Rabu, 27 Ogos 2014

NAUFAL AMSYAR......

NAUFAL AMSYAR......................  seringkali terserempak denganmu di tempat cikgu meletakkan kereta.  Di bawah jejantas, di luar pagar sekolah.  Seringkali kita bertentang mata.  Nampak wajahmu ceria.  Melangkah sambil menyandang beg sekolahmu.  Kekadang cikgu terlebih dahulu memberi salam kepadamu.

Tapi siapa sangka ya......  beberapa hari sebelum kita umat Islam menyambut Hari Raya....... engkau telah menghembuskan nafas terakhir.  Engkau pergi buat selama-lamanya dalam usia sembilan tahun.  Jangka usia yang terlalu muda.  

Teringat kembali pada awal tahun ini, engkau selalu tidak hadir ke sekolah berpunca dari masalah kesihatan.  Masalah usus yang dialami kian mengganggu dirimu.  Bagi mereka yang tidak mengenalimu, mungkin tidak nampak di mana sakitnya.  Tambahan melihat wajah yang ceria, dan kelincahanmu yang agak ketara sama seperti anak-anak yang lain.  

Cikgu turut terasa akan kehilanganmu.  Biarpun tidak mengajar di kelas tahun tiga itu, nama itu tetap terpahat dalam ingatan.  Apatah lagi guru kelasmu yang memang merasai akan kehilanganmu.  Anak didiknya yang 'cute' dan comel.  Namun Allah SWT lebih menyayangimu.  Syawal tahun ini kita tidak dapat bersama.  Mudah-mudahan bahagialah engkau di sana.