Jumaat, 23 Disember 2016

SKBG

Dah 50 tahun usia kita........  setengah abad.  Kita mula berkenalan di darjah satu di Sekolah Kebangsaan Batu Gajah.  Tapi kelibat sekolah itu sedikit pun sudah tidak ada lagi di pekan Batu Gajah.  Hanya bangunan baru SK TIWA (Toh Indera Wangsa Ahmad) yang menggantikannya.  Memang aku perasan........  tidak ada sekelumit langsung bangunan lama yang tinggal.  Sedikit rasa kesal bertenggek di hatiku.

Yang ada cuma bangunan batu bertingkat gah berdiri.  Sudahlah bangunan lama kini tiada.  Malah namanya pun turut ditukar!  Cuma beberapa naskhah majalah lama SKBG masih tersisip di antara celahan majalah yang ada di rak buku di rumahku menjadi bukti sejarah sekolah rendahku.

Di situ aku mengenali kawan-kawan sepermainan.  Mereka yang sama-sama mewarnai kehidupan dalam usia tujuh hingga dua belas tahun itu.  Belajar di bangunan bertangga, berlantaikan papan.  Di bahagian bawah pula ada stor alatan sukan dan bilik muzik.

Dan sebahagian lain pula bahagian bawahnya hanya ruang kosong yang agak rendah, tidak dapat kami bolosi.  Keunikan bangunan tersebut masih kuingat lagi.  Bunyi derapan sepatu kami jelas kedengaran tatkala menapak tangga lagi.  Jikalau berambat di dalam kelas, makin jelas bunyinya.  

Kita sama-sama bermain teng-teng, galah panjang dan jengkit kejar....... ceria terbayang di wajah masing-masing.  Beberapa batang pokok ketapang menjulang tinggi menambah redup laman sekolah kami.  Di situlah tempat kita menanti ayah atau ibu yang datang menjemput bila tiba tengah hari.

Makanan di kantin berbaloi harganya.  Cukup kenyang terasa walaupun hanya beberapa sen nilainya.  Dan aku tetap menabung setiap hari dengan syiling yang berbaki.  Kekadang ibu menyediakan bekal untuk kubawa, namun wang poket tetap kuterima.

Cikgu-cikgu kami ramai yang vateran.  Masih kuingat lagi pada Cikgu Shaharbanun, guru kelas yang agak garang.  Cikgu Rosli yang mengajar kami seni lukis dan senaman atau pendidikan jasmani.  Ustaz Alias, guru agama kami.  Cikgu Sofiah yang mengajar aku semasa di darjah satu.  Cikgu Ibrahim guru Bahasa Inggeris.  

Guru-guru lain yang masih dalam ingatanku.......Cikgu Yang, Cikgu Fatimah Zahra, Cikgu Zul, Cikgu Emi dan Cikgu Ema.  Manakala guru besar yang kuingat pula ialah Cikgu Othman dan Cikgu Ashar.  Yang selebihnya kuingat wajah, tapi nama tak ingat pula.  Kepada semua guru SKBG yang pernah mendidik kami, kuungkapkan jutaan terima kasih.  Takkan terbalas jasa kalian.  Semoga Allah memberkati hidupmu, cikgu.  Dan kiranya engkau telah tiada, kami hadiahkan Al Fatihah buatmu.

Kami pernah merasa bersekolah di Sekolah Cawangan suatu ketika dulu.  Rasanya kami belajar di situ semasa di darjah tiga dan empat.  Agak jauh sedikit lokasinya ke belakang.  Tak silap aku, berdekatan dengan Kampung Dobi.  Bangunan papan bertingkat.  Dan ada lagi dua bangunan lain, bertiang batu besar.  Agak rendah.  Ciri-ciri unik sedemikian agak sukar dilihat dewasa ini. Padang sekolah pula kawasannya agak tinggi dan terdapat beberapa anak tangga untuk naik ke atas. Dan Sekolah Cawangan itu kini dijadikan setor MDKB.  

Bila ada program utama di SKBG, kami akan berjalan beramai-ramai dari Sekolah Cawangan diiringi guru-guru menuju sekolah utama sambil melewati beberapa buah rumah kampung dan taman perumahan.  Kami akan memberi laluan kepada kenderaan yang turut berkongsi laluan yang sama menuju ke destinasi mereka.  

Semasa di bangku sekolah rendah, aku turut terpilih sebagai wakil sekolah dalam pertandingan nasyid, tarian asli dan badminton.  Selebihnya aku menyertai persembahan nyanyian dan syair terutama bila tibanya Hari Penyampaian Hadiah di hujung tahun.  Cuma di bidang sukan sahaja aku tidak menyerlah.  Semasa latihan rumah sukan, aku turut hadir.  Namun tidak terpilih.  Kawan-kawanku yang lain lebih hebat di bidang tersebut.

Enam tahun bersama di SKBG....... bagai bertahun lamanya kurasakan.  Dan kini di kala usia di angka lima puluhan..... kenangan manis itu tetap segar di ingatan.  Malah kembali segar pabila aku bertemu mereka kembali di laman facebook.  Dan sebahagian kecil pula bertemu di "WhatsApp".

Buat sahabat lama yang dikasihi, masih bersama tika ini...... terima kasih atas huluran salam yang bersambut.  Kita tautkan kembali saat manis itu, walaupun dalam situasi yang berbeda dari dulu.  Semoga bahagia di samping keluarga tercinta..

(Dilah Othman, Dila Pok Abdul Aziz, Norasiah Kidah, Zawiyah, Haziyah Yusof, Nora Wahid, Nor Akmar Tahir, Mahmuzah Abdul Salam, Noraini,  Zainab Sukor, Hazurah Salleh, Rahmah Ismail, Norliza Azmi, Rosnah Yusof dan Sarina Rahi) 










Khamis, 22 Disember 2016

MANUSIA KIAN GILA

Tatkala dahulu amat berani berkata-kata
semua kenyataan deras terbuka
menghentam semua
membujur lalu melintang patah
lantaran pedas dan tajam menghiris
leluka pilu bagi yang terkena

Namun wajah itu kini beralih arah
menjilat kembali hamburan
...... yang membusuk
...... yang memual
...... yang menjijik
...... dan meloyakan
dengan rela hati

Hingga aku yang kurang ilmu ini
jatuh longlai terjelepuk
m
 e
  n
   g
    e
     l
      u
       n
        g
         s
          u
           r 
            laju
membawa tabik hormat
yang punah 
dan berserakan di kaki waktu
membilang harga yang semakin hilang
menghitung nilai yang kian lompong
mengira apa yang tersisa


lekiyour22122016


Sabtu, 17 Disember 2016

RINDU SERINDU-RINDUNYA.....

Kelmarin....... kutatap mukabuku untuk kesekian kalinya.  Mengimbau kembali sejarah yang tak bisa berulang.  Sambil meraikan bicara-bicara manis disulam rindu yang terbuku di kalbu.

Mengenang rakan seperjuangan yang kian melewati usia setengah abad.  Anak-anak yang kian dewasa.  Masing-masing berjubah, dengan topi empat segi....... wajah penuh ceria.  Malah ada yang sudahpun bercucu.  Selayaknya kita digelar atuk, tok wan, opah, nenek dan yang sewaktu dengannya.

Dengan raut wajah yang dah mula berubah.  Yang dahulunya cantik molek..... barangkali sekarang kedut mula mencelah.  Rambut yang dulunya hitam pekat, kian menyerlah putihnya.  Malah berat badan pun melebihi dari dulu.... kenyataan yang memang tampak jelas.  Kalau ada pun yang masih sama seperti dulu.... mungkin sukar ditemui.

Namun tak mengapa...... asalkan sihat walafiat, mampu untuk beribadah, alhamdulillah.  Itu sudah cukup bagus bagi kita.  Kesihatan itu amat berharga!

Sesekali bersua di muka buku...... acapkali kerjaya menjadi topik pilihan.  Paling tidak pun, ungkapan tentang keluarga pasti menjadi topik idaman.  Laluan hidup telah jauh berbeda dari dulu.  

Apa yang serupa ..... kita tetap duduk dalam gelanggang yang sama.  Cuma barangkali jawatan yang berbeda.  Menggalas amanah yang perlu dipikul sebelum titik nokhtah itu kita capai.  Dan tatkala khidmat telah berakhir.... bukan bermakna segalanya terhenti.

Namun ada dalam kalangan kita telah berundur diri lebih dahulu.  Atas alasan masing-masing, jua pilihan masing-masing.  Yang pasti, walau apa pun pengakhirannya.... kita tetap digelar 'çikgu' .

Dan kebersamaan kita di MPSI, tetap mekar di hati.  Kita pernah berada di situ, di tempat yang sama.  Belajar menjadi pendidik...... bergelar guru pelatih.......  merasai nikmat yang mungkin telah hilang.  Yang ada hanya kenangan, masih berbunga di teratak hati.

Taman Astakona, Dewan Rahman Talib, surau lama, panggung wayang lama, bangunan Suluh Budiman, dewan kuliah, kelas-kelas, asrama-asrama, dewan makan, bangunan lama Jabatan Penerbitan..... dan lebrinya........

Kehijauan pepohonnya, padangnya, tamannya....... 

Teringat nasi kawahnya, lauknya, gulainya, juga sorakan bising tatkala 'tray' bertabur jatuh.  

Masih  teringat lagi pada Mat Teropong,  Satira ........  

Rindu serindu-rindunya...... tiga tahun di Tanjung Malim, aku pulang dengan kereta api malam......




Jumaat, 16 Disember 2016

TERIMA KASIH SEMUA

Seingat aku........ aku mula berjinak-jinak dalam dunia penulisan semasa di sekolah menengah.  Waktu itu ada ruangan pantun di radio.  Tapi aku dah lupa tajuk rancangannya.  Sekadar mengisi masa lapang, aku pun mula menulis.  

Pertama kali bila pantunku dibaca oleh juruhebah Radio Perak....... rasa gembira juga.  Terasa pantun kita dihargai.  Sejak itu, rancangan tersebut memang kutunggu-tunggu.  Sama ada terpilih untuk dibaca atau tidak..... aku tak kisah.  

Aku teruskan berkarya dengan menulis sajak pula.  Tajuk rancangannya tak silap aku, "Rentak Remaja".  Adalah beberapa sajakku terpilih untuk disiarkan.  Syukur Alhamdulillah.  

Pernah sekali hasil tulisanku terpilih untuk disampaikan oleh juruhebah RTM Kuala Lumpur.  Memang tak ingat langsung nama rancangannya.  Cuma yang aku ingat siarannya tengah malam...... saat orang sedang beradu!  Daripada beberapa naskhah yang dihantar, yang terpilih untuk dibaca cuma satu.  

Pernah juga hasil tulisanku disiarkan di majalah Variasari.  Itu pun sekadar hantar secara suka-suka.  Kata orang setakat seronok-seronok menulis.  Bukan serius pun.  

Tidak berapa lama selepas itu, aku melangkah ke MPSI..... terputus terus hubungan aku dengan Radio Perak.  Ringkasnya, langsung tak menulis di radio.
Namun aku bersyukur, kerana di sanalah aku terus berkarya, dalam dua genre.... sajak dan cerpen.  Dan terima kasih banyak-banyak sahabat..... menyokong dari belakang.  Terutama rakan se'dorm'.   Teman sebilik.....   Rakan penulis dari group ASASMU.  Tak lupa pada semua yang sudi membaca hasil tulisanku.  Juga yang memilih dan menyiarkan hasil karyaku!

Di MPSI aku mengenali beberapa nama penulis, Kak Normeeza A.R.,  Kak Nita A.R., Kak Norhasni Marjono, Eden, dan beberapa nama yang tak asing lagi.  Dan terima kasih Kak Norina Md Zain..... buat pertama kalinya membawa aku ke bangunan lama Jabatan Penerbitan dan Penerangan (maaflah kalau tersilap), melihat bagaimana Buletin Bayu Budiman dicetak dan diterbitkan.  Terasa kecil diriku waktu itu.   Segan rasanya melihat petugas yang bekerja lebih masa menyiapkan tugasan.  Pengalaman yang amat berharga.  

Dan pengalaman itu juga aku aplikasikan semasa membantu kakak senior menerbitkan Suara Helwani, di bawah Jabatan Agama Islam dan Dakwah.  Bukan mudah tugasnya....

Aku berharap agar kalian (sahabat semua) juga menulis.  Sama-sama kita tulis yang baik-baik.  Sampaikan yang baik-baik.  Barangkali ada ilmu yang boleh kita kongsikan bersama.  Mungkin juga boleh menjadi saham di akhirat.






Khamis, 15 Disember 2016

KENANGAN BERSAMAMU

IBU KANDUNG SULUH BUDIMAN.....menemukan kami

....untuk ke sekian kalinya aku menulis lagi.  Mengingati kalian dalam cuti-cuti begini.  Pada kelas A..... dekat di hati.  Namun yg lain tetap di ingati.  Pada yang serumah sewa di Felda Trolak Selatan..... merasai bersama kehidupan di luar, untuk satu semester. Keletah kalian masih melekat lagi.

Namun tak seorang pun dalam kalangan kalian yang tetap kekal berutusan hingga kini.  Yang ada pun cuma sesekali bersua di facebook.  Atau paling tidak pun.... bertemu dalam 'group MPSI' juga di facebook.   

Dan kekadang tanpa diduga Allah mempertemukan kita...... dalam perjalanan!  Pernah aku bersua dengan Kak Suraya di jeti Langkawi.   Bertemu Kak Liza di atas bas, seingat aku di Langkap, Perak.  Pada Kak Normah, member sebilik yang sering mengenakan maxi sambil membawa gitarnya......  pun aku tidak ketemu.  Izin kuungkap terima kasih Kak Normah, mengajarku tentang 'kamera'.

....Kak Mano, kita sama-sama menulis dulu!  Masihkah menulis kak?  Rindu mahu melihat tulisan Kak Mano.  Emm.... persamaan wajah Kak Mano dengan abang senior menjadikan kami sering tertanya-tanya.  Bersaudarakah?  ...... mirip sangat-sangat.

Dengan rakan sama 'dorm' ..... waktu mula-mula kita menjejakkan kaki di Suluh Budiman....  paling banyak kuingat.  Group Jawa.... hingga aku turut belajar satu dua bahasa yang mereka banggakan.  Pada Salinah, Kak Zainab, Kak Siti Jumaijah, Kak Siti Anizah dan Siti Ruwaidah...... rasanya terdengar-dengar lagu Herman Tino yang dulu..... sijhi bakale jadhi loro....

Pada Kak Salbiah, orang Taiping.  Lembut orangnya.  Kak Noraini, orang Tikam Batu......  Rajin mengaji.  Pernah bercerita bagaimana pengalaman kakinya dipegang makhluk sasa, berbadan besar, lagi tinggi..... tika kami sama-sama satu dorm.  

Kak Nor Aziah, kerap sangat balik ke Tapah Road.... dua minggu sekali!  Sering disakat waktu itu..... "kenapa selalu balik kampung, Kak Yah?  Ni mesti ada apa-apa...." itulah antara dialog kami yang tak pernah lupa bila melihat Kak Yah bersiap-siap hendak balik hujung minggu.  Kak Yah hanya membalasnya dengan senyuman....

Emm...... Kak Suraya..... yang seorang ini sibuk belajar silat dulu.  Tapi tak habis rasanya...  Rahnah pula tak banyak cakap.  Tekun orangnya.  Dan sekarang dah dapat ijazah.... aku melihat perkembangannya dalam facebook.  Tahniah Rahnah!!! 

Kak Ani sorang lagi, orang Kedah.  Che Noraini nama penuhnya. Ni member rapat Kak Zai.  Mana pergi pun sering berdua.  Emm...... siapa lagi ya?  Ya, Kak Fauzlahanim... orang Selangor.... yang ini seorang lagi yang agak rapat denganku.  Kami ditemukan pada minggu orientasi!!!  Rindulah Kak Hanim!   Ke mana menghilang?  

Ada seorang lagi yang tetap di ingatan..... iaitu Kak Rohana, mesra kami panggil Kak Ana.  Tak lama bersama kami, sebab Kak Ana melanjutkan pengajian di UIA...... kalau tak silap aku.  

Maaf kalau ada lagi yang terlupa.  Asrama tempat kami waktu itu bangunan lama, ada dua dorm di situ.  Dorm sebelah pun ramai rakan yang sering menjadi teman berbual.  Lebih-lebih lagi jika sama sekelas.

Berpindah ke asrama yang kedua pula..... Allahu Robbi.  Jauh la pulak nak ke dewan makan.  Terpaksa menempuh asrama lelaki pula!  Owh..... sukarnya.  Dugaan betul waktu itu, lebih-lebih lagi masa bulan Ramadhan.  Nak bersahur..... kena berjalan jauh, melewati asrama berkenaan, kekadang diusik guru pelatih lelaki.  Hinggakan terbitnya sebuah sajak dari hatiku.  Dan sudahpun tersiar dalam cetakan Buletin Bayu Budiman... waktu itu.

Mengenang semuanya......  tiga tahun kita bersama di Lembah Bernam itu....
Jika Allah izinkan, aku menulis lagi........ 
Salam rindu di angin lalu....



Selasa, 13 Disember 2016

NASIBMU NELAYAN...

Buat pertama kalinya aku berkongsi rasa di program itu.  Selama ini aku turut mengikuti perkhabaran tentang cerita-cerita suram..... yang mengundang kesedihan, keperitan dan kepayahan kehidupan nelayan.

Dan hari itu aku sendiri merasai erti perjuangan itu.  Benarlah pepatah mengatakan bahawa.... tak kenal maka tak cinta.....

Untuk menyelami perasaan mereka yang bergelar nelayan...... belajarlah erti kesusahan bersama mereka.  Cuba menadah telinga mendengar keluhan dan rintihan.  Jika ingin lebih merasai dan empati.....  duduklah bersama mereka.  Melihat dengan mata kepala sendiri permasalahan yang ditelan sekian lama.

Bukan mereka menolak pembangunan, bukan juga menentang perancangan.  Tapi biarlah pembangunan itu tambah memudahkan mereka, paling tidak pun..... kesannya nanti tidak menambah sukar kehidupan mereka.

Apabila sidang media diadakan, diwar-warkan untuk dilaksanakan..... sambutlah dengan hati terbuka.  Yang kelihatan cuma badan NGO.  Yang berjuang bermati-matian.  Sanggup berdiri bersama mereka, bersuara menyokong mereka.  Terkehadapan membela nasib mereka.......

Pepasir pantai yang memutih sejak berzaman entah ke mana perginya.  Yang tinggal kini sesetengahnya disaluti lelumpur gelap ...... dan kaki-kaki yang berlari-lari di situ dahulu, kini jarang mahu menginjak tepian pantai.  Keindahannya telah beransur hilang!!!   Begitulah yang dikhabarkan....

Setelah laut ditambak berdekatan dengan tempat tinggal mereka, hidupan laut makin menjauh.  Nelayan agak sukar untuk menambat bot akibat air yang cetek.  Maka mahu tidak mahu terpaksalah mengambil jalan jauh untuk ke laut.  Sedangkan lori-lori yang berulang alik mengangkut tanah dan batu bertali arus di atas tambakan tersebut.  Barangkali mengharapkan agar kerja-kerja dapat disegerakan.

Dalam perjanjian awal, hanya separuh sahaja tambakan yang akan dibina.  Namun apa yang kelihatan, ia telah jauh melebihi apa yang dijanjikan....  Mataku merenung sayu memerhati segala-galanya tatkala duduk-duduk di situ.  Rancaknya pembangunan....  

Tatkala bermula sidang media itu, aku mengambil peluang mendengar biji butir perbincangan dan soalan yang diketengahkan. Memang wajarlah mereka menentang dan bersatu hati memohon pembinaan tersebut dihentikan serta-merta kerana beberapa risiko yang bakal menimpa.

Bukan setakat nelayan sahaja yang hadir petang itu, terdapat badan-badan NGO berdiri sebaris bersama mereka. Namun aku tidak dapat bersama hingga ke penghujung program.  Kami melangkah pulang dengan seberkas harapan, mengharap agar para nelayan mendapat pembelaan yang sewajarnya.  Berharap agar mereka tidak diperkotak katikkan oleh insan yang berkuasa....... yang menganggap bahawa wang adalah segala-galanya.

Demi kelangsungan hidup nelayan dan generasinya, dan demi menyelamatkan Pantai Warisan Teluk Muroh....... sama-samalah kita berganding bahu dalam usaha murni ini.  




Bakal hilangkah pantai warisan ini .....
Tika sang penguasa berkira-kira mahu mengkomesialkannya
Demi mengisi kantung sendiri yang seakan tidak pernah penuh
Juga tembolok yang tidak pernah kenyang-kenyang

Bakal ghaibkah pantai warisan ini.....
Yang telah berzaman mewarnai kehidupan para nelayan
Dengan keindahan pepasir nan memutih
Kekayaan khazanah hidupan lautnya

Pantai Warisan Teluk Muroh,
..... kami sedia bangun bersamamu
..... mempertahankan hak yang sekian lama tersimpan
..... agar engkau tidak lagi menangis
               diratah rakus mereka yang hilang nilai kemanusiaan




13122016 lekir

Rabu, 7 Disember 2016

MANJUNG PERMAI

Daerah Dinding asal namanya
Bahan sejarah banyak tercipta
Gangga Negara satu darinya
Di Kampung Kota terletak kesannya
Kota Belanda gagah rupanya 
Di Teluk Gedung Pangkor tempatnya

Di Teluk Batik tempat berkelah
Teluk Batak namanya diubah
Kesan lagenda Teluk Rubiah
Tapak kakinya dilihat nyata
Di Tanjung Kepah banyak kerangnya
Di Kampung Baru banyak siputnya

     Manjung daerah membangun
     Tumpuan pelancong
     Angin laut menyegarkan
     Indahnya pandangan
     Tempatnya nelayan

Manjung permai (3X)
Tempat pelancong
Manjung permai (3X)
Pesat membangun

Pangkalan TLDM tersergam
Keselamatan tidak terancam
Pertahan negara, agama, bangsa
Semoga nusa aman sentosa
Lumut terkenal singgahan dagang
Sampai di sini lupa nak pulang......


Walaupun aku bukan asalnya orang Manjung, tapi kini telah menjadi warga Manjung setelah bertemu jodoh dengan orang di daerah ini.  Semua putera puteriku dilahirkan di bumi bertuah ini

Betapa indahnya bait-bait bahasa di atas, senikata lagu 'Manjung Permai'  masih kuingat lagi....  Tapi itu dulu.... Manjung yang kini kian hilang keindahannya.  Kian suram kelihatannya.  Menggugat emosi dan nurani pencinta alam.

Tatkala manusia mengejar kemajuan, betapa rakusnya mereka membaham peluang yang ada.  Membunuh keindahan dan keaslian yang bertapak sekian lama ........  hinggakan segalanya kian terhakis!!!

Bukankah kerosakan yang dilihat hari ini berpunca dari tangan-tangan manusia itu sendiri???  Kita harus ambil iktibar terhadap peringatan yang Allah beri.  

Bandar pelancongan yang diagung-agungkan di dalam lagu terebut kian mula menampakkan kesan tercalarnya, dan lukanya bertambah dalam.  Demi mengejar keuntungan......  apakah segalanya harus dikorbankan....



Isnin, 5 Disember 2016

WHATSAPP YANG MENAKUTKAN!!!

Amat benarlah seperti yang UAI katakan selalu.....
tentang facebook
tentang whatsapp


Tatkala aku dipelawa masuk ke group tersebut .....  dengan sukarela aku memberikan nombor telefon bimbitku.  Hasrat untuk menautkan kembali silaturrahim yang lama terputus.  Berhajat untuk mengembalikan hubungan yang hilang entah ke mana...   Ya, respons amat baik pada mulanya.

Disebabkan tugas yang digalas sentiasa memerlukan komitmen....... maka aku tidak berapa mengendahkan whatsapp yang masuk melalui group itu.  Cuma kekadang bila ada ruang waktu, baru aku membacanya.  Rasanya tidak ada apa keperluan untuk aku menambah komen atau bicara.  

Namun tatkala 'notification' bertalu-talu masuk.......  dan acapkali kuperhatikan ada empat lima orang yang hanya berborak santai, berbalas-balas wasap..... maka aku mengambil keputusan untuk 'left group'.   

Apa tidaknya...... aneh sekali!!!  Rasanya dalam group itu masing-masing telah berumah tangga, paling tidak pun hanya seorang dua daripada yang berpuluh-puluh itu yang masih solo.  Boleh pulak berbalas-balas wasap hanya berborak perkara yang remeh.  Apa rasanya bersembang dengan isteri atau suami orang tanpa ada sebarang keperluan yang mendesak?  Dalam waktu malam hingga ke pagi pula tu!!!  Bayangkan....

Rasa syukur sangat-sangat bila aku mengambil keputusan sedrastik itu.  Cuma ada seorang dua sahaja yang sempat kusimpan nombornya, itu pun yang sejantina denganku.  Memang kawan baikku dulu.

Murahnya nilai diri....... jika tujuan berwhatsapp dijadikan sedemikian.  Sekadar untuk melayani sembang kawan yang tidak ada langsung keperluan.  Sedangkan di sisi kita ada isteri atau suami yang patut kita layani sepenuhnya. Ya Allah, ampunkanlah mereka....

Bukan aku kata yang diri ini serba sempurna.....  Tapi jika dengan perkara itu makin menambah dosa yang ada, biarlah aku undur diri.  Aku masih lagi belajar, belajar memperbaiki diri.  

Sesekali bila difikir-fikirkan...... seolah-olah diri kita sengaja membawa masuk maksiat hatta hanya melalui 'hp' .   Akibat tidak bijaknya kita menggunakannya dengan cara yang betul, padahnya kita yang terima.  

Terima kasih Ya Allah, mohon berikan aku kekuatan untuk melawan tipu daya syaitan.





Ahad, 4 Disember 2016

TAKZIAH LUQMAN.....

Takziah.......... dari kami, guru-guru......

Tatkala mendengar berita di kaca tv tentang pemergian seorang atlit oku dari Manjung, Perak........  hati tertanya-tanya.  Sehinggalah akhirnya terjawab.  Atlit yang dimaksudkan itu ialah jiran setempat tinggal denganku.

Suamiku agak sedikit terasa dengan kehilangan tersebut.  "Semalam baru selisih dengannya di perjalanan.  Dia dalam kereta....." getus suamiku.  Nampak terkilan di raut wajahnya.  Baru semalam jumpa, hari berikutnya sudah tiada.

Sebenarnya kami baru lagi berkunjung ke rumahnya, sebelum kejadian.  Aku nampak kelibatnya di muka pintu, berkerusi roda di dalam rumah.  Mesra menyambut kami.  Waktu itu kami menghantar kipas angin untuk dibaiki oleh bapanya.

Walaupun sama tempat tinggal, tidaklah semua jiran itu kuketahui dan kukenali keluarganya.  Tapi bagi jiran yang satu ini, jika dikenangkan kembali..... memang masih kuingat lagi pada hari perkahwinannya...... kurang lebih lapan tahun yang lalu.....

Masa itu ada dua pasangan pengantin di dalam rumah tersebut.  Mereka adalah insan istimewa.  Kebetulan waktu itu suamiku membantu katering untuk majlis perkahwinan tersebut.  Aku turut hadir.  Masih kuingat lagi...... ketika itu ramai warga oku turut serta.  Mungkin merupakan ahli kelab atau persatuan yang sama.....  Itu cerita lapan atau sembilan tahun yang lalu.

Tanpa kusedari hari ini bahawa salah seorang muridku antara yang ramai itu adalah anak atlit ini.  Perkenalan kami bermula tatkala aku menegurnya tentang baju uniform sekolah yang dipakainya sedangkan murid lain berbaju t-shirt sekolah kerana pagi berkenaan mereka kelihatan menuju ke padang.  Ada PJ sudah tentunya.  

Dia kelihatan kemas dengan kemeja putih berlengan panjang.  Aku jelaskan tentang baju PJ yang harus dipakai sekiranya melakukan pendidikan jasmani bersama gurunya nanti.  Rupa-rupanya dia masuk ke sekolahku dalam bulan Jun lalu.  Guru kelasnya terlepas pandang tentang baju PJ yang patut dbelinya. 

Selang beberapa hari selepas itu, ibunya hadir ke sekolah untuk membuat tempahan baju tersebut.  Aku agak terpempan seketika.  Allahu Robbi..... Maha Suci Allah..... kusembunyikan rasa sedikit sebak yang bertenggek di hatiku.  Tangan ibu muda itu agak terketar-ketar menyerahkan nilai wang untuk bayaran pakaian PJ yang ditempah.  Dari cara berdiri, berjalan dan cara percakapannya...... dapat kuagak bahawa ibu ini termasuk dalam kalangan insan kurang upaya.

Sedang dia berurusan denganku, rupa-rupanya suaminya hanya menunggu dalam kereta.  Waktu itu tidak ada sebarang syak di hati untuk mengenal siapakah wanita atau ibu muda ini.  

Sehinggalah berita kejadian malang menimpa ayahnya tersebar di kaca tv, barulah aku tersentak sekali lagi.  Lantaran itu kami membuat kutipan sumbangan untuk Luqman.  Semasa hadirnya kami untuk menyampaikan sedikit sumbangan di rumahnya, kelihatan datuk, nenek, ibu dan adik perempuannya.  

Tambah menyentuh hati tatkala melihat adiknya yang comel itu bergerak secara meniarap dengan kedua belah kaki yang lemah berbalut dan diikat kemas oleh doktor.  Ya Allah..... sembuhkanlah segera anak itu.