sekolah Menengah Sultan Yussuf, Batu Gajah.  Lebih dikenali sebagai sekolah SYS (Sultan Yussuf School).

Apabila ditempatkan di kelas aliran sains ketika belajar di SYS, terasa aku makin jauh dari kawan-kawan yang sama sekelas di SKBG dan SMR dulu.  Mana tidaknya, subjek-subjek berat terpaksa dipikul bagai nak rak.....  Rasanya tak sempat nak relaks...  Ditambah lagi dengan kelas tusyen...  Makin rengganglah aku dengan kawan-kawan....


Apabila aku dipelawa menyertai kumpulan WhatSapp bekas murid SKBG, SMR, SYS 1983 oleh Encik Shaharani...  Aku menerimanya.   Begitulah mulanya pertemuan dengan group whatsapp Budak SYS...83.

Sungguh tak ku menduga bahawa Ramadhan kali ini menemukan aku dengan beberapa rakan yang dulunya pernah rapat denganku.  Bertahun lamanya kami terpisah......  meninggalkan alam persekolahan dengan haluan masing-masing.  

Kini bertemu kembali dalam situasi yang amat berbeza.  Mana tidaknya..... semua sudah berumah tangga.  Punya anak-anak, malah ada yang sudah bercucu!

Antara yang paling rapat denganku ....... Sarina Rahi (lebih kukenali sebagai Imah), Rosnah Yusof,  Nor Fadzilah bt Pok Abdul Aziz (Dilah) dan Rahmah Ismail.  Dan yang selebihnya hanya kawan biasa yang masih kuingat walaupun tidak berada dalam kelas yang sama.  Mahmuzah, Haáziyah, Zawiyah, Noraini dan Norasiah Kidah.  

Namun aku terpaksa mengambil keputusan nekad meninggalkan group whatsapp tersebut.  Beberapa nombor telefon telah kusimpan terlebih dahulu.  Aku bercadang mahu menghubungi mereka kemudian.  

Terima kasih Ya Allah kerana menemukan aku semula dengan beberapa orang rakan yang hampir hilang dalam lipatan sejarah perkenalan kami.  Diharap pertemuan kali ini dapat mengembalikan kemesraan yang lalu. 

Jumaat, 8 Julai 2016

WAD 2 KATIL 13

Petang Rabu aku menerima khabar dari abang bahawa ibu dikejarkan ke wad kecemasan.  Seterusnya ditahan di wad 2, Hospital Batu Gajah.  Segera aku memaklumkan kepada 'boss' keadaan tersebut.  Lantas memohon ikhsan budi bicaranya untuk meninggalkan tugas keesokan harinya jam 11.00 pagi.  

Keesokan harinya banyak pula pesanan kawan yang perlu aku selesaikan sebelum kelas Matematik bermula.  Sehabis baik aku cuba menyelesaikan tugas yang diamanahkan.  Namun hati tetap berbicara.  Terima kasih yang tidak terhingga kepada kak Nani yang menerima semula muridnya untuk dibimbing dalam waktu Bahasa Malaysia.  Begitu juga buat Cikgu Wahidah.  Duduk perkara sebenar terpaksa kujelaskan.

Aku singgah di rumah sebentar sebelum meneruskan perjalanan ke hospital.  Jam 12.00 aku memandu sendirian, berbekalkan pesanan suami agar berhati-hati memandu, tambahan dalam cuaca panas di bulan penuh barakah.  

Lebih kurang jam 1.45 petang aku tiba di tempat yang di tuju.  Telah lama benar aku tidak menjengah hospital berkenaan.  Aku ringan-ringankan mulut bertanya kepada kaki tangan hospital tentang lokasi yang dinyatakan ayah dalam perbualan telefon malam tadi.  

Melewati beberapa bangunan lama tinggalan sejarah....... mataku menerawang susuk bentuk wad yang menempatkan pesakit.  Bangunan kayu fesyen lama, namun jelas kelihatan kukuh.  Kehijauan rerumput saujana mata memandang.  Dan akhirnya pencarianku berakhir di wad 2 katil 13.  Alhamdulillah....  Abang Shamsul yang menemani sedia ada di situ.  Salamku bersambut, kukucup tangan ibu.  Ada riak ceria di wajahnya walaupun menahan sakit kakinya yang membengkak.

Ayah tiba tidak berapa lama kemudian, dalam keadaan bertongkat.  Masih mampu memandu kereta Kancilnya.  Sejurus kemudian abang meninggalkan kami, barangkali mengambil giliran untuk berehat.  Selesai menunaikan solat Zohor, kami menghabisi masa bercerita dalam suasana santai.  Dan sebelum menunaikan solat Asar aku sempat menghantar ibu ke bilik air, menantinya membersihkan diri dan mandi, kemudian menyorong semula kerusi rodanya ke katil 13 tadi.  Cuma sedikit sukar bagiku untuk mengawal kerusi roda itu di kawasan curam di wad tersebut.

Petang itu aku dan ayah meninggalkan ibu sendirian.  Puas hati ibu kerana dapat bertemuku.  Jelas terbayang di wajah tuanya.  Ketika kami beriringan menuju ke tempat parkir kereta, ayah sempat mengadu bahawa kakinya tidak lagi kuat seperti dulu.  Lututnya sakit-sakit.  Ayah akan kembali semula ke wad menemani ibu sebaik-baik selesai menunaikan solat isya' dan tarawih di rumah, itu janji ayah pada ibu.  Dan aku terus memandu sendirian kembali ke rumah sambil membawa seberkas doa buat ibu.....  


BEGITUKAH MEREKA...

17 Ramadhan......  aku turut sama meraikan penerima sumbangan yang dijemput petang itu.  Kebanyakan yang hadir memang kukenali.  Ada dua tiga orang kanak-kanak yang kelihatan hari itu, merupakan anak murid di sekolahku.  

Rata-rata mereka yang hadir majoritinya golongan wanita.  Golongan susah.  Malahan ada ibu tunggal yang turut serta.  Sempat juga aku beramah mesra dengan mereka sebelum majlis bermula.

Usai majlis, aku berpeluang mengimbau kisah seorang ibu tunggal yang meluahkan isi hatinya.  Anaknya dulu merupakan anak muridku, telah menginjak usia dua puluh satu tahun kini.  Aku masih ingat akan wajahnya.  Dan kini anak kesayangan itu telah berumah tangga.  Telah dianugerahi dua orang cahayamata.

Dan dalam dukungan ibu tunggal itu kelihatan salah seorang seorang cucu yang semenjak sakit ini bukan memanggilnya 'nenek' tetapi.... 'emak'.  Asyik berulang ke hospital sejak kebelakangan ini.  Badannya yang berisi kian susut.....

Dinasihati doktor agar diberi susu tepung. Namun apa daya nendanya.  Susu pekat manis yang mampu dibeli, itulah yang diteguk oleh anak kecil itu.  Sedikit wang yang ada kian berkurang dan makin berkurang.  Untuk ke hospital memerlukan belanja juga.  

Peti ais di rumah sudah rosak.  Tidak boleh digunakan lagi.  Gas untuk memasak juga telah habis, tidak berupaya membeli gas baru yang nilai harganya kian meningkat.  Dalam periuk nasi elektrik itulah juga digunakan untuk menanak nasi serta masakan lain.

Aku cuba membayangkan bagaimana caranya untuk menggoreng, menumis malah menggulai dalam periuk yang sama.  Mengharapkan itu satu-satunya alternatif untuk menyediakan juadah bagi meneruskan kehidupan!  Malahan untuk memasak air sudah pasti mahu menggunakan periuk yang sama juga......  bayangkanlah.

Jika benarlah seperti apa yang dikata, berdosa rasanya membiarkan mereka begitu sedangkan aku beroleh nikmat yang tidak terhingga....