Jumaat, 30 September 2022

KENANGAN LALU

     "ASSALAMUALAIKUM cikgu, saya nak maklumkan sahabat saya kena strok.  Sekarang ni dah berada di rumah beliau di Bidor." Begitulah butir info yang masuk di aplikasi whatsapp pada 26 September lalu. Sekali pandang foto itu, aku terkenang 30 tahun yang lalu. Wajah itu tidak berubah. Masih seperti dahulu.


    Terima kasih As atas makluman berkenaan. Aku tercari-cari maklumat di facebooknya. Jua di fb milik isterinya. Sahihlah bahawa berita itu benar. 12 September kena serangan jantung. Dalam tempoh itu dia masih sedar, Aku meneliti catatannya yang terakhir.

     ...Namun pada 19 September dia diserang strok. Dan selepas itu hanya ada catatan di fb Yani, isterinya. Sejak tarikh berkenaan, dia tidak sedarkan diri. Aku tahu hati isteri mana yang tidak sedih apabila melihat sekujur tubuh suami terlantar kaku. Doa dan harapan pasti mengisi seluruh ruang waktu. Hanya pada Allah tempat mengadu.

    Sebak menguasai diri... peristiwa itu terbayang di ruang mata. Dialah ketua kelas kami. Dialah satu-satunya murid lelaki dikelasku yang berseluar panjang dan bersongkok pada waktu itu. Kemas perawakan dan baik akhlaknya. Masih kuingat lagi akan permintaannya...

    "Cikgu, err...boleh saya berseluar panjang waktu PJ?" soalnya ragu-ragu. Aku merenung wajahnya. Dia terkebil-kebil memandangku. 

    "Pakailah...cikgu lagi suka," balasku sambil menggangguk. Senyum manis terukir di wajahnya, diiring ucapan terima kasih. Lantas berlalu pergi. Memang pada waktu itu sudah menjadi kebiasaan murid lelaki berseluar pendek semasa menjalankan aktiviti pendidikan jasmani. Seluar panjang sekolah yang biru pun boleh dibilang si pemakainya.

    Namun selepas itu peningkatan ketara kulihat dari segi pakaian murid lelaki. Ramai yang berseluar panjang sejak tercetusnya rekod Radi memakai track bottom. Alhamdulillah. Bagiku 'pecah rekod' murid tahap satu yang memulakan memakainya sedangkan waktu itu abang-abang tahap 2 masih ramai berseluar pendek ke sekolah. 

    Dua tiga kali aku pernah dikejutkan dengan aduan kawannya tentang masalah kesihatannya. Dia pernah mengalami sakit dada ketika di sekolah, dan akulah bertindak selaku doktor baginya. Rupa-rupanya mengikut maklumat daripada ibunya bahawa dia pernah jatuh dari pokok semasa kecilnya. Entahlah, aku tidak pasti sama ada itu memberi kesan kepada dirinya atau tidak tatkala usianya makin meningkat. Wallahu'alam.

    Kata-kata perangsang, semangat dan motivasi memang aku berikan kepada semua anak didikku tanpa pilih kasih. Waktu itu semua subjek aku ajar, kecuali Bahasa Inggeris dan Agama Islam. Memang masih fresh waktu itu kerana SKAHTI merupakan sekolah pertamaku sebaik-baik keluar dari IPSI. Tempat mengajar di kampung, di kelilingi masyarakat Melayu dan Jawa. Jauhnya lokasi itu 15 batu ke Teluk Intan dan 12 batu ke Bidor.

    Dua tahun bersama kelas ini, yang memberi makna dalam diriku. Pengalaman pahit manis kami harungi bersama. Kini masing-masing membawa haluan tersendiri. Dan nama Radi tak pernah terpadam dalam dairi hidupku. Walau waktu memisahkan, aku tetap mengikuti perkembangannya. Menjadi tauke buah di Bidor... berjaya sudahnya ketua kelas kesayangan kami ini. Sesekali aku meninjau muka bukunya, sekadar hanya untuk mengetahui khabarnya. Kami bukan rakan fb pun. 

    Sedih memang terasa, lebih-labih lagi tatkala menatap gambarnya. Sebak...tak dapat diungkap dengan kata-kata. Kau pergi dulu daripada cikgu, Radi. Buat Yani...bersabarlah dengan ujian ini. Mudah-mudahan Yani dan anak-anak kuat meneruskan kehidupan. Yang pergi tetapkan pergi. Namun memori bersamanya tetap akan diingati. 




  •     12 September kena serangan jantung
  •     19 September kena strok
  •     26 September kuterima beritanya
  •     28 September kau pergi jua
    Sekejap sungguh ia berlaku. Amat benarlah "Dan setiap umat mempunyai ajal (batas waktu), apabila ajalnya tiba mereka tidak dapat meminta penundaan sesaatpun dan tidak pula dapat dipercepatkan." Al-A'raf ayat 34.

    Semoga Allah meluas dan melapangkan kuburnya, tenanglah kau bersemadi di alam barzakh. Kami akan menyusul. Sesungguhnya daripada Allah kita datang, dan kepada-Nya kita kembali. 


kredit to
Tanti Haryani Jaafar

    

    

Selasa, 27 September 2022

SAYANGILAH PANTAI DAN BAKAU KITA

 

    
    BERMINAT dengan usaha murni segelintir pihak untuk menjaga kelestarian alam, maka aku bersama Kak Ude meluangkan sedikit masa menyertai Hari Bersama Komuniti Kampung Tanjung Kepah, Lekir pada 24 September lalu.

    Agak sedikit terlambat kerana pada awalnya kami telah berkunjung ziarah jiran yang sakit. Hidup bermasyarakat begitulah susun aturnya. Allah memberi ruang dan peluang, maka kami berusaha merebut peluang yang datang itu kerana waktu itu amat berharga.

    Mak Cik Nah dan suaminya Pak Cik Tapa kami telah kenal lama. Kini masing-masing sudah masuk ke usia warga emas. Masing-masing telah mencapai usia 70-an. Kak Ude masih mengingati 'Opah Nah' yang sering berkunjung ke rumah pengasuhnya sewaktu dia kecil dahulu. Mak cik Nah kini berkerusi roda manakala Pak Cik Tapa terlantar di katil. 

    Kunjungan kami walaupun sekejap, memberi makna besar. Mengenang kembali rentetan kehidupan cucunya yang tinggal bersamanya, amat menyedihkan. Setelah bondanya pergi akibat kanser, ayah dan adik-adiknya pula meninggalkannya setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya. Walaupun masih belajar, dia mengambil alih tugas menjaga kedua-dua nendanya. Semoga Allah mengurniakannya pahala dan kejayaan setelah berbakti kepada mereka.

    Berbalik pada aktiviti kemasyarakatan terkait  penjagaan pantai, kami berpeluang menyertai aktiviti gabungan mahasiswa Universiti Petronas, dan beberapa agensi lain yang turun padang.  Menekuni penerangan dan penjelasan tentang usaha menjaga pantai Tanjung Kepah, kami teruja dengan idea yang diutarakan. Penggunaan buluh dalam usaha penanaman bakau tepi pantai itu diambil daripada inisiatif negara jiran yang telah pun menemui kejayaan. Apa salahnya jika kita meniru sesuatu yang baik dan mendatangkan hasil yang bermanfaat demi kelestarian alam.

    Walaupun dahulu ada yang memperlekeh usaha penanaman buluh yang pernah dicadangkan oleh satu pihak, kini ternyata buluh berperanan besar dalam beberapa aspek kehidupan. Selain daripada kegunaannya di dalam penyediaan dan pemakanan, ia juga meluas dijadikan bahan kraftangan. Tidak kurang juga dijadikan bahan binaan dan lanskap. 

    Pantai Tanjung Kepah dahulunya terkenal dengan tempat pendaratan pelbagai spesies siput, kini hanya tinggal sebahagian kecil sahaja fauna yang ada. Sebelum ini pernah dua kali projek penanaman semula bakau dilaksanakan tetapi menemui kegagalan akibat ombak kuat yang menghalang usaha tersebut. Dalam senyap-senyap pihak yang tidak berputus asa tetap mengambil langkah untuk meneruskan usaha ini demi kelangsungan sistem ekologi flora dan fauna tepian pantai ini. Tahniah diucapkan. 

    Semoga usaha ini mencapai kejayaan yang diharap-harapkan walaupun masih di dalam peringkat kajian. Sekiranya projek bermula, besar harapan semua pihak agar masyarakat setempat sama-sama turun padang menyertai gotong-royong yang diadakan. Semaikan kasih sayang terhadap alam sekitar ciptaan Allah ini. Jangan pula berkonfrontasi dengan alam. Sesungguhnya kerosakan di muka bumi ini akibat daripada tangan-tangan manusia itu sendiri.



    

Isnin, 26 September 2022

SALAM JUMAAT YANG BAROKAH

    ALHAMDULILLAH, kerana mengizinkan kami berkunjung ziarah di tiga buah rumah kejiranan. Kami berkesempatan berkunjung semula Kak Hasni yang dahulunya pernah mengalami stroke sebelah badan. Meninjau keadaan beliau yang kelihatannya ceria namun sekadar duduk di atas katil. Keadaan rumahnya yang kondusif menjadikan suasana segar.

    Bersebelahan katilnya ada meja kecil yang di atasnya dipenuhi ubat. Beliau masih seperti dulu, menyambut kehadiran kami dengan senyuman. Salaman tangan kirinya kami sambut penuh hormat. Sebenarnya beliau masih di dalam terapi. Menurut anaknya, ibu sudah boleh melangkah sedikit dengan dibantu. Masih lagi berpapah dalam kepayahan. Tatkala aku menyentuh tangan kanannya, terasa  sedikit sukar membuka genggamannya. Namun masih boleh dibuka.

    Sentuhan jemariku di bahagian kakinya dikatakan terasa. Namun kakinya tidak dapat memberi respons. Mudah-mudahan Kak Hasni segera pulih berkat terapi yang dijalaninya di hospital. Serangkum doa buat Kak Hasni semoga kuat menghadapi ujian. 

    Kami kemudiannya ke rumah Kak Ju, untuk menziarahi suaminya. Aku cukup mengenali Haji Yusof kerana beliau merupakan bekas guru memandu untuk anak-anakku. Walaupun terdapat tiga orang guru memandu di kejiranan kami, anak-anak lebih mengenali beliau kerana salah seorang anaknya merupakan kawan baik anak keduaku.

    Meninjau keadaannya yang berkerusi roda dengan kadar penglihatan yang agak kabur, begitu menyentuh hati kami. Beliau menghadapi masalah kencing manis. Anak-anak serta suamiku menggelarnya 'Cikgu Yusof'. Walaupun beliau sekadar cikgu memandu, ilmu yang diajar memberi makna besar buat murid-muridnya. Moga-moga Kak Ju diberikan Allah kekuatan dan kesihatan yang baik untuk menjaga suami yang dikasihi. 

    Rumah terakhir kami kunjungi ialah rumah Linda. Kesempatan bertemu Linda dan suaminya dapat mengenang kembali dan bertanya khabar tentang anak-anak mereka yang merupakan bekas anak didikku suatu masa dahulu. Rupa-rupanya dia baharu sahaja baik daripada sakit kaki, sehinggakan katanya terpaksa bertongkat. Suaminya bermasalah kencing manis dan turut mempengaruhi penglihatannya. 

    Beliau yang sebelum ini merupakan seorang pemandu teksi, sudah tidak boleh memandu. Anak-anak masih ada lagi yang bersekolah. Waktu kecilnya mereka dahulu selalu datang beraya ke rumahku. Semoga keluarga ini sentiasa berada dalam kasih dan rahmat Allah. 

    Santunan kami berakhir sebelum menjelang tengah hari. Sumbangan kecil yang kami bawa moga bermakna buat mereka. 




Catatan Jumaat,
23 September 2022

    

Ahad, 25 September 2022

PERTEMUAN SEMALAM

     SEBAIK-baik aku menoleh ke kiri, mataku menangkap wajahnya. Rakan setugas suatu waktu dahulu. Kelihatan dia sedang menanti pesanan di meja sebelah. Duduk semeja, berhadapan dengan suaminya. Aku cam benar akan wanita ini. 


    "Assalamualaikum Ila," ujarku segera. Salamku bersambut sambil kami bertentang mata. Dia bangun menghampiriku. Rancak kami berbual, sedangkan suamiku sedikit terpinga-pinga kerana tidak mengenalinya. Akhirnya aku memperkenalkan dia dan suaminya yang merupakan saudara kepada suamiku. Allahu robbi..... lupa sungguh agaknya suamiku. Mungkin tak perasan. Sudah lama betul tidak berjumpa.

    Namun bagiku rakan yang pernah bertugas di sekolah yang sama ini, tetap dalam ingatan. Rupa-rupanya lebih awal bersara. Kami rancak berbual sementara menunggu pesanan tiba. Sesekali bertanya soal anak-anak yang kian dewasa, malah masing-masing telahpun bercucu. Syukur alhamdulillah. Sejarah lama mulalah diungkap. Kenangan bersama mekar dalam ingatan. 

    Tidak lama kemudian sedang asyik aku menikmati hidangan, aku ditegur pula oleh bekas anak muridku. Dia mengambil peluang duduk di sebelahku memandangkan kenalannya mengambil tempat bersebelahan dengan suamiku. Bertanya khabar dan berkesempatan berbicara soal kerja dan rezeki masing-masing. Pertemuan yang tidak terjangka di sebuah kedai makan di Batu 8, Lekir.

   


    Aku dipertemukan dengan bekas rakan setugas dan bekas anak murid yang telahpun berumahtangga dan memiliki tiga orang cahayamata. Berbicara soal ragam orang bersara dan karenah kehidupan masa kini yang penuh cabaran menggila sehinggakan ramai yang memilih untuk bersara awal sementelah bebanan tugas yang menyesakkan.
 Mudah-mudahan ukhuwah kami tetap terjalin hingga ke nafas yang terakhir. 

    Jika ada rezeki, bertemu lagi kita di lain masa. Semoga sihat selalu dalam menjalani tugas di dunia ini, moga-moga juga Allah anugerahkan kesihatan yang baik dan dapat mengumpul saham untuk di bawa ke negeri abadi.

    


Khamis, 22 September 2022

SEREMBAN ....KAMI DATANG


 Hadirnya kami di bumi bertuah....... syukur alhamdulillah.

 
Singgah di jeti membeli tamban,
Di hujung tangsi ikan pelata;
Hajat di hati hendak ke Seremban,
Kami berkongsi satu kereta.

Mesra ramah dalam bualan,
Simpulan kasih bertaut rindu;
Cekap berhemah menyusur jalan,
Terima kasih buat pemandu.

Titian teguh di kiri kanan,
Pandang selalu tak kelip mata;
Riuh sungguh dalam perjalanan,
Kisah dahulu jadikan cerita.

Duduk di pengkalan janganlah lama,
Segera bangkit berhati-hati;
Kongsi bekalan bersama-sama,
Serba sedikit dapat dinikmati.

Di tepi tasik berangan-angan,
Melihat kuda lari ke hutan;
Lagu klasik mengimbau kenangan,
Zaman muda jadi ingatan.

Ke sana sini anak seluang,
Di tengah talian terenang-renang;
Hidup ini perlu berjuang,
Menggapai impian bukanlah senang.

Keris sakti mari disimpan,
Lok bermakna tampak berseri;
Dalam hati menggenggam harapan,
Moga terlaksana keadilan dicari.

Tepung pelita jadi hidangan,
Senyum ceria depan rezeki; 
Melangkah kita berganding tangan,
Di sisa usia yang masih berbaki.

Selasa, 13 September 2022

TEGURAN ALLAH


     UJIAN yang datang itu sebenarnya tanpa kita sedari bahawa Allah sedang menjentik hati kita. Barangkali mungkin kita telah terleka, asbab itulah Allah 'menghadiahi' ujian tersebut khas untuk kita.  Maka berbaik sangkalah terhadap-Nya.  Sesungguhnya ada hikmah di sebalik musibah atau ujian yang datang. Tersentak kita, bukan?

    Sedang elok-elok kita berkawan, tiba-tiba Allah menghendaki suatu musibah menimpa. Perkara yang tidak pernah berlaku dalam hidup kita tiba-tiba Allah hadirkan hingga kita amat terkesan dengannya. Mungkin begitu caranya Dia menegur kita. 

    Cuba kita renung kembali atau muhasabah diri... kita tenung dalam-dalam. Buka minda selayaknya. Adakah diri kita pernah membuat percaturan yang betul?  Atau kita telah terjerat dengan permainan yang dicipta oleh musuh kita yang licik, iaitu syaitan. Hingga akhirnya kita tersilap langkah dan terjerumus di dalam silang kata yang diciptanya. Seterusnya kita menjadi mangsa. 

    Kekadang kita beranggapan bahawa kita dipihak yang benar, dan tindakan kita dianggap betul. Sedangkan dari sisi pandang yang lain kita sebenarnya telah silap membuat perhitungan. Jika dahulu kita mungkin mempunyai kekuatan berbekalkan ilmu yang kita pelajari di sekolah mahupun di pusat pengajian tinggi, namun tanpa disedari sedikit demi sedikit kita digoda dengan 'gula-gula' yang dihidangkan. Hinggakan hati kita berbunga dek godaan yang mengelabui mata. Terlalu banyak dugaan di luar sana, memang tidak dinafikan.

    Sedarkah kita waktu itu, kita berkawan hingga merasakan bahawa dunia kita yang punya... Itu sebenarnya cuma pada tanggapan kita. Semua tindakan yang kita lakukan, kita anggap betul belaka. Keputusan yang kita ambil rupa-rupanya salah dan berdosa. Jika dahulu kita patuh pada suruhan Allah, larangan-Nya kita amat titikberatkan.... namun kini secara tanpa sedar kita telah membuka sedikit ruang untuk syaitan bertenggek.

    Jika dahulu kita kenal halal haram dan kita tahu mana yang boleh dan mana yang tidak. Namun kini kita ambil mudah semua itu. Pemberatannya telah kita anggap 'tidak mengapa', 'apa salahnya' dan kita 'tahu batasannya'. Atas dasar itu, sedikit demi sedikit kita berani keluar dari kepompong yang kita anggap bagai mengurung diri kita. Kita yang dahulunya mengehadkan pergerakan, kini telah mula tersasar.  Perasankah kita?

    Kita dahulu yang pernah menutup ruang dan menguncinya dengan sebaik mungkin, kini kita membukanya sendiri. Sedarlah bahawa mata-mata syaitan itu sentiasa mengintai peluang yang ada. Keseronokan yang dirasakan berjaya memancing hati kita itu perlu diawasi. Oleh itu berjaga-jagalah. Cuba renung ke dalam diri... dahulu aku bagaimana? 

    Berhati-hatilah memilih kawan. Kawan yang baik sedikit sebanyak tempiasnya akan terkena kepada kita juga. Ibarat berkawan dengan penjual minyak wangi, maka kita akan mendapat bau wanginya juga. Justeru, kalau kita tidak mampu untuk menegur kesilapan kawan, jangan kita pula mengikut jejak langkahnya. Mungkin ada orang tengah yang boleh membantu kita dalam menangani permasalahan tersebut. Berikhtiarlah semampu yang boleh. Kalau tidak ada daya membantunya, doakanlah dia.

    Kembalilah meletakkan diri kita betul pada treknya. Jadilah seperti kita yang dahulu. Cara berkawan sedemikian itu bukan kolot namanya, walaupun mungkin ada yang melabelkan  sedemikian. Bergaul ada had dan batasannya, apatah lagi dengan yang bukan mahram. Jangan mudah terpengaruh dengan orang sekeliling, walaupun dia mungkin kawan baik kita. Sentiasa berwaspada. 

    Tika sedang enak berkawan, tiba-tiba Allah memberi 'teguran'...... segeralah muhasabah diri. Semak apa yang mungkin kita terlepas pandang. Wallahu'alam.

    

Khamis, 8 September 2022

WALAU KITA BERBEZA, TETAP TEGUH BERSAMA

 

    BERSYUKUR kita yang tinggal di bumi bertuah ini, negara yang tercinta. Negara yang dihuni oleh berbagai kaum dengan kepercayaan yang berbeza, menjadikan kita unik.

    Raikan perbezaan, dan carilah titik persamaan. Segala nikmat yang Allah anugerahkan kepada kita, patut kita kongsikan bersama. Keindahan dan hasil mahsyul buminya bukan hanya untuk segelintir manusia sahaja.

    Keamanan sama-sama kita genggam kukuh, agar tak goyah dek gelombang yang datang. Menjadi tanggungjawab bersama untuk kita mempertahankan kedaulatan negara. Takkan kita sanggup menggadai prinsip dan maruah negara demi mengecap kemewahan yang kita hajati sedangkan masih ramai lagi orang di sekeliling kita yang hidup dalam kesulitan.

    Islam mengajar kita untuk bersikap amanah dan adil. Tidak adil sekiranya perbezaan warna kulit dan bahasa itu dijadikan benteng pemisah antara kita. Allah menjadikan kita semua berbeza untuk saling kenal mengenal sesama kita. Ketakwaanlah yang membezakan kita. 

    Sebagai umat Nabi Muhammad SAW, kita sepatutnya menjadikan baginda suri teladan atau idola kita. Baginda merupakan sebaik-baik contoh bagi kita. Kalau tidak boleh ikut semua, jangan tinggalkan semua. Terlalu banyak adab yang baginda tunjukkan dalam kehidupan, yang boleh kita ikuti. Budi pekerti yang luhur dan akhlak terpuji wajar kita jadikan contoh dalam kehidupan kita pula.

    Kita boleh teguh hidup bersama dengan memegang prinsip yang serupa. Sikap baik, sopan santun dan budaya saling bertolak ansur dan bantu-membantu amalkanlah sepanjang masa. Sekiranya mahu diri dihormati, maka kita wajarlah menghormati orang lain. Elakkan persengketaan dan jangan cuba menimbulkan kebencian terhadap kaum lain. Jangan terlalu berbangga dengan bangsa kita kerana Allah tidak mencipta agama Islam itu hanya untuk keturunan kita. Islam untuk semua. 

    Bersyukurlah kita dilahirkan Islam, sering diistilahkan sebagai Islam baka. Namun adakah kita pernah cuba menarik atau berdakwah kepada sahabat kita daripada kaum lain yang masih belum Islam? Nabi berdakwah.....kita yang menjunjung tinggi baginda pula bersikap bagaimana? Kalau tak mampu untuk berdakwah secara lisan, dakwahlah dengan cara menunjukkan akhlak terbaik. Ikutlah akhlak Rasulullah. 

    Sama-samalah kita mengamalkan nilai murni yang diterapkan oleh guru-guru di sekolah. Buangkan sikap buruk sangka terhadap orang di sekeliling kita. Walau berbeza pandangan dan anutan kita, ambillah dari sisi baiknya untuk kita eratkan persahabatan dan menjalin erat silaturahum. Kita sama-sama menolak kezaliman, menolak rasuah, menolak adu domba.... kita teguhkan pendirian untuk sama-sama membina dan membela negara tercinta daripada mereka yang mencari-cari kesalahan dan kekurangan orang lain.

    AYUH MALAYSIA!!!