Rabu, 27 Februari 2013

Beberapa perkara berikut jangan dianggap remeh:

1. Tidur lebih daripada lapan jam boleh mengakibatkan obesiti.
2. Buah hanya mengambil masa 30 minit untuk dihadamkan.  Dan ia   
    dihadam diusus, bukan di perut.
3. Jangan makan buah bersekali dengan pengambilan susu.
4. Makan buah terlebih dahulu sebelum mengambil hidangan nasi.  
5. Tidur selepas waktu Asar mewarisi kegilaan.
6. Memakai selipar berlainan antara kanan dan kiri mewarisi kepapaan.

Justeru, ambil berat akan hal ini dan amalkan dalam kehidupan.  Mudah-mudahan dipermudahkan segala urusan, beroleh kebahagiaan dan kesihatan yang baik.  InsyaAllah.




Selasa, 26 Februari 2013

SALAM BUAT SAHABAT

Perjalananmu sebagai seorang pendidik kian menuju ke nokhtah terakhir
Tinggal beberapa jam, minit, dan saat sahaja lagi kami bakal meraikan persaraanmu
Dan tika itu barangkali mungkin ada yang bisa mengalirkan air mata!

Biarpun sekadar tujuh musim mengenalimu
Rentetan perkenalan itu mewarnai sebuah persahabatan
Lantas mengharum hingga ke takah ini

Terima kasih atas kesudian......
Berkongsi pengalaman, asam garam kehidupan
Jua memberi tunjuk ajar, yang berbekas
Moga menjadi saham di akhirat sana

Terima kasih atas keikhlasan......
Memberi sepenuh kepercayaan
Merelakan aku mengemudi sendiri laluan ini
Dalam dokongan padu dan sokongan jitu
Mencorak anak-anak yang dahaga ilmu

Bibit-bibit semalam yang berlalu
Takkan kubiar mengalir lesu
Menghilang bersama arus yang memburu
Membeku bersama sendu nan memilu
Atau hilang di balik awan kelabu

Sejarah yang diciptakan Tuhan
.....bakal kukenang dalam keizinan
.....bertaut ampuh dalam nostalgia
.....agar erat dalam dakapan usia
.....menjadi kenangan amat berharga
.....moga begitulah adanya

Salam terakhir buatmu.....
Kian tampak jelas perhentiannya
Huluran salam itu takkan terbatas di sini
Ingatan mesra kuharap mekar merimbun
Dan berbunga mewangi di kamar hati

Maafkan segala.....
Andai pernah melukakan

Halalkan semua.....
Atas ilmu yang dicurahkan

Moga rindu tetapkan menggamit
Walau kita tidak bersama.

.........................ida a.z
                         3.57 am
                         ktb7 lekir



Sabtu, 23 Februari 2013

BERIKAN DIA KEKUATAN

Entah kenapa sebak meraja di hati tatkala mengingati semula khabar yang diterima itu.  Dan tatkala malam-malam begini tika merenung wajah anakanda tercinta......... mampukah hati seorang ibu itu bertahan atas ujian yang diterimanya.

Sahabatku........ salam takziah dariku seisi keluarga.  Maaf kupinta kerana belum mampu meluangkan masa untuk menjenguk anak bujangmu yang terlantar di katil hospital.  Hati ini turut simpati mendengar perkhabaran yang mendukacitakan itu.  Entah yang mana benar.......  aku tidak pasti.  Lantaran berita yang diterima dalam versi yang pelbagai..... maka yang tersimpul di hatiku hanya memohon padaNYA agar membekalimu dengan ketabahan, kekuatan juga kesabaran dalam redho menerima segala ujian itu.

Tidak dapat kubayangkan bagaimana malang itu menimpa sebelum Subuh.  Tidak pasti akan kebenarannya sama ada dia dilanggar atau dia yang melanggar!  Namun apa yang pasti tangan dan kaki kiri patah.  Bahagian muka   mengalami kecederaan agak parah.  Allah Ya Allah...........

Sahabatku....... rasa terharuku kian menebal pabila mengenangkan engkau berupaya menangani tugas yang diamanahkan ke bahumu.  Mampu untuk menggalas kepayahan biar bayangan fitnah dan dengki kekadang mengejar.  Sedia untuk berhadapan dengan tohmahan yang datang.  Namun mampukah atau berupayakah dirimu berhadapan dengan ujian besar ini?   Melibatkan nyawa insan tersayang.....  

Aku mohon sangat-sangat padaMU Ya Robb.......  memberinya kekuatan.  Mengurniakannya kesabaran yang amat kental.  Berada dalam kondisi penuh ketenangan, dalam hati tidak goyah.  Anugerahkan padanya kehebatan bak serikandi Islam di zaman baginda Rasulullah SAW.  Cekal melalui detik-detik genting, saat-saat tegang di kala ini.  Ya Allah, kukirimkan seberkas doa ini buat sahabatku yang kukasih juga buat anakandanya yang terlantar di sana......

Ya Allah......
Segala puji bagiMU Ya Rob
Selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW

Kupohon padaMU Ya Allah
Tetapkanlah hatinya serta teguhkanlah imannya
   menerima ujian sehebat ini
Anugerahkan dirinya dengan ketabahan jua kecekalan hati
   kekuatan iman jua tawakkal kepadaMU
   agar dirinya sentiasa berada di landasan yang benar

Kupinta padaMu Ya Allah
Sembuhkanlah anak sahabatku ini
   sesungguhnya Engkau Maha Penyembuh
Permudahkanlah segala urusan mereka
   hanya padaMU jua aku mohon pertolongan

Ya Allah Engkau Maha mendengar permohonan hambaMU ini.
Amin Ya Allah.



Jumaat, 22 Februari 2013

MANA MILIK KITA

Sesungguhnya apa yang ada pada diri kita semua adalah pinjaman belaka.  Tidak ada satupun milik kita.  Kalau kita kehilangan benda-benda berharga yang telah lama kita miliki, yang terlalu kita sayangi....... cepat-cepatlah kita kembali menginsafi diri.  Semua itu adalah pinjaman sementara.  Bila-bila masa Allah boleh beri pada kita, dan bila-bila masa juga Allah boleh tarik daripada kita hatta sedikit ilmu yang ada pada kita jua!

Barangkali mungkin ada dalam kalangan kita yang kehilangan anak, isteri atau suami yang dikasihi.  Sekiranya kita benar-benar memahami bahawa semua itu milik Allah..... maka tidak ada apa yang perlu kita sedihkan atau terkilan andaikata Allah tarik balik semua itu daripada kita.  Cuma kekadang nampak benar seolah-olah kita tidak rela atau redho menerima kenyataan.  Apatah lagi kiranya kita kehilangan anak yang dikasihi.  Anak yang sembilan bulan kita kandung, dibawa bersama ke hulu ke hilir.  Kemudian dijaga bagai menatang minyak yang penuh.  

Setelah itu, dia semakin dewasa meniti hari-hari mendatang dengan bimbingan dan asuhan kita.  Kita mencoraknya mengikut apa yang kita ingini.  Membesar dalam jagaan dan doa kita.  Tapi kiranya Allah ambil dia daripada kita, acapkali apa yang terkeluar dari bibir kita....... "Apa salah kita?",  "Mengapa Engkau ambil dia lebih dulu?",  "Apa dosaku?",  hinggakan kekadang seorang ibu itu hilang akal dan menjadi kurang waras akibat daripada kehilangan insan tersayang itu.  

Alangkah bertuahnya sekiranya kita memulangkan semula apa yang dipinjam itu dengan penuh rela, penuh redho.  Barang yang kita pinjam, wajarlah kita pulangkannya semula kepada tuannya.  Mana tahu mungkin Allah akan menggantikannya dengan yang lebih baik.  Itu semua kerja Allah.  Ada hikmah di sebalik musibah.  Sesungguhnya hanya Allah sahaja Maha Tahu.  Jangan tertekan dengan semua permasalahan itu.  Pulangkan semua kepadaNYA.  Sesungguhnya tidak ada satu pun milik kita.  Bersyukurlah pada Allah kerana memberi peluang kepada kita memiliki sesuatu itu buat sementara.  Berpeluang merasa nikmat dan anugerah Allah yang tidak terhingga banyaknya.  

Harta, wang ringgit, emas permata, kediaman yang mewah, kereta besar, isteri jelita, suami kacak tampan bergaya, anak-anak yang berjaya............. semua itu sesungguhnya pinjaman belaka.  Sentiasalah kita ingat bahawa semua yang ada itu Allah yang punya.  Dan kita hanya mengusahakannya sahaja.  Bila kita meninggalkan dunia fana ini pun, tidak ada apa yang akan kita bawa ke sana nanti.  Hanya amal ibadah yang dapat membantu kita.  Juga doa dari anak yang soleh.  SESUNGGUHNYA TIDAK ADA SATU PUN MILIK KITA....... 

Selasa, 19 Februari 2013

TETAMU YANG MENCABAR

Tahun 2013 .......  begitu mencabar!!!  Hingga ke bulan kedua ini pun masih banyak tugas yang belum diselesaikan.  Habis yang satu, satu lagi datang.  Selesai yang ini.....  ada lagi yang datang.  

Namun aku tetap meneruskan usaha demi menyelesaikannya walau hanya satu demi satu. Bimbang kerana bertangguh itu dikatakan pencuri waktu.  Bergerak tetap bergerak, biar bertatih namun berhenti tidak sekali.  

Tapi apa yang paling mencabar ialah tetamu yang hadir di kelasku untuk tahun ini.  Walau hadirnya tidak diundang, namun aku sedia menerimanya sama seperti anak-anak didikku yang lain.  Datang dari daerah yang sama, namun lokasi yang berbeza.  Datang mungkin membawa segenggam harapan, sekeping impian.  Namun sukar diselami!!!

Tidak banyak dapat kuperkatakan mengenainya.  Apa yang jelas.....dia tak banyak cakap.  Sukar untuk mengeluarkan butir bicara, namun tidak bisu atau gagap.  Terlalu perlahan pertuturannya, ada kala langsung tidak kedengaran.  Agak pendiam, malahan akan mendiamkan diri apabila minta diulangi perkataan dan ucapannya.  

Betapa mahal harga suaranya!!!  Namun aku akan terus mencuba dan mencuba, berusaha dan terus berusaha.  Menaruh harapan agar dia petah seperti anak-anak lain, yang sering bertanya itu dan ini.  Bersuara jika tidak faham,  bertanya jika kurang memahami. 

Namun situasi di rumahnya berbeda sekali.........  menurut ibunya anak ini akan bertindak seperti anak-anak biasa yang seringkali bising tidak kira masa.  Bercakap seperti anak lain,  jelas kedengaran suaranya......  Namun segalanya hilang sebaik-baik kakinya melangkah dalam kawasan sekolah.  Lebih-lebih lagi bila berhadapan dengan guru-gurunya.

Anak ini mungkin mengalami perasaan rendah diri, tapi entahlah...... mungkin juga tidak!!!  Aku mungkin akan cuba melakukan edisi siasat.  Moga Allah mempermudahkan segala urusan, amin.

Isnin, 18 Februari 2013

TERIMA KASIH

Terima Kasih Ya Allah....
Mengizinkan daku menikmati hidup sesingkat ini
Menganugerahkan kasih sayang dan cinta
Meminjamkan setiap detik dan ketika
Betapa pemurahnya Engkau
Membuka seluas-luasnya pintu taubat

Terima Kasih Ya Rasulullah....
Meninggalkan buat kami Quran dan sunnah
Menjadi panduan dan petunjuk jalan
Menuju negeri yang abadi

Terima Kasih sahabat....
Berganding bahu sama membantu
Jatuh bangun diperlekeh dipersenda
..... dalam mendaulat agama-Mu
..... menegak kalimah suci-Mu

Terima Kasih rakan setugas....
Berkongsi pengalaman dan kemahiran
Dalam mendidik anak-anak yang dahagakan pengetahuan
.... mudah-mudahan dihitung dihisab
.... menjadi saham kita di akhirat

Terima Kasih rakan facebook....
Sering berkongsi cerita, berita dan ilmu
Selalu mengingatkan dalam kealpaan
Acapkali mengajak ke arah kebenaran

Terima Kasih semua....
Betapa berharganya pertemuan kita
Sesungguhnya pinjaman Allah ini terlalu hebat
Tak mampu untuk diungkap dengan kata-kata
Atau ditulis dengan tinta


Selasa, 12 Februari 2013

AL QURAN

Terbang hinggap burung bayan,
Di pohon ara jadi singgahan;
Hanya dua Rasulullah tinggalkan,
Quran dan sunnah jadi panduan.

Asam gelugur di belah-belah,
Mari dijemur tengah halaman;
Sesungguhnya Quran itu kalamullah,
Sesuai untuk sepanjang zaman.

Subur tanaman disirami hujan,
Kembang mekar kuntum di taman;
Setiap tahun tilawah diadakan,
Dialun indah dalam pertandingan.

Di pinggir kali mengail ikan,
Menanti rezeki penuh kesabaran.
Ayat bermakna indah di'frame'kan,
Gantung di dinding jadi hiasan. 

Batang tebu beruas-ruas,
Mari ditebang untuk jualan;
Dalam perubatan diguna meluas,
Begitu khasiat ayat-ayat Al Quran.

Sayang kemboja jatuh berguguran,
Di atas tanah dibiar selerak;
Malang sungguh di akhir zaman;
Quran ditinggal berhabuk di rak.

Dari Temerloh pergi ke Maran,
Membawa diri mengubat rajuk;
Mengutamakan logik akal fikiran,
Mengapa Al Quran tidak dirujuk.

Tepung pelita jadi pilihan,
Untuk hidangan hadirin sekelian;
Digunakan Al Quran hanya sampingan,
Mengapakah tidak jadi perlembagaan.

Cantik nian lukisan tangan,
Corak batik seni menawan;
Teramat lengkap isi kandungan,
Malangnya tidak dijadi panduan.

Dari desa menuju ke kota,
Riangnya hati tidak terkata;
Hanya satu-satunya solusi kita,
Al Quran petunjuk jalan bahagia.

Subur menghijau pisang berangan,
Berselang seli tanduk dan rastali;
Kembalikanlah saat-saat kegemilangan,
Al Quran dijulang dijunjung tinggi.

Meredah hutan mencari rotan,
Besar hajat dijual ke pekan;
Moga-moga hidup beroleh keberkatan,
Pabila Al Quran mencanai kehidupan.

Hujan turun tempayan ditadah,
Mengharap penuh banyak gunanya;
Al Quran memang tersusun indah,
Sesuai dulu, kini dan selamanya.


Sabtu, 9 Februari 2013

MAAFKAN CIKGU.....

Apa khabar Adam?  Setelah lulus dalam ujian dalam erti kata menguasai kemahiran yang diajar...... jarang sekali kita bersua.  Kekadang kelibatmu kelihatan dari jauh.  Apabila sesekali kita terserempak, engkau akan mengucap salam seperti selalu dengan ungkapan yang kurang jelas didengar.  Lantas berlalu pergi.....

Terkenang saat kita bersama.  Di awal pertemuan engkau seringkali menerima teguran dari cikgu disebabkan tulisan yang agak sukar dibaca.  Ejaan selalu sahaja salah.  Sering mengambil mudah terhadap kerja sekolah yang diberi.  Kekadang kerja tersebut tidak disiapkan di rumah disebabkan terlupa.  Ada ketikanya siap tetapi tidak menepati saranan yang cikgu nyatakan.  Ada sahaja perkataan yang disalin salah.  Apabila diberi latihan ejaan untuk 10 perkataan, kebiasaannya engkau betul satu atau dua perkataan sahaja.  Lebih malang lagi kekadang tidak ada satupun yang dieja dengan betul!!!

Namun menurut ibumu, kerja sekolah yang cikgu beri akan dibuat terlebih dahulu berbanding dengan kerja sekolah yang lain.  Begitu prihatinnya engkau dengan tugas yang diamanahkan.

Dalam kekurangan yang ada, engkau tetap berusaha memperbaiki kelemahan diri.  Latih tubi yang berterusan dan mungkin begitu memenatkan sanggup engkau hadapi.  Biarpun sebutan amat payah untuk dibetulkan, namun cikgu amat menghargai usahamu.  Dengan hanya memiliki deria pandang yang cuma sebelah sahaja....... engkau tidak pernah cikgu pinggirkan.  

Ibumu sering mengadu dan berkongsi masalah tentangmu.  Sesungguhnya ibu mana yang tidak ingin melihat anaknya berjaya?  Di kelas cikgu membantu, di rumah pula ibumu itulah yang tidak putus-putus mendoakan, berusaha membantu dan mengusahakan apa yang terbaik buatmu.  

Kini dikhabarkan oleh gurumu bahawa bacaanmu kian laju.  Alhamdulillah .....  Biarpun sebutan tidak berapa jelas dan betul, kami selaku guru-guru amat memahami.  Berlatihlah selalu Adam, walaupun cikgu tiada di sisi.

Cikgu mohonkan kemaafan kiranya sepanjang Adam belajar bersama cikgu, ada kalanya cikgu terkasar bahasa.  Barangkali juga mungkin pernah menghukum Adam atas kesalahan yang dilakukan.  Atau mungkin juga pernah meninggikan suara, menjegilkan mata, juga merenung dengan pandangan tajam sama ada secara sengaja atau tidak.  

Mudah-mudahan Adam beroleh kejayaan yang membanggakan suatu hari nanti.  Jangan jadikan kekurangan diri sebagai alasan untuk berada ditakuk lama.  Berusaha dan teruslah berusaha, insyaAllah Adam boleh berjaya.

Ahad, 3 Februari 2013

SIFIR MUDAH

Kalau kita ingin bahagia, bahagiakanlah orang lain
Kalau kita ingin disayangi, sayangilah orang lain
Kalau ingin diri dihormati, maka hormatilah orang lain
......... begitu mudahnya memperoleh apa yang kita hajati

Namun hendaklah melakukannya dengan penuh sabar, penuh tabah dan dengan usaha dan istiqomah.  Perjalanan hidup ini penuh dengan tipu daya syaitan.  Terkadang kita leka, dan syaitan mengambil kesempatan itu untuk melunaskan hajatnya pula.  

Allah SWT sentiasa memberi kesempatan dan peluang untuk kita berubah.  Jua sentiasa membuka ruang dan pintu-pintu kemaafan.  Betapa kasihnya DIA pada kita.  Peluang keemasan yang masih berbaki sejajar dengan usia kita yang masih bersisa ini perlu kita rebut sebelum degupan jantung dan nadi kita sampai ke nokhtah yang terakhir.  

Kalau orang bersalah pada kita, maafkanlah
Kiranya orang tak sengaja melukakan jiwa kita, ampunkanlah
Kiranya perbuatan mereka mengecilkan hati kita, berlapang dadalah

Belajarlah dari sejarah dan sirah Rasulullah SAW bagaimana sabarnya Nabi kekasih Allah. Walaupun kita insan biasa, sunnah baginda wajar dipelajari dan diamalkan demi cinta kita pada baginda.  Biar banyaknya rintangan dan halangan menanti di hadapan sana, kita wajar mencuba.  Siapakah yang layak menjadi contoh ikutan kita lagi......


Sabtu, 2 Februari 2013

AFRA BINTI UBAID AL-ANSHARIAH RA

Sumber riwayat hidupnya mengatakan bahawa Afra binti Ubaid berkahwin dengan Harits ibnu Rifa'ah al-Najjari.  Anak-anak yang lahir dari pernikahan ini ialah Mu'az, Mu'awwiz dan 'Auf.  Mereka bertiga digelar dengan panggilan anak-anak Afra.Setelah suaminya menceraikannya, Afra datang ke Mekah.  

Setelah itu dia berkahwin dengan Bukair Ibnu Abu Yalail al-Laitsi.  Dari pernikahan ini maka lahirlah empat orang anak, iaitu Aqil, Khalid, Iyyas dan Amir.  Mereka berempat termasuk orang pertama yang berjanji setia dengan Rasulullah di Mekah di dalam rumah Arqam Ibnu Abu Arqam RA.

Ada sumber rujukan mengatakan bahawa Afra telah kembali dan menetap di Madinah sebelum kemunculan Islam.  Pada musim haji tahun ke 11, dakwah Islamian mulai menumbuhkan benih-benih yang subur.  Dalam peperangan Badar kesemua anak-anak Afra ikut serta.  Dengan demikian , Afra binti Ubaid adalah seorang sahabat wanita yang mempunyai tujuh orang anak yang ikut hadir dalam perang Badar bersama Rasulullah SAW.  Aqil, 'Auf dan Mu'awwiz mati syahid dalam perang Badar tersebut.

Afra binti Ubaid menunjukkan sikap dan pendirian yang menakjubkan dan menunjukkan kekuatan imannya.  Ketika kedua-dua anaknya 'Auf dan Mu'awwiz mati syahid dan yang selamat hanya Mu'az, dia datang kepada Rasulullah dan berkata, " Wahai Rasulullah, yang tinggal adalah anakku yang jahat?"  Rasulullah menjawab, "Tidak".  Seolah-olah Afra mengharapkan agar semua anaknya mendapat penghormatan mati syahid di jalan Allah.  

Dengan demikian, Afra telah mendapat pujian suci daripada Rasulullah SAW.  Afra memiliki kedudukan yang baikdi sisi Saudah Ummul Mukminin.  Iman ath-Thabarri Rahimahullah ada menyebut bahawa Saudah binti Zam'ah Ummul Mukminin datang ke rumah keluarga Afra untuk meringankan kesedihan mereka atas pemergian 'Auf dan Mu'awwiz.

Begitulah kisah hidup sahabat wanita yang ditemukan dalam sejarah.  Imannya telah mendorongnya untuk mengorbankan anak-anaknya di jalan Allah.  Meskipun sejarah tidak mencatat tahun kelahiran dan kematiannya, namun sejarah tidak pernah lupa untuk mencatat jasa-jasanya.

Semoga Allah SWT sentiasa mencurahkan keredhaan-Nya ke atas Afra binti Ubaid dan anak-anaknya dan menjadikan mereka orang yang mendapat rahmat-Nya bersama para shiddiqin, syuhada' dan orang-orang soleh.  Amin.

(Rujukan Buku : Peranan Wanita Pada Zaman Rasulullah) terjemahan oleh Ustaz Johari Yaman.