Apa khabar Adam? Setelah lulus dalam ujian dalam erti kata menguasai kemahiran yang diajar...... jarang sekali kita bersua. Kekadang kelibatmu kelihatan dari jauh. Apabila sesekali kita terserempak, engkau akan mengucap salam seperti selalu dengan ungkapan yang kurang jelas didengar. Lantas berlalu pergi.....
Terkenang saat kita bersama. Di awal pertemuan engkau seringkali menerima teguran dari cikgu disebabkan tulisan yang agak sukar dibaca. Ejaan selalu sahaja salah. Sering mengambil mudah terhadap kerja sekolah yang diberi. Kekadang kerja tersebut tidak disiapkan di rumah disebabkan terlupa. Ada ketikanya siap tetapi tidak menepati saranan yang cikgu nyatakan. Ada sahaja perkataan yang disalin salah. Apabila diberi latihan ejaan untuk 10 perkataan, kebiasaannya engkau betul satu atau dua perkataan sahaja. Lebih malang lagi kekadang tidak ada satupun yang dieja dengan betul!!!
Namun menurut ibumu, kerja sekolah yang cikgu beri akan dibuat terlebih dahulu berbanding dengan kerja sekolah yang lain. Begitu prihatinnya engkau dengan tugas yang diamanahkan.
Dalam kekurangan yang ada, engkau tetap berusaha memperbaiki kelemahan diri. Latih tubi yang berterusan dan mungkin begitu memenatkan sanggup engkau hadapi. Biarpun sebutan amat payah untuk dibetulkan, namun cikgu amat menghargai usahamu. Dengan hanya memiliki deria pandang yang cuma sebelah sahaja....... engkau tidak pernah cikgu pinggirkan.
Ibumu sering mengadu dan berkongsi masalah tentangmu. Sesungguhnya ibu mana yang tidak ingin melihat anaknya berjaya? Di kelas cikgu membantu, di rumah pula ibumu itulah yang tidak putus-putus mendoakan, berusaha membantu dan mengusahakan apa yang terbaik buatmu.
Kini dikhabarkan oleh gurumu bahawa bacaanmu kian laju. Alhamdulillah ..... Biarpun sebutan tidak berapa jelas dan betul, kami selaku guru-guru amat memahami. Berlatihlah selalu Adam, walaupun cikgu tiada di sisi.
Cikgu mohonkan kemaafan kiranya sepanjang Adam belajar bersama cikgu, ada kalanya cikgu terkasar bahasa. Barangkali juga mungkin pernah menghukum Adam atas kesalahan yang dilakukan. Atau mungkin juga pernah meninggikan suara, menjegilkan mata, juga merenung dengan pandangan tajam sama ada secara sengaja atau tidak.
Mudah-mudahan Adam beroleh kejayaan yang membanggakan suatu hari nanti. Jangan jadikan kekurangan diri sebagai alasan untuk berada ditakuk lama. Berusaha dan teruslah berusaha, insyaAllah Adam boleh berjaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan