Isnin, 26 September 2022

SALAM JUMAAT YANG BAROKAH

    ALHAMDULILLAH, kerana mengizinkan kami berkunjung ziarah di tiga buah rumah kejiranan. Kami berkesempatan berkunjung semula Kak Hasni yang dahulunya pernah mengalami stroke sebelah badan. Meninjau keadaan beliau yang kelihatannya ceria namun sekadar duduk di atas katil. Keadaan rumahnya yang kondusif menjadikan suasana segar.

    Bersebelahan katilnya ada meja kecil yang di atasnya dipenuhi ubat. Beliau masih seperti dulu, menyambut kehadiran kami dengan senyuman. Salaman tangan kirinya kami sambut penuh hormat. Sebenarnya beliau masih di dalam terapi. Menurut anaknya, ibu sudah boleh melangkah sedikit dengan dibantu. Masih lagi berpapah dalam kepayahan. Tatkala aku menyentuh tangan kanannya, terasa  sedikit sukar membuka genggamannya. Namun masih boleh dibuka.

    Sentuhan jemariku di bahagian kakinya dikatakan terasa. Namun kakinya tidak dapat memberi respons. Mudah-mudahan Kak Hasni segera pulih berkat terapi yang dijalaninya di hospital. Serangkum doa buat Kak Hasni semoga kuat menghadapi ujian. 

    Kami kemudiannya ke rumah Kak Ju, untuk menziarahi suaminya. Aku cukup mengenali Haji Yusof kerana beliau merupakan bekas guru memandu untuk anak-anakku. Walaupun terdapat tiga orang guru memandu di kejiranan kami, anak-anak lebih mengenali beliau kerana salah seorang anaknya merupakan kawan baik anak keduaku.

    Meninjau keadaannya yang berkerusi roda dengan kadar penglihatan yang agak kabur, begitu menyentuh hati kami. Beliau menghadapi masalah kencing manis. Anak-anak serta suamiku menggelarnya 'Cikgu Yusof'. Walaupun beliau sekadar cikgu memandu, ilmu yang diajar memberi makna besar buat murid-muridnya. Moga-moga Kak Ju diberikan Allah kekuatan dan kesihatan yang baik untuk menjaga suami yang dikasihi. 

    Rumah terakhir kami kunjungi ialah rumah Linda. Kesempatan bertemu Linda dan suaminya dapat mengenang kembali dan bertanya khabar tentang anak-anak mereka yang merupakan bekas anak didikku suatu masa dahulu. Rupa-rupanya dia baharu sahaja baik daripada sakit kaki, sehinggakan katanya terpaksa bertongkat. Suaminya bermasalah kencing manis dan turut mempengaruhi penglihatannya. 

    Beliau yang sebelum ini merupakan seorang pemandu teksi, sudah tidak boleh memandu. Anak-anak masih ada lagi yang bersekolah. Waktu kecilnya mereka dahulu selalu datang beraya ke rumahku. Semoga keluarga ini sentiasa berada dalam kasih dan rahmat Allah. 

    Santunan kami berakhir sebelum menjelang tengah hari. Sumbangan kecil yang kami bawa moga bermakna buat mereka. 




Catatan Jumaat,
23 September 2022

    

Tiada ulasan: