MENGENALI sosok wanita ini mengingatkan aku kepada bonda yang telah meninggalkan kami pada penghujung 2018 yang lalu.
Isnin, 27 Jun 2022
MAK CIK ZAHARAH
Ahad, 26 Jun 2022
RASUAH OH RASUAH
Seluruh pelosok di ceruk alam.
Sabtu, 25 Jun 2022
BUATLAH PILIHAN YANG TEPAT
"MAK CIK, nanti harga nasi naik tau," ujar gadis di gerai kuih itu. Aku hanya senyum tawar. Bukan menidakkan atau menafikan kata-katanya. Memang aku pun tahu. Maklum semua itu.
Aku memang mengikuti perkembangan semasa. Rugi kita jika tidak mengambil endah hal bernegara. Memikirkan situasi saat ini yang semakin gawat, agak cemas juga. Mana tidaknya... selepas satu, satu lagi bahana yang datang menimpa. Betapa resahnya hati mereka yang merasai. Siapa lagi kalau bukan kita rakyat jelata.
Lelah rasanya menyelami permasalahan. Bertimpa-timpa menerima ujian yang tiada kesudahan. Sebak bertenggek di ruang rasa. Mudahnya aku mengalirkan air mata menyaksikan kepayahan yang ditanggung. Lebih-lebih lagi mereka yang berpendapatan rendah atau kais pagi makan pagi, kais petang makan petang di zaman yang serba mencabar dalam membesarkan anak-anak. Itulah yang terpaksa dihadapi.
Dalam keadaan begini, di hujung terowong telah kelihatan tanda-tanda PRU akan menjelma. Untuk mengadakan PRU terpaksa menelan belanja yang agak besar. Ada yang sedang menunggu untuk menjadi calon, ada yang telah bersedia andai kata diri dicalonkan. Malah ada yang ingin mencalonkan diri sendiri untuk menjadi calon.....
Di bawah ini ada yang memerhati, di atas sana ada yang lebih memerhati. Berebut kuasakah demi mengisi kantung? Atau benar-benarkah sedia bertanggungjawab menyelamatkan negara sekiranya berjaya memperoleh kuasa? Tepuk dada tanyalah iman. Rakyat di bawah telah lama menderita. Percakaran dan perebutan kuasa tidak membuahkan hasil yang memihak kepada rakyat marhaen.
Pemimpin datang dan pergi. Pemimpun silih berganti. Namun kabut masih lagi tidak berarak. Janji tinggal janji. Harapan tinggal harapan. Amanah yang digalas ... tidak mampu dipikul dengan baik. Bersedia memegang jawatan, namun sekadar namanya jawatan. Tidak berupaya meledakkan satu idea yang boleh dibanggakan.
Melihat keadaan yang sama tiap kali berakhirnya PRU... menjadikan kita letih. Penat. Kehidupan masih ditakuk lama. Malah lebih tertekan, sehinggakan ada yang mengambil jalan pintas dengan menamatkan riwayat hidup.
Harga barang yang semakin naik disuap kepada kita semua. Satu per satu. Subsidi ditarik balik... adakah begini cara untuk menyelamatkan ekonomi negara? Pelik memang pelik. Amat malang sekali apabila elaun pemimpin dinaikkan pula. Wajarkah jalan ini yang dilihat boleh menyelesaikan masalah negara? Setelah cukai itu ini dikenakan kepada rakyat jelata, kami dihadiahkan dengan kenaikan harga barangan pula?
Andai inilah caranya mentadbir negara... benarlah bak kata orang bahawa 'otak letak di lutut'. Pemikiran yang tidak pernah terduga. Jika harga ayam mahal, makanlah ikan. Jika minyak masak mahal, tukarlah cara memasak. Jika petrol mahal, guna sahaja basikal. Ini bukan jawapan yang sepatutnya keluar daripada mulut seorang pemimpin.
Jika beginilah gayanya, tukar sahajalah pemimpin yang ada sekarang dalam PRU nanti. Buatlah pilihan yang tepat. Pilihlah mereka yang benar-benar amanah dan bertanggungjawab dalam menggalas jawatan yang diberi. Seandainya telah mula nampak khianat terhadap undi yang kita beri, cantas sahaja daripada jawatan yang disandangnya. Kita yang membayar gaji mereka, sebenarnya merekalah kuli.
Pemimpin yang bermulut manis, yang menanam tebu di pinggir bibir... tidak layak memegang tampuk kuasa. Apatah lagi yang hanya goyang kaki, sedangkan poket sentiasa penuh. Kita di bawah tetap sengsara dan menderita.
Jangan hanya dek kerana RM50 di pintu dewan mengundi, pangkah kita beralih kepada pemancing yang menanti untuk membaham mangsanya. Belajarlah untuk jadi cerdik. Jangan kita setiap 5 tahun diperbodohkan. RM50 itu tidak dapat bertahan selama 5 tahun. Tak berbaloi pun untuk menanti 5 tahun akan datang pula. Berfikirlah dengan mata hati... bukan dengan mata duitan!!!
Berhati-hati memilih kerana jari yang memangkah itu akan dipersoal nanti di akhirat. Apa yang akan kita jawab nanti sekiranya kita memilih pemimpin yang zalim. Zalim terhadap rakyatnya, terhadap negara dan terhadap agamanya. Berlaku adil itu mesti kena pada tempatnya. Adillah kita dalam meletakkan pemimpin itu kena pada tempatnya. Jika salah membuat pilihan, anak cucu kita yang bakal menanggung akibatnya.
Jangan nanti kita dipersalahkan kerana salah membuat pilihan.
Ahad, 19 Jun 2022
SELAMAT TINGGAL SAUDARAKU
PERJALANAN terakhirmu di sini. Beramai-ramai kami menghantarmu ke taman ini. Di sinilah persinggahan sementara sebelum menuju negeri abadi. Kami juga akan menyusul, cuma waktu dan tempatnya tidak kami ketahui.
Selasa, 14 Jun 2022
TAHNIAH AYAH!
Sabtu, 11 Jun 2022
JAH
AKU tiba-tiba teringat kepadanya. Usianya sebaya dengan anak bongsuku. Bagaimanakah keadaannya sekarang?
Pertama kali menjejak kaki di tahun satu, kami kurang mengenali siapakah mereka. Kekadang apabila nama dipanggil pun, ada yang tidak menyahut. Diam membatu. Apabila diselidiki, barulah kami tahu ada panggilan lain yang digunakan dalam kehidupan seharian mereka di rumah. Patutlah tidak menyahut langsung.
Kelakar sungguh anak-anak tahun satu. Bagi yang sudah biasa bersekolah tadika, mungkin mudah bagi guru berkomunikasi dan berinteraksi dengan mereka. Bagi yang tiada pengalaman itu, mungkin mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan guru dan kawan-kawan. Pendek kata siapa pun mereka, cikgu-cikgu yang mengajar tahun satu sudah lali dengan perangai anak kecil ini.
Jah yang dapat dikesan pencapaian IQ yang agak rendah, akhirnya ditempatkan di PPKI. Itupun setelah menjadi muridku selama setahun. Kelihatan seringkali duduk di bangku batu di hadapan kelasku. Aku pula kerap menegurnya dengan ucapan salam. Namun untuk mendengar suaranya adalah sia-sia. Tidak pernah sekali pun dia menjawab salamku.
Aku tidak pernah berkecil hati dengan sikapnya itu. Ibunya pernah menceritakan perihalnya ketika berada di rumah. Mulutnya akan lincah berbicara. Riuh bunyinya, sesekali memarahi adiknya. Namun suaranya itu terkunci tiba-tiba bila mana dia memasuki pintu pagar sekolah. Memang benar kata-kata ibunya itu. Terlalu sukar untuk mendengar suaranya ketika sesi PdP berlangsung. Namun dia boleh menyalin, cumanya tulisannya tidak kemas.
Seingat aku, Jah berhenti sekolah awal. Rupa-rupanya dia tidak mahu ke sekolah di penghujung sekolah rendah di aliran PPKI. Kini usianya mencapai 19 tahun. Apakah yang dilakukannya sekarang? Anakku masih lagi berhempas pulas belajar, menadah ilmu yang diminatinya. Jah yang pernah sekelas dengannya telah lama meninggalkan alam persekolahan.
Moga Allah permudahkan urusanmu, Jah. Bilakah agaknya kita dapat bersua kembali? Hampir setahun ucapan salamku tidak bersambut.....tidak mengapa.
Jumaat, 10 Jun 2022
CIKGU-CIKGU SEKOLAH TERAKHIRKU
PANTUN KENANGAN
Dalam bakul ayam kuzi,
Makan berdehem tersedak kari;
Cikgu 'cool' Encik Rodzi,
PK HEM digelar 'Tan Sri'.
Kereta Naza pandu ke timur,
Nampak teguh merayap di tanah;
Miss Haiza guru 'glamour',
Baik sungguh Puan Jamnah.
Sungguh berbeza ikan patin,
Ditangkap berjaya tempoyak menanti;
Puan Hasniza guru prihatin,
Muda bergaya Luqman Massuti.
Dapat belida di waktu senja,
Jangan dimain segera disiang;
Ustazah Aida bersemangat waja,
Muallimah Ain guru penyayang.
Sekadar sempat kunukilkan empat rangkap pantun kenangan buat sahabat di sekolah terakhirku SKGL. Semua guru yang kukenal di sini mempunyai kelebihan masing-masing. Semuanya memiliki keistimewaan tersendiri. Bergabung dalam sebuah sekolah, memberikan khidmat terbaik buat warganya.
Walaupun banyak tugasan yang perlu diselesaikan, bebanan tersebut berjaya diselesaikan dengan baik. Mudah-mudahan kalian dapat saling membantu serta mencapai kata sepakat dalam memenuhi aspirasi negara. Selamat tinggal semua, teruskan berkhidmat dengan penuh dedikasi. Bersabarlah dengan ujian dan dugaan yang mewarnai perjalanan hidupmu sebagai seorang pendidik.
Kenangan setahun kita bersama akan kuingat selalu.
Khamis, 9 Jun 2022
JOM BERPANTUN
Selasa, 7 Jun 2022
LABUH ITU INDAH
Ahad, 5 Jun 2022
TERIMA KASIH SAHABAT
INI merupakan cover beberapa buah buku antologi yang aku sertai. Bermula dengan menulis puisi moden dan cerpen, akhirnya aku cuba pula menulis anekdot, travelog dan pantun (puisi tradisional).
Sejak COVID-19 melanda dan PKP pun bermula... aku turut kembali bersemangat menulis. Minat yang lama kugilap semula. Terpikat dengan pelawaan dan ajakan sahabatku iaitu Jun dan Kak Normah, maka aku terus melangkah.
Buku Puisi pertama yang menempatkan karyaku di dalamnya ialah Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu' manakala buku yang memuatkan karya cerpen ialah Sepilihan Memorabilia 2020 (Dalam). Belajar biar berguru. Maka aku menadah ilmu daripada mereka yang pakar, termasuklah Puan Sri Diah Shaharuddin, Ir. Basri Zakaria, Tok Mat (Muhamad Musip), Wacana Minda, Puan Ku Sunira Ku Johari dan Puan Hasreeyati Ramli.
Di samping itu, aku turut belajar daripada sahabat sepenulisan yang kukenali melalui Kumpulan Whatsapp dan Facebook. Ramai yang sudi berkongsi ilmu dan maklumat, terima kasih sahabat. Kekadang kita hanya bertemu di maya dan halaman buku.
Moga kalian terus maju jaya di dalam penulisan. Mudah-mudahan hasil penulisan kalian menjadi pedoman dan ibrah buat pembaca. Kepada yang sudah mula melangkah ke tahap pembikinan buku solo, tahniah sahabat! Semoga berjaya.
PBAKL sedang berlangsung sekarang. Buku-buku yang di dalamnya terkandung hasil karya kita, mungkin turut dipamer dan dijual kepada peminat buku. TAHNIAH SEMUA!!!
Kali terakhir aku menjejak kaki ke pesta buku ialah semasa ia diadakan di MAEPS. Terasa penat juga berjalan di kawasan yang luas. Waktu itu kaki masih kuat melangkah, alhamdulillah. Memang teruja sungguh melihat lambakan buku yang pelbagai.
Oleh kerana anak-anak juga merupakan peminat buku, tiada masalah untuk kami berlama-lama di situ walaupun datang dari jauh. Berbaloi rasanya dapat menikmati pesta tersebut.
Teringat juga kepada Guru Pusat Sumber Sekolah SKL yang pernah bersusah-payah membuat rombongan lawatan ke pesta buku beberapa tahun yang lalu. Kesedihan dan kekecewaan beliau untuk mendapatkan bas terbaik untuk anak muridnya dikongsikannya bersamaku. Pengalaman itu kurasakan akan tersimpan kukuh dalam ingatan.
Aku juga punya pengalaman menarik sewaktu menjadi salah seorang juri di dalam pertandingan pusat sumber suatu ketika dahulu. Berkampung dan menjelajah ke beberapa buah sekolah baik di bandar mahupun di pedalaman di daerah Hilir Perak, begitu menyeronokkan. Berkongsi pengalaman dan menimba ilmu daripada guru-guru PSS yang dekat dengan buku.
Sekiranya kita mampu untuk berada di pesta buku, luangkanlah masa di situ untuk memilih buku yang berkenan di hati dan boleh menambahkan ilmu yang bermanfaat. Menelusuri kisah dan pengalaman berharga yang dipaparkan dalam bentuk penulisan mungkin boleh membangkitkan semangat dan minat menulis. Buat sahabat penulis, teruslah menulis. Kepada mereka yang baru bermula, teruslah berusaha dari langkah pertama. Tidak ada jalan pintas untuk mencapai kejayaan.
Jumaat, 3 Jun 2022
Cerita Lama, Cerita Baharu
SETELAH masuk ke alam persaraan, terasa ada banyak masa mengenang sejarah lama yang mekar di ingatan. Jejak-jejak di awal persekolahan masih segar bayangannya. Bagaikan teringat-ingat kembali saat-saat aku melangkah ke tadika dan sekolah rendah. Lelorong di kampung dan rumah-rumah lama seakan menggamitku pulang.
Rumah tinggalan ayah seakan-akan memanggilku untuk menjengahnya. Cempedak nan sebatang yang rimbun buahnya tatkala hadirnya musim buah-buahan, seakan-akan merajuk. Apa tidaknya, buahnya makin berkurang. Pokok kesayangan emak ini memang tidak dinafikan lebat buahnya. Lebih mengujakan aku sewaktu menikmatinya isinya. Tebal isinya, kesep bijinya. Sukar untuk mendapatkan biji yang cantik untuk dijadikan benih.
Kekerapan ayah bersedekah kepada kawan-kawan dan jiran tetangga, menjadikan cempedak ini dikenali. Kadang-kadang apabila tiba musim buah, kami akan dipanggil pulang hanya semata-mata untuk menyerahkan buah yang dikutip dalam kuantiti yang banyak.
Maka kami akan memanjangkan pula sedekah itu kepada tetangga. Tidak termakan kami akan buahnya yang dibekalkan itu. Semasa hayat emak, dia sering bercakap-cakap dengan pohon buah-buahan agar rajin berbuah. Sambil menyiram, dia akan membelai dengan pujukan. Begitu kasihnya emak kepada tanaman sekeliling rumah.
Mengingatkan itu semua, aku teringat semula akan tragedi pokok cempedak yang ada di belakang rumahku sekarang. Pokoknya telah lama ditanam, malangnya tidak berbuah. Berbeza dengan dua batang lagi yang ditanam kemudian, tapi sudah memperoleh hasil yang boleh dinikmati walaupun tidak secantik isi cempedak di kampung.
Apabila suami menyatakan hasrat untuk menebang pokok tersebut, tiba-tiba kali ini ia mula berbuah. Syukur alhamdulillah. Mudah-mudahan dapatlah kami merasa buah sulungnya nanti. Amat benarlah bahawa kasih sayang itu bukan untuk sesama manusia sahaja. Kita perlu menyayangi haiwan dan juga tumbuhan juga seluruh isi alam. Kerana Allah menjadikan semua itu tidak sia-sia.
Berkat kerajinan ayah dan emak berbudi kepada tanah, kini anak cucunya dapat merasa hasil titik peluh mereka. Mudah-mudahan beroleh pahala yang berpanjangan buat mereka berdua. Rindu dari kami buat emak (tokmok) dan ayah (tokwan).