Jumaat, 23 Februari 2018

ADUH KASIHAN.......

Tahun-tahun sebelum ini tak pernah pun jumpa anak murid sebegini rupa....

Agak mencabar tahun 2018 ini pabila aku diketemukan dengan anak yatim yang tidak pernah ke prasekolah atau ringkasnya TADIKA atau TABIKA.  Tahun lepas dia berada di tahun satu.  Setahun cikgu-cikgu tahun satu mengajarnya.  Lebih-lebih lagi guru kelasnya.  Tahniah buat cikgu tersebut di atas susah payahnya, kesabarannya dan kekuatannya dalam mendidik anak ini.

Dan aku turut mengiakan......betapa sukarnya membimbing anak ini.  Wajahnya kelihatan agak suram, namun kekadang terselit sedikit keceriaan.  Padaku tiada syarat untuk menolak kemasukan anak ini ke kelasku.  Memang amat-amat layak dan dialu-alukan kehadirannya.

Masih tiada satupun konstruk Literasi dan Numerasi yang dikuasainya....... hingga ke saat ni.  Vokal pun sukar untuk diingat.....hanya 'o' sahaja yang paling lekat di hatinya.  Bila diuji secara rawak.....'o' itu pasti betul!!!

Bila menulis huruf ' a' stail comic sense...... acapkali huruf ini akan terbalik jadinya.  Hinggakan aku terpaksa memegang tangannya waktu dia menulis.  Hinggakan kekadang enam tujuh kali terpadam-padam tulisan yang silap itu.  

Hanya kekadang sahaja betul huruf itu ditulisnya.  Dan selebihnya terpaksa dipadam.  Dan aku terpaksa memegang tangannya bagi membetulkan hala tulisan yang terbalik itu.  Rasanya aku terpaksa 'study' banyak tentang perkara ini.  Mencari solusi bagi menyelesaikan yang masih belum selesai.  Kasihan sungguh..... huruf pertama dah sangkut.

Bila diteliti......ada huruf lain yang boleh ditulis walaupun kurang cantik..... Dan ada juga huruf ditulis itu tidak masuk ruangan yang diperuntukkan bagi huruf berkenaan.  Kekadang melebihi garisan, ada kalanya pula ditulis terbalik.  Masalah tulisan turun naik.....aduhai.....

Cuma ada sedikit tingkah lakunya yang mencuit naluriku.....  Sebelum meninggalkan kelas pasti perkataan itu akan diucapkan untukku....bunyi lidahnya agak pendek tetapi jelas bagiku... "Terima kasih belajar saya cikgu.."    Terkesima aku jadinya.  Aku faham makna di sebalik kata-katanya itu....perkataan 'mengajar' sepatutnya menggantikan 'belajar'.  

Kekadang dia yang menyorongkan kerusi kawan-kawannya ke meja tanpa disuruh.  
Allahurobbi..... aku perlu buat sesuatu bagi membantunya.  Sesukar manapun membimbingnya, aku akan cuba.  Dapat atau tidak.... itu bukan urusan aku.  Yang penting usaha dan doa buat anak ini.  Yang dalam usia muda ditinggalkan ayah.  Dan berteduh penuh di bawah kasih seorang nenek yang amat bertanggungjawab dan pengasih.

In shaa Allah.... cikgu akan cuba......
Aku mohon bantuan-Mu Ya Rabb.