Memaparkan catatan dengan label YANG ISTIMEWA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label YANG ISTIMEWA. Papar semua catatan

Isnin, 20 Januari 2025

DOA UNTUK KALIAN

 TATKALA mendapat khabar duka tentang kalian, hati dijengah bimbang. Kita dihubungkan dengan pertalian darah. Kita ada hubungkait dalam susur galur atau salasilah keluarga. Kini semuanya jauh belaka.

    Kak Bi saudara ayah yang tinggal di Kinjang kian merosot kesihatannya. Khabar tentangnya kerap kubaca melalui status whatsapp anak-anaknya. Kali terakhir ialah tentang kakinya terpaksa dipotong asbab kencing manis. Sempat kami bersua di Hospital Teluk Intan sebelum dia dibedah.

    Isteri kepada 'ayah yang' yang kupanggil 'mak yang' pula terlantar di HRPB tidak berapa lama dulu. Tak sempat pun aku meninjaunya akibat kesibukan yang melanda. Sudah terlalu lama aku tidak menziarahinya. Entah kenal ataupun tidak padaku lagi. Tapi aku dengan satu-satunya anak perempuannya saling berhubung melalui whatsapp. Dia selalu menghantar khabar berita tentang bondanya.

    Kini adiknya pula akan menjalani pembedahan akibat sakit kanser. Moga Allah permudahkan urusan Karim di Hospital Seberang Jaya. Dari jauh akak rangkumkan doa buatmu dik, semoga selamat menjalani pembedahan. Moga urusan perubatan dan kesembuhan dipermudahkan.

    Yang terakhir ialah Uji nun di selatan tanah air, sepupuku yang diuji dengan sakit yang sama. Ya Allah begitu hebatnya ujian yang diberi kepada mereka. Berikanlah ketenangan dan kesabaran buat mereka. Mudah-mudahan mereka dapat menerimanya dengan penuh tabah. Sesungguhnya Engkau memberikan ujian mengikut kemampuan mereka jua. 

    Aku mengharapkan agar kesemua mereka dianugerahkan kesabaran yang tinggi dan reda dengan segala yang ditempuh. Berilah pahala buat mereka ini Ya Allah. Salam kasih sayang daripada saudaramu ini. Moga persaudaraan kita bertaut hingga ke jannah, amin....

Rabu, 15 Januari 2025

5 SEKOLAH

 Sudah dua tahun lebih aku bersara. Sesekali terkenang saat bertugas di kelima-lima sekolah yang pernah aku berkhidmat. Bermulanya 1 Julai 1988 di SKAHTI. Sekolah yang melahirkan team rounders yang hebat ketika itu. Di sinilah aku mengenali Shahrul Yuzy bin Ahmad Zaini, salah seorang pemain rounders. Akhirnya meninggalkan SKAHTI, dengan mengharumkan nama dalam sukan permotoran.

    Sekolah kedua pula iaitu SKSW, Ayer Tawar dalam daerah Manjung. Aku berhijrah ke sini setelah mendirikan rumahtangga. Nama sekolah mencanak naik dengan pasukan nasyid yang berjaya menjadi johan daerah Manjung. Vokalis utamanya ialah Hassan Adli bin Yahaya. Kini siapa yang tidak mengenali Imam Muda Hassan? Lebih berjaya daripada guru-gurunya yang pernah mendidiknya suatu ketika dahulu.

    Aku melangkah seterusnya ke SK Methodist ACS, Sitiawan. Sekolah 1 Malaysia bagi diriku. Ada Melayu, Cina, India, Benggali, Sabahan, malah ada juga Pakistan. Kenangan manis banyak di sini. Satu-satunya murid yang sedikit aneh terdapat di sini. Kami ada Lester, yang punya sedikit kelainan daripada anak didik yang lain. Dia bagaikan The Man From Atlantic! Apa khabarnya sekarang, ye?

    Apabila aku ditukarkan ke SK Lekir, ada sejarahnya tersendiri. Terasa sedikit kepelikan. Guru 'dah penuh, apa yang boleh kulakukan? Takkan duduk termenung sahaja di sekolah. Hairan juga, terhumbannya aku di sini bukan atas dasar mohon tukar. Orang lain yang minta ditukarkan, aku pula yang dapat. Memang pelik. Kenanganku di sini, sekolah dilanda banjir. 

    Setelah terlalu lama di satu-satu sekolah, akhirnya aku bergerak atau berhijrah ke SKGL. Tika itu wabak COVID 19 melanda. Merasa mengajar dalam situasi yang jauh berbeza dari sebelumnya. Murid-murid belajar secara atas talian. Secara bersemuka pula pernah kualami kehadiran hanya dua orang murid sahaja dalam sehari. Dan bermula dengan suasana itu aku mula menggilap bakat lama yang terhenti setelah mendirikan rumahtangga dahulu. Aku kembali menulis. Alhamdulillah.

    Pengalaman ketika berada di sekolah pertama, ketiga, keempat dan kelima telah kuabadikan di dalam naskhah antologi bersama-sama rakan penulis yang lain. Hanya di sekolah kedua sahaja belum kulaksanakan. Ke manalah idea menghilang......


Isnin, 10 Oktober 2022

DURIAN OH DURIAN

 

    DURIAN merupakan raja segala buah. Ramai yang meminati buah ini. Namun pelbagai kepelikan seringkali kita dapati berkait dengan peminatnya. Ada yang suka makan mentah. Namun ada yang lebih berminat jika ianya dijadikan bubur atau kuah, yang enak sekali jika dimakan bersama pulut.

    Tidak kurang juga yang tidak makan durian mentah, tetapi makan pula gulai tempoyak. Ini berlaku kepada salah seorang kawan saya berbangsa Cina. Beliau suka sangat makan gulai tempoyak ketika kami sama-sama singgah makan tatkala berkursus suatu ketika dahulu. Kerapkali masakan itulah yang dipilihnya. 

    Terdapat dua tiga orang rakan yang lain pula tidak makan durian sedangkan di rumah ibu ayahnya di kelilingi pokok durian. Dahulu di situlah mereka membesar. Apa sahaja yang terkait dengan buah tersebut, memang mereka tidak berminat langsung. Hatta sambal tempoyak, dodol durian, lempuk atau apa sahaja yang berasaskan durian. Begitulah pelbagai ragamnya.

    Namun apa yang agak mendukacitakan ialah gelagat penjual durian yang tidak berlaku jujur semasa menjalankan urusan jual beli. Ada penjual yang sanggup menipu dengan menyatakan bahawa isi durian yang dijual dijamin 100 persen baik. Ditokok tambah lagi dengan penceritaan tentang modal dan untung yang diambil tidak seberapa. Dinyatakan juga susah payahnya meredah dusun dan pelbagai lagi. Manis mulutnya bercerita. 

    Amat malang apabila durian yang diagung-agungkan tadi didapati tidak menepati ciri-ciri tersebut, maka berbakul-bakul rungutan, sumpah seranah dan kesal tak sudah terbit dari hati pembeli. Itu bagi mereka yang kurang sabar dengan ujian sedemikian. Pernah juga berlaku kisah pembeli yang sanggup datang semula ke gerai untuk memulangkan buah-buah yang dibeli dengan menunjukkan hampir semua durian yang dibeli tidak boleh dimakan. 

    Ini berbeda pula dengan peniaga yang berlaku jujur. Mereka menyatakan tentang tidak pastinya dengan isi durian yang dijual. Kebiasaannya isi baik, tetapi cakapnya berlapik kerana hanya Allah sahaja yang tahu isi di dalam. Amat benarlah kata-katanya itu. Sanggup pula bersedekah dengan melebihkan satu atau dua biji buah lain pula. Ada yang meminta pelanggan datang semula untuk menukarkan buah sekiranya ada yang tidak elok. Betapa hebatnya akhlak penjual sedemikian.

    Semua perkara tersebut dapat kita saksikan apabila tibanya musim durian. Jadi berhati-hatilah. Jika kita mengamalkan sikap mulia semasa berjual beli, insya-Allah keberkatan ada di situ. 

Gambar hiasan 

Khamis, 8 September 2022

WALAU KITA BERBEZA, TETAP TEGUH BERSAMA

 

    BERSYUKUR kita yang tinggal di bumi bertuah ini, negara yang tercinta. Negara yang dihuni oleh berbagai kaum dengan kepercayaan yang berbeza, menjadikan kita unik.

    Raikan perbezaan, dan carilah titik persamaan. Segala nikmat yang Allah anugerahkan kepada kita, patut kita kongsikan bersama. Keindahan dan hasil mahsyul buminya bukan hanya untuk segelintir manusia sahaja.

    Keamanan sama-sama kita genggam kukuh, agar tak goyah dek gelombang yang datang. Menjadi tanggungjawab bersama untuk kita mempertahankan kedaulatan negara. Takkan kita sanggup menggadai prinsip dan maruah negara demi mengecap kemewahan yang kita hajati sedangkan masih ramai lagi orang di sekeliling kita yang hidup dalam kesulitan.

    Islam mengajar kita untuk bersikap amanah dan adil. Tidak adil sekiranya perbezaan warna kulit dan bahasa itu dijadikan benteng pemisah antara kita. Allah menjadikan kita semua berbeza untuk saling kenal mengenal sesama kita. Ketakwaanlah yang membezakan kita. 

    Sebagai umat Nabi Muhammad SAW, kita sepatutnya menjadikan baginda suri teladan atau idola kita. Baginda merupakan sebaik-baik contoh bagi kita. Kalau tidak boleh ikut semua, jangan tinggalkan semua. Terlalu banyak adab yang baginda tunjukkan dalam kehidupan, yang boleh kita ikuti. Budi pekerti yang luhur dan akhlak terpuji wajar kita jadikan contoh dalam kehidupan kita pula.

    Kita boleh teguh hidup bersama dengan memegang prinsip yang serupa. Sikap baik, sopan santun dan budaya saling bertolak ansur dan bantu-membantu amalkanlah sepanjang masa. Sekiranya mahu diri dihormati, maka kita wajarlah menghormati orang lain. Elakkan persengketaan dan jangan cuba menimbulkan kebencian terhadap kaum lain. Jangan terlalu berbangga dengan bangsa kita kerana Allah tidak mencipta agama Islam itu hanya untuk keturunan kita. Islam untuk semua. 

    Bersyukurlah kita dilahirkan Islam, sering diistilahkan sebagai Islam baka. Namun adakah kita pernah cuba menarik atau berdakwah kepada sahabat kita daripada kaum lain yang masih belum Islam? Nabi berdakwah.....kita yang menjunjung tinggi baginda pula bersikap bagaimana? Kalau tak mampu untuk berdakwah secara lisan, dakwahlah dengan cara menunjukkan akhlak terbaik. Ikutlah akhlak Rasulullah. 

    Sama-samalah kita mengamalkan nilai murni yang diterapkan oleh guru-guru di sekolah. Buangkan sikap buruk sangka terhadap orang di sekeliling kita. Walau berbeza pandangan dan anutan kita, ambillah dari sisi baiknya untuk kita eratkan persahabatan dan menjalin erat silaturahum. Kita sama-sama menolak kezaliman, menolak rasuah, menolak adu domba.... kita teguhkan pendirian untuk sama-sama membina dan membela negara tercinta daripada mereka yang mencari-cari kesalahan dan kekurangan orang lain.

    AYUH MALAYSIA!!!



     

    

Rabu, 31 Ogos 2022

MERDEKAKAH KITA?

 


Telah 65 tahun kita merdeka. Pelbagai tafsiran diketengahkan, malah ada yang disuap seenak rasa asalkan faham dan kenyang seadanya tanpa banyak soal. Paling mudah, 'merdeka' maksudnya bebas. Nokhtah. Tanpa adanya huraian.

Ya... apa sebenarnya makna merdeka? Kita semak mengikut istilah tulisan jawi yang digunapakai warisan yang lalu.

mim  -   mengikut
ro      -   Rasul
dal    -   dan
ya     -   yakin
kap   -   kepada
alif   -   Allah

    Namun jika benarlah 'merdeka' berpandukan tulisan jawi tersebut, jauh bezanya dengan apa yang dapat kita lihat saat ini. Berapa ramaikah yang benar-benar mengikut Rasul dan yakin kepada Allah. Walaupun masih ada yang bersemangat dan berkeyakinan sedemikian, mungkin kita tidak dapat menilainya kerana ini soal hati. Apa yang tersimpan dalam hati, mungkin juga dapat dipantulkan dalam kehidupan seharian. Ada ... memang jelas ada. Namun untuk mencari yang berjiwa demikian, barangkali ibarat hanya jauhari yang mengenal manikam. Ataupun mungkin sesukar membezakan kaca dan permata.

    Merdekakan minda kita. Biar orang lain meyakini makna 'merdeka' itu menurut makna yang sepatutnya. Kalau kita yang dinamakan pejuang Melayu dapat menunjukkan sikap terbaik dengan mengikut akhlak Rasulullah dan bersandarkan keyakinan kepada Allah, ia sudah tentu menjadi contoh dan ikutan kepada mereka yang non-Muslim di luar sana. 

    Berbangga dengan Tanah Melayu yang kita namakan tanah kita, namun percayalah bahawa Allah menjadikan kita bersuku-suku dan berbangsa-bangsa untuk saling kenal-mengenal sesama kita. Kita sama-sama membina Malaysia yang ada hari ini. Oleh itu janganlah mewujudkan penyakit 'rasis'. Jangan pula kita mengapi-apikan isu perkauman. Sibuk menjadi juara konon, membesarkan isu Melayu. Membangkitkan sentimen perkauman, sedangkan kita digembar-gemburkan dengan istilah Keluarga Malaysia.  Begitukah keadaannya Keluarga Malaysia, yang di dalamnya terpalit dengan menyalahkan kaum itu dan kaum ini?  Tepuk dada tanyalah iman.

    Ada yang masih lagi membangkitkan dan mengaitkan isu-isu lapuk yang sewajarnya kita telah kambus sedalam-dalamnya. Tidak kurang juga yang mengaja menjolok sarang tebuan, dan akhirnya tebuan itu sendiri berjaya menyengat si penjolok tersebut. 

    Ayuh bangunlah, kita bangkit bersama seperti filem Mat Kilau....'Kebangkitan Semula'. Kita bangkit membina Malaysia yang harmoni demi kelangsungan anak cucu dan generasi akan datang. Jangan hidup berpuak-puak. Allah menilai ketakwaan kita, bukan warna kulit atau bahasa kita.  Hidup dalam Keluarga Malaysia ini kita perlu berkasih sayang, sentiasa bekerjasama dan saling bertolak ansur. Kita pernah berada di persada antarabangsa dengan nama Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun, Santokh Singh, Arumugam dan ramai lagi. Kita kembalikan kehidupan itu untuk kesekian kalinya.

    

 

 

Selasa, 26 Julai 2022

NOSTALGIA SUARA EMAS


 INDAH sungguh lirik lagu ini. Cantik bahasanya. Tidak seperti lagu cinta zaman sekarang yang diluah hingga terpaksa meneran untuk menyampaikannya. Kekadang aku tersenyum sendirian melihat betapa susahnya lagu untuk dibawa hingga memerlukan penyanyinya menjerit. Entah di mana letak seninya, tidak pula kuketahui.

    Patutlah ada yang runsing dan rasa serabut apabila mendengar lagu-lagu sedemikian. Begitu juga lagu-lagu nasyid kontemporari. Ada yang kukira bagus. Namun ada juga yang kurang sesuai bagi sesetengah orang. Terpulanglah ikut minat masing-masing. Walaupun demikian, lirik lagu nasyid lebih baik kerana ia berunsur ketuhanan. Mengingatkan kecintaan terhadap Nabi dan Rasul. 

    Mana ada nasyid yang mengajak kepada kemungkaran. Dari situ juga anak-anak mudah mengingat sejarah dan apa yang mereka pelajari di sekolah. Dalam nasyid ada zikir, kekadang terasa bagai terapi dan mengubat hati. Pernah aku pada mulanya berasa pelik apabila mendengar lagu rap nasyid..... nak bercakap atau nak menyanyi agaknya? Itu pandangan aku yang hampir menjengah enam siri ini. Sedangkan anak muda tidak beranggapan sedemikian.

    



Rabu, 20 Julai 2022

PANTUN : PENANGAN MAT KILAU

Ikan belida tampak berkilau,
    Tak sia-sia jala ditebar;    
Kalau anda menonton Mat Kilau,
    Jadikan ia satu iktibar.

Sedikit ruang bawah titian,
    Tempat bermalam si anak gajah;
Azam berjuang mati-matian,
    Mendaulat Islam menentang penjajah.

Hati tersayat pilu melela,
    Ayam sereban di mana menghilang;
Nasib rakyat pasti dibela,
    Sanggup berkorban jangan dihalang.

Air di kolah terbiar lama,
    Bunga di laman tolong siramkan;
Doa adalah senjata utama,
    Peneguh iman melurus jalan.

Indah kelihatan batik dilakar,
    Cantik bersadur corak bercampur;
Ilmu persilatan langkah pendekar,
    Pantang undur sebelum bertempur.

Gulai kari berlauk ikan,
    Enak dimakan tidak berbaki;    
Pentingkan diri sila jauhkan,
    Jangan amalkan hasad dan dengki.

Kebaya nyonya cantik ditatap,
    Bercorak pohon pandang tak jemu;    
Langkah silatnya kemas dan mantap,
    Menuntut bertahun mendalami ilmu.

Ambil lesung alu pun ada,
    Penat sehari menumbuk di padang;
Jangan kosong ilmu di dada,
    Pasti diri mulia dipandang.

Dilihat golok terjual laris,
    Sayang pahat tidak berpunya;
Di kepala tengkolok di pinggang keris,
    Terpegun melihat si pemakainya.

Selasa, 5 Julai 2022

PANTUN BUAT YB

Kebaya biru cantik berseri,
    Manis dipuji pakai berlibur;
Pabila PRU munculkan diri,
    Mulalah janji ditabur -tabur.

Seri pagi menghias indah,
    Disiram cahaya tumbuh melata;
Lembut gigi darilah lidah,
    Begitu gaya menyusun kata.

Bawah saji buah keranji,
    Mari ditukar dengan papaya;
Janganlah janji tinggal janji,
    Makin sukar nak dipercaya.

Mohonlah taufik juga hidayah,
    Dalam mengaji ikhlaskan diri;
Ciri munafik kian terserlah,
   Andai janji tuan mungkiri.

Hala tujuan berdayung sampan,
    Hendak ke mana kami bertanya;
Janji tuan ibarat umpan,
    Mengharap kena mata pancingnya.

Pakai sepatu berjalan ke kota,
    Hujan rahmat mula menitik;
Hanya satu yang kami pinta,
    Berilah khidmat yang paling baik.

Rasa gayat di atas titi,
    Sukarnya kaki hendak melangkah;
Kepada rakyat curahkan bakti,
    Tugas hakiki laksanakanlah.

Batu sila, kapur dan gambir,
    Dicari ralit di rumah opah;
Setia dan rela dalam mentadbir,
    Jangan terpalit isu rasuah. 

Dua benang lalu diganding,
    Warna menyerlah cantik bersemi;
Andai menang dalam bertanding,
    Selalu-selalulah menjenguk kami.

Cahaya pelita suram dipandang,
    Nafas dihela di malam dingin;    
Bersamalah kita turun padang,
    Sedia membela rakyat marhaen. 

Sabtu, 2 Julai 2022

MASIH ADAKAH LAGI?

MASIH adakah lagi barang lama seperti ini? Teringat semasa hari raya Aidil Fitri yang lalu ketika kami berkunjung ke rumah Opah Itam. 

    Apabila kami dihidangkan dengan menu nasi impit @ himpit, perkakas ini diletakkan sekali di atas meja. Mulalah teringat zaman kanak-kanak dulu. Benda ini ada di rumah emak. Tetapi entah ke mana 'menghilang'nya, tidak dapat dikesan.

    

    Teringat juga ketika berhari raya di rumah atuk di Gunung Mesah Hilir...  Atuk seorang yang rajin. Dia akan menyediakan meroget (kata orang Perak..'buah kanto') dalam 3 biji balang dengan berlainan warna. Apabila hendak dihidang kepada anak cucu atau tetamu yang datang, dia akan menyatukan beberapa biji buah tersebut yang berlainan warna ke dalam satu piring. Jadi, akan kelihatan berwarna-warni dipandang mata.

    Garpu kecil itulah yang diletakkan bersama-sama piring kecil. Jika hendak makan, boleh pilih warna pilihan. Rasanya manis sekali. Cuma aku tak mampu untuk menelan.... sedikit sahaja yang boleh melalui kerongkong ini.  Sekadar dua tiga biji pun sudah mencukupi.

    

    Di rumah Opah Itam aku meminta izin daripada Mak Ngah untuk mengambil gambar barangan lama ini buat kenangan. Manalah tahu kalau-kalau selepas ini kami tidak dapat melihatnya kembali. Gambar-gambar ini dirakam dengan menggunakan telefon bimbit sahaja. Bukannya ada kamera canggih pun. 

    Begitulah istimewanya jika kita balik kampung mengunjungi rumah orang lama. Semuanya masih seperti dulu. Tiba-tiba teringat pula aku kepada lagu Ramlah Ram...

" Masih ada lagi
  Rumah lama tinggalan ayahanda
  Bila aku pulang
  Masih lagi terbayang lakumu..."


 

Rabu, 29 Jun 2022

MAT KILAU

 TATKALA riuh-rendah orang bercakap tentang kenaikan harga barang dan bahang PRU yang kian terasa... tiba-tiba namamu meledak di persada tanah air tercinta. Tokoh yang difilemkan dengan kesungguhan penerbit bersama krewnya, serta barisan pelakon yang menjiwai watak dengan baik sekali. Mereka yang bekerja di belakang tabir turut memainkan peranan penting. Memang tidak dinafikan bahawa ketokohan yang empunya diri wajar difilemkan.

    Biar anak cucu dan generasi hari ini yang disibukkan dengan gadjet dan laptop tersentak dengan hidangan cukup istimewa. Walaupun tidak seratus peratus dapat menyamai yang asal, namun kekuatan itu tetap wujud dan barangkali boleh menjadi pemangkin kepada kesedaran anak muda di era serba mencabar ini.



       Apabila penjajah berjaya mendapat tapak di tanah air kita, hasil mahsyul kita dijarah. Cukai dikutip daripada orang kampung. Siapa yang berani melawan, buruk padahnya. Begitulah yang dirasai oleh Mat Kilau dahulu. Namun keberaniannya terserlah kerana sedia berlawan. Dia tidak semudah itu menyerah dan menerima kehadiran penjajah tersebut. Lawan tetap lawan. Namun akhirnya terpaksa melarikan diri ke hutan.

    Lari bukan kerana pengecut, tapi demi menyelamatkan diri. Demi mempertahankan diri. Dan siapakah petualang dalam hal ini? Siapakah talibarut yang membuka cerita sehingga dirinya jadi buruan? Anda ada jawapannya?

    Lebih malang lagi sekiranya kita sendiri yang menjemput orang asing datang ke tanah tumpah darah kita, dengan tujuan untuk membantu 'memenangkan' kita. Tetapi akhirnya menjajah negeri kita secara senyap. Na'uzubillahiminzalik. Tanpa sedar, kita juga masih dijajah pada hari ini. Pemikiran yang terjajah lebih parah lagi implikasinya terhadap kehidupan kita. 

    Banyakkan membaca dan berfikir. Serta buatlah penilaian yang tepat. Kita telah lama disogokkan dengan filem dan drama yang berunsur hiburan semata-mata. Malah di pasaran pun terdapat lambakan buku berunsur sejarah. Cuma mungkin penyampaian sahaja yang berbeza. Jangan disebabkan terlalu banyak hiburan, kita buta sejarah.

    

Isnin, 27 Jun 2022

MAK CIK ZAHRAH

 

MENGENALI sosok wanita ini mengingatkan aku kepada bonda yang telah meninggalkan kami pada penghujung 2018 yang lalu.

    Mak Cik Zahrah namanya, jiran emak di kampung. Suaminya kami panggil Tok Man sahaja. Berkhidmat sebagai seorang anggota polis. Setelah Tok Man tiada, Mak Cik Zahrah tinggal sendirian. Namun begitu, rumahnya menjadi tempat persinggahan anak-anak dan cucu-cucunya. Jadi tidaklah dia kesunyian.

    Beberapa bulan yang lalu, aku berkesempatan mengunjunginya. Senyumannya masih seperti selalu, tidak lekang daripada wajahnya. Cuma daya ingatannya sudah mula berkurangan. Ini disahkan pula oleh Ijan, anak bongsunya. Ada ketikanya dia menyoalku dengan soalan yang sama beberapa kali. Namun aku tetap melayannya.

    Kak Long yang bertelekung menyambutku dengan mesra. Suami Kak Long sudah lama tiada, meninggal kerana sakit. Fahamlah aku bahawa Kak Long kini menjadi peneman Mak Cik Zahrah. Kehadiran Kak Long memberi semangat buatnya. 

    Abang Muzam dan isterinya turut kelihatan semasa kami rancak berbual di meja makan. Rupa-rupanya dia dan keluarganya tinggal sama di rumah berkenaan. Elok sangatlah jika itu keputusannya. Paling tidak, Mak Cik Zahrah sentiasa dalam jagaan mereka. Sudah pasti segala keperluannya terjamin. 

    Mak Cik Zahrah merenungku tepat. Pandangan matanya lembut, berkali-kali mempelawaku menikmati kuih yang terhidang. Nada suaranya tetap seperti dahulu. Diulangnya bertanya soal emak dan ayah kepadaku. Kekadang Ijan turut mencelah memberikan jawapan.

    Aku lebih mengenali Dilah, anaknya yang sebaya dan sekelas denganku semasa di zaman persekolahan dahulu. Kami sama-sama berjaya masuk ke maktab perguruan. Dilah di Ipoh, manakala aku di Tanjung Malim. Akhirnya kami sama-sama bergelar 'guru'. Aku mengajar di dalam negeri Perak sedangkan Dilah telah beberapa kali berpindah dari satu negeri ke negeri lain. Jauh dia merantau.

    Hasrat untuk bertemu Dilah di rumah ibunya tidak kesampaian kerana dia jarang balik. Tatkala kes covid mencanak dan terikat dengan PKP serta PKPD, harapan untuk pulang ke kampung musnah begitu sahaja. Jarak jauh memisahkan kami. Namun ada ketikanya kami didekatkan dengan facebook dan whatsapp. 

    Buat Mak Cik Zahrah... mudah-mudahan mak cik sentiasa sihat dan bahagia di samping anak cucu tercinta. Moga ukhuwah kita berkekalan hingga ke negeri abadi, insya-Allah.
    

Selasa, 14 Jun 2022

TAHNIAH AYAH!


TATKALA meneliti hadiah yang ayah dapat suatu masa dahulu, terkandung rasa bangga dan syukur di benakku. Alhamdulillah.

Aku tidak tahu apakah jawatan yang ayah sandang ketika itu. Apa yang aku tahu, ayah selalu keluar untuk bermesyuarat bersama kawan-kawannya yang terdiri daripada berbilang bangsa. Waktu itu aku perhatikan wajah-wajah satu Malaysia.

Nama yang masih terpahat kukuh dalam ingatanku ialah Uncle Veloo, Uncle Kok Hoi dan Pak cik Mansor, Selebihnya ramai lagi, sayangnya aku tidak mengenali nama-nama mereka. 

Kinta Kellas Tin... nama ini membayangkan tentang bijih timah. 'Tin' yang dimaksudkan bukanlah tin susu, tin milo, tin biskut atau tin sardin. Mungkin itulah kebarangkalian tekaan yang bersarang di minda anak-anak zaman sekarang. Jauh meleset.

Aku yang dibesarkan di kawasan Lembah Kinta, cukup mengenali sejarah perlombongan bijih timah. Sementelah ayah bekerja sebagai kepala lombong di Kampung Pisang, Batu Gajah. Sebelum itu ayah bekerja di Batu Karang, Kampar.

Melihat kepada peuter yang ayah terima ini, baru aku menyedari bahawa lama benar ayah memegang jawatan tersebut. Hebatnya ayah menggalas amanah yang diberi. Bergerak atas keyakinan diri serta sokongan ahli, menjadikan sumbangan dan pengorbanan ayah dihargai. Lantang ayah bersuara demi membawa mesej dalam memperjuangkan nasib pekerja lombong.

Sejak usiaku tiga tahun sehingga 15 tahun ayah tidak berganjak daripada jawatan tersebut. Begitulah kepercayaan yang diberi oleh mereka kepada ayah. Siapa pula yang menggantikan tempat ayah selepas itu, aku tidak tahu. Apa yang pasti, ayah sudah tidak bekerja di lombong bijih timah itu setelah memilih untuk berniaga.

Kemampuan ayah dalam berbahas dan berpidato telah ayah manfaatkan semasa memegang jawatan pengerusi tersebut. Kecekapan ayah dalam ilmu hisab atau kira-kira telah memancing hatinya untuk meneruskan perniagaan. Ayah... aku belajar sesuatu darimu.

Jumaat, 3 Jun 2022

Cerita Lama, Cerita Baharu

SETELAH masuk ke alam persaraan, terasa ada banyak masa mengenang sejarah lama yang mekar di ingatan. Jejak-jejak di awal persekolahan masih segar bayangannya. Bagaikan teringat-ingat kembali saat-saat aku melangkah ke tadika dan sekolah rendah.  Lelorong di kampung dan rumah-rumah lama seakan menggamitku pulang.

    Rumah tinggalan ayah seakan-akan memanggilku untuk menjengahnya. Cempedak nan sebatang yang rimbun buahnya tatkala hadirnya musim buah-buahan, seakan-akan merajuk. Apa tidaknya, buahnya makin berkurang. Pokok kesayangan emak ini memang tidak dinafikan lebat buahnya. Lebih mengujakan aku sewaktu menikmatinya isinya. Tebal isinya, kesep bijinya. Sukar untuk mendapatkan biji yang cantik untuk dijadikan benih.

  

    Kekerapan ayah bersedekah kepada kawan-kawan dan jiran tetangga, menjadikan cempedak ini dikenali. Kadang-kadang apabila tiba musim buah, kami akan dipanggil pulang hanya semata-mata untuk menyerahkan buah yang dikutip dalam kuantiti yang banyak.

    Maka kami akan memanjangkan pula sedekah itu kepada tetangga. Tidak termakan kami akan buahnya yang dibekalkan itu. Semasa hayat emak, dia sering bercakap-cakap dengan pohon buah-buahan agar rajin berbuah. Sambil menyiram, dia akan membelai dengan pujukan. Begitu kasihnya emak kepada tanaman sekeliling rumah. 

    Mengingatkan itu semua, aku teringat semula akan tragedi pokok cempedak yang ada di belakang rumahku sekarang. Pokoknya telah lama ditanam, malangnya tidak berbuah. Berbeza dengan dua batang lagi yang ditanam kemudian, tapi sudah memperoleh hasil yang boleh dinikmati walaupun tidak secantik isi cempedak di kampung.

    Apabila suami menyatakan hasrat untuk menebang pokok tersebut, tiba-tiba kali ini ia mula berbuah. Syukur alhamdulillah. Mudah-mudahan dapatlah kami merasa buah sulungnya nanti. Amat benarlah bahawa kasih sayang itu bukan untuk sesama manusia sahaja. Kita perlu menyayangi haiwan dan juga tumbuhan juga seluruh isi alam. Kerana Allah menjadikan semua itu tidak sia-sia.

    Berkat kerajinan ayah dan emak berbudi kepada tanah, kini anak cucunya dapat merasa hasil titik peluh mereka. Mudah-mudahan beroleh pahala yang berpanjangan buat mereka berdua. Rindu dari kami buat emak (tokmok) dan ayah (tokwan). 

    





Ahad, 6 Mac 2022

MENULISLAH

SAMA-SAMA kita menulis, jaga penulisan kita agar menjadi iktibar buat semua. Sama ada dibaca orang atau tidak, tulislah juga. Walaupun sebaris ayat yang mengajak orang untuk berfikir dan berbuat baik.

    Tulislah yang baik-baik, agar jari jemari kita tidak akan dipersoalkan nanti di sana. Jaga bahasa, agar tidak mengundang keresahan dan persoalan serta pertikaian. Berdosa kita nanti, asbab kerakusan jemari yang semata-mata inginkan glamour atau dahagakan viral dengan jutaan like dan share.  Jangan sesekali mengundang padah.

    Bukan mudah untuk menulis, tetapi menulislah juga kerana bakat yang ada anugerah Allah itu perlu dikembang dan dikongsi bersama. Sambil-sambil itu membacalah demi menilai lenggok penulisan kita yang mungkin serba kurang cantik atau moleknya. Jadikan hasil tulisan rakan lain dan penulis hebat sebagai panduan. Bukan untuk meniru. Cuma untuk dijadikan model demi memperbaiki teknik penulisan kita.

    Jangan menulis sekadar syok sendiri sahaja. Gaya penulisan ada seninya. Oleh itu di samping menulis, banyakkan membaca. Membaca, membaca, membaca kemudian barulah menulis.


Buat sahabat atau rakan yang sama-sama menulis..... 

TAHNIAH buat semua, anda berbakat besar.  Jangan biarkan bakat anda tenggelam sekiranya pernah dihina atau dikutuk. Malah dikritik dengan lantang. Merajuk dan minta dipujuk jangan sekali. Juga jangan mengalah, kerana mengalah itu bererti kau telah kalah. 

    Bangunlah. Belajar dan beranilah untuk gagal. Sama ada hasil tulisan itu tidak laku dibaca atau dipandang sepi, itu bukan soalnya. Yang penting kita telah menulis sesuatu yang akan dilihat oleh makhluk di sebelah kita dan akan dinilai oleh Allah.  Lupakan penilaian orang lain, utamakan nilaian Allah terhadap usaha kecil kita.

    Jika kita dipihak yang benar, dan tulisan kita memberi impak yang baik buat pembaca... bersyukurlah. Kita telah berusaha, dan Allah telah menjentik hati mereka.

    Kita menumpang di bumi ciptaan Allah ini. Kita sediakan bekal untuk dibawa ke sana nanti. Walau banyak halangan yang menanti dan terpaksa ditempuh, bersabar dan redalah. Sesungguhnya mata pena itu lebih tajam daripada mata pedang. Maka teruskan menulis.

 



Khamis, 23 Disember 2021

Sesekali ke hospital

 Berkesempatan ke rumah sakit pagi tadi bersama anak ketiga.

    Bagai acuh tak acuh sahaja petugas di kaunter memberi respons atas pertanyaanku.  Setelah mendapat nombor giliran menunggu, aku duduk di salah satu bangku batu.  Sempat aku berbisik kepada anak di bangku sebelah....."Elok umi pakai 'name-tag' tadi."  

    "Owh...double standard ye umi?".  Kami saling berbalas senyum di sebalik topeng muka yang dipakai.  

    "Dia ok jer tadi, nampak biasa jer..." komenku pula. Tiada sebarang masalah pun. Aku bukan orang besar atau VVIP.

    Pening pula melihatkan nombor yang dipapar pada skrin.  Nombor-nombor empat digit bermula dengan enam, ada juga empat, dan tiga.  Sedangkan nombor di tanganku bermula dengan 2. Agak keliru juga dengan angka-angka tersebut.

    Kebiasaannya buku yang kubawa akan kucapai untuk dibaca, namun tidak kali ini.  Aku kena lebih berhati-hati kerana tidak tahu bila nombor tersebut akan dipanggil. Sekiranya aku leka membaca, alamat terlepas pula nanti.  Bimbang tak perasan nomborku dipanggil.

    Mataku pula nakal melihat ke sana sini.  Melihatkan beberapa orang warga emas dalam pergerakan agak perlahan, membuatku terfikir tentang diriku.  Bagaimana agaknya aku suatu waktu nanti?

    Dalam resah menanti, aku mencuri pandang sekitar. Kelihatan ada yang berkerusi roda, bertongkat dan berpimpin tangan.  Tidak kurang juga anak muda, yang kukira mungkin sekadar mengambilkan ubat orang tua mereka. Pantas ke sana ke mari.

    Dulu aku temankan emak ke klinik dan hospital.  Teringat lagi saat dan ketika itu.  Aku yang menolak kerusi rodanya. Tapi emak telah pergi meninggalkan aku pada tahun 2018 yang lalu.  Kini aku ke hospital untuk mengambil ubat ibu mentuaku pula.

    Sebaik-baik nomborku dipanggil, aku segera ke kaunter.  Senang hatiku dengan cara dan perawakan petugas di kaunter tersebut.  Setelah menjelaskan tentang ubat yang diberi kepadaku, aku pula bertanyakan tentang janji temu yang perlu aku uruskan nanti.

    Kuungkapkan terima kasih setelah selesai urusan. Kami meninggalkan perkarangan hospital dengan sedikit kenangan pagi yang menyentuh naluriku. Mudah-mudahan Allah memberi kesihatan yang baik buatku mengurus emakku yang kedua.  

    Mudah-mudahan emak juga dianugerahi kesihatan yang baik walaupun ditakdirkan terpaksa mengambil ubat siang dan malam. Usaha dan ikhtiar itu perlu. Hanya Allah maha penyembuh dan mengizinkan ubat itu berkesan atau tidak.

    Usia kian meningkat, mati kian mendekat. Tarikh lahir memang kita ketahui, cuma tarikh kematian itu tidak tercatat dalam dairi kita. Fkirkan yang baik-baik, moga nanti yang datang pun yang baik-baik juga. Berdoalah ....kerana ia merupakan senjata orang mukmin.



 

Khamis, 21 Oktober 2021


Teluk Kopiah...... begitu unik namanya. Dengan ombak yang tinggi dan tanpa pasang surut airnya, kami menjengah setelah agak lama terperuk di rumah.

Memerhati pepasir halus memutih sambil duduk-duduk melepaskan pandangan ke laut, penuh rasa syukur.  Walaupun namanya tidak segah Teluk Senangin, rupa-rupanya ramai juga yang mengetahui keberadaan teluk ini.

Kami menemani anak menantu dan cucu mengambil angin laut.  Menikmati alam indah ciptaan Ilahi begitu mengasyikkan.  Sesekali deburan ombak menghempas gagah. Tidak ada insan yang berenang ke tengah. Sekadar bermain di gigi air dan berpelampung di tepian sahaja.

Pantainya sedikit curam, menjadikan pengunjung lebih berwaspada. Masing-masing membawa bekal dan peralatan sendiri. Sedikit gusar di hati kerana kelihatan terdapat sampah ditinggalkan di sana sini.  Kasihan alam...

Remis banyak di sini. Amat mudah mendapatkannya. Kami membawa pulang untuk dijadikan lauk malam nanti. Setinggi-tinggi kesyukuran kami panjatkan kepada pemilik alam ini, alhamdulillah....

Kenangan di Teluk Kopiah terpahat dalam kenangan Oktober 2021.

 

Khamis, 14 Oktober 2021

BADMINTON OH BADMINTON

 



Badminton mengingatkanku kepada ayah.  Bagaikan terbayang-bayang akan sejarah yang tercipta dahulu. Kami akan berlonggok di hadapan televisyen menyaksikan bersama-sama pertandingan ini.  Musuh ketat negara ialah negara jiran, iaitu Indonesia.

Hingga ke saat ini kita masih lagi bertembung di arena yang sama. Bak kata orang - musuh tradisi. Namun menariknya bagiku ialah satu-satunya pemain Indonesia kini iaitu Ahsan!

Selama ini bagi jagoan badminton, yang muslimnya masih lagi tidak menutup aurat. Walaupun bertahun-tahun nama negara tersenarai dalam pertandingan yang berprestij ini, yang bercelana panjang sukar kelihatan. 

Lebih membanggakan bagiku, Ahsan bukan sahaja lengkap menutup aurat, malah beliau akan duduk bertinggung ketika minum atau makan dalam tempoh rehat yang singkat. Terpukau aku seketika. Sopannya beliau menjelmakan mesej Islam di bidang sukan. Sudahlah permainannya dikategorikan hebat, ditambah lagi dengan tertibnya beliau menjaga akhlak ketika bersukan.

Barulah tampak jelas siapa kita!

Ketika majoriti yang mengaku Islam itu masih lagi dengan rela mendedahkan aurat, ada segelintirnya tetap patuh dengan tuntutan agama. Boleh dibilang dengan jari mereka yang benar-benar berpegang teguh dengan kewajipan tersebut.  

Tahniah kepada ahli sukan yang sedemikian.  Mudah-mudahan perawakan tersebut memberi mesej jelas bahawa letaklah Islam itu di tempat tertinggi dalam apa jua bidang yang kita ceburi. Walaupun tindakan kita tidak dipandang orang sebelah mata, kita tetap dipandang Allah. Utamakanlah pandangan Allah daripada pandangan manusia.

Selasa, 28 September 2021

GEMERESIK SUARA MERDEKA

 


Kenangan bersama warga pendidik seluruh Perak diabadikan di dalam Gemeresik Suara Merdeka. 

Suara hati sahabat semua dapat dibaca menerusi buku ini yang dilancarkan pada 16 September 2021. Warga pendidik yang berbakat terserlah dengan bahasa puisinya. Makna merdeka dalam pelbagai pengertian, dalam luah rasa yang tersendiri dimuatkan di dalam buku ini. 

Tidak dapat dinafikan ada hati yang berbunga, ada jiwa yang digigit resah, ada sejarah yang diungkap dan ada kata-kata yang menyengat rasa!  

Pasu kaca dihias lukisan,
    Warna cerah cantik dipandang;
Jemput baca tuan dan puan,
    Pelbagai kisah telah dihidang.




KTB7 Lekiyour 28092021



Ahad, 26 September 2021

KAU TERBANG JAUH

 

Alhamdulillah, kakimu telah mendarat di bumi bertuah itu.  Terima kasih Ya Allah kerana telah mengizinkan anakanda yang seorang ini melanjutkan pelajarannya jauh di seberang.

Bumi bertuah Malaysia telah kautinggalkan pagi semalam berbekalkan doa kudus bonda dan sanak saudara.  Bakal bermulalah tiga tahun dalam kehidupan baharu.  Jauh dari bonda, adinda-adinda serta nendamu.

Kami dari kejauhan ini mendoakan yang terbaik buatmu, Mardhiyyah. Rezekimu bagi menyambung ijazah di Queen's University Belfast.  Lokasinya di Ireland Utara. Begitulah yang dikhabarkan. Tahniah dari kami yang mengenalimu.

Setakat ini kaulah satu-satunya cucu opah yang melangkah jauh mengutip ilmu demi mencapai cita-cita yang terpendam di lubuk hatimu.  Kau merupakan anak sulung daripada lima beradik, menjadi contoh kepada adik-adikmu.

Betapa besar pengorbanan ibumu membesarkanmu dan adik-adik.  Seorang ibu tunggal yang berjuang seorang diri setelah suami tercinta pergi menghadap Ilahi. Seorang pendidik yang berjiwa kental dan punya kekuatan memberi sepenuh kasih sayang dan segala keperluan seiring zaman yang serba mencabar.

Kenangkan semua itu ya anakanda Mardhiyyah...

Cukuplah sekadar ini dahulu.  Jaga diri baik-baik, jaga hubungan dengan Allah, hubungan dengan rakan-rakan, dengan pensyarah malah dengan masyarakat di sana.  Bertemanlah dengan kalamullah.  Amal ibadah yang menjadi kebiasaanmu, teruskanlah.

Pohon pauh tinggi merendang,
    Hinggap singgah burung nuri;
Pergi jauh nun di seberang,
    Pandai-pandailah menjaga diri.

Seri pagi bunga telang,
    Tampak cantik seri bertamu;
Selamat pergi aduhai sayang,
    Baik-baik menuntut ilmu.


Salam dari Mak Lang,
26 Sept 2021, 5.58 pagi minggu.
ktb7 lekiyour

Rabu, 25 Ogos 2021

31 OGOS YANG LALU & HASIL MAHSUL KAMPUNGKU

KENANGAN 31 OGOS

 Masih kuingat lagi zaman ayah bekerja lombong dahulu.  Zaman kanak-kanak bagiku amat menyeronokkan. Apa tidaknya... bila tiba sahaja tanggal 31 Ogos, ayah akan membawa pulang dua bungkusan hadiah untuk kami adik beradik.  Untuk aku satu, untuk abang satu. Besar sungguh bungkusannya!

Hadiah yang aku maksudkan itu ialah bungkusan plastik yang berisi 'jajan' atau makanan, mainan dan juga bendera Malaysia.  Bukan kepalangnya gembira hati kami.  Setiap bungkusan itu mengandungi pelbagai jenis makanan termasuk gula-gula, coklat dan biskut, Dan yang penting ada bendera Malaysia yang boleh kami letakkan pada hendal basikal.

Masing-masing pekerja lombong itu akan menerima bungkusan berkenaan mengikut bilangan anak mereka.  Kalau ramai anak, banyaklah bungkusan yang akan diterima untuk dibawa pulang.  Dan tiap-tiap tahun ayah akan membawa pulang dua bungkusan!  Sebab anak ayah dua orang sahaja. Iaitu abang dan aku.  

Bab adik beradik ini, kami agak miskin.  Namun aku tetap bersyukur kerana aku masih ada kawan untuk sama-sama bermain dan juga 'berperang'.  

Aku agak berjimat.  Kesemua makanan tersebut tidak akan kuhabisi sekaligus.  Makanan itu kumakan sedikit demi sedikit.  Kadang-kadang di penghujung September masih lagi berbaki. Ia akan jadi bertahan lebih lama kalau 31 Ogos itu jatuh dalam bulan puasa.

Selagi namanya pekerja lombong, tidak kira bahagian mana sekalipun....buah tangan itu mereka akan dapat mengikut bilangan anak. Ya, mengikut bilangan anak masing-masing!

Hadiah bungkusan sempena 'Hari Merdeka' itu diterima saban tahun. Apabila ayah berhenti, maka tidak ada lagi pemberian istimewa seperti itu. Keputusan berhenti kerja itu diambil tatkala lombong bijih itu masih rancak beroperasi.   Kami tidaklah hidup mewah.  Namun aku rasa serba cukup semuanya. Alhamdulillah.

BIJIH TIMAH

Semasa tinggal di Kampung Pisang, seringkali aku melihat ramai orang pergi 'melanda' di lombong berhampiran.  Mereka beramai-ramai menuju ke lombong dengan membawa dulang yang berupa kuali besar tanpa telinga.  Mereka memakai topi lebar untuk melindungi wajah dan kepala daripada panas matahari. 

Hasil yang diperoleh akan dijual kepada tauke di pekan lama Batu Gajah. Kehidupan agak mewah pada waktu itu.  Mudahnya mencari rezeki.  Cuma kena rajin sahaja.  Asyik aku memerhatikan mereka terbongkok-bongkok melanda ataupun mendulang bijih.

Mula-mula mereka menenggelamkan dulang itu sambil mencedok ke dasar tanah. Kemudian diangkat sambil melenggang-lenggangkan dulang itu di air bagi mengasingkan tanah daripada bijih.  Oleh kerana bijih timah itu berat, ia akan mendap di dalam dulang manakala tanah dan kekotoran lainnya akan terasing.

Cuma sedikit cabaran yang harus ditempuh ialah keadaan panas mentari yang membakar.  Megahnya bumi bertuah pada era 60-an dan 70-an itu.  

Ayah kadang-kadang membawa kami berbasikal di sekitar kawasan lombong tempatnya bekerja.  Kami asyik memerhati 'raksaksa besi' yang berat tetapi peliknya ia tetap timbul di permukaan lombong itu.  Kami menyebutnya 'kapal dojo'.  Itulah kapal korek yang menjadi kebanggaan penduduk sekitar.

Betapa banyak bijih yang terdapat di dasar lombong itu tidaklah kami ketahui.  Waktu itu Batu Gajah cukup dikenali kerana bijih timahnya. Bangunan kesan tinggalan Inggeris yang menjadikan Batu Gajah sebagai pusat pentadbirannya masih berdiri kukuh sehingga kini.

TINGGALAN SEJARAH

Tidak ada apa-apa pun yang tinggal lagi. Tapak lombong tempat ayah bekerja dahulu kini telah dijadikan  Depot Keretapi Batu Gajah. 

Sesekali apabila pulang ke kampung, kami akan melewati kawasan lombong yang luas saujana mata memandang.  Masih terbayang-bayang akan kapal koreknya, kenangan berbasikal bersama ayah dan saat-saat indah ketika kami memancing bersama.

Landasan kereta api serta gerotaknya bagai bermain di ruang mata.  Ingatanku mula menerawang pada sahabat lama sama sekampung. Pada Ita yang dah pergi lebih dahulu meninggalkan kami.  Odah, Uja, Enab dan beberapa orang kawan lelaki yang sama-sama bersekolah rendah di SK Batu Gajah. Aku kembali teringat jiran-jiranku Nyah Lon, Pak Meor, Cikgu La ...... 

Teringat kawan-kawan ayah... Pak Cik Yusof, Pak Cik Rais, Pak Cik Mat Yen, Pak Badaruddin...yang sama-sama kerja lombong dahulu.  Didoakan mudah-mudahan sihat walafiat sekiranya masih ada, dihadiahkan bacan Fatihah buat mereka andaikata telah mendahului kita menemui Yang Maha Esa,

Kampung Pisang dalam kenangan.... rinduku tidak bertepi.