Selasa, 27 September 2022

SAYANGILAH PANTAI DAN BAKAU KITA

 

    
    BERMINAT dengan usaha murni segelintir pihak untuk menjaga kelestarian alam, maka aku bersama Kak Ude meluangkan sedikit masa menyertai Hari Bersama Komuniti Kampung Tanjung Kepah, Lekir pada 24 September lalu.

    Agak sedikit terlambat kerana pada awalnya kami telah berkunjung ziarah jiran yang sakit. Hidup bermasyarakat begitulah susun aturnya. Allah memberi ruang dan peluang, maka kami berusaha merebut peluang yang datang itu kerana waktu itu amat berharga.

    Mak Cik Nah dan suaminya Pak Cik Tapa kami telah kenal lama. Kini masing-masing sudah masuk ke usia warga emas. Masing-masing telah mencapai usia 70-an. Kak Ude masih mengingati 'Opah Nah' yang sering berkunjung ke rumah pengasuhnya sewaktu dia kecil dahulu. Mak cik Nah kini berkerusi roda manakala Pak Cik Tapa terlantar di katil. 

    Kunjungan kami walaupun sekejap, memberi makna besar. Mengenang kembali rentetan kehidupan cucunya yang tinggal bersamanya, amat menyedihkan. Setelah bondanya pergi akibat kanser, ayah dan adik-adiknya pula meninggalkannya setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya. Walaupun masih belajar, dia mengambil alih tugas menjaga kedua-dua nendanya. Semoga Allah mengurniakannya pahala dan kejayaan setelah berbakti kepada mereka.

    Berbalik pada aktiviti kemasyarakatan terkait  penjagaan pantai, kami berpeluang menyertai aktiviti gabungan mahasiswa Universiti Petronas, dan beberapa agensi lain yang turun padang.  Menekuni penerangan dan penjelasan tentang usaha menjaga pantai Tanjung Kepah, kami teruja dengan idea yang diutarakan. Penggunaan buluh dalam usaha penanaman bakau tepi pantai itu diambil daripada inisiatif negara jiran yang telah pun menemui kejayaan. Apa salahnya jika kita meniru sesuatu yang baik dan mendatangkan hasil yang bermanfaat demi kelestarian alam.

    Walaupun dahulu ada yang memperlekeh usaha penanaman buluh yang pernah dicadangkan oleh satu pihak, kini ternyata buluh berperanan besar dalam beberapa aspek kehidupan. Selain daripada kegunaannya di dalam penyediaan dan pemakanan, ia juga meluas dijadikan bahan kraftangan. Tidak kurang juga dijadikan bahan binaan dan lanskap. 

    Pantai Tanjung Kepah dahulunya terkenal dengan tempat pendaratan pelbagai spesies siput, kini hanya tinggal sebahagian kecil sahaja fauna yang ada. Sebelum ini pernah dua kali projek penanaman semula bakau dilaksanakan tetapi menemui kegagalan akibat ombak kuat yang menghalang usaha tersebut. Dalam senyap-senyap pihak yang tidak berputus asa tetap mengambil langkah untuk meneruskan usaha ini demi kelangsungan sistem ekologi flora dan fauna tepian pantai ini. Tahniah diucapkan. 

    Semoga usaha ini mencapai kejayaan yang diharap-harapkan walaupun masih di dalam peringkat kajian. Sekiranya projek bermula, besar harapan semua pihak agar masyarakat setempat sama-sama turun padang menyertai gotong-royong yang diadakan. Semaikan kasih sayang terhadap alam sekitar ciptaan Allah ini. Jangan pula berkonfrontasi dengan alam. Sesungguhnya kerosakan di muka bumi ini akibat daripada tangan-tangan manusia itu sendiri.



    

Tiada ulasan: